Senarai Pelepasan Cukai 2023 untuk Isi e-Filing 2024

Kali terakhir diperbaharui Jan 18, 2024 oleh Shafiq Wahab
Senarai Pelepasan Cukai 2023 untuk Isi e-Filing 2024

Mungkin tahun-tahun sebelum ini anda tidak pernah menuntut pelepasan cukai bila mahu bayar cukai. Dengan pelepasan cukai, anda boleh dapat pulangan kewangan yang maksimum untuk tahun ini. Jadi, bagaimana nak tuntut pelepasan cukai? Dalam artikel ini, Qoala akan memberikan senarai pelepasan cukai yang anda mungkin boleh claim. 

Cukai Pendapatan Individu 2024: Apa yang Anda Perlu Tahu Sebelum Bayar Cukai Pendapatan?

Cukai pendapatan ini merupakan cukai tahunan yang perlu dijelaskan untuk disumbangkan kepada negara. Siapa yang kena bayar cukai pendapatan? Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), individu yang mempunyai pendapatan tahunan melebihi RM34,000 (atau pendapatan bulanan kasar sebanyak RM2,833.33) selepas potongan KWSP) perlu membayar cukai tahunan.

Individu dengan pendapatan yang dikenakan cukai tetapi gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang. Oleh sebab itu, anda perlu menjalankan tanggungjawab anda dengan mengisytiharkan cukai pendapatan anda.

Sebelum anda ketahui lebih lanjut berkenaan senarai pelepasan cukai, penting untuk anda mengetahui perkara asas dan soalan-soalan lazim berkaitan cukai pendapatan ini.

i. Maksud Pelepasan Cukai

Apa itu pelepasan cukai atau apa itu tax relief? Pelepasan cukai merujuk pada perbelanjaan yang dibenarkan oleh kerajaan untuk penolakan cukai bagi tahun taksiran berkenaan. Ini bermaksud, cukai pendapatan yang dikenakan dapat dikurangkan jika anda ada membuat perbelanjaan yang boleh dikecualikan cukai.

Pelepasan cukai bertujuan untuk meringankan beban kewangan golongan pembayar cukai. Anda boleh menikmati penjimatan yang besar jika perbelanjaan anda dirancang dengan betul.

ii. Pendapatan Berkanun Penggajian

Apa itu pendapatan berkanun penggajian? Pendapatan berkanun penggajian maksudnya jumlah wang yang diterima oleh individu kerana melakukan kerja di sesebuah syarikat atau organisasi. Ia termasuklah gaji, elaun, dan bonus:

      1. Gaji – Pendapatan yang diperoleh daripada pekerjaan tetap seperti upah, elaun dan bonus;
      2. Elaun – Pendapatan tambahan yang diperoleh daripada kerja lebih masa atau kerja selain tugas asal;
      3. Bonus – Pendapatan tambahan yang diperoleh daripada prestasi kerja yang baik;

Pendapatan ini dianggap sah dan diakui oleh kerajaan, jadi cukai harus dibayar atas pendapatan ini. Maklumat berkaitan pendapatan berkanun penggajian boleh didapati daripada Bahagian B dalam borang EA anda.

      1. Gaji, bonus, yuran pengarah, komisen, elaun, perkuisit, ganjaran dan lain-lain (tunai atau sesuatu yang boleh ditukar kepada tunai);
      2. Manfaat berupa barangan daripada majikan seperti kereta, telefon bimbit, pemandu, orang gaji dan lain-lain;
      3. Nilai tempat kediaman yang disediakan oleh majikan;
      4. Caruman oleh majikan untuk pekerja ke tabung pencen atau kewangan yang tidak diluluskan;
      5. Pampasan kerana kehilangan pekerjaan.

