7 Strategi Pengurusan Kewangan Peribadi Berkesan

Kali terakhir diperbaharui Jun 2, 2023 oleh Shafiq Wahab
7 Strategi Pengurusan Kewangan Peribadi Berkesan

Rata-rata rakyat Malaysia kini sedar akan kepentingan pengurusan kewangan peribadi dengan tumpuan kepada simpanan persaraan, melangsaikan hutang dan lain-lain lagi. Namun begitu, aspek perancangan kewangan peribadi ini tidaklah semudah yang disangkakan. Jika tersilap langkah atau tanpa perancangan dan disiplin, ia akan memberi kesan kepada kewangan individu.

Kenapa Pengurusan Kewangan Peribadi Penting Khususnya kepada Anak Muda?

Pengurusan kewangan peribadi secara asasnya melibatkan pembentukan strategi menyeluruh untuk menguruskan dan mencapai matlamat kewangan anda. Melalui perancangan kewangan, anda dapat menganalisis situasi kewangan semasa dan mengenal pasti matlamat anda.

Aspek perancangan kewangan bukanlah topik menarik untuk dibincangkan. Namun begitu, pengurusan kewangan peribadi perlu dititikberatkan setiap individu khususnya golongan muda. Artikel ini akan membantu anda memahami kepentingan pengurusan kewangan peribadi dan strategi yang boleh anda praktikkan untuk mencapai matlamat kewangan anda.

Perancangan Kewangan penting dalam membantu anda berbelanja atau menyimpan dengan lebih selamat

Membantu Mencapai Matlamat Kewangan

Pengurusan kewangan peribadi membolehkan anda menetapkan objektif kewangan dan membangunkan strategi untuk mencapainya. Setiap individu mempunyai impian yang berbeza seperti membeli rumah, berkahwin atau membeli kereta.

Walau apa pun matlamat anda, perancangan kewangan yang baik dapat membantu anda mencapainya dengan lebih mudah. Bagi membantu anda kekal fokus, bahagikan matlamat besar kepada beberapa matlamat yang lebih kecil.

Memberikan Ketenangan Fikiran

Kita tidak boleh menjangkakan apa yang akan terjadi pada masa depan – pengurusan kewangan peribadi membolehkan anda berdepan situasi luar jangka dengan ketenangan fikiran. Simpanan kecemasan dan perlindungan insurans yang dimiliki membolehkan anda bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang akan terjadi pada masa depan.

Pengurusan kewangan peribadi yang baik membolehkan anda memberi tumpuan kepada apa yang benar-benar penting dalam hidup seperti meluangkan masa berkualiti dengan yang tersayang.

Membantu Menguruskan Kewangan dengan Bijak

Kegagalan untuk merancang pengurusan kewangan peribadi dengan baik boleh mengakibatkan perbelanjaan yang berlebihan dan ketidakstabilan kewangan. Oleh sebab itu, penting untuk anda tahu cara menguruskan pendapatan bulanan dan mengurangkan komitmen bulanan anda.

Sediakan strategi pengurusan kewangan dan hutang anda – cara ini dapat membantu anda hidup mengikut kemampuan dan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu.

Capai Matlamat Kewangan Ditetapkan, Ikuti Strategi Pengurusan Kewangan Peribadi Ini

Strategi pengurusan kewangan peribadi yang tepat boleh membantu anda mencapai matlamat kewangan dengan lebih efisien. Bagi membantu anda, berikut tujuh strategi perancangan kewangan terbaik yang boleh anda ikuti:

1. Rancang Matlamat Kewangan

Anda perlu mempunyai matlamat kewangan yang jelas. Ia dapat membantu anda kekal optimis dan mencapai hasil yang diingini. Ketika membuat perancangan, penting untuk anda mempertimbangkan empat elemen utama ini:

  • Menentukan objektif secara spesifik;
  • Mengukur kemajuan anda ke arah matlamat;
  • Menetapkan jangka masa yang realistik;
  • Mengenal pasti langkah-langkah khusus yang diperlukan untuk mencapai objektif anda.

Dengan menggabungkan elemen-elemen ini dalam matlamat kewangan anda, ia dapat meningkatkan peluang anda untuk mencapai kestabilan kewangan yang lebih besar.

2. Kurangkan Perbelanjaan Tidak Perlu

Untuk memperbaiki aliran kewangan anda, mulakan dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu seperti minuman kopi mahal atau makan di restoran mewah. Memotong perbelanjaan yang tidak perlu dapat memberi perbezaan yang besar dalam hidup anda. Bayangkan jumlah wang yang anda boleh jimat dengan tidak membeli kopi mahal setiap hari.

Hidup mengikut kemampuan dapat membantu anda membina perisai kewangan. Dengan ketidaktentuan ekonomi dan ramai berdepan situasi kehilangan pekerjaan, anda tidak perlu bergantung pada dana kecemasan semata-mata sekiranya berdepan situasi tidak terduga ini.

Pengurusan Kewangan Peribadi: Rancang kewangan anda untuk ketenangan fikiran

3. Utamakan Objektif Jangka Pendek

Anda biasanya akan menetapkan objektif kewangan jangka pendek dan jangka panjang semasa membuat perancangan kewangan. Bagi membolehkan anda mencapai momentum yang diperlukan, beri tumpuan kepada objektif jangka pendek terlebih dahulu. Fokus sebegini membolehkan anda mencapai objektif kewangan jangka panjang dengan lebih cepat.

