7 Cara Paling Efektif Kurangkan Hutang Komitmen Bulanan

Kali terakhir diperbaharui May 15, 2023 oleh Hariz Hafiz
7 Cara Paling Efektif Kurangkan Hutang Komitmen Bulanan

Pernahkah anda berdepan situasi gaji masuk hujung bulan, kemudian miskin balik setelah bayar semua komitmen bulanan seperti sewa rumah, bil air, hutang pinjaman pendidikan PTPTN, bayaran balik kad kredit, hutang loan kereta dan sebagainya. Secara asasnya, komitmen bulanan yang tinggi dan tidak dikawal boleh menjadi beban kewangan kepada anda jika tidak dirancang dengan baik.

Komitmen Hutang Melebihi Pendapatan Bulanan, Cara Berkesan Minimumkan Komitmen Bulanan

Pinjaman peribadi dan hutang kad kredit merupakan antara hutang jahat yang perlu dielakkan. Kedua-dua kategori hutang ini tertakluk pada kadar faedah yang tinggi. Jika tidak dikawal, komitmen ini boleh menyebabkan anda terbeban dengan bayaran ansuran bulanan yang tinggi untuk tempoh yang lama.

Ramai golongan muda khususnya memilih untuk membuat pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit tanpa disiplin yang ketat. Ada yang gunakannya sebagai jalan mudah untuk berbelanja semasa melancong ke luar negara, renovate rumah atau beli-belah barangan mewah untuk kepuasan sendiri.

Akibatnya, mereka berbelanja melebihi kemampuan untuk bayar balik pinjaman, mencapai tahap maksimum hutang dan akhirnya terbeban dengan bayaran ansuran bulanan yang tinggi. Bagi anda yang sudah terjebak dengan hutang jahat, berikut tujuh cara yang boleh anda lakukan untuk kurangkan komitmen bulanan anda:

1. Lakukan Penilaian Situasi Kewangan

Nilai situasi kewangan semasa anda – penilaian ini secara tidak langsung memberi gambaran sebenar situasi kewangan anda. Senaraikan semua perbelanjaan atau komitmen bulanan anda termasuk hutang pinjaman pendidikan, kos sara hidup, sewa dan utiliti dan sebagainya.

Daripada situ, anda boleh asingkan wang perbelanjaan untuk komitmen anda, dan sebarang lebihan wang yang ada boleh digunakan untuk membuat bayaran komitmen bulanan anda.

Dengan cara ini, anda dapat ketahui jumlah komitmen bulanan, jenis pinjaman dan jadual pembayaran balik pinjaman sedia ada dengan lebih baik. Maklumat-maklumat ini penting dalam membantu anda memikirkan alternatif terbaik untuk kurangkan komitmen bulanan.

2. Sediakan Pelan Kewangan, Kurangkan Komitmen Bulanan

Bagi mengurangkan komitmen bulanan, anda perlu asingkan pendapatan bulanan. Beri fokus pada mana-mana pinjaman kewangan yang memberi impak yang lebih besar. Dalam erti kata lain, beri tumpuan kepada pinjaman dengan kadar faedah dan tunggakan yang lebih tinggi.

Selain itu, kurangkan penggunaan kad kredit untuk mengelakkan anda terjebak atau menambah hutang baharu. Perbelanjaan yang tidak dikawal boleh meningkatkan risiko bankrap atau muflis.

Sebagai contoh, jika anda guna kad kredit tanpa kawalan dan anda hanya bayar amaun minimum kad kredit setiap bulan – ia akan menjadi beban kewangan yang berat. Baki hutang atau komitmen bulanan anda akan bertambah disebabkan kadar faedah kad kredit yang dikenakan ke atas baki hutang biasanya lebih tinggi.

3. Berbincang dengan Pemberi Pinjaman

Anda juga boleh berbincang dengan pemberi pinjaman atau pihak bank untuk mencari penyelesaian terbaik dalam mengurangkan komitmen bulanan anda. Anda boleh mempertimbangkan penyatuan hutang atau menyusun semula jadual pembayaran bulanan (refinance pinjaman).

Jika perlu, anda boleh mendapatkan pinjaman peribadi daripada bank atau koperasi yang menawarkan kadar faedah yang lebih rendah berbanding pinjaman sedia ada anda. Cara ini dapat membantu menyelesaikan baki pinjaman kewangan kerana semua baki pinjaman akan disatukan ke dalam satu akaun dan komitmen bulanan anda akan dapat dikurangkan.

Teknik ini yang juga dikenali sebagai overlap pinjaman peribadi membolehkan peminjam berunding dengan pemberi pinjaman untuk kurangkan beban kewangan setiap bulan.

