Kos Renovate Rumah 2024 untuk Rancang Perbelanjaan Anda

Kali terakhir diperbaharui Jan 18, 2024 oleh Shafiq Wahab
Kos Renovate Rumah 2024 untuk Rancang Perbelanjaan Anda

Renovate rumah adalah perkara biasa yang dilakukan oleh pembeli rumah. Tidak kira rumah baharu atau rumah subsale, kerja renovation rumah perlu dilakukan sama ada untuk memasang lampu dan kipas, pemasangan paip atau extend rumah dengan tambah bilik tepi rumah atau tambah rumah belakang.

Renovation Rumah: Berapa Anggaran Kos Ubahsuai Rumah 2024?

Berapa kos renovate rumah? Kos renovasi rumah berbeza-beza bergantung pada lokasi, saiz kediaman, jenis pengubahsuaian yang akan dilakukan dan perkhidmatan kontraktor anda. Sebagai contoh, kos renovate rumah kampung di Terengganu mungkin tidak sama dengan kos ubah suai rumah teres di Kuala Lumpur.

Begitu juga dengan kos renovate rumah teres 2 tingkat tidak sama dengan kos renovate rumah teres setingkat dan kos renovate rumah flat.

Berapa Banyak yang Perlu Diperuntukkan untuk Renovate Rumah?

Bergantung pada jenis pengubahsuaian yang dilakukan dan material yang digunakan, harga renovation rumah anda mungkin menjadi lebih mahal. Namun begitu, anda boleh rujuk anggaran kos renovate rumah seperti yang disediakan di bawah sebagai panduan.

Unjuran harga ini adalah berdasarkan anggaran kos renovasi kondominium bersaiz purata antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi.

Anggaran Kos Renovate Rumah yang Anda Perlu Tanggung

Renovate Rumah Kos Rendah (RM20,000 hingga RM30,000)

Cost renovate rumah ini termasuk lekapan asas, lukisan pelan dan kerja basah kecil seperti siling plaster, sistem paip termasuk renovation dapur bersaiz sederhana/kecil seperti pemasangan kabinet ringkas, dan almari pakaian kecil.

Kos Renovate Rumah Bajet Sederhana (RM31,000 hingga RM60,000)

Kos ubah suai rumah ini merangkumi semua perkara merangkumi kerja basah (wet works) seperti merobohkan dinding (termasuk kos pecah dinding dapur), pemasangan almari pakaian dan kabinet dapur serta pemasangan lantai lamina/vinil.

Kos Renovation Bajet Tinggi (RM60,000 dan ke atas)

Anggaran kos renovate rumah ini merangkumi semua perkara di atas termasuk kerja menaik taraf perkara asas seperti pendawaian elektrik, paip dan tandas. Ini juga antara kos yang perlu ditanggung jika anda membeli kondo lama yang memerlukan lebih banyak kerja asas.

Secara asasnya, anda perlu peruntukkan sekitar RM3,000 hingga RM10,000 (atau mungkin lebih bergantung keadaan) untuk kerja elektrik dan kerja paip bagi sebuah rumah. Kadar upah kontraktor am pula sekitar 10 hingga 15 peratus daripada bajet keseluruhan perbelanjaan. Kos-kos ini tidak termasuk peralatan elektrik seperti lampu dan kipas.

Berapa Banyak yang Perlu Diperuntukkan untuk Renovate Mengikut Ruang Termasuk Kelengkapan Rumah?

Kadangkala, rumah yang baru beli tidak mempunyai kelengkapan yang lengkap atau memerlukan sedikit upgrade. Oleh sebab itu, anda mungkin perlu bersedia untuk membelanjakan wang untuk kos-kos renovasi berkaitan. Berikut adalah anggaran harga renovation bahagian rumah yang perlu dipertimbangkan:

Rumah Renovation: Anggaran Kos Kerja-kerja Basah (Wet Works)

Sekiranya proses renovasi melibatkan kerja-kerja basah (wet works), anda mungkin perlu peruntukkan tambahan RM10,000 hingga RM20,000 bergantung pada saiz, jenis bahan/barangan serta lokasi rumah anda. Sekiranya anda ingin ketahui anggaran kos sambung belakang rumah atau kos extend depan rumah atau renovate depan rumah, berikut panduan harga renovate rumah per kaki persegi untuk rujukan anda.

