8 Kos Beli Rumah Subsale yang Anda Perlu Tahu

Kali terakhir diperbaharui Nov 17, 2023 oleh Shafiq Wahab
8 Kos Beli Rumah Subsale yang Anda Perlu Tahu

Sekiranya anda sedang mencari rumah dan merancang untuk beli rumah subsale, anda wajib tahu segala maklumat berkenaan proses beli rumah subsale dan kos-kos yang terlibat semasa beli rumah. Ketahui semua perkara anda perlu tahu tentang rumah subsale seperti proses beli rumah subsale dan kos beli rumah second hand. Anda juga boleh jadikan artikel ini sebagai checklist yang anda boleh rujuk pada bila-bila masa atau semasa proses membeli rumah subsale anda nanti.

Beli Rumah Subsale atau Rumah Baru: Yang Mana Lebih Berbaloi?

Selain membeli rumah yang baru siap atau sedang dibina oleh developer rumah, membeli rumah subsale ini juga merupakan antara pilihan yang popular dalam kalangan pembeli-pembeli rumah. Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan melaporkan kira-kira 80 peratus daripada semua transaksi hartanah di Malaysia datang dari transaksi pasaran sekunder. Untuk menjawab persoalan sama ada anda patut beli rumah subsale atau beli rumah baru, pemilikan rumah adalah sangat subjektif dan ia benar-benar bergantung kepada anda. Ambil kira faktor-faktor lain seperti kewangan anda dan sebagainya sebelum beli rumah yang terbaik untuk anda. 

Apa itu Rumah Subsale?

Rumah subsale atau juga dikenali sebagai rumah second hand bermaksud sesebuah rumah itu pernah ada pemilik sebelum ini. Hartanah subsale merupakan hartanah yang dijual semula daripada pemilik sedia ada. Ini bermakna apabila anda beli hartanah subsale, anda beli secara direct daripada pemilik rumah bukan terus daripada pemaju perumahan. Rumah subsale ini dijual mungkin sebab pemilik rumah sebelum ini ingin berpindah rumah, berhijrah ke luar negara atau pelbagai lagi sebab lain. Sangat berbeza dengan rumah lelong atau rumah disita yang biasanya berlaku apabila pemilik tidak lagi mampu membayar ansurans bulanan kemungkinan disebabkan oleh faktor seperti kehilangan punca pendapatan. Apabila pendapatan terjejas, kemampuan untuk membayar ansuran bulanan akan turut tergendala. 

beli rumah subsale

8 Kos Beli Rumah Subsale yang Anda Perlu Tahu

Memang tak dinafikan, nak beli beli rumah subsale ini merupakan satu keputusan yang sangat penting dan ia boleh jadi sesuatu yang menggerunkan sekiranya anda tidak mempunyai ilmu dan maklumat hartanah yang mencukupi. Sama ada anda mahu beli rumah pertama atau ini merupakan kali pertama anda nak beli rumah subsale, maklumat dalam artikel ini boleh membantu memudahkan urusan dan juga dalam masa yang sama mengelakkan anda daripada ditipu.

Secara umumnya, rumah subsale memerlukan perbelanjaan yang lebih besar kerana ia melibatkan bayaran upfront yang tinggi. Berikut lapan kos beli rumah subsale untuk rujukan dan panduan anda.

1. Booking Fee atau Yuran Tempahan Sebanyak 3.18 Peratus

Perkara pertama yang anda perlu lakukan untuk memulakan proses beli rumah subsale ialah anda perlu menyediakan yuran tempahan iaitu sebanyak 3.18% daripada harga rumah subsale yang anda mahu beli. Wang ini akan dibayar kepada ejen rumah yang menguruskan proses jual beli ini. Kemudian, anda akan diberikan booking form rumah yang anda perlu isi untuk memohon pinjaman perumahan. Katakanlah rumah subsale yang anda nak beli ini bernilai RM500,000, yuran tempahan perlu anda sediakan adalah sebanyak RM15,900 iaitu 3.18 peratus daripada nilai rumah tersebut.

2. Jumlah Deposit Rumah Sebanyak 10 Peratus

Seterusnya, anda perlu menyediakan bayaran deposit semasa nak menandatangani SPA (Perjanjian Jual Beli). Secara amnya, 3.18 peratus yang anda dah bayar kepada ejen rumah tadi dah termasuk dalam bayaran 10 peratus deposit rumah. Ini bermakna anda hanya perlu membayar baki 6.82 peratus sebelum anda sign perjanjian SPA.

Kita ambil semula contoh rumah yang berharga RM500,000 tadi, jumlah deposit yang anda perlu bayar iaitu 6.82 peratus bersamaan dengan RM34,100. Selain itu, anda dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati sekiranya ejen cuba membuat helah dan meminta anda membuat bayaran lebih walaupun anda sudah menjelaskan bayaran 3.18 peratus sebelum ini. Ini merupakan red flag ya dan anda boleh membuat laporan kepada badan-badan yang memantau ejen-ejen ini.