Rancang komitmen bulanan untuk elakkan terbeban dengan hutang yang tinggi

4. Tentukan Keperluan dan Kehendak

Kenal pasti komitmen bulanan anda – tentukan yang mana satu keperluan atau kehendak. Secara asasnya, cara paling efisien untuk kurangkan komitmen bulanan adalah dengan meminimumkan perbelanjaan keperluan dan mengurangkan perbelanjaan kehendak.

Langganan rancangan television berbayar atau sarapan di kedai kopi mahal mungkin perlu dikurangkan bagi mengukuhkan lagi situasi kewangan anda.

Sebagai contoh, jika anda peruntukkan sebahagian besar belanja anda untuk kopi setiap pagi, cuba kurangkan kepada sekurang-kurangnya empat kali sebulan. Selebihnya, buat sendiri kopi di rumah atau pejabat untuk lebih penjimatan.

5. Rendahkan Standard Gaya Hidup

Setiap sen yang anda belanjakan boleh beri kesan tidak langsung kepada keadaan kewangan anda. Lakukan langkah penjimatan dan kurangkan perbelanjaan-perbelanjaan tidak penting. Dengan cara ini, anda mungkin menyedari bahawa selama ini anda banyak berbelanja untuk perkara-perkara yang tidak penting.

Jika perbelanjaan tidak dikawal dengan baik, ia boleh menyebabkan anda terbeban dengan komitmen bulanan yang tinggi setiap bulan. Lebihan wang yang ada boleh disimpan ke dalam Tabung Haji, pelaburan risiko rendah atau deposit tetap.

Apabila anda merendahkan standard gaya hidup anda dan mengamalkan cara hidup yang lebih berjimat cermat, ia secara tidak langsung membantu menambah baik aliran keluar masuk wang anda.

6. Sediakan Simpanan Kecemasan

Secara asasnya, anda perlu sediakan simpanan kecemasan yang secukupnya. Pakar kewangan berpendapat anda perlu sediakan dana untuk simpanan kecemasan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hingga enam bulan gaji. Namun begitu, ia bergantung sepenuhnya pada kemampuan dan komitmen anda.

Sebagai contoh, jika komitmen bulanan anda adalah sebanyak RM5,000 sebulan, anda perlu miliki simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM15,000 hingga RM30,000.

Selain itu, tetapkan bajet dan pastikan anda berdisiplin dengan bajet yang ditetapkan. Ambil kira setiap perbelanjaan dan kenal pasti mana-mana perkara yang perlu dijimatkan.

Anda boleh menggunakan formula simpan duit gaji untuk membantu anda merancang kewangan dan komitmen bulanan dengan lebih baik.

7. Cari Sumber Pendapatan Lain

Selain itu, anda juga boleh mempertimbangkan kerja-kerja sambilan sebagai sumber pendapatan tambahan bagi menampung komitmen bulanan anda. Dalam era teknologi yang semakin berkembang pesat, banyak aplikasi dan medium yang boleh dimanfaatkan bagi membantu anda buat duit secara online.

Menjadi Pekerja Bebas (Freelance)

Anda boleh menawarkan kemahiran dan perkhidmatan secara online. Antara pekerjaan freelance yang biasa dilakukan seperti penulisan artikel, perkhidmatan terjemahan dan sebagainya.

Pemandu atau Penghantar Makanan e-Hailing

Aplikasi popular seperti Grab atau FoodPanda membolehkan anda menggunakan kereta atau motor anda. Anda boleh menjadi pemandu sambilan atau penghantar makanan sambilan.

Rakan Qoala: Jana Pendapatan dari Rumah

Anda juga boleh jana pendapatan tambahan dari rumah dengan menyertai Rakan Qoala. Anda hanya perlu iklankan dan terima ganjaran sehingga RM25 untuk setiap rujukan yang berjaya.

Secara asasnya, kejayaan pelan pengurangan komitmen bulanan terletak sepenuhnya di tangan anda. Pelan tindakan yang dilakukan dengan berdisiplin semestinya akan membuahkan hasil dan secara tidak langsung membantu mengurangkan beban komitmen bulanan anda.

Selain itu, jika anda sedang mencari insurans kereta, anda boleh layari laman web Qoala untuk dapatkan insurans kereta terbaik. Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia. Platform ini membolehkan anda membandingkan pelan insurans kereta daripada beberapa syarikat insurans berbeza bagi memastikan anda mendapatkan pelan insurans kereta yang sesuai dan terbaik untuk anda.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60