Andaikan anda ingin extend bahagian dapur rumah anda dengan lebar 20 kaki dan panjang 10 kaki, dengan anggaran kos renovasi setiap kaki persegi adalah RM130.

    • Luas tapak (20 kaki lebar x 10 kaki panjang) X Harga sekaki persegi = Harga renovasi rumah
    • 200 kaki persegi X RM130 sekaki persegi = RM26,000

Kos Renovate Dapur

Jika dapur rumah anda memerlukan kerja-kerja renovasi, pertimbangkan kos renovation dapur sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 untuk kerja-kerja pendawaian tambahan. Harga renovate dapur ini tidak termasuk kos kabinet dapur sekitar RM5,000 hingga RM15,000 bergantung pada material yang digunakan.

Renovate Ruang Tamu

Semasa proses rumah renovate, ramai yang memilih untuk lakukan ubah suai di bahagian ruang tamu. Biasanya, kos yang terlibat merangkumi kos utama seperti pemasangan lampu, kipas dan penyaman udara. Kos upah yang dikenakan mungkin antara RM500 hingga RM2,000 bergantung pada bilangan lampu dan point tambahan yang diperlukan.

Harga renovasi ini tidak termasuk upah pemasangan siling plaster antara RM1,000 hingga RM3,000 bergantung pada saiz ruang. Jika melibatkan pemasangan kabinet custom, kos ini mungkin akan bertambah bergantung pada material kabinet yang digunakan.

Jika melibatkan tempahan dan pemasangan langsir, kos sekitar RM300 hingga RM1,000 (untuk langsir full-height).

Kos Tambah Bilik Tidur

Kos pemasangan lampu dan siling plaster dikenakan bergantung pada saiz ruang – sekitar RM500 hingga RM1,000. Kos buat bilik tidur merangkumi pemasangan almari pakaian (sekitar RM1,000 hingga RM3,000) atau mungkin lebih jika saiz almari lebih besar atau material yang lebih mahal digunakan.

Jika melibatkan tempahan dan pemasangan langsir, kos sekitar RM300 hingga RM1,000 (untuk langsir full-height).

Nota Editor: Semua kos renovate rumah yang dinyatakan dalam artikel adalah anggaran semata-mata. Kos ubah suai rumah boleh dipengaruhi oleh faktor seperti kos bahan mentah, kos upah pekerja, kualiti kerja, jenis bahan digunakan, lokasi, jenis rumah dan kadar tukaran wang asing.

Untuk pengalaman terbaik, minta quotation renovation rumah daripada sekurang-kurangnya tiga kontraktor sebelum anda buat keputusan.

kesalahan ubahsuai rumah yang perlu dielakkan untuk kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu

9 Kesalahan Ubahsuai Rumah yang Perlu Dielakkan Semasa Renovate Rumah

Bagi anda yang pertama kali terlibat dalam proses renovation rumah, penting untuk anda tahu kesalahan ubahsuai rumah yang perlu dielakkan. Sekiranya anda tersilap langkah dan percaturan, ia boleh beri kesan langsung terutamanya kepada kewangan dan emosi anda. Berikut sembilan kesalahan ubah suai rumah yang anda perlu elakkan:

1. Tidak Membuat Kajian atau Research yang Cukup

Sebelum mula renovate rumah, anda disarankan untuk buat research yang secukupnya. Dapatkan informasi secukupnya sebelum memulakan proses renovation rumah – anggaran kos ubahsuai rumah seperti kos pecah dinding rumah, kos extend dapur dan sebagainya.