Sebagai contoh, objektif kewangan jangka pendek anda ialah melunaskan pinjaman PTPTN anda. Dengan melunaskan pinjaman pelajaran lebih awal, ia dapat menambah baik aliran tunai anda dan anda akan mempunyai lebihan duit. Lebihan duit ini boleh diperuntukkan sepenuhnya kepada keutamaan lain seperti menyimpan untuk persaraan atau membina dana kecemasan.

4. Mula Melabur

Anda mungkin beranggapan bahawa cara terbaik untuk mengurus kewangan anda adalah dengan mempunyai lebih banyak simpanan. Tidak dinafikan simpanan dapat membantu anda membina jaringan keselamatan kewangan. Bergantung harap pada simpanan sahaja mungkin tidak mencukupi lebih-lebih lagi dalam mendepani inflasi. Ini kerana, nilai wang anda boleh berkurangan dari masa ke masa.

Antara alternatif yang boleh anda pertimbangkan untuk meningkatkan kekayaan anda dari semasa ke semasa adalah dengan melabur. Pelaburan membolehkan anda mendapat pulangan yang lebih tinggi daripada simpanan. Lebih-lebih lagi jika anda melabur untuk jangka masa panjang dan mempunyai portfolio pelaburan yang pelbagai.

Di Malaysia, anda mempunyai pilihan untuk melabur dalam pelaburan berisiko rendah seperti ASB dan Tabung Haji. Anda juga boleh pertimbangkan pelaburan berisiko tinggi seperti pasaran saham. Anda bebas memilih portfolio pelaburan anda berdasarkan toleransi risiko pelaburan dan matlamat pelaburan.

Apa yang penting, lakukan penyelidikan dengan teliti dan dapatkan nasihat profesional sebelum membuat keputusan pelaburan.

5. Belajar Mengurus Hutang dengan Berkesan

Dalam menguruskan kewangan peribadi, penting untuk anda membezakan antara hutang baik dan hutang jahat. Hutang baik adalah seperti pinjaman rumah dengan kadar faedah rendah dan manfaat cukai. Hutang jahat pula adalah seperti hutang kad kredit dengan kadar faedah yang tinggi yang boleh membebankan anda.

Apabila seseorang individu memasuki fasa hidup yang baru, hutang atau komitmen bulanan anda secara tidak langsung akan bertambah. Jika boleh, elakkan daripada menambah hutang baharu, dan beri keutamaan untuk menjelaskan hutang dengan kadar faedah yang tinggi terlebih dahulu.

Jika perlu, minta nasihat daripada perancang kewangan untuk membantu anda merancang perbelanjaan dan hutang dengan lebih baik.

6. Pantau Skor Kredit Anda

Apabila anda ingin membeli kereta atau rumah baharu, anda biasanya perlu membuat pinjaman dengan bank. Memiliki skor kredit yang baik dapat meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan pinjaman kereta, pinjaman rumah atau kad kredit dengan kadar faedah yang lebih rendah.

Periksa laporan CCRIS atau laporan CTOS anda secara berkala untuk memastikan anda mempunyai skor kredit yang baik. Skor kredit yang lebih tinggi dapat meningkatkan kedudukan kewangan dan membolehkan anda memilih pinjaman lebih baik dengan kadar faedah lebih rendah.

Selain itu, ia juga menjurus kepada pengurusan aliran tunai yang lebih baik dan mengelakkan belanja faedah yang berlebihan.

7. Ambil Pelan Insurans

Perlindungan insurans merupakan komponen penting dalam pengurusan kewangan peribadi sebagai perlindungan masa depan. Ada sesetengah orang beranggapan bayaran premium insurans setiap bulan suatu pembaziran atau perbelanjaan yang tidak perlu. Tetapi sebenarnya, insurans memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan.

Insurans secara asasnya menawarkan perlindungan kepada anda dan orang yang anda sayangi daripada sebarang risiko kerugian kewangan yang tidak terduga. Ini termasuklah kos rawatan perubatan, kerosakan harta benda atau kehilangan pendapatan yang disebabkan oleh kecacatan atau kematian.

pengurusan kewangan peribadi di Malaysia

Beli dan Renew Insurans di Qoala untuk Jaminan Perlindungan Masa Depan

Memiliki perlindungan insurans yang tepat adalah penting dalam memberikan ketenangan dan perlindungan masa depan. Sebagai contoh, insurans kereta dan insurans motosikal boleh melindungi anda daripada kerosakan dan kerugian akibat kemalangan. Insurans perubatan dan insurans penyakit kritikal dapat membantu menampung kos perubatan sekiranya diuji dengan penyakit atau kecederaan.

Insurans kemalangan peribadi pula boleh memberikan sokongan kewangan dalam situasi kecacatan kekal atau kematian akibat kemalangan. Tanpa perlindungan insurans yang komprehensif, anda mungkin perlu menggunakan wang simpanan atau wang persaraan anda jika sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Kunci kepada pengurusan kewangan peribadi yang berjaya bergantung pada matlamat kewangan dan situasi semasa anda. Selain itu, jika anda mencari platform insurans yang menawarkan pelan perlindungan yang komprehensif di Malaysia, layari laman web Qoala untuk maklumat lanjut.

Qoala merupakan platform perbandingan dan pembaharuan insurans yang menawarkan pelbagai polisi perlindungan insurans pada harga mampu milik di Malaysia. Bandingkan harga dan manfaat daripada beberapa syarikat insurans terbaik di Malaysia dengan proses yang mudah, cepat dan selamat.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60