Insurans Rumah: Ini Perkara Penting Yang Anda Perlu Tahu

Kali terakhir diperbaharui Mar 7, 2023 oleh Shafiq Wahab
Insurans Rumah: Ini Perkara Penting Yang Anda Perlu Tahu

Memiliki rumah adalah matlamat ramai orang. Rumah juga antara barangan yang paling berharga kerana harganya yang makin lama, makin tinggi. Bila rumah dah mahal dan berharga, insurans rumah harus menjadi keutamaan. Artikel kali ini akan menjelaskan segala info mengenai insurans rumah yang perlu korang tahu. 

Apakah Tujuan Utama Insurans Rumah?

Beli rumah bukan macam beli aiskrim, yang hari-hari kita boleh beli. Kebanyakkan kita hanya mampu membeli rumah sekali seumur hidup. Ramai juga yang menghabiskan usianya untuk membayar wang pinjamam perumahan yang boleh memakan bertahun-tahun. Rumah juga  merupakan satu pelaburan yang besar. Beli rumah satu hal, kelengkapan rumah pun boleh memakan kos yang tinggi. Tak kan lah kita nak tinggal dalam rumah yang kosong tanpa sebarang kelengkapan, kan? 

Apabila banyak wang digunakan untuk memiliki sebuah rumah, jadi adalah amat penting bagi setiap pemilik rumah memiliki insurans rumah.  Insurans rumah dapat melindungi rumah daripada risiko-risiko yang boleh terjadi seperti kes pecah masuk rumah, kebakaran, tanah runtuh dan banyak lagi. Kes-kes seperti ini sering kita lihat pada dada-dada akhbar. Ada yang rugi beribu ringgit disebabkan rumahnya rosak akibat bencana alam. Meskipun begitu, masih ramai yang tidak arif tentang insurans rumah ini. 

Tujuan utama insurans rumah ini adalah untuk memberi keselamatan dari aspek kewangan apabila berlakunya kecemasan dan situasi buruk yang menyebabkan kerugian atau kerosakan pada hartanah. Banjir merupakan satu bencana alam yang hampir setiap tahun berlaku. Akibatnya, rumah rosak ditelenggami air. 

Ada tiga jenis polisi rumah yang bakal pemilik rumah atau pemilik rumah perlu ketahui:

1. Polisi Kebakaran Asas

Polisi jenis ini adalah polisi yang basic. Kenapa dikatakan basic? Ini kerana apabila berlaku kebakaran, polisi kebakaran asas hanya dapat nilai rumah sahaja, tidak termasuk barangan isi rumah. Korang mungkin bertanya, adakah polisi kebakaran asas ini hanya melindungi apabila berlaku kebakaran? Jangan risau, polisi ini boleh diperluaskan. Korang boleh menambah rangkaian perlindungan tambahan seperti rosak akibat ribut petir, banjir, tanah runtuh, pemendapan dan pelbagai lagi. 

Polisi ini boleh melindungi sebarang kejadian yang boleh mendatangkan kerugian dan kerosakan hartanah namun tidak melindungi sebarang barang isi rumah. So macam mana kalau nak ada insurans yang juga melindungi barang isi rumah? Jangan risau, ikuti point kedua.

2. Polisi Isi Rumah

Nah, polisi isi rumah memang direka khas untuk memberi perlindungan extra kepada barang-barang yang ada dalam rumah. Sebagai contoh, jika berlakunya banjir, sudah pasti barang-barang di dalam rumah boleh rosak. Kalau kita tak ada insurans, sudah menjadi beban pula nak membeli barang-barang tersebut kerana ia juga memakan kos yang tinggi. Dengan adanya, polisi jenis ini boleh melindungi dan korang layak menuntut bayaran ganti rugi oleh pihak insurans. 

3. Polisi pemilik rumah

Polisi pemilik rumah pula adalah sebuah polisi yang dirangka untuk menjadi perlindungan tambahan selain daripada polisi kebakaran yang standard. Polisi ini turut melindungi struktur-struktur fizikal hartanah seperti dinding, bumbung, lengkapan bangunan, struktur luar dan bermacam lagi. 

Seperti polisi kebakaran asas, polisi pemilik rumah turut memberi perlindungan terhadap kerosakan yang menimpa disebabkan cuaca buruk, banjir, dan pelbagai lagi risiko buruk yang boleh terjadi dan menjejaskan rumah korang.

Apa kepentingan jenis polisi insurans rumah ni? Ianya penting untuk menentukan tahap pampasan yang bakal diterima oleh pemilik hartanah sekiranya perkara-perkara yang buruk berlaku. Sekiranya berlakunya kerosakan atau pun kerugian yang diinsuranskan, ada dua asas pembayaran yang boleh dilakukan iaitu asas pemulihan dan juga asas ganti rugi. 