Dengan pengetahuan yang mencukupi tentang hal-hal renovet rumah, ia dapat elakkan diri anda daripada ditipu kontraktor. Ada sesetengah kontraktor yang suka mengambil kesempatan ke atas pelanggan yang tidak berpengetahuan tentang kos renovation rumah.

2. Pilih Kontraktor yang Menawarkan Pakej Renovation Rumah Murah

Dalam hal berkaitan pengubahsuaian rumah, banyak penilaian yang perlu dibuat sebelum buat sesuatu keputusan. Penting untuk anda tahu harga renovate rumah murah bukanlah satu-satunya perkara yang perlu diberi perhatian.

Dapatkan Senarai Sebut Harga Dahulu

Semasa anda memilih kontraktor, kaji dengan teliti sebut harga yang diberikan. Jika boleh, dapatkan sebut harga daripada beberapa kontraktor supaya anda boleh membuat perbandingan. Dengan cara ini, anda boleh pilih pakej renovate rumah yang menawarkan harga yang terbaik.

Upah Kontraktor Berlainan untuk Ruang Berbeza

Cara ini membolehkan anda mendapatkan idea dan harga upah yang berbeza-beza untuk setiap ruang yang perlu diubah suai. Sebagai contoh, tidak semua kontraktor rumah ada kemahiran untuk renovate rumah teres. Anda perlu pastikan kontraktor yang dipilih ada pengalaman dan kemahiran untuk elakkan kerja ala kadar dan asal siap.

Selidik Dahulu Sebelum Setuju

Jangan senang-senang termakan dengan janji-janji manis kontraktor. Buat research di internet atau tanya pendapat kenalan yang berpengalaman untuk elakkan anda berbelanja melebihi bajet yang ditetapkan.

Tak semua perkara yang dicadangkan oleh kontraktor sesuai dengan rumah anda. Pertimbangkan kelebihan dan kekurangan sesuatu cadangan itu sebelum membuat keputusan.

3. Tidak Bersedia dengan Kos Renovate Rumah Luar Jangka

Apabila reno rumah, adakalanya kos pengubahsuaian rumah melebihi budget renovate rumah yang ditetapkan. Situasi ini biasanya berlaku disebabkan oleh beberapa faktor antaranya ada kerosakan tersembunyi, struktur binaan tidak selamat, bumbung bocor dan sebagainya.

Situasi-situasi luar jangka ini secara tidak langsung akan meningkatkan kos ubah suai rumah. Oleh sebab itu, anda perlu bersedia dari segi kewangan untuk perbelanjaan sebegini.

Peruntukkan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 peratus daripada anggaran kos ubahsuai rumah keseluruhan untuk situasi luar jangka sebegini. Anda semestinya tidak mahu berdepan pengalaman renovate rumah berhenti separuh jalan disebabkan tiada bajet renovate rumah.

4. Ubah Suai Kesemua Ruang Rumah Sekaligus

Jangan terburu-buru untuk ubah suai kesemua bahagian rumah anda sekaligus. Seeloknya, fokus kepada beberapa bahagian tertentu terlebih dahulu. Contohnya, extend ruang tamu dan dapur rumah terlebih dahulu sebelum beralih kepada bahagian ruang lain dalam rumah seperti bilik tidur dan tandas.

Sekiranya anda mahu kontraktor anda buat semua ruang sekaligus dalam satu-satu masa, kualiti hasil kerja yang diterima mungkin tidak memuaskan.

5. Tidak Tetapkan Lokasi Pendawaian Elektrik

Sebelum memulakan kerja pendawaian elektrik semasa renovate rumah, anda perlu sediakan pelan wiring mengikut keperluan rumah anda. Kalau tidak dilakukan dengan betul, pendawaian elektrik yang tidak baik boleh menyebabkan terjadi lintar pintas sehingga sebabkan kebakaran rumah.

Jika boleh, pastikan kerja pendawaian elektrik dilakukan oleh jurutera elektrik atau individu yang bertauliah dan berpengalaman. Ia bagi memastikan proses wiring dibuat dengan betul dan selamat.