Nota: Statutory income from employment – pendapatan berkanun penggajian in English.

iii. Pendapatan Berkanun Faedah, Diskaun, Royalti, Premium, Pencen, Anuiti, Bayaran Berkala Lain dan Apa-apa Perolehan atau Keuntungan Lain

Semasa mengisi e-Filing, anda perlu jumlahkan kesemua sumber kewangan dalam kategori ini (jika ada). Kemudian, masukkan jumlah pada ruangan yang disediakan. Sumber kewangan ini terdiri daripada:

      1. Faedah – Faedah atau bunga daripada wang yang disimpan atau dilaburkan dalam mana-mana institusi kecuali institusi yang disenaraikan;
      2. Diskaun – Pendapatan daripada urus niaga pendiskaunan yang melibatkan bil perbendaharaan, bil pertukaran atau nota janji hutang;
      3. Royalti – Pendapatan yang diperoleh daripada penjualan hak cipta atau hak paten;
      4. Premium – Pendapatan premium seperti insurans;
      5. Pencen – Cukai yang dikenakan kepada individu yang pencen awal (kurang daripada 55 tahun) atau menerima lebih daripada dua gaji pencen;
      6. Anuiti – Pendapatan daripada wasiat;
      7. Bayaran Berkala – Bayaran lain yang diterima berulang kali pada masa-masa tertentu;
      8. Keuntungan Lain – Apa-apa bayaran yang diperoleh daripada kerja sampingan (freelance) dan sebagainya.

cukai pendapatan yang boleh claim

iv. Pendapatan Bukan Penggajian bagi Tahun Kebelakangan yang Belum Dilaporkan

Jika anda ada apa-apa pendapatan (bukan gaji) untuk tahun-tahun sebelumnya yang belum dilaporkan, anda boleh letakkan maklumat berkaitan di bahagian ini.

v. Jenis Pelepasan Cukai

Di Malaysia, cukai pendapatan yang boleh claim dibahagikan kepada beberapa jenis seperti berikut:

      1. Pelepasan cukai pendapatan individu
      2. Pelepasan cukai gaya hidup, perubatan dan peralatan berkaitan;
      3. Pelepasan cukai untuk anak;
      4. Caruman, sumbangan dan lain-lain.

Butiran lengkap mengenai jenis pelepasan ini boleh dirujuk di bawah.

vi. Bilangan Penggajian LHDN

Apa maksud bilangan pengajian e filing? Bilangan penggajian dalam e filing merujuk kepada berapa jumlah majikan yang menggaji anda pada tahun taksiran.

Sebagai contoh, dalam tahun 2023 anda bekerja dengan dua (2) buah syarikat, oleh itu bilangan penggajian anda adalah dua (2).

vii. Tarikh Akhir e Filing 2024

Penting untuk anda ambil tahu mengenai tarikh akhir ini bagi mengelakkan anda terlepas tarikh penting mengisi e-Filing ini. Untuk makluman, tarikh akhir isi e-Filing adalah sebelum 31 April 2024.

viii. Cara Tuntut Cukai Pendapatan atau Cara Isi e Filing

Bagi anda yang mungkin baru pertama kali ingin claim cukai pendapatan, anda mungkin tidak mengetahui bagaimana cara claim income tax (atau cara memohon pelepasan cukai) dengan betul, bila tarikh akhir e filing 2024 dan sebagainya.

Anda boleh ikuti langkah demi langkah cara claim cukai pendapatan LHDN e filing yang disediakan dalam artikel 7 Cara Isi e-Filing LHDN 2024 untuk Pembayar Cukai Kali Pertama ini.

Semoga panduan lengkap yang disediakan ini membantu anda membuat tuntutan cukai pendapatan.

Claim Cukai Pendapatan: Senarai Pelepasan Cukai 2023 untuk E-Filing 2024

Apa yang boleh claim income tax LHDN? Pihak LHDN telah mengeluarkan senarai pelepasan cukai individu pemastautin bagi tahun taksiran 2023 untuk makluman semua pembayar cukai.

Sila ambil perhatian bahawa anda boleh membuat tuntutan untuk perbelanjaan yang dibuat pada atau sebelum 31 Disember 2023 sahaja. Berikut adalah senarai pelepasan cukai 2023 yang boleh dituntut dalam semasa mengisi e-Filing:

1. Pelepasan Cukai Individu

Bagi jenis potongan individu, anda layak mendapat pengecualian cukai untuk mana-mana kategori-kategori berikut sekiranya berkaitan:

  • Untuk individu dan saudara tanggungan, pelepasan cukai sebanyak RM9,000;
  • Pengecualian cukai sebanyak RM6,000 untuk individu kurang upaya atau RM5,000 untuk suami atau isteri kurang upaya;
  • Dan bayaran alimoni kepada bekas isteri sebanyak RM4,000.

