Syarat, Cara Kira dan Bayar Zakat Pendapatan di Malaysia

Kali terakhir diperbaharui Dec 29, 2022 oleh Shafiq Wahab
Syarat, Cara Kira dan Bayar Zakat Pendapatan di Malaysia

Zakat pendapatan bukanlah suatu perkara yang asing bagi umat Islam di Malaysia. Meskipun begitu, masih ramai yang masih belum jelas tentang cara kira zakat pendapatan, kadar zakat pendapatan, syarat zakat pendapatan dan lain-lain. Artikel ini akan membantu anda untuk memahami perkara asas berkaitan zakat pendapatan untuk memudahkan anda.

3 Fokus Utama Berkaitan Zakat Pendapatan yang Anda Perlu Tahu

Sekiranya anda belum pernah membayar zakat pendapatan sebelum ini, anda mungkin tertanya-tanya apa itu zakat pendapatan, bila perlu bayar zakat pendapatan, siapa yang wajib bayar zakat pendapatan? Ikuti artikel ini untuk ketahui lebih lanjut berkaitan zakat pendapatan di Malaysia.

Seperti yang anda mungkin sudah sedia maklum, bayaran zakat merupakan rukun Islam yang keempat. Zakat pendapatan wajib atau merupakan satu kewajipan kepada umat Islam (bagi yang berkemampuan). Secara amnya, terdapat dua jenis zakat yang anda perlu ketahui iaitu zakat fitrah dan zakat harta – zakat pendapatan merupakan salah satu jenis zakat harta. 

1. Maksud Zakat Pendapatan

Seperti dinyatakan di atas, zakat pendapatan merupakan salah satu zakat harta, dan ia dikenakan ke atas semua umat Islam.

Menurut fatwa Wilayah Persekutuan selepas diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, zakat pendapatan merujuk kepada pengeluaran wajib ke atas pendapatan. Ia meliputi apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus (Subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505]).

Dalam bahasa mudah, zakat pendapatan dikenakan ke atas semua jenis sumber pendapatan atau hasil upah daripada apa-apa perkhidmatan, pekerjaan dan aktiviti yang dikenakan bayaran (mendapat gaji).

2. Hukum Zakat Pendapatan

Zakat pendapatan adalah wajib ke atas individu yang mempunyai pendapatan dan gaji. Berdasarkan muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, zakat ke atas pendapatan adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.

Pendapatan yang Layak Dikenakan Zakat

Berikut merupakan jenis pendapatan yang boleh dikenakan zakat yang anda perlu tahu untuk rujukan dan panduan anda:

      1. Gaji;
      2. Elaun;
      3. Bonus;
      4. Komisen;
      5. Jualan;
      6. Royalti;
      7. Lain-lain pendapatan seperti hasil ternakan, pertanian atau sewa rumah.

3. Syarat Zakat Pendapatan

Meskipun zakat secara asasnya digunakan untuk membantu golongan asnaf dan memperkasakan ekonomi umat Islam di Malaysia, ada beberapa syarat wajib yang perlu dipenuhi oleh seorang individu sebelum membayar zakat pendapatan. Berikut lima syarat wajib mengeluarkan zakat harta yang perlu dipenuhi:

i. Beragama Islam

Zakat merupakan satu ibadat yang hanya disyariatkan kepada orang Islam sahaja. Oleh sebab itu, pemilik harta yang layak dikenakan zakat mestilah seseorang yang beragama Islam. 

ii. Seorang yang Merdeka

Perkataan merdeka dalam konteks ini bermaksud bebas daripada sebarang bentuk penghambaan. Para ulama masih lagi mengekalkan faktor ini sebagai salah satu syarat utama untuk membayar zakat walaupun isu penghambaan tidak lagi wujud pada masa kini.

iii. Memenuhi Syarat Kadar Nisab Zakat Pendapatan dan Haul Zakat

Pendapatan tahunan individu mestilah melepasi kadar yang telah ditetapkan dan cukup haul. Ini bermaksud, sekiranya pendapatan tahunan melepasi kadar nisab zakat pendapatan* yang ditetapkan, anda wajib membayar zakat ini.

📌 Maksud nisab zakat: Nisab merupakan satu kadar yang ditetapkan untuk menentukan sama ada harta itu wajib dikenakan zakat atau tidak. Sebagai contoh, nisab ditetapkan untuk zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, emas adalah sebanyak 20 mithqal (85 gram emas). Kadar bayaran zakat pendapatan ialah 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan kasar atau pendapatan bersih.