Penting juga untuk anda tentukan kedudukan soket yang perlu ditambah, dan jumlah soket yang sesuai untuk kediaman anda. Rancang dengan betul soket untuk peralatan elektrik dalam rumah seperti lampu, kipas, penghawa dingin, pemanas air dan lain-lain.

kos renovate rumah: anggaran kos ubahsuai rumah 2023

6. Pilih Material Murah dan Tidak Berkualiti

Bagi kebanyakan orang, cara terbaik untuk jimatkan kos ubahsuai rumah adalah dengan menggunakan bahan-bahan murah dan tidak berkualiti. Namun begitu, cara ini semestinya akan beri kesan kepada kewangan anda untuk jangka masa panjang.

Biasanya, produk atau bahan binaan yang lebih murah cenderung berkualiti rendah dan tak akan bertahan lama. Akibatnya, anda mungkin terpaksa keluarkan duit lain untuk ganti dengan yang baru pada masa akan datang.

Pemilihan produk dan material terbaik yang digunakan untuk renovation rumah boleh meningkatkan nilai pasaran rumah dan kualitinya mampu bertahan lama sehingga bertahun-tahun.

7. Ubah Fikiran Banyak Kali

Semasa kerja-kerja renovasi rumah sedang dijalankan, anda mdisarankan untuk membuat pemantauan. Dengan cara ini, anda boleh memastikan kerja-kerja renovasi dilakukan dengan betul menepati citarasa dan kehendak anda.

Tidak salah untuk anda meminta kontraktor buat sedikit perubahan pada design akhir rumah anda. Tetapi, janganlah terlalu lambat atau banyak sehingga lari jauh daripada design asal.

Walaupun anda mungkin rasa permintaan anda itu simple sahaja, anda mungkin akan mengganggu projek dan secara tidak langsung meningkatkan kos renovate rumah apartment baru anda.

8. Beri Ukuran Tidak Tepat

Ukuran dalam rekaan memainkan peranan penting yang perlu diberi perhatian semasa kerja-kerja renovation rumah. Ia juga merupakan perkara asas dalam menetapkan harga, pengurusan bahan dan sumber-sumber yang lain.

Katakanlah anda sudah siap pasang kabinet dapur, dan kemudian cuba masukkan peti sejuk yang baru dibeli. Anda mendapati peti sejuk tu tidak muat untuk diletakkan pada kabinet dapur disebabkan ukuran kurang tepat.

Ia semestinya akan meningkatkan kos untuk mengubah rekaan ini. Jadi, pastikan anda ambil ukuran dengan betul dan jika perlu, dan dapatkan bantuan pakar dalam proses ini.

9. Tidak Dapat Kelulusan Permit

Bab permit ini memang ramai yang terlepas pandang atau tidak ambil peduli. Anda disarankan untuk dapatkan persetujuan terlebih dahulu sebelum memulakan proses reno rumah. Untuk hartanah bertanah (landed property), anda perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Manakala untuk hartanah berstrata pula, anda perlu dapatkan kebenaran daripada badan pengurusan. Biasanya, pihak pengurusan akan meminta deposit sebelum proses renovation bermula sebagai jaminan kepada kerja-kerja ubahsuai rumah yang akan dijalankan.

Wang deposit ini akan dikembalikan sebaik sahaja proses pengubahsuaian selesai, tertakluk pada situasi terbukti tidak melanggar mana-mana peraturan pembangunan.

Apa Berlaku Jika Renovate Rumah Tanpa Permit?

Sekiranya anda memiliki hartanah bertanah dan tidak mendapat kebenaran pengubahsuaian rumah, pihak berkuasa tempatan berhak meruntuhkan atau memusnahkan sebarang pengubahsuaian rumah tanpa permit. Caj untuk kerja-kerja meruntuhkan atau memusnahkan ini perlu ditanggung oleh anda!