2. Insurans Nyawa dan KWSP

Semasa mengisi LHDN eFiling, anda boleh mempertimbangkan pelepasan cukai untuk insurans nyawa dan KWSP ini:

  • Pengecualian cukai untuk insurans nyawa dan KWSP untuk individu penjawat awam berpencen sebanyak RM7,000;
  • Premium insurans nyawa atau Takaful untuk individu selain penjawat awam sebanyak RM3,000 layak dapat pengecualian cukai semasa mengisi eFiling;
  • Caruman KWSP dan skim yang diluluskan (selain penjawat awam) sebanyak RM4,000;
  • PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan sebanyak RM350.

3. Insurans Pendidikan dan Perubatan

Sekiranya anda mempunyai pelan insurans pendidikan dan insurans perubatan, anda boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM3,000 ke atas premium yang dibayar. Pelepasan cukai insurans pendidikan dan perubatan ini tidak terhad kepada insurans individu sahaja, tetapi turut merangkumi insurans pendidikan dan perubatan pasangan dan anak.

4. Skim Persaraan Swasta (PRS)

Selain caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), anda boleh merancang kewangan persaraan anda dengan Skim Persaraan Swasta (PRS). PRS merupakan skim simpanan pelaburan jangka panjang untuk membantu anda mempunyai kewangan yang mencukupi selepas anda bersara nanti.

Pelaburan atau simpanan dalam mana-mana skim persaraan dan anuiti tertangguh melayakkan anda mendapat pelepasan cukai sehingga RM3,000 semasa pemfailan cukai.

cukai pendapatan yang boleh claim: cara isi e-filing Malaysia

5. Yuran Pengajian

Bagi anda yang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf dan membayar sendiri yuran pengajian tanpa apa-apa pinjaman pendidikan, anda layak mendapat pelepasan cukai ini.

Anda boleh menuntut pelepasan cukai yuran pengajian diri sendiri sehingga RM7,000. Pengecualian cukai ini termasuk kursus upskilling atau self-enhancement dalam apa-apa bidang kemahiran yang diiktiraf.

6. Pengecualian Cukai SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional)

SSPN ini merupakan pelan simpanan yang disokong kerajaan untuk menggalakkan ibu bapa melabur dalam pendidikan tinggi anak-anak. Jika anda mempunyai anak dan anda melabur dengan SSPN, anda boleh mendapat pelepasan cukai sehingga RM8,000 (tabungan bersih) setahun.

Selain boleh nikmati pengecualian cukai, pelabur yang melabur dalam SSPN boleh menikmati pulangan dividen yang kompetitif. Setakat ini, kadar dividen atau pulangan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini telah direkodkan pada kira-kira empat peratus.

7. Perbelanjaan Rawatan Perubatan dan Peralatan Berkaitan

Anda juga boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM8,000 untuk perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius individu, suami, isteri anak termasuk rawatan kesuburan untuk diri sendiri dan pasangan. Selain rawatan perubatan ini, anda juga boleh nikmati pelepasan cukai untuk perkara-perkara berikut:

  • Rawatan perubatan penuh, ujian pengesanan COVID-19, pemvaksinan dan pemeriksaan kesihatan mental atau konsultasi sehingga RM1,000;
  • Pembelian peralatan penyusuan (pembayar cukai wanita sahaja) sehingga RM1,000;
  • Pengecualian cukai untuk rawatan perubatan keperluan khas dan penjagaan ibu bapa sebanyak RM8,000; dan
  • Peralatan alat sokongan khas (individu/suami/isteri/anak/ibu bapa OKU sebanyak RM6,000.

contoh pengecualian cukai untuk isi e-filing 2022

8. Pelepasan Cukai Gaya Hidup LHDN

Anda dibenarkan menuntut pelepasan cukai gaya hidup sehingga RM5,000 di bawah kategori ini. Sebanyak RM2,500 pertama boleh dituntut untuk pembelian gaya hidup untuk pembelian bahan bacaan, pembelian komputer peribadi, telefon pintar, tablet, langganan internet, peralatan sukan dan bayaran keahlian gimnasium;

Sementara baki tambahan sebanyak RM2,500 lagi boleh dituntut untuk pembelian peranti gajet seperti komputer peribadi, telefon pintar dan tablet. Tambahan gaya hidup berkaitan aktiviti sukan (pembelian peralatan sukan, sewaan mana-mana fasiliti sukan, fi pendaftaran penyertaan pertandingan turut layak mendapat pengecualian cukai sebanyak RM500.