Asas pemulihan membawa maksud sebagai apabila terjadinya kejadian yang diinsuranskan, pemilik kepada polisi tersebut berhak menerima pampasan dalam nilai penuh terhadap barang yang hilang atau pun rosak. Manakala asas ganti rugi pula adalah pemilik kepada polisi akan diberi ganti rugi bergantung kepada nilai semasa barang tersebut berbanding dengan nilai asas ketika pembelian. 

Insurans Rumah Terbaik di Malaysia

Perlindungan Tambahan Yang Harus Dipertimbangkan

Sebagai pemilik rumah, mestilah kita nak perlindungan yang optimum. Lebih-lebih lagi jika kita telah menggunakan wang simpanan kita yang kita kumpul dengan kerja keras. Dengan memiliki insurans rumah, korang boleh menyesuaikan perlindungan tambahan yang lain mengikut keperluan masing-masing. Di bawah adalah antara perlindungan tambahan yang korang boleh pertimbangkan:

1. Insurans Tuan Tanah

Katakan lah korang ada sebiji rumah, dan korang sewakan rumah itu untuk dijadikan pendapatan utama atau tambahan. Tiba-tiba pula penyewa buat hal dengan cabut lari dan meninggalkan tunggakan bayaran sewa. Sudahlah lari dan tak bayar sewa, dirosakkan pula barang-barang yang ada dalam rumah dan bil elektrik serta air yang tertunggak. Sebagai tuan rumah, kitalah yang terpaksa menanggung kerugiannya. Boleh terduduk kita dibuatnya. 

Tapi jangan risau, korang boleh membuat penambahan perlindungan iaitu perlindungan insurans sewa . Polisi ini melindungi pemilik rumah untuk mendapatkan ganti rugi atas kejadian yang berlaku. 

2. Perlindungan Penyelenggaraan Rumah

Bukan harga rumah saja yang mahal, kos penyelenggaraan rumah pun turut mahal juga. Nak tak nak, rumah memang kena selenggara. Iyalah, tak kan nak biarkan rumah yang kita beli atas titik peluh sendiri tidak diselenggara, kan? Tapi kadang-kadang berlaku beberapa situasi yang tidak disangka seperti gangguan bekalan air yang disebabkan oleh masalah paip air dalam tanah. Isu ini akan memerlukan korang menggunakan tukang baiki yang professional. Kosnya sudah tentu tinggi. Bila kosnya tinggi dan kita tiada insurans, terpaksalah keluarkan simpanan yang bertahun-tahun simpan. 

Dengan adanya penambahan perlindungan penyelenggaran rumah, korang tidak perlu risau lagi kerana segala kos baiki akan ditanggung oleh pihak insurans dan simpanan boleh kekal disimpan. 

3. Insurans Rumah Kampung

Jangan ingat rumah kampung tak perlu insurans, rumah kampung juga perlukan insurans rumah. Sama seperti rumah yang lain, rumah kampung juga terdedah dengan risiko-risiko bahaya seperti kebakaran, tanah runtuh, banjir dan macam-macam lagi. Sebenarnya, ada polisi yang dirangka khas untuk pemilikan hartanah jenis ini. 

Perlindungan tambahan jenis ini memberi perlindungan dari segi pembayaran pampasan secara sekaligus sekiranya korang mengalami kecemasan yang tidak diduga. 

4. Insurans Pinjaman Gadai Janji

Kebiasaannya, ramai membeli rumah dengan cara membuat pinjaman perumahan dengan bank. Pelbagai situasi boleh berlaku yang boleh membuatkan kita tidak dapat menyambung bayaran balik pinjaman perumahan. Inilah fungsinya insurans pinjaman gadai janji. 

Insurans pinjaman gadai janji ini boleh memberi perlindungan dari segi pembiayaan pinjaman rumah sekiranya pemilik rumah tidak dapat membayar atas sebab-sebab yang tertentu. 

MRTA VS MLTA

Orang kata pembelian rumah adalah satu pelaburan terbesar dalam hidup. Ini kerana, pelbagai risiko yang boleh berlaku apabila kita membeli rumah. Sebagai contoh, misal kata korang kemalangan dan tidak dapat bekerja. Tidak dapat bekerja bermakna tiada wang untuk membayar balik pinjaman perumahan. Bila tak bayar balik, bank boleh lelong rumah tersebut. Kalau boleh kita semua nak elak perkara ini daripada berlaku demi kebaikan diri dan juga ahli keluarga yang tersayang. 

