4 Kerosakan Rumah yang Perlu Diperiksa Sebelum Beli Rumah Subsale

Kali terakhir diperbaharui May 15, 2023 oleh Hariz Hafiz
4 Kerosakan Rumah yang Perlu Diperiksa Sebelum Beli Rumah Subsale

Keadaan semasa atau kerosakan rumah merupakan aspek penting yang perlu diambil kira sebelum beli rumah subsale. Tidak kira sama ada anda sedang meninjau pasaran rumah atau berkira-kira nak beli rumah pertama, anda perlu meneliti aspek kerosakan rumah. Hal ini penting ini untuk elakkan anda daripada terbeli rumah yang rosak teruk dan memerlukan belanja renovate rumah yang tinggi.

Ambil Kira Faktor Penting Ini Semasa Nak Beli Rumah Subsale untuk Elak Kerosakan Rumah Serius

Pembelian rumah subsale secara asasnya tidak tertakluk pada manfaat tempoh liabiliti kontrak atau property defect period. Ini bermaksud, pembeli rumah subsale tidak boleh membuat tuntutan ke atas pemaju hartanah sekiranya rumah dibeli tidak berada dalam keadaan baik atau tidak memuaskan.

Oleh sebab itu, proses beli rumah subsale sedikit berbeza dengan proses beli rumah undercon seperti rumah mampu milik. Ini kerana, anda perlu periksa kerosakan rumah yang ingin dibeli dengan teliti sebelum menandatangani sebarang perjanjian pinjaman rumah.

1. Kerosakan Rumah: Masalah Air

Anda perlu beri perhatian serius sekiranya rumah subsale yang ingin dibeli ada isu kerosakan rumah seperti masalah air. Masalah air bukan sahaja boleh beri kesan pada siling atau lantai rumah, tetapi boleh menyebabkan kerosakan pada perabot dan peralatan dalam rumah.

Sebelum beli rumah subsale, beri tumpuan pada perkara berikut semasa memeriksa kerosakan ini:

Lantai Rumah

Lantai merupakan ruang yang paling besar di dalam rumah anda. Dalam erti kata lain, ia lebih terdedah kepada risiko kerosakan atau lusuh. Malah, kerosakan lantai rumah ini akan bertambah buruk sekiranya anda mengheret perabot atau menjatuhkan objek berat di atas lantai.

Oleh sebab itu, anda perlu ambil kira jenis lantai rumah yang dibeli. Lantai rumah perlu mempunyai ciri yang berkualiti dan tahan lama. Sebagai contoh, jika lantai rumah anda diperbuat daripada kayu, ia mungkin terdedah kepada risiko kayu reput atau diserang anai-anai.

Lantai yang kukuh dan terjaga secara tidak langsung boleh meningkatkan nilai jualan semula (resale value) rumah anda.

Kerosakan Rumah: Kebocoran Bilik Air

Bagi mengetahui sama ada ada kebocoran dalam bilik air rumah anda, anda juga dinasihatkan untuk lakukan water ponding test. Tutup lubang saluran, buka paip dan biarkan air mengalir sehingga memenuhi ruang bilik air.

Biarkan untuk seketika – jika ada kebocoran pada bilik air, air akan mula mengering. Malah, kesan air juga akan jelas kelihatan pada bahagian siling rumah.

Jika perlu, dapatkan khidmat pemeriksaan daripada pakar pemeriksaan yang terlatih untuk mendapatkan pandangan yang lebih profesional.

Siling Rumah

Jika ada kebocoran atau kerosakan pada bilik air rumah anda, kesan kebocoran atau kesan air boleh dilihat dengan jelas. Biasanya melalui perubahan warna siling rumah atau wujud tompok kekuningan pada siling.

Biasanya, masalah kebocoran siling berlaku berpunca daripada:

    1. Air hujan;
    2. Kelemahan sistem perpaipan;
    3. Masalah waterproofing dan sebagainya.

Kerosakan Rumah: Jubin Lantai

Periksa kualiti pemasangan jubin di bahagian dalam dan luar rumah. Pemasangan jubin yang tidak mengikut spesifikasi boleh mendatangkan masalah kepada pembeli.

Cuba ketuk permukaan dengan batang besi atau duit syiling. Jika bunyi yang terhasil tidak padat atau kosong, ini bermaksud jubin lantai perlu dibaiki dengan segera. Ini kerana, lama-kelamaan ia boleh pecah disebabkan tekanan atau objek berat.