9. Perbelanjaan Pelancongan Domestik eFiling

Perbelanjaan melancong dalam negara turut tertakluk kepada tax relief. Anda boleh claim pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan perjalanan domestik jika anda menginap di mana-mana premis berdaftar.

Selain itu, bayaran masuk ke pusat tarikan pelancongan dan pembelian pakej pelancongan domestik dengan ejen berdaftar turut termasuk.

10. Pelepasan Cukai Anak

Bagi pembayar cukai yang sudah berkahwin dan memiliki anak, berikut senarai pengecualian cukai anak untuk panduan anda:

  • Bagi anak yang belum berkahwin berumur 18 tahun dan ke bawah, anda layak membuat tuntutan sebanyak RM2,000;
  • Anak berumur 18 tahun dan ke atas (belum berkahwin, belajar sepenuh masa) pula, pengecualian cukai yang diperuntukkan adalah sebanyak RM2,000;
  • Anak berumur 18 tahun dan ke atas yang belum berkahwin dan sedang belajar di IPT peringkat Diploma dan ke atas di Malaysia, pengecualian cukai sebanyak RM8,000;
  • Pelepasan cukai yuran taman asuhan kanak-kanak/Tadika berdaftar (berumur 6 tahun dan ke bawah sebanyak RM3,000;
  • Pelepasan cukai anak kurang upaya sebanyak RM6,000;
  • Tambahan tax relief bagi anak kurang upaya (belajar di IPT peringkat Diploma dan ke atas sebanyak RM8,000.

senarai pelepasan cukai 2022

11. Caruman dan Sumbangan Lain

Selain itu, bayaran pemasangan, sewa dan pembelian pengecas kenderaan elektrik untuk kegunaan sendiri (termasuk sewa beli dan langganan) layak mendapat pengecualian cukai sebanyak RM2,500.

Manfaatkan Pelepasan Cukai, Isi e-Filing LHDN melalui MyTAX 2024

Proses untuk declare cukai pendapatan dan claim cukai pendapatan boleh dilakukan dengan mudah melalui sistem e-Filing LHDN online. Isi e-Filing LHDN anda dengan merujuk borang EA dan senarai pelepasan cukai ini. Penting untuk anda manfaatkan pelepasan cukai bagi membolehkan anda mendapat bayaran balik lebihan cukai yang telah dibayar.

Semak dan perhatikan senarai pelepasan cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2023 sebelum anda isi e-Filing cukai pendapatan. Duit lebihan yang diterima ini boleh dimasukkan ke dalam tabung simpanan kecemasan atau boleh digunakan untuk pelaburan. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa senarai pelepasan cukai berubah-ubah dari tahun ke tahun.

Jadi, periksa dahulu sama ada perbelanjaan atau pembelian anda tertakluk pada pelepasan cukai sebelum membuat tuntutan. Selain itu, sekiranya anda ingin mendapatkan insurans perubatan dan kesihatan bagi memaksimumkan pelepasan cukai anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan dan pembaharuan insurans terbaik di Malaysia.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

19 comments

  1. tq hariz. saya nak tanya if resit2 contonhnya resit hotel atas nama suami tapi isteri nak claim resit tu under dia. boleh ke?

  2. Hi Syikin, terima kasih atas soalan. Jika resit hotel atas nama suami, biasanya hanya suami yang boleh menggunakan resit tersebut. Secara umumnya, resit atau dokumen pembayaran yang dikeluarkan atas nama seseorang hanya boleh digunakan oleh pemilik resit tersebut. Tetapi jika persetujuan yang dibuat, maka isteri boleh menggunakan resit tersebut untuk tujuan pengiraan cukai. Sebaiknya, saya sarankan Cik Syikin menghubungi Lembaga Hasil Dalam Negeri atau pegawai cukai yang berkaitan untuk maklumat lanjut dan nasihat mengenai situasi khusus ini. Harap penjelasan ini dapat membantu.

