7 Tips Pelaburan Hartanah (untuk Rumah)

Kali terakhir diperbaharui Dec 13, 2022 oleh Hariz Hafiz
7 Tips Pelaburan Hartanah (untuk Rumah)

Selain beli rumah untuk tujuan tempat tinggal anda sendiri, anda juga boleh beli rumah untuk tujuan pelaburan hartanah. Anda mungkin ada rakan atau ahli keluarga yang sudah beli rumah untuk disewa atau jual semula rumah yang telah dibeli dan berjaya mendapat keuntungan. Disebabkan ini, anda mungkin terfikir untuk melakukan perkara yang sama. 

Perkara-perkara Perlu Diberi Perhatian Sebelum Membuat Pelaburan Hartanah

Apa itu pelaburan hartanah? Secara amnya, maksud pelaburan hartanah adalah membeli sesuatu hartanah bukan untuk tujuan dijadikan sebagai kediaman anda. Sebaliknya, hartanah yang dibeli digunakan untuk tujuan pelaburan dan pendapatan boleh dijana hasil daripada rumah tersebut. Dalam erti kata mudah, matlamat utama pelaburan hartanah adalah untuk mendapatkan keuntungan.

Jadi, sebelum anda mula melabur, anda perlu membuat perancangan dengan teliti kerana kos untuk memulakan pelaburan hartanah boleh memakan kos yang tinggi. Terdapat banyak faktor yang boleh membantu menentukan sama ada pelaburan sesuai untuk anda. Artikel ini akan menjelaskan tujuh tips yang anda perlu tahu sebelum membuat pelaburan hartanah.

1. Kenal Pasti Matlamat dan Strategi Pelaburan Hartanah

Perkara pertama dan paling penting yang anda perlu tentukan adalah objektif pelaburan anda. Disebabkan pelaburan hartanah mempunyai kecairan atau liquidity yang rendah dan pelaburan bernilai tinggi, anda perlukan matlamat pelaburan yang jelas. Anda akan dapat membuat keputusan dengan lebih bijak dan persiapan dapat dilakukan dengan lebih teliti terutama sekali jika berlaku perkara-perkara di luar jangkaan. Berikut adalah antara strategi pelaburan popular yang digunakan oleh pelabur-pelabur hartanah di luar sana:

Pendapatan Sewa Rumah

Sebagai pelabur, anda boleh menjana pendapatan pasif dengan menyewakan rumah anda. Anda boleh gunakan pendapatan ini untuk menjelaskan bayaran bulanan pinjaman perumahan. Meskipun begitu, perlu diingatkan memiliki hartanah tidak menjamin anda akan menjana wang dengan mudah. Anda sebagai pelabur perlu melakukan banyak kerja seperti memastikan rumah dalam keadaan yang terbaik, mencari penyewa yang boleh dipercayai, menguruskan penyelenggaraan rumah dan sebagainya.

Selain itu, pelaburan ini juga boleh menyebabkan aliran tunai anda stabil kerana menerima pendapatan sewa bulanan yang konsisten. Pendapatan yang dijana ini akan membantu menampung kos bayaran bulanan rumah anda dan mengaut keuntungan dalam masa yang sama. Hal ini kerana, untung sewaan akan terus-menerus masuk dalam akaun bank anda setiap bulan sehinggalah anda buat keputusan untuk jual hartanah tersebut.

Contohnya, bayaran bulanan rumah anda adalah RM600 dan kemudian anda menyewakan rumah anda dengan harga RM700 sebulan kepada penyewa. Ini bermakna aliran tunai anda adalah positif kerana anda berjaya mendapat keuntungan RM100. Namun begitu, harus diingatkan yang pengiraan ini hanyalah anggaran semata-mata kerana terdapat mungkin akan ada faktor lain yang akan mungkin anda hadapi nanti.

Beli Rumah untuk Jual

Sekiranya anda beli kereta, kereta anda sudah hampir pasti akan mengalami susut nilai. Ini sangat berbeza dengan beli rumah kerana nilai rumah kebiasaannya akan meningkat walaupun terjadinya inflasi. Disebabkan ini, tidak hairanlah ramai yang memilih hartanah sebagai pilihan pelaburan nombor satu mereka.

