Cara Tukar Simpanan Shariah KWSP Online Melalui i-Akaun KWSP 2024

Kali terakhir diperbaharui Jan 18, 2024 oleh Shafiq Wahab
Cara Tukar Simpanan Shariah KWSP Online Melalui i-Akaun KWSP 2024

Bagi anda yang mencarum dalam simpanan KWSP, anda mungkin biasa dengar mengenai pilihan Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah KWSP. Ahli yang beragama Islam khususnya mempunyai pilihan untuk menukar Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah jika ingin berbuat demikian. Ini sekali gus membantu umat Islam untuk tidak lagi perlu risau tentang (status halal) pulangan dividen yang diterima kerana pelaburan yang dilakukan patuh syariah.

Perkara yang Anda Perlu Tahu Sebelum Bertukar ke Simpanan Shariah KWSP

Umat Islam digalakkan untuk beralih kepada Simpanan Shariah kerana ia mengamalkan pelaburan beretika. Dalam erti kata lain, ia akan mengelakkan pelaburan dalam sektor-sektor yang menghasilkan dan mempromosikan alkohol, perjudian, hiburan dewasa dan sebagainya.

Jika anda masih belum bertukar kepada Simpanan Shariah KWSP, artikel ini akan membantu anda memahami simpanan patuh syariah KWSP dengan lebih baik, perbezaan antara Simpanan Shariah KWSP dan Simpanan Konvensional dan lain-lain lagi.

1. Apa Itu Simpanan Shariah KWSP?

Simpanan Shariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan suatu pilihan dana persaraan terbaik yang boleh anda pertimbangkan. Simpanan Shariah KWSP membolehkan ahli membuat simpanan berlandaskan syariah dan diuruskan serta dilaburkan mengikut prinsip Islam.

Sebuah Jawatan Kuasa Penasihat Shariah (JKPS) ditubuhkan bagi mengawasi semua aspek pematuhan syariah di dalam operasi, pelaburan dan tadbir urus Simpanan Shariah di KWSP. JKPS juga bertanggungjawab dalam mengesahkan aspek pematuhan syariah sesuatu pelaburan yang akan dibuat oleh KWSP.

2. Mengapa Anda Perlu Bertukar kepada Simpanan Shariah KWSP?

Sebagai umat Islam, anda disarankan untuk bertukar ke Simpanan Shariah agar simpanan diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip syariah. Selain itu, Simpanan Shariah (kepada ahli beragama Islam) dapat:

  • Membantu ahli menyediakan simpanan persaraan yang diuruskan secara patuh syariah untuk kegunaan ahli dan keluarga. Ibadah haji dan umrah (pengeluaran KWSP akaun 2) boleh dilakukan tanpa sebarang keraguan ke atas sumber dana;
  • Memastikan simpanan ahli tidak digunakan bagi tujuan yang bercanggah dengan syarak terutamanya riba (faedah), maysir (perjudian) dan gharar (ketidakpastian) yang biasanya terdapat dalam pelaburan perbankan konvensional dan insurans;
  • Membantu ahli (sekiranya meninggal dunia) menyediakan dana simpanan ahli yang halal untuk diagihkan kepada waris sebagai pusaka.

Ahli bukan beragama Islam juga boleh memilih untuk bertukar kepada Simpanan Shariah KWSP sebagai alternatif kepada Simpanan Konvensional sedia ada:

  • Objektif pelaburan dan profil risiko yang sama;
  • Peruntukan aset strategik yang sama;
  • Pelaburan di dalam pelaburan beretika yang mematuhi prinsip syariah sahaja;
  • Pendedahan pelaburan yang minimum di dalam sektor kewangan berbanding Simpanan Konvensional.

simpanan shariah kwsp vs konvensional

3. Cara Tukar Akaun KWSP Konvensional kepada Simpanan Shariah KWSP Secara Online

Bagi membolehkan pertukaran Akaun Konvensional kepada Simpanan Shariah boleh dilakukan secara online, anda perlu mendaftar sebagai ahli i-Akaun terlebih dahulu.

  1. Log masuk ke i-Akaun (Ahli);
  2. Kemudian, pilih tab Simpanan Shariah KWSP dan klik Daftar (Register);
  3. Ikut panduan dan arahan pertukaran ke Simpanan Shariah KWSP. Anda perlu membuat pengesahan pengesahan maklumat ahli, akad Simpanan Shariah dan pengesahan persetujuan akad dengan memasukkan kod TAC yang akan dihantar ke nombor telefon anda yang berdaftar.