3. Yuran Peguam Perjanjian Sewa Beli Rumah (SPA)

Ini merupakan antara faktor yang terpenting semasa anda beli rumah subsale. Anda boleh anggap yang peguam ini ibarat tulang belakang untuk pastikan proses beli rumah subsale anda ini berjaya. Peguam hartanah yang bagus dan berpengalaman akan memudahkan urusan anda dengan memastikan segala transaksi berjalan dengan lancar. Oleh itu, pastikan anda memilih peguam yang memang pandai buat kerja dan berkaliber. Ingat, anda bayar peguam ini untuk kepakaran dalam hal-hal urusan hartanah yang mungkin diluar bidang pengetahuan anda. 

Bagaimana pula dengan caj yang perlu anda bayar untuk yuran guaman SPA? Jumlah ini bergantung kepada kos rumah anda semakin tinggi nilai rumah anda, semakin mahal yuran guaman anda. Perhatikan jumlah di bawah ini:

Jadual Yuran Guaman SPA:

Berikut merupakan jadual yuran guaman SPA untuk panduan anda:

Kategori  Peratus (%)
RM500,000 pertama 1.0
RM500,000 seterusnya 0.80
RM2,000,000 seterusnya 0.70
RM2,000,000 seterusnya 0.60
RM2,500,000 seterusnya 0.50
Lebih daripada RM7,500,000 0.50

Contohnya, harga rumah subsale anda berharga RM800,000. Anda perlu membayar sebanyak:

  • Satu peratus daripada RM500,000 yang pertama iaitu sebanyak RM5,000.
  • Untuk baki RM300,000, 0.8 peratus daripada jumlah tersebut bersamaan dengan RM2,400.

Kemudian, untuk ketahui jumlah keseluruhan anda perlu gabungkan kedua-dua jumlah ini. Jumlah yuran Peguam SPA yang perlu dibayar adalah sebanyak RM7,400.

4. Duti Setem Perjanjian Sewa Beli Rumah (SPA)

Selepas yuran guaman, anda perlu mengira duit setem untuk SPA pula. Duti setem merupakan cukai yang dikenakan ke atas dokumen dan surat perundangan seperti jual beli, pertukaran hak milik, pinjaman rumah atau perjanjian pinjaman. Bagaimana nak kira kos untuk duit setem ini pula? Jom tengok jadual di bawah ini:

Jadual Pengiraan Duti Setem SPA:

Berikut merupakan jadual pengiraan duti setem SPA untuk panduan anda:

Kategori  Peratus (%)
RM100,000 pertama 1.0
RM100,001 hingga RM500,000 2.0
RM500,001 hingga RM1,000,000 3.0
Lebih daripada RM1,000,000 4.0

5. Yuran Guaman untuk Perjanjian Pinjaman Perumahan 

Untuk yuran guaman perjanjian pinjaman perumahan, nilai yuran guaman yang dikenakan bergantung kepada jumlah pinjaman perumahan dan bukannya harga jualan rumah. Sebagai contoh, jika anda beli rumah dengan harga RM500,000 tetapi bank mentafsirkan nilai rumah tersebut hanya RM450,000 anda hanya akan layak mendapat 90 peratus pinjaman perumahan berdasarkan penilaian pihak bank.  Ini bermakna, anda hanya akan mendapat pinjaman sebanyak RM405,000.

Kategori  Peratus (%)
RM500,000 pertama 1.0
RM500,000 seterusnya 0.8
RM2,000,000 seterusnya 0.7
RM2,000,000 seterusnya 0.6
RM2,500,000 seterusnya 0.5
Lebih daripada RM7,500,000 0.5

Anda perlu bayar sebanyak RM4,050 iaitu bersamaan satu peratus daripada jumlah pinjaman RM405,000 yang diberikan oleh pihak bank.

6. Duti Setem untuk Perjanjian Pinjaman Perumahan

Makin tinggi pinjaman, makin tinggilah duti setem untuk pinjaman perumahan. Untuk duti setem perjanjian pembiayaan pinjaman perumahan pula, peratusan bayaran kekal sama iaitu 0.50 peratus yang dikenakan ke atas jumlah pinjaman anda terima. 