Disebabkan nilai hartanah cenderung untuk naik, anda berkemungkinan besar boleh jual rumah dengan harga yang lebih tinggi daripada harga anda beli disebabkan faktor-faktor seperti pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut, keadaan pasaran hartanah dan sebagainya.

House flipping

Strategi biasa yang anda mungkin pernah dengar sebelum ini adalah terdapat pelabur yang beli rumah lelong dengan harga yang rendah dan kemudian jual rumah tersebut dengan harga pasaran semasa hartanah setelah selesai renovate rumah yang dibeli tersebut. Strategi pelaburan ini atau turut dikenali sebagai house flipping membolehkan anda menjana keuntungan yang lumayan.

Secara asasnya, house flipping bermaksud anda renovate rumah untuk menjadi lebih cantik dari segi reka bentuk luaran dan dalaman. Tujuannya adalah untuk menepati cita rasa pembeli rumah di luar sana. Konsep ini ibarat beli, baik pulih dan jual balik – anda boleh jana untung dengan beli sebuah rumah dengan harga rendah, baik pulih segala kerosakan yang ada dan kemudian jual balik dengan harga yang lebih mahal.

Perlu diingatkan, potensi keuntungan house flipping adalah spekulatif kerana anda bergantung dengan kenaikan nilai hartanah anda dan ia sebenarnya bergantung kepada ramalan pasaran. Oleh sebab itu, anda harus tahu mengurus aspek spekulatif tersebut.

sewa rumah

2. Lokasi Hartanah

Pemilihan lokasi hartanah boleh memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada pelaburan anda boleh berjaya atau sebaliknya. Hal ini kerana, kawasan tersebut berkemungkinan akan mengalami perubahan dari segi pembangunan, pengangkutan awam, kepadatan penduduk dan sebagainya. Disebabkan ini, anda perlu mempertimbangkan lokasi supaya anda boleh ramal cara kawasan itu dijangka berkembang sepanjang tempoh pelaburan.

3. Jenis Hartanah dan Jenis Milikan Tanah

Di Malaysia, terdapat banyak jenis hartanah atau rumah yang anda boleh jadikan sebagai pelaburan hartanah. Anda boleh membuat pilihan berdasarkan kemampuan dan juga bajet yang anda telah tentukan untuk membuat pelaburan. Berikut merupakan antara jenis hartanah untuk anda pilih:

  • Rumah teres
  • Rumah berkembar (Semi-D)
  • Rumah banglo
  • Rumah bandar
  • Pangsapuri
  • Kondominium

Selain itu, anda perlu juga tahu jenis milikan tanah seperti lot Bumiputera, tanah rizab Melayu, freehold dan leasehold. Sebagai contoh, jika anda membeli rumah lot Bumiputera, anda akan hanya boleh menjual rumah anda kepada golongan Bumiputera juga. Mengikut undang-undang, anda tidak boleh sama sekali menjual rumah tersebut kepada individu yang bukan Bumiputera.

4. Nilai Hartanah

Faktor nilai hartanah ini penting sekiranya anda berhasrat atau mungkin satu hari nanti anda akan jual semula rumah anda. Disebabkan ini, anda perlu sedikit sebanyak tahu dan faham cara nilai hartanah ini berfungsi. Anda mungkin akan terkejut apabila mengetahui betapa subjektifnya penilaian hartanah.

Kebiasaannya, potensi nilai hartanah dalam sesuatu kawasan untuk meningkat adalah tinggi terutama sekali jika terdapat pembangunan infrastruktur seperti kemudahan pengangkutan awam (LRT atau MRT), pusat membeli- belah dan sebagainya di sekitar kawasan tersebut. Contohnya, 15 tahun lepas, satu unit rumah teres di Lembah Klang berharga RM100,000. Kini, unit yang sama menjadi lebih tinggi nilainya boleh mencecah sehingga dua kali ganda ataupun lebih.

Namun begitu, perlu diingatkan, nilai hartanah boleh juga turun disebabkan faktor-faktor seperti kejatuhan pasaran hartanah itu sendiri, terkesan dengan bencana alam seperti banjir dan sebagainya. Oleh sebab itu, anda perlu membuat penilaian yang secukupnya sebelum membuat keputusan yang besar ini.

