5 Jenis Pelaburan di Malaysia yang Boleh Anda Pertimbangkan

Kali terakhir diperbaharui Jun 16, 2023 oleh Syazwani Yahya
5 Jenis Pelaburan di Malaysia yang Boleh Anda Pertimbangkan

Pelaburan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan pembangunan ekonomi individu. Ia melibatkan peruntukan sumber tertentu untuk memperoleh hasil pulangan jangka masa panjang. Sebelum individu memulakan pelaburan, penting untuk individu memahami jenis pelaburan yang terdapat di Malaysia serta kelebihan dan risiko yang berkaitan dengan setiap jenis pelaburan tersebut.

Jenis Pelaburan di Malaysia: Info Lengkap untuk Pelabur Pemula

Artikel ini akan membantu anda memahami jenis pelaburan yang ada di Malaysia. Ia meliputi pelaburan pendapatan tetap, pelaburan ekuiti, pelaburan hartanah, unit amanah dan pelaburan alternatif. Dengan pemahaman menyeluruh tentang jenis pelaburan ini, ia diharap dapat membantu anda membuat keputusan pelaburan yang bijak.

1. Pelaburan Pendapatan Tetap

Pelaburan pendapatan tetap adalah salah satu jenis pelaburan yang menawarkan pendapatan yang stabil dan dijamin. Terdapat beberapa instrumen pelaburan pendapatan tetap yang popular di Malaysia seperti bon kerajaan, bon korporat, dan akaun deposit tetap (atau akaun simpanan tetap).

Bon Kerajaan

Instrumen pelaburan yang membolehkan individu atau entiti meminjamkan wang kepada kerajaan Malaysia dengan jangka masa tertentu. Bon kerajaan menawarkan kestabilan dengan pembayaran faedah yang dijamin oleh kerajaan. Ini menjadikannya pilihan yang popular dalam kalangan pelabur yang mengutamakan kestabilan dan pulangan yang positif.

Bon Korporat

Selain bon kerajaan, terdapat juga bon korporat yang dikeluarkan oleh syarikat swasta atau entiti korporat. Bon korporat menawarkan faedah tetap kepada pelabur untuk jangka masa tertentu. Pelabur boleh memilih bon korporat berdasarkan risiko dan pulangan yang dikehendaki.

Akaun Simpanan Tetap (Fixed Deposit)

Akaun simpanan tetap adalah pelaburan yang ditawarkan oleh institusi kewangan di Malaysia. Pelabur menempatkan sejumlah wang dalam akaun deposit tetap untuk jangka masa tertentu dengan kadar faedah yang tetap. Pelaburan jenis ini merupakan pilihan yang popular bagi pelabur yang mengutamakan kestabilan modal dan tidak mahu mengambil risiko yang tinggi.

jenis pelaburan risiko rendah di Malaysia

2. Pelaburan Ekuiti

Pelaburan ekuiti melibatkan pemilikan sebahagian atau keseluruhan saham syarikat. Di Malaysia, pelaburan ekuiti merupakan salah satu jenis pelaburan yang popular dalam kalangan pelabur. Terdapat beberapa pilihan pelaburan ekuiti yang tersedia – pelaburan saham biasa, saham terbitan awam (Initial Public Offering/IPO) dan dana dagangan bursa (Exchange-Traded Funds/ETF).

Saham Biasa

Ia merupakan instrumen pelaburan utama dalam pelaburan ekuiti. Ia membolehkan pelabur memiliki sebahagian kecil syarikat yang diperdagangkan di pasaran saham. Keuntungan dari pelaburan saham dijana dari pertumbuhan harga saham dan pembayaran dividen. Namun begitu, pelabur terdedah risiko turun naik harga saham dan ketidakpastian dalam prestasi syarikat.

Saham Terbitan Awam (IPO)

Ia merujuk pada saham syarikat yang dijual kepada orang awam. IPO biasanya menawarkan peluang untuk mendapatkan keuntungan yang signifikan jika harga saham meningkat selepas penawaran awam.

Dana Dagangan Bursa (ETF)

Pelaburan kolektif yang didagangkan di bursa saham. ETF menjejaki indeks pasaran saham atau sektor tertentu, membolehkan pelabur mendapatkan paparan kepada pelbagai jenis saham dengan satu pembelian. ETF menawarkan kepelbagaian risiko dan fleksibiliti dalam perdagangan.

3. Pelaburan Hartanah

Pelaburan hartanah adalah salah satu bentuk pelaburan yang popular dan dianggap sebagai aset jangka panjang di Malaysia. Ia melibatkan pembelian, pemilikan dan pengurusan harta tanah untuk tujuan menghasilkan pendapatan atau keuntungan melalui:

  • Penyewaan;
  • Peningkatan nilai hartanah, atau kedua-duanya.

Terdapat beberapa jenis pilihan pelaburan hartanah yang tersedia di Malaysia – hartanah kediaman, hartanah komersial, dan Amanah Pelaburan Hartanah (Real Estate Investment Trust/REIT).

Hartanah Kediaman

Hartanah kediaman merujuk kepada rumah, kondominium, pangsapuri atau rumah pangsa yang digunakan untuk tujuan tinggal. Pelabur boleh membeli hartanah kediaman sebagai pelaburan jangka panjang atau untuk disewakan kepada penyewa. Pendapatan diperoleh melalui bayaran sewa dan keuntungan melalui kenaikan nilai hartanah.