Jika ini berlaku, anda mungkin perlu menggantikan jubin lantai yang baharu yang semestinya akan menambahkan kos pembaikan rumah anda.

2. Serangga Perosak

Serangga perosak seperti anai-anai boleh dikatakan musuh utama binaan terutamanya rumah yang diperbuat daripada kayu. Meskipun serangga ini bersaiz kecil, anai-anai jika dibiarkan boleh merosakkan dan menjejaskan struktur bangunan.

Anai-anai biasanya akan menyerang kawasan rumah melalui bahagian jurang antara lantai, dinding atau retakan pada dinding dan akan merosakkan bahagian dalaman struktur.

Tanda-tanda Rumah Ada Anai-anai

Sukar untuk anda menyedari serangan anai-anai pada rumah anda. Apabila anda menyedarinya, ia mungkin sudah terlambat dan struktur atau barangan anda sudah rosak dek anai-anai. Oleh sebab itu, penting untuk anda peka dengan keadaan di sekeliling rumah. Berikut merupakan antara tanda-tanda rumah anda diserang oleh anai-anai:

    1. Warna pada kerangka pintu, tingkap atau lantai mula berubah;
    2. Ada laluan anai-anai yang muncul keluar dari perabot kayu atau kerangka pintu dan tingkap;
    3. Ada kelekatu berterbangan – kehadiran kelekatu biasanya dikaitkan dengan sarang anai-anai;
    4. Ada rekahan atau lubang dengan timbunan halus berpasir.

Secara asasnya, serangan serangga perosak seperti anai-anai boleh menjadi punca kerosakan rumah yang memerlukan kerja-kerja pembaikan yang serius. Ambil kira perkara-perkara sebegini untuk elakkan anda daripada menanggung kos pembaikan dan kerosakan rumah yang tinggi.

Beli Rumah Subsale: Apa Kerosakan Rumah yang Perlu Diperiksa

3. Kerosakan Rumah: Sistem Perpaipan

Sama seperti beli kereta terpakai yang memerlukan anda untuk test drive kereta pilihan anda, proses beli rumah terpakai atau rumah subsale juga melibatkan proses yang hampir sama. Anda perlu uji dan rasai sendiri pengalaman bagi memastikan anda membuat pilihan yang betul dan terbaik.

Sebagai contoh, bagi memastikan sistem perpaipan rumah yang ingin dibeli berada dalam keadaan baik, uji satu-persatu saluran air bagi memastikan ia berfungsi dengan sempurna. Ini bermaksud, anda perlu buka setiap paip, tarik pam mangkuk tandas dan pancuran mandi yang ada di setiap penjuru rumah anda.

Masalah paip atau saluran tersumbat merupakan masalah biasa yang sering dilalui oleh pembeli rumah subsale. Oleh sebab itu, anda perlu beri perhatian khusus akan aspek ini. Biasanya, kos pembaikan sistem perpaipan rumah menelan belanja yang agak tinggi dan mahal.

4. Pendawaian Elektrik

Selain itu, salah satu aspek kerosakan rumah yang perlu diperiksa semasa beli rumah subsale ialah sistem pendawaian elektrik. Hidupkan semua suis kipas dan lampu, uji elektrik rumah dengan test pen bagi memastikan elektrik berfungsi dengan baik. Jika sistem pendawaian elektrik rumah tidak memuaskan, ia boleh menyebabkan litar pintas yang boleh menyebabkan rumah terbakar.

Jika anda mengesan mana-mana bahagian elektrik yang tidak berfungsi, segera maklumkan kepada ejen atau pemilik rumah untuk tindakan lanjut. Kebanyakan rumah subsale biasanya rumah lama, jadi wiring atau pendawaian elektrik juga berkemungkinan sudah terlalu lama. Ada sebahagiannya mungkin sudah mereput dan ada kebarangkalian kabel elektrik sedia ada telah digigit tikus dan sebagainya.

Namun begitu, jangan ambil mudah dengan masalah berkaitan elektrik. Jika anda tidak mahir dalam kerja elektrik, jangan bahayakan diri membetulkan masalah elektrik sendiri di rumah. Ini untuk mengelakkan anda daripada terkena renjatan elektrik dan dimasukkan ke hospital. Jika perlu, minta khidmat nasihat atau bantuan daripada mereka yang pakar berkaitan elektrik.

Selain itu, sekiranya anda ingin dapatkan info lanjut berkaitan insurans kebakaran rumah untuk perlindungan rumah yang komprehensif, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan insurans di Malaysia dengan tawaran perlindungan insurans rumah terbaik pada harga mampu milik.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60