5. Kos Beli Rumah

Hartanah akan jadi aset yang sangat berguna untuk anda kerana potensinya yang tinggi. Antara faktor paling penting yang anda harus tahu adalah kos untuk beli rumah. Kos membeli rumah bukan setakat bayaran bulanan sahaja, tetapi banyak lagi kos yang akan memakan perbelanjaan yang tinggi.

Disebabkan ini, anda perlu memastikan yang anda mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan juga skor kredit yang baik supaya permohonan loan rumah anda boleh lulus. Berikut adalah checklist kos beli rumah untuk anda harus pertimbangkan:

  • Yuran tempahan
  • Bayaran pendahuluan
  • Memorandum pemindahan
  • Yuran guaman SPA
  • Yuran guaman untuk perjanjian perumahan
  • Stamping untuk SPA
  • Duti setem untuk pinjaman
  • Yuran pemindahan hak milik

perjanjian sewa rumah

6. Perjanjian Sewa Rumah

Jika anda sewakan rumah anda kepada pihak penyewa, anda perlu menyediakan perjanjian sewa ataupun kontrak sewa. Perjanjian sewa rumah ini penting untuk membolehkan anda sebagai tuan rumah untuk mengambil tindakan sewajarnya jika pihak penyewa tidak membayar sewa, merosakkan barang dalam rumah dan sebagainya.

Disebabkan perjanjian ini merupakan dokumen yang terikat oleh undang-undang, anda boleh melantik seorang peguam untuk tujuan menulis draf perjanjian sewa rumah ini. Berikut merupakan antara perkara yang anda boleh sertakan dalam perjanjian ini:

  • Maklumat tentang hartanah (jenis kediaman, alamat dan sebagainya)
  • Tempoh menyewa
  • Klausa tentang pembaharuan sewa
  • Kadar sewa bulanan
  • Jumlah bayaran deposit
  • Kelengkapan disediakan seperti perabot,utiliti dan sebagainya
  • Tanggungjawab tuan rumah dan penyewa
  • Peraturan rumah, larangan dan limitasi yang ditetapkan
  • Cara menyelesaikan sebarang isu yang timbul
  • Sebarang syarat atau klausa khas

Anda sebagai tuan rumah masih boleh berunding tentang syarat yang ditetapkan dalam perjanjian sewa ini dengan pihak penyewa. Sekiranya kata sepakat berjaya dicapai, kedua-dua belah pihak juga harus menandatangani perjanjian ini dan terikat dengan syarat yang telah dinyatakan dalam perjanjian sewa ini.

7. Peka dengan Risiko Pelaburan Hartanah

Walaupun ramai di luar sana yang sering menyatakan pelaburan hartanah ini boleh memberi pulangan lumayan, anda masih perlu berhati-hati dengan risiko pelaburan hartanah yang mungkin akan anda hadapi. Hakikatnya, pelaburan hartanah tidaklah semudah yang disangka kerana tidak semua pelabur yang berjaya mendapat untung seperti yang mereka harapkan. Malahan ada juga yang mengalami kerugian yang teruk disebabkan tersilap langkah atau perkara di luar jangkaan dan kawalan.

Pelaburan Hartanah: Adakah Ia Berbaloi?

Pelaburan hartanah boleh dikategorikan sebagai salah satu pelaburan berisiko jika mahu dibandingkan dengan pelaburan ASB, Tabung Haji dan sebagainya. Disebabkan ini, anda mungkin sama ada menjana keuntungan yang lumayan atau mendapat kerugian yang tidak diingini. Semua ini bergantung kepada keputusan yang anda ambil nanti. Anda disarankan untuk terus membuat kajian menyeluruh dan dapatkan nasihat daripada pakar sebelum membuat pelaburan hartanah ini. 

Semoga perkongsian tips hartanah atau tips beli rumah ini boleh bantu anda memahami urusan pelaburan hartanah anda dengan lebih baik. Selain itu, anda juga boleh layari laman web Qoala untuk info lanjut berkaitan insurans rumah. Qoala merupakan platform beli insurans yang mudah, telus dan pantas dengan tawaran harga yang kompetitif dan berpatutan.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2023 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60

Lindung Diri dan Keluarga dengan Perlindungan Insurans Menyeluruh

X