Kadar nisab ini ditetapkan berdasarkan cukup haul zakat pendapatan*. Perlu diingatkan, kadar nisab sentiasa berubah-ubah setiap tahun dan ditentukan oleh institusi zakat. Walau bagaimanapun, sumber kewangan daripada sumber haram dan meragukan seperti rasuah, judi dan riba tidak akan dikenakan zakat.

📌Maksud haul dalam bahasa Melayu: Cukup haul bermaksud telah berlalu satu tahun ke atas harta yang dimiliki dalam kiraan tahun Hijrah (354 hari) atau tahun masihi iaitu (365 hari).

iv. Memiliki Harta Sepenuhnya

Individu harus membuktikan harta atau pendapatan merupakan miliknya 100 peratus. Tidak ada orang lain yang berhak ke atas harta tersebut kecuali dirinya sendiri. Pemilik mampu mengendalikan harta secara bebas dan keuntungan daripadanya dikembalikan kepada pemiliknya.

Ini bermaksud, tidak wajib zakat jika harta tidak mempunyai pemilik tertentu, atau dimiliki oleh orang awam seperti tanah wakaf, harta baitulmal dans ebagainya.

v. Harta Berpotensi untuk Berkembang

IHarta tersebut adalah harta yang berpotensi untuk berkembang dan boleh beri pulangan kepada pemilik. Harta tersebut adalah harta yang berpotensi untuk berkembang dan boleh beri pulangan kepada pemilik.

Secara asasnya, sebab zakat hanya diwajibkan atas harta yang berkembang supaya pembayaran zakat tidak membawa kepada penyusutan harta. Lebih-lebih lagi jika harta tersebut satu-satunya sumber untuk kelangsungan hidup pemiliknya.

Secara asasnya, tidak semua individu wajib membayar zakat ini. Bayaran zakat pendapatan hanya dikenakan kepada individu yang berkemampuan atau mempunyai jumlah pendapatan tertentu seperti ditetapkan oleh institusi zakat negeri masing-masing.

Bila perlu bayar zakat pendapatan? Kebiasaannya, urusan pembayaran zakat pendapatan perlu dijelaskan sebelum 31 Disember setiap tahun untuk membolehkan anda layak mendapat rebat pengecualian cukai pendapatan.

Namun begitu, ada individu yang membuat potongan zakat secara bulanan melalui potongan gaji. Anda boleh jalankan tanggungjawab anda membayar zakat pada setiap bulan atau pada setiap hujung tahun bergantung pada pilihan anda. 

zakat pendapatan

Bayaran Zakat Pendapatan, Kaedah Pengiraan Zakat Pendapatan di Malaysia

Masih ramai yang masih belum arif tentang cara pengiraan zakat pendapatan sehingga berkemungkinan tidak membayar zakat dengan tepat. Bagaimana cara kira zakat pendapatan dengan betul? Ikuti artikel ini untuk tahu lebih lanjut.

1. Cara Mengira Zakat Pendapatan 

Secara amnya, terdapat dua cara perkiraan zakat pendapatan yang perlu anda tahu. Anda boleh rujuk panduan pengiraan seperti berikut:

i. Kaedah Tanpa Penolakan

Cara kira zakat pendapatan melalui kaedah ini lebih ringkas dan mudah. Anda hanya perlu tentukan jumlah pendapatan tahunan, kemudian darabkan dengan 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan. Untuk lebih jelas, rujuk formula perkiraan zakat seperti berikut:

  • Pendapatan Kasar Setahun x 2.5% = Zakat Pendapatan yang Perlu Dibayar
  • RM48,000 x 2.5% = RM1,200

Berdasarkan contoh di atas, jika pendapatan tahunan anda adalah sebanyak RM48,000 (atau RM4,000 sebulan), jumlah zakat yang layak dikenakan ke atas diri anda adalah sebanyak RM1,200 setahun.

ii. Kaedah Selepas Penolakan

Secara asasnya, kaedah perkiraan zakat ini sama seperti pengiraan pengecualian cukai. Kiraan dibuat berdasarkan jumlah pendapatan bersih atau selepas ditolak pelepasan-pelepasan tertentu.