Sekiranya anda tinggal di hartanah strata dan melakukan renovation rumah tanpa kebenaran, anda boleh dikenakan denda oleh pihak pengurusan mengikut Akta Pengurusan Strata 2013 (Peraturan Penyelenggaraan dan Pengurusan 2015).

Adakah Sah Proses Jual Beli Hartanah Jika Renovation Rumah Dilakukan Tanpa Kebenaran?

Secara teknikal, sukar untuk anda jual rumah jika bakal pembeli meminta surat kebenaran pihak berkuasa berkaitan ubah suai. Katakan anda berdepan situasi rumah yang dibeli melakukan proses ubah suai rumah yang tidak sah dan anda hanya ketahuinya selepas membeli hartanah tersebut.

Sebagai pembeli, anda tertakluk pada tindakan untuk meruntuhkan atau meminta kebenaran retrospektif. Situasi ini secara tidak langsung memberi impak kepada kewangan anda untuk bina semula atau perlu tanggung kos meruntuhkan binaan.

Bagi penjual atau pemilik rumah pula, anda disarankan untuk dapatkan dokumentasi rasmi. Ini bagi membuktikan kerja-kerja renovasi dilakukan mengikut peruntukan dan peraturan sedia ada. Ia juga bagi mengelakkan anda berdepan situasi sukar untuk menjual hartanah anda.

Adakah Insurans Rumah Menawarkan Perlindungan Sekiranya Kemalangan Terjadi Semasa Renovate Rumah?

Secara asasnya, tuntutan insurans rumah ini boleh dilakukan bergantung pada situasi dan keadaaan. Jika proses renovate rumah lama dilakukan dengan permit, mematuhi had renovasi dan syarat-syarat lain, ia semestinya tidak menjadi masalah untuk buat tuntutan.

Jika berlaku kemalangan seperti kebakaran atau rumah runtuh, pihak insurans akan membuat siasatan secara menyeluruh. Sekiranya anda gagal menunjukkan permit atau kelulusan, syarikat insurans berkemungkinan besar menafikan tuntutan anda. Akibatnya, anda terpaksa mengeluarkan duit dari poket sendiri untuk cover kos pembaikan dan kerosakan yang berlaku.

Kegagalan mendapatkan permit boleh menjejaskan perlindungan insurans anda. Oleh sebab itu, langkah paling selamat yang anda perlu lakukan sebelum reno rumah adalah dapatkan permit. Ia membuktikan yang anda mempunyai kelulusan untuk menjalankan projek renovate rumah.

kos permit ubahsuai rumah yang perlu anda tahu

Renew Insurans Rumah di Qoala untuk Perlindungan Tambahan dan Ketenangan Fikiran

Apabila anda mahu ubahsuai kediaman anda, jangan buat keputusan terburu-buru. Buat pertimbangan sewajarnya –banyak duit yang anda perlu keluarkan untuk renovate rumah. Jadi, pastikan anda tidak buat kesilapan renovasi rumah yang yang boleh beri kesan kepada kewangan anda.

Tidak dapat dinafikan, kos renovate rumah boleh menelan belanja yang tinggi, lebih-lebih lagi jika banyak perkara yang perlu dilakukan. Oleh sebab itu, penting untuk anda membuat perancangan kewangan dengan teliti. Jika perlu, sediakan tabung simpanan khas untuk renovation rumah – itu lebih baik daripada berhutang!

Tak salah berbelanja untuk rumah sendiri, asalkan tidak berlebihan sehingga perlu membuat pinjaman peribadi. Jadilah pengguna yang bijak dengan berbelanja secara berhemah. Selain itu, sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan insurans rumah terbaik, layari laman web Qoala untuk info lanjut.

Qoala merupakan platform pembaharuan dan perbandingan insurans paling popular di Malaysia. Anda boleh dapatkan perlindungan insurans rumah yang komprehensif dengan selamat dan mudah pada harga yang berpatutan.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60