Untuk melindungi diri dan keluarga sekiranya situasi ini berlaku, insurans gadai janji atau juga dikenali sebagai mortgage life insurans dapat membantu. 

1. Mortgage Reducing Term Assurance (MRTA) 

MRTA atau juga dikenali sebagai insurans jangka pengurangan gadai janji adalah antara insurans konvensional yang paling digunakan. Ini kerana pada kebiasaannya, MRTA ditawarkan kepada pemohon pinjaman perumahan semasa dalam proses memohon. Manakala, Mortgage Reduce Term Takaful (MRTT) adalah sebuah insurans pinjaman perumahan yang mematuhi shariah dan sering menjadi pilihan umat Islam. MRTA dan MRTT merupakan isnurans hayat kumpulan premium tunggal yang bertujuan untuk membantu membayar tunggakan yang ada sekiranya peminjam perumahan tidak dapat menyambung bayaran balik itu akibat kecacatan kekal atau meninggal dunia. 

Apa maksud reducing term atau jangka pengurangan? Jangka pengurang ini bermaksud perlindungan ini akan berkurang secara beransur-ansur seiring dengan baki pinjaman perumahan yang tinggal sehinggalah ia mencecah angka sifar pada tempoh akhir pinjaman. 

Sekiranya berlaku kematian atau pun kehilangan upaya yang kekal, manfaat yang layak diperoleh oleh insurans gadai janji ini terus dibayar kepada pihak bank. Ini untuk menyelesaikan segala hutang pinjaman yang tertunggak. 

Walau bagaimanapun, MRTA mempunyai beberapa kelemahan. Ini antara kelemahannya. 

  1. Tiada manfaat bagi keluarga: Ahli keluarga atau waris tidak akan menerima apa-apa manfaat dalam bentuk tunai daripada insurans gadai janji ini sekiranya peminjam meninggal dunia. Manfaat MRTA akan terus diberikan kepada bank bagi menyelesaikan hutang pinjaman perumahan dan ahli keluarga tidak berhak untuk mengawal perkara ini. Meskipun hutang pinjaman perumahan sudah selesai, rumah peminjam boleh dibekukan. Ia boleh dibekukan sampailah cukai pendapatan, perbelanjaan dan perakaunan telah lengkap dibayar. Ahli keluarga boleh terbeban disini kerana mereka tidak dilindungi daripada bebanan kewangan selepas kematian kita.
  2. Kadar Pinjaman Asas: Sejak 2 Januari 2015, Kadar Pinjaman Asas atau base lending rate telah digantikan dengan Kadar Asas sebagai rujukan utama untuk pinjaman runcit kadar terapung dan termasuk juga pinjaman hartanah residensi oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Apabila peminjam menggunakan perlindungan MRTA, MRTA akan terjejas dengan turun naik kadar faedah seiring dan selaras dengan pergerakan Kadar Pinjaman Asas yang ditetapkan oleh BNM. 
  3. Faedah: Ada sesetengah bank yang mengira kadar faedah yang terlalu rendah ketika dasar MRTA ditawarkan kepada peminjam. Untuk pengetahuan korang, kadar faedah yang digunakan untuk mengira MRTA haruslah lebih tinggi berbanding kadar faedah pinjaman perumahan. Apabila ini terjadi, peminjam dikenakan kenaikan faedah bank dan menjadikan baki pinjaman yang dikenakan lebih tinggi daripada jumlah asal dan peminjam harus membayar baki tersebut. 

2. Mortgage Level Term Assurance (MLTA) / Insurans Jangka Tahap Gadai Janji 

MLTA pula adalah sebuah insuran pinjaman yang memberikan perlindungan dari segi bayaran balik pinjaman rumah terkumpul dan memberi pulangan dalam bentuk tunai yang dijamin pada tempoh akhir skim tersebut. Manfaat secara tunai yang boleh diberikan kepada keluarga atau waris ini dapat membantu meringankan beban keluarga selepas peminjam disahkan hilang upaya kekal atau meninggal dunia.

Berbeza dengan MRTA, MLTA membolehkan sesiapa saja untuk menjadi benefisiari. Peminjam pinjaman perumahan dan juga pemilik polisi tersebut boleh meletakkan nama mana-mana ahli keluarga untuk menerima manfaat tersebut apabila berlaku kejadian yang menyebabkan kecacatan kekal atau meninggal dunia. 

Menariknya, jumlah MLTA yang dilindungi insurans tidak berubah selama tempoh polisi. Polisi ini turut memberi jaminan bahawa bayaran insurans tidak akan dibekukan. Boleh dikatakan polisi adalah satu polisi yang mempunyai perlindungan yang lengkap dengan pinjaman tambahan. Ini termasuk juga rider dan pulangan polisi premium untuk meringankan beban kewangan keluarga. 