  3. Assalamualaikum.
    En Hariz,
    Ayah sy umur 65thn, sihat alhamdulillah, tidak berpenyakit dan duduk seorg diri di kampung. Sy beri ayah rm500 sebulan dan adik sy beri rm200 sebulan utk belanja ayah. Sy nak sahkan adakah boleh sy dan adik boleh membuat pelepasan bayaran cukai bg penjagaan ibu bapa yg rm8000 tu, tetapi sy declare rm6000 saja dan adik rm2000. Sy ada transaksi bank bulanan ke akaun kakak sy kerana kakak sy yg akan serah duit sewa dan belikan keperluan ayah kerana jarak rumah mereka dekat.

  4. Waalaikumsalam, cik Suzana, pelepasan cukai RM8,000 bagi penjagaan ibu bapa itu hanyalah untuk perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjaga untuk ibu bapa (Keadaan kesihatan disahkan oleh pengamal perubatan). Maksudnya di sini, pelepasan ini hanya berkaitan ‘medical’ sahaja dan kena ada bukti resit pembayaran hospital. Untuk maklumat lebih lanjut, cik Suzana boleh rujuk laman rasmi LHDN https://www.hasil.gov.my/individu/kitaran-cukai-individu/lapor-pendapatan/pelepasan-cukai/

  5. Assalamualaikum,jika suami,isteri dan anak2 ada buat ujian covid di klinik swasta boleh ke dapat pengecualian?tapi resit sudah bagi kepada majikan untuk claim…..jika pelepasan untuk anak bawah 18 yang ada kelas tuisyen,mengaji boleh ada pelepasan x?

    1. Hi Encik Afif,
      Jika anda mengambil pinjaman untuk membayar yuran pengajian, maka anda hanya boleh membuat tuntutan pelepasan untuk jumlah yuran sahaja. Sebagai contoh, jika yuran pengajian adalah sebanyak RM4,000 dan mengambil pinjaman dengan PTPTN sebanyak RM30,000, maka anda hanya boleh membuat tuntutan pelepasan untuk jumlah yuran RM4,000 sahaja.

      Pelepasan ini tidak “applicable” untuk pembayaran loan bulan-bulan. Hanya untuk yuran pengajian sahaja.

  6. Assalamualaikum.
    En Hariz, saya nak bertanya. Saya berhenti daripada syarikat swasta (MNC) pada awal bulan Feb 2023. Akibat kekurangan staff, majikan membayar duit “Annual Leave encashment” kepada saya. Soalan saya, adakah duit “Annual Leave encashment” itu dikira sebagai pendapatan penggajian? Terima kasih En Hariz

    1. Waalaikumsalam Encik Faizal, Pampasan kerana kehilangan pekerjaan (dalam kes encik Annual Leave encashment) merupakan sumber penggajian yang layak dikenakan cukai.

  7. Hi..anak oku ambil ijazah di u mulai bulan September,saya boleh claim penuh rm8000 ke atau ada kiraan tertentu.Tq

    1. Hi Abby Ong, ya boleh buat tuntutan penuh, asalkan bayaran dibuat pada tahun 2022 dan ada resit pembayaran yang berkaitan.

    1. Hi Cik Azilla, belanja bulanan ibu bapa tidak termasuk dalam pelepasan cukai. Pelepasan cukai RM8,000 bagi penjagaan ibu bapa itu hanyalah untuk perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjaga untuk ibu bapa. Maksudnya di sini, pelepasan ini hanya berkaitan ‘medical’ sahaja dan kena ada bukti resit pembayaran hospital.

  8. Bolehkah saya buat tuntutan cukai untuk tahun 2021 kerana saya baru tahu bagaimana untuk tuntut cukai. saya tidak pernah tuntut cukai selama 8 tahun saya bekerja.

  9. Salam. Kalau ada beli kasut sukan dari official website tapi bill atas nama isteri, boleh claim tax tak?

  10. Let say..kalau kita baru register e filling..tp lps tu kita nak cancel balik. Boleh ke. Sbb rasa company not strong enough.

  11. salam tuan. sekiranya staff nak claim perubatan. boleh ke majikan dapat pelepasan cukai bagi claim tersebut. berapa jumlah setiap tahun yang dibenarkan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60