5 Cara Bina Tabung Kecemasan untuk Persediaan Jangka Panjang

Kali terakhir diperbaharui Jun 1, 2023 oleh Ramen Hasniran
5 Cara Bina Tabung Kecemasan untuk Persediaan Jangka Panjang

Tabung kecemasan (atau simpanan kecemasan) bertindak sebagai persediaan atau perlindungan sekiranya berlaku sesuatu situasi yang tidak dijangka. Berdasarkan data terbaharu daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, 71.4 peratus rakyat Malaysia yang bekerja sendiri mempunyai simpanan dalam dana kecemasan yang hanya mencukupi untuk tempoh kurang daripada sebulan. Bagi pekerja swasta pula, hanya 82.7 peratus mempunyai dana kecemasan yang mencukupi untuk menampung kehidupan dan perbelanjaan untuk tempoh dua bulan sahaja.

Tabung Kecemasan: Berapa Banyak Wang yang Anda Perlu Sediakan?

Dana kecemasan merujuk pada wang simpanan yang akan digunakan dalam situasi darurat atau mendesak. Anda boleh gunakan dana simpanan daripada tabung kecemasan ini sekiranya anda mengalami kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan, atau anda berdepan situasi perlu membayar bil rawatan hospital akibat kemalangan atau kecemasan, bayaran penyelenggaraan kereta dan situasi luar jangka yang lain.

Secara asasnya, dana kecemasan bukanlah dana persaraan, dan setiap individu mempunyai sebab dan tujuan simpanan dana kecemasan yang berbeza, antaranya:

Umumnya, jumlah dana kecemasan yang diperlukan adalah berbeza bergantung pada setiap individu (bujang, berkahwin mempunyai anak atau tidak mempunyai anak) dan gaya hidup masing-masing. Ia juga bergantung pada jumlah perbelanjaan bulanan individu. Meskipun begitu, anda boleh rujuk anggaran simpanan kecemasan seperti berikut:

  • Individu bujang: 4 bulan x belanja bulanan;
  • Pasangan berkahwin: 6 bulan x belanja bulanan;
  • Pasangan berkahwin dan mempunyai anak (seorang): 9 bulan x belanja bulanan;
  • Pasangan berkahwin dan mempunyai anak (dua orang anak): 12 bulan x belanja bulanan.

Sebagai contoh, jika anda bujang dengan anggaran perbelanjaan komitmen bulanan RM1,200 sebulan, anda perlu simpan sekurang-kurangnya RM4,800 dalam tabung kecemasan anda. Secara asasnya, pertimbangkan untuk membuat tabung kecemasan sekurang-kurangnya boleh menampung anda untuk tempoh tiga hingga enam bulan jumlah perbelanjaan bulanan anda.

Cara ini dapat mengelakkan anda daripada menggunakan simpanan hari tua atau berhutang pinjaman peribadi atau kad kredit sekiranya anda memerlukan wang secara tiba-tiba.

Ramai Rakyat Malaysia Tidak Miliki Simpanan Kecemasan, 5 Langkah Mudah Bina Tabung Kecemasan

Dana atau tabung kecemasan memainkan peranan penting dalam memastikan anda tidak menggunakan wang simpanan, menggadaikan emas atau meminjam daripada ahli keluarga, rakan-rakan atau syarikat pinjaman wang tidak berlesen. Jika anda ingin memulakan tabung kecemasan, berikut lima langkah yang boleh anda pertimbangkan:

1. Rekod Pendapatan dan Kira Perbelanjaan Bulanan Anda

Langkah pertama yang boleh anda lakukan untuk memulakan tabung kecemasan adalah dengan merekodkan perbelanjaan dan pendapatan bulanan anda untuk mengetahui jumlah komitmen tetap dan amaun yang boleh disimpan setiap bulan.

Kira jumlah perbelanjaan bulanan anda seperti pinjaman perumahan, makan minum, bil utiliti, pinjaman kereta dan hutang-hutang lain. Jadual di bawah merupakan anggaran perbelanjaan individu bujang yang menetap di Lembah Klang

Perkara Jumlah
1. Pendapatan Kasar Bulanan RM2,000
2. Perbelanjaan Bulanan (Bilik sewa, makan minum, utiliti, pengangkutan awam, barangan penjagaan diri, dll.) RM1,200
3. Komitmen Lain (Ibu bapa, bayaran pinjaman PTPTN, insurans kesihatan, dll.) RM400
4. Perbelanjaan Sosial/Hiburan RM150
5. Simpanan (Tabung Kecemasan, Simpanan Deposit Tetap) RM250

2. Rancang Kaedah Simpanan yang Sesuai

Secara asasnya, kaedah simpanan turut memainkan peranan penting dalam memastikan anda kekal disiplin dan konsisten menyimpan setiap bulan sekali gus membantu anda mencapai matlamat simpanan yang anda tetapkan. Oleh sebab itu, anda perlu pilih cara simpanan yang sesuai mengikut kemampuan anda.