Berikut merupakan antara jenis pelepasan yang boleh ditolak untuk pengiraan zakat:

      1. Perbelanjaan asas diri sendiri;
      2. Nafkah isteri;
      3. Perbelanjaan anak-anak;
      4. Pemberian kepada ibu bapa;
      5. Caruman KWSP;
      6. Caruman kepada institusi kewangan, koperasi dan sebagainya (membayar zakat bagi pihak pencarum atau pendeposit seperti Tabung Haji).

Bagi membantu anda memahami dengan lebih baik, anda boleh rujuk contoh pengiraan dalam jadual di bawah:

Jumlah
A. Pendapatan dari Semua Sumber (Setahun)

  • Hasil penggajian dan upah kerja – gaji, upah bonus, tuntutan kerja overtime, pencen, hadiah, insentif dll.
  • Hasil kerja bebas – keuntungan projek, komisen, royalti dll.
  • Harta yang menghasilkan pendapatan – Sewaan aset rumah, kenderaan, produk ternakan seperti susu, telur dsb.
RM48,000
B. TOLAK Perbelanjaan yang Dibenarkan Zakat (Setahun)

  • Belanja diri sendiri (RM12,000)
  • Nafkah isteri (RM5,000)
  • Perbelanjaan anak bawah 18 tahun (RM2,000)
  • Perbelanjaan anak atas 18 tahun (belajar IPT) (RM5,000)
  • Pemberian kepada ibu bapa (RM100 x 12 bulan)
  • Pendidikan sendiri (RM2,000)
  • Potongan KWSP 11% (RM5,280)
RM32,480
Pendapatan Layak Zakat (A – B) RM15,520
C. Zakat Pendapatan Wajib Dibayar

  • RM15,520.00 x 2.5%
RM388.00
D. TOLAK Zakat ke atas Caruman Setahun Organisasi yang Membayar Zakat bagi Pihak Pencarum (Tabung Haji)

  • RM1,200.00 x 2.5%
RM30.00
Jumlah Zakat Setahun (C – D) – Bersih RM358.00
Jumlah Potongan Gaji Zakat Sebulan

  • RM358.00 ÷ 12 bulan
RM29.90

Berdasarkan contoh di atas, anda hanya perlu bayar zakat sebanyak RM358 setahun atau kira-kira RM29.90 setiap bulan. Pengiraan ini mungkin berbeza, bergantung pada perbelanjaan yang dibenarkan zakat masing-masing.

2. Cara Bayar Zakat Pendapatan Secara Online dan Fizikal

Umat ​​Islam di Malaysia digalakkan untuk membuat pembayaran zakat di Pusat Pungutan Zakat Negeri masing-masing sama ada secara bulanan atau tahunan. Wang zakat yang dikumpul boleh diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Di Malaysia, terdapat beberapa cara yang boleh anda praktikkan untuk membayar zakat anda. Anda juga boleh rujuk Pusat Zakat Negeri masing-masing untuk mendapat kepastian mengenai cara atau jumlah zakat yang perlu dibayar. 

      1. Bayar zakat secara online melalui laman web rasmi Lembaga Zakat setiap negeri;
      2. Bayaran zakat melalui perbankan internet;
      3. Pembayaran secara fizikal sama ada melalui cawangan rasmi Lembaga Zakat, Pejabat POS, kaunter bank atau ATM terpilih;
      4. Ejen zakat rasmi yang dilantik.

kiraan zakat pendapatan

Laksanakan Kewajipan, Bayar Zakat Pendapatan Bulanan Anda

Diharapkan artikel ini dapat membantu anda memahami cara kira, cara bayar dan syarat-syarat berkaitan zakat pendapatan yang di Malaysia. Pembayaran zakat merupakan satu ibadat yang dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan seperti golongan fakir dan miskin, mualaf, ibu tunggal, anak yatim, pelajar dan sebagainya. Oleh sebab itu, sekiranya anda layak untuk membayar zakat, jangan lupa untuk jalankan tanggungjawab dan bayar zakat anda setiap tahun!

Nota: Sekiranya anda sedang mencari insurans kereta murah, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Selain insurans kereta, anda juga boleh mendapatkan insurans motor dan insurans rumah di Qoala dengan tawaran harga terbaik dan proses pantas.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2023 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60

Lindung Diri dan Keluarga dengan Perlindungan Insurans Menyeluruh

X