Untuk makluman, ahli tidak boleh kembali ke Simpanan Konvensional selepas tarikh kuat kuasa pilihan Simpanan Shariah. Namun begitu, ahli boleh membatalkan pendaftaran Simpanan Shariah sebelum tarikh kuat kuasa Akaun Simpanan Shariah. Info lanjut berkaitan Simpanan Shariah KWSP boleh dirujuk di sini.

4. Perbezaan Simpanan Shariah KWSP vs Konvensional

Berikut adalah perbezaan antara Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah KWSP yang anda perlu tahu:

Simpanan Shariah KWSP Simpanan Konvensional KWSP
Keahlian Semua ahli KWSP tanpa mengira agama, bangsa dan status warganegara boleh memilih untuk bertukar ke Simpanan Shariah Semua ahli KWSP adalah tertakluk pada Simpanan Konvensional selagi belum memilih untuk bertukar ke Simpanan Shariah
Akad (Kontrak Shariah) Tertakluk pada Akad Simpanan Shariah berdasarkan akad Wakalah Tidak berkaitan
Kadar Dividen Kadar dividen adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan patuh Shariah, tiada jaminan kadar dividen minimum Kadar dividen adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan Konvensional (pelaburan patuh Shariah dan tidak patuh Shariah) tertakluk pada kadar dividen minimum 2.5 peratus
Perakuan Jawatan Kuasa Penasihat Shariah (JKPS) Diperakukan oleh Jawatan Kuasa Penasihat Shariah KWSP dan tertakluk pada Rangka Kerja Tadbir Urus Shariah Tidak berkaitan
Pertukaran Akaun Ahli tidak boleh memilih untuk kembali ke Simpanan Konvensional selepas tarikh kuat kuasa Ahli boleh memilih untuk bertukar ke Simpanan Shariah

5. Kadar Dividen Akaun Konvensional vs Akaun Simpanan Shariah KWSP

Kadar dividen KWSP untuk kedua-dua simpanan konvensional dan simpanan shariah KWSP boleh dikatakan agak kompetitif. Kadar dividen yang diisytiharkan mencerminkan prestasi sebenar pelaburan bagi kedua-dua simpanan ini.

Biasanya, kadar dividen yang diumumkan untuk kedua-dua simpanan ini akan menunjukkan sedikit perbezaan. Bagi mengetahui kadar dividen terkini, ahli boleh menyemak penyata terkini dividen KWSP dengan beberapa cara:

  • Hadir sendiri ke cawangan KWSP terdekat;
  • Semakan dividen KWSP melalui kiosk KWSP; atau
  • Semak dividen KWSP online melalui i-Akaun KWSP.

Semakan Dividen KWSP 2022 Melalui Portal i-Akaun

Untuk semakan dividen KWSP secara online, anda boleh ikuti langkah-langkah berikut:

      1. Layari portal KWSP;
      2. Masukkan ID Pengguna dan tekan Seterusnya;
      3. Imej keselamatan akan dipaparkan – pastikan imej yang dipaparkan adalah betul berdasarkan frasa rahsia yang didaftarkan sebelum ini;
      4. Masukkan kata laluan dan klik log masuk;
      5. Maklumat berkaitan dividen KWSP anda akan dipaparkan.

Tukar kepada Simpanan Shariah KWSP melalaui i-Akaun KWSP

Lakukan Penyucian Dividen KWSP Jika Belum Beralih ke Simpanan Shariah

Bagi ahli KWSP yang beragama Islam yang belum bertukar atau memilih untuk mengekalkan akaun simpanan di bawah Simpanan Konvensional, ia menjadi tanggungjawab ahli untuk menyucikan dividen yang diterima setiap tahun. Ahli KWSP yang beragama Islam yang menyimpan di dalam Simpanan Konvensional bertanggungjawab menyucikan dividen yang diterima berdasarkan peratusan yang telah ditetapkan bermula pada tahun 2017.

Namun begitu, berdasarkan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, dividen yang diterima sebelum 2017 tidak perlu disucikan. Ini kerana, KWSP belum mewujudkan pilihan Simpanan Shariah buat ahlinya pada masa itu. Anda boleh rujuk laman web KWSP untuk info lanjut.

Selain itu, sekiranya anda ingin mendapatkan insurans perubatan dan kesihatan untuk perlindungan tambahan kepada masa depan anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan dan pembaharuan insurans terbaik di Malaysia dengan jaminan proses beli insurans yang mudah, selamat dan cepat.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60