Teknik 70-10-10-10

Anda boleh bahagikan jumlah pendapatan bulanan kepada empat bahagian atau gunakan teknik pengurusan wang 70-10-10-10. Ini bermaksud, 10 peratus boleh diperuntukkan untuk simpanan, 10 peratus untuk kecemasan, 10 peratus untuk insurans dan 70 peratus lagi untuk perbelanjaan dan komitmen bulanan.

Namun begitu, pecahan ini tidak semestinya tetap untuk setiap individu. Ia hanyalah bertujuan untuk memberikan gambaran asas kepada anda untuk membina tabiat kewangan yang sihat bagi membantu anda mencapai matlamat kewangan anda dengan lebih cepat. Sekiranya berlaku krisis dan anda mengalami kekangan perbelanjaan, anda boleh kurangkan simpanan anda buat sementara waktu.

Guna Aplikasi Tabung

Simpan duit dalam aplikasi terkini seperti Tabung MAE Maybank – anda boleh sesuaikan tabung mengikut keperluan dan target anda. Selain tabung kecemasan, anda boleh gunakan ciri yang disediakan untuk tujuan lain seperti tabung belanja raya, tabung Umrah dan sebagainya.

Bawa Bekal, Memasak di Rumah

Anda juga boleh mencabar diri dengan kurangkan order makanan dari luar atau bawa bekal dari rumah ke pejabat. Cara ini dapat membantu kurangkan lebih banyak kos perbelanjaan bulanan anda. Lebihan daripada perbelanjaan ini boleh disimpan ke dalam tabung kecemasan. Ia secara tidak langsung dapat membantu anda mencapai target kewangan dengan lebih cepat.

tabung kecemasan untuk pelan jangka panjang

3. Tabung Kecemasan: Rancang Matlamat Simpanan Anda

Berapa banyak yang anda perlukan dalam tabung kecemasan anda? Secara asasnya, anda memerlukan sekurang-kurangan tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan anda dalam tabung kecemasan. Meskipun begitu, ia semestinya bergantung pada kemampuan dan keperluan individu. Anda boleh rujuk contoh pengiraan di bawah untuk mengetahui matlamat simpanan anda berdasarkan jadual di atas:

  • Jumlah Perbelanjaan Bulanan (Perkara 2 + 3 + 4) – RM1,750
  • Jumlah yang Diperlukan untuk Tabung Kecemasan – RM1,750 x 6 bulan = RM10,500
  • Jumlah Peruntukan Simpanan setiap Bulan (Perkara 5) – RM250
  • Tempoh Masa Diperlukan untuk Menyimpan – RM10,500/RM250 = 42 Bulan

Berdasarkan jadual di atas, individu bujang perlu ada minimum RM10,000 (atau lebih) untuk miliki tabung kecemasan yang ideal. Namun begitu, amaun simpanan kecemasan yang diperlukan ini mungkin berubah bergantung pada komitmen bulanan dan jumlah pendapatan setiap individu. Oleh sebab itu, anda perlu rancang simpanan anda seawal mungkin dan simpan secara konsisten setiap bulan untuk ketenangan.

4. Pilih Platform Simpanan yang Sesuai

Anda digalakkan untuk menyimpan dana kecemasan anda di mana-mana platform yang sesuai. Berikut antara platform simpanan dan pelaburan yang boleh anda gunakan:

Akaun Simpanan Bank

Meskipun akaun simpanan bank menawarkan kadar keuntungan yang rendah, ia membenarkan pengeluaran wang dengan pantas dan mudah sekiranya berlaku situasi anda memerlukan wang dalam tabung kecemasan dengan segera.

Akaun Deposit Tetap

Fixed deposit atau deposit tetap menawarkan kadar keuntungan yang lebih tinggi berbanding simpanan biasa. Sekiranya wang simpanan ini tidak dikeluarkan untuk tempoh tertentu, anda boleh menerima manfaat dalam bentuk keuntungan atau faedah yang lebih tinggi. Ini bermaksud, anda boleh mencapai target simpanan yang ditetapkan dengan lebih cepat.

Akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)

ASNB menawarkan kadar dividen yang kompetitif setiap tahun yang boleh membantu anda meningkatkan wang simpanan anda dengan selamat. Selain itu, anda juga boleh mengeluarkan wang ASB melalui pengeluaran ASB online atau melalui bank-bank yang mengambil bahagian dengan mudah sekiranya anda perlu mengakses dana kecemasan ini.

5. Berdisiplin dan Komited

Penting untuk anda mulakan tabung kecemasan seawal mungkin mengikut kemampuan anda kerana ia mungkin mengambil masa yang lama untuk mencapai matlamat kewangan anda. Elakkan daripada bertangguh dan pastikan anda kekal berdisiplin dalam menyimpan.

Selain itu, elakkan juga daripada menggunakan simpanan kecemasan untuk perbelanjaan biasa seperti shopping pakaian berjenama, berbelanja perkara tidak perlu, menampung hutang kad kredit dan lain-lain kerana ia mungkin menjejaskan matlamat jangka panjang anda. Guna dana ini fokus kepada situasi kecemasan sahaja.

Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60