Borang EA: Borang Cukai Pekerja Swasta untuk Isi e-Filing LHDN 2024

Kali terakhir diperbaharui Jan 18, 2024 oleh Shafiq Wahab
Borang EA: Borang Cukai Pekerja Swasta untuk Isi e-Filing LHDN 2024

Borang EA atau Penyata Imbuhan Tahunan merupakan penyata gaji atau saraan setahun bagi pekerja swasta. Ia mengandungi maklumat berkaitan gaji, bonus, komisen, faedah, elaun, potongan cukai bulanan (PCB LHDN) dan caruman KWSP. Borang EA juga memiliki maklumat berkenaan manfaat-manfaat lain yang disediakan oleh majikan kepada pekerja.

Baru Terima Borang EA LHDN 2023? 5 Persediaan Penting Bantu Anda Lengkapkan e-Filing Cukai Pendapatan

Secara asasnya, individu yang menerima pendapatan tahunan sebanyak RM34,000 dan ke atas selepas penolakan caruman KWSP wajib membayar cukai pendapatan. Kadar cukai pendapatan setiap individu adalah berbeza mengikut kategori – biasanya sekitar satu peratus bagi julat pendapatan antara RM5,001 dan RM20,000 atau sehingga 30 peratus bagi pendapatan tahunan melebihi RM2 juta.

Semasa musim isi e-Filing cukai pendapatan ini, Borang EA merupakan antara dokumen penting yang perlu ada khususnya individu yang bekerja dalam sektor swasta. Bagi individu yang baru pertama kali ingin membuat pemfailan cukai pendapatan, berikut antara tips yang boleh anda ikuti:

1. Sediakan Borang EA (atau Borang EC)

Borang EA penting untuk anda mengisi borang cukai atau e-Filing cukai pendapatan. Menurut Seksyen 83 (1A) Akta Cukai Pendapatan 1967, majikan perlu menyediakan dan mengedarkan Borang EA selewat-lewatnya sebelum 1 Mac setiap tahun. Ini kerana, individu yang layak dikenakan cukai pendapatan perlu menghantar borang cukai selewat-lewatnya pada 30 April.

Borang EA penting kerana ia mengandungi semua butiran dan maklumat penting berkaitan gaji, bonus, ganjaran termasuk