7. Yuran Penilaian Hartanah

Pihak bank akan menghantar penilai hartanah buat site visit rumah subsale yang anda nak beli ini. Ini juga bermakna anda kena membayar yuran penilaian hartanah atau dikenali sebagai valuation fee. Sama juga seperti kos-kos yang telah dinyatakan sebelum ini, jumlah yuran bergantung kepada nilai rumah subsale anda:

Kategori  Peratus (%)
RM100,000 pertama 0.25
RM100,001 hingga RM2,000,000  0.20
RM2,000,000 hingga RM7,000,000 0.167

Penilai hartanah akan membuat pemeriksaan rumah untuk memastikan segala maklumat yang telah dinyatakan tepat. Contohnya, dalam borang menyatakan yang rumah yang anda nak beli ini ada dua tingkat tapi penilai hartanah ini mendapati rumah tersebut hanya ada satu tingkat setengah sahaja perkara sebegini boleh menjadi masalah dalam laporan penilaian yang disediakan. Laporan penilaian rasmi (valuation report) akan disediakan untuk diserahkan kepada pihak bank.

8. MRTA dan MRTT

Apabila bank mahu memberikan pinjaman kepada anda, mereka akan mempertimbangkan dan mengambil kira segala risiko yang boleh berlaku dalam tempoh pinjaman perumahan yang kebiasaannya memakan masa antara 30 hingga 35 tahun. Disebabkan ini, pelan insurans perumahan seperti MRTA, MLTA, MRTT atau MLTT  ini penting kerana ia akan membantu menjelaskan dan melangsaikan hutang pinjaman bank sekiranya pemilik meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal. Oleh sebab itu, kos ini perlu dipertimbangkan sekiranya anda ingin beli rumah untuk mengelakkan kesulitan pada masa akan datang.rumah subsale

Kelebihan Rumah Subsale & Kekurangan Rumah Subsale

Berikut merupakan antara kelebihan dan kekurangan beli rumah subsale berbanding dengan beli rumah yang baru siap atau sedang dibina oleh pihak pemaju:

Kelebihan Rumah Subsale Kekurangan Rumah Subsale
Anda Boleh Melakukan Pemeriksaan dan Tinjauan

Berbeza dengan beli rumah yang masih dalam pembinaan di mana anda hanya boleh membayangkan keadaan rumah tersebut atau sekadar melawat rumah contoh, beli rumah subsale membolehkan anda mendapatkan gambaran yang tepat sebab rumah subsale ini dah siap dan anda boleh tengok dengan mata anda sendiri dengan melawat rumah ini. Anda juga boleh menilai keadaan rumah, kawasan kejiranan dan sebagainya sama ada ia sesuai untuk anda beli.

Rumah Nampak Lama

Rumah subsale yang anda nak beli ini mungkin kelihatan usang dan memerlukan sedikit kerja-kerja pemulihan yang semestinya akan memerlukan kos tambahan untuk anda renovate rumah, mengecat dan lain-lain. 

 

Anda Boleh Pindah dengan Lebih Cepat

Selain itu, pembelian rumah second hand tak ada risiko pembinaan lambat siap. Biasanya, urusan beli rumah subsale ini mengambil masa lebih kurang dua bulan sekiranya semua dokumen, kertas kerja dan perkara berkaitan berjalan dengan lancar. 

 

 

Risiko Kerosakan Rumah

Selain itu, rumah subsale juga terdedah kepada risiko kerosakan rumah. Jika anda pindah masuk dan selepas beberapa bulan anda mendapati terdapat sebarang kerosakan pada rumah, anda tidak boleh meminta pemilik terdahulu untuk membaikinya. Ini bermaksud, anda perlu menanggung sebarang risiko kerosakan yang mungkin ada.

Anda Boleh Jadikan Rumah Sewa atau Rumah Tumpangan

Apabila anda beli rumah subsale, anda boleh menyewakannya dengan segera dan mengutip sewa bulanan daripada penyewa. Jika anda bernasib baik, anda penyewa yang sedia membayar sewa lebih tinggi berbanding harga bayaran bulanan anda dengan pihak bank. Berbanding beli rumah baru, anda perlu mengeluarkan belanja bulanan tertentu meskipun rumah tersebut masih belum siap untuk diduduki.

Maklumat Mengenai Rumah Mungkin Kurang Tepat

Maklumat tentang rumah mungkin sukar diperolehi seandainya rumah terbabit sudah agak lama. Oleh itu, anda perlu dapatkan ejen yang bagus untuk membantu anda membuat penyelidikan atau mendapatkan maklumat bagi pihak anda.

Beli Rumah Subsale: Adakah Ia Pilihan yang Bagus?

Kesimpulannya, beli rumah subsale ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Jika anda mahu pindah rumah dengan kadar yang lebih cepat, rumah subsale ini merupakan pilihan yang lebih baik berbanding rumah yang masih under construction kerana prosesnya hanya akan mengambil masa beberapa bulan. Yang pasti, persediaan dari segi kewangan memang sangat penting dalam urusan beli rumah subsale kerana terdapat banyak kos-kos yang perlu ditanggung. Semoga artikel ini bermanfaat untuk anda yang mahu berhasrat mahu beli rumah subsale.

Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans rumah terbaik, layari laman web Qoala untuk info lanjut.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60