Hartanah Komersial

Hartanah komersial merangkumi bangunan seperti pejabat, pusat beli-belah, kilang, hotel atau bangunan komersial lain yang digunakan untuk tujuan perniagaan. Pelabur dapat menyewakan hartanah komersial kepada penyewa perniagaan sekali gus menghasilkan pendapatan tetap.

Keuntungan juga boleh diperoleh melalui kenaikan nilai hartanah serta potensi pembangunan dan kemajuan hartanah di masa depan.

Amanah Pelaburan Hartanah

Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) adalah instrumen pelaburan yang membolehkan pelabur memiliki bahagian dalam portfolio hartanah yang besar. REIT biasanya memiliki dan menguruskan hartanah komersial yang menghasilkan pendapatan sewaan. Pelabur dapat membeli unit REIT dan menerima pendapatan secara berkala dalam bentuk dividen.

jenis pelaburan: pelaburan alternatif seperti pelaburan emas dan Cryptocurrency

4. Pelaburan Alternatif

Pelaburan alternatif merujuk kepada jenis pelaburan yang tidak termasuk dalam kategori pelaburan tradisional seperti saham, bon atau hartanah. Pelaburan alternatif dapat memberikan peluang kepada pelabur untuk menghasilkan keuntungan yang tinggi. Namun begitu, dalam masa yang sama ia turut melibatkan risiko pelaburan yang lebih tinggi.

Di Malaysia, terdapat beberapa jenis pelaburan alternatif yang semakin mendapat perhatian antaranya pelaburan emas dan mata wang kripto.

Pelaburan Emas dan Logam

Emas dan logam berharga adalah pelaburan alternatif yang dikenali sebagai “pelindung nilai” lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang tidak stabil. Pelabur dapat membeli emas untuk melindungi nilai kekayaan daripada inflasi dan ketidakstabilan mata wang. Harga emas dan logam biasanya dipengaruhi oleh penawaran dan permintaan serta faktor-faktor geopolitik.

Mata Wang Kripto

Mata wang kripto seperti Bitcoin dan Ethereum kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pelabur. Pelabur dapat membeli dan berdagang mata wang kripto melalui platform pertukaran kripto yang ada di Malaysia. Walaupun mata wang kripto menawarkan potensi keuntungan yang tinggi, ia juga melibatkan ketaktentuan (volatility) harga yang tinggi.

5. Unit Amanah

Unit Amanah merupakan satu jenis pelaburan yang membolehkan individu untuk melabur dalam portfolio sekuriti yang dikelola secara kolektif oleh syarikat pengurusan dana. Portfolio ini merangkumi saham, bon, instrumen pasaran wang dan aset lain. Selain itu, pengurusan portfolio juga dijalankan oleh profesional dalam bidang berkaitan.

Di Malaysia, Unit Amanah telah menjadi pilihan popular dalam kalangan pelabur yang mencari kepelbagaian dalam pengurusan pelaburan. Unit Amanah menawarkan akses kepada kepelbagaian. Maksudnya, anda sebagai pelabur boleh mengakses kepada pelbagai kelas aset dan saham yang sukar untuk dilakukan jika anda melabur secara individu.

Buat Persediaan dengan Teliti Sebelum Memulakan Pelaburan

Sebelum anda membuat pelaburan, pastikan anda melakukan persediaan yang sewajarnya. Jika tiada persediaan yang lengkap dilakukan, ia mungkin tidak memberi impak kewangan jangka masa panjang yang ketara. Ada beberapa persediaan yang anda boleh lakukan, iaitu:

1. Pastikan Aliran Tunai (Cashflow) Bulanan Mempunyai Lebihan

Jika anda mempunyai cashflow yang terhad, elakkan daripada melabur dahulu. Fokus untuk memperbaiki aliran tunai setiap bulan terlebih dahulu. Pelaburan adalah untuk tempoh jangka panjang dan ia bukanlah skim cepat kaya yang menjanjikan keuntungan serta-merta.

2. Jangan Usik Tabung Kecemasan

Simpanan kecemasan hanyalah untuk kegunaan kecemasan sahaja – kereta tiba-tiba rosak tepi jalan dan sebagainya. Elakkan guna tabung kecemasan anda bagi tujuan pelaburan. Bayangkan anda melabur guna duit simpanan kecemasan dan pelaburan mengalami kerugian, ia semestinya akan memberi kesan pada simpanan anda.

3. Kenal Pasti Risiko Setiap Pelaburan

Setiap pelaburan yang anda pilih ada risikonya yang tersendiri. Untuk minimumkan impak risiko, anda boleh pertimbangkan pelaburan risiko rendah. Apa yang penting, sesuaikan pilihan pelaburan dengan keadaan kewangan anda untuk mengelakkan anda daripada terbeban dengan komitmen bulanan yang tinggi.

jenis pelaburan: pelaburan risiko rendah menjadi pilihan kerana risiko yang ditawarkan berskala sederhana

Lakukan Strategi Pelaburan yang Betul untuk Maksimumkan Keuntungan

Setiap jenis pelaburan yang anda pilih sudah semestinya ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Oleh sebab itu, anda perlu pastikan anda pilih jenis pelaburan yang menepati keperluan dan matlamat jangka panjang anda. Lakukan penilaian risiko – nilai sendiri baik buruk pelaburan pilihan anda.

Secara asasnya, risiko pelaburan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Namun begitu, anda boleh meminimumkan kerugian pelaburan anda dengan mengamalkan strategi pelaburan yang betul. Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60