Namun, MLTA turut mempunyai beberapa kelemahan. Ini antara kelemahannya: 

  1. Premium yang tinggi: MLTA melindungi banyak perkara dan ia juga mempunyai banyak kemudahan. Jadi, kerana itu, ia dijual pada harga premium yang tinggi. Walau bagaimanapun, premium boleh dibayar secara bulanan, tahunan, suku tahunan atau secara berkala sepanjang tempoh gadai janji tersebut.
  2. Umur: Semakin berusia, semakin tinggi bayaran premium MLTA yang dikenakan. Peminjam diberi kebebasan untuk membeli MLTA atau tidak ketika membeli rumah. Namun, apabila peminjam membeli MLTA selepas beberapa tahun memiliki rumah, peminjam terpaksa membayar lebih dalam tempoh masa yang panjang dek kerana premiumnya yang berkali-kali. 

insurance rumah

Insurans Pinjaman Perumahan Yang Mana Patut Saya Pilih?

Untuk membuat keputusan sama ada korang perlu pilih MLTA atau MRTA ini bergantung kepada beberapa perkara.

MRTA sesuai jika peminjam:

  1. Bercadang untuk menggunakan kediaman tersebut dengan jangka masa yang panjang. 
  2. Tidak mempunyai tanggungan kewangan
  3. Mempunyai profil dan bajet kewangan yang kukuh
  4. Memiliki insurans perubatan persendirian

MLTA sesuai jika peminjam: 

  1. Peminjam adalah pencari nafkah tunggal 
  2. Punyai ramai tanggungan
  3. Merancang untuk mempunyai hartanah untuk pelaburan/penyewaan

Wajib ke dapatkan MRTA atau MLTA ni? Jawapan ringkasnya, tidak. Walau bagaimanapun, bank yang berperanan sebagai pemberi pinjaman berhak untuk melindungi pinjaman yang mereka berikan. Kedengaran macam seperti dipaksa, tapi logik dibelakang ini adalah sekiranya peminjam tidak mempunyai MLTA atau MRTA, bank si pemberi pinjaman akan mengalami kerugian sekiranya peminjam tidak mampu membayar balik atas alasan cacat kekal atau kematian. 

Alternatif lain selain MLTA dan MRTA

Buat korang yang bertanya, ada insurans lain tak selain MRTA dan MLTA? Ada, alternati lain adalah Insurans Jangka Hayat atau juga dikenali sebagai Term Life Insurance. Umumnya, insurans jangka hayat ini adalah satu pelan yang boleh diubah atau fleksibel dan mempunyai struktur yang premium buat pemegang polisi. 

Maksud fleksibel disini adalah, insurans jangka hayat ini boleh dikurangkan, ditambah, atau dibatalkan pada bila-bila masa tanpa dikenakan sebarang caj. Insurans jangka hayat turut berfungsi sebagai pelindung kepada keluarga sekirannya sebarang kejadian berlaku kepada pemegang polisi. 

Cumanya, premium untuk insurans jenis ini perlu dibayar seumur hidup. 

Setiap polisi ada pros dan cons masing-masing yang tersendiri. Pemilik rumah perlu semak matlamat kewangan masing-masing sebelum membeli mana-mana polisi. Tiada apa yang lebih baik atau lebih teruk, ianya bergantung 100 peratus atas keperluan pemilik rumah. Jangan terburu-buru untuk membeli insurans rumah. Ada yang tergesa-gesa sehingga membeli insurans ‘asal boleh’ sahaja. Ini kerana ia akan mempengaruhi banyak perkara. 

Secara ringkasnya, insurans rumah adalah satu keperluan yang penting. Rumah dah mahal, kalau boleh kita nak jaganya sebaik yang boleh kan? Semoga artikel kali ini membantu korang dalam membuat keputusan yang bijak. 

Nak dapatkan insurans rumah terbaik? Dapatkan di Qoala! Selain itu, Qoala juga menawarkan insurans kereta, insurans motor, insurans kesihatan dan juga insurans perjalanan. Proses mudah dan pantas!

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

2 comments

  1. Assalamualaikum, hye Nadhirah Rashid
    1. Kenapa insuran rumah kadang tu xsama dgn loan rumah?contoh pinjaman 35 tahun tapi insuran hanya cover 27 tahun.
    2. Apa itu cltt?adakah sama dengan mltt?

  2. perlu tak kita menbayar atau sambungan insurans rumah seperti mlta atau mrta selepas tamat tempoh insurans pembayaran.
    jika perlu,apa yang kita kena insured.?
    can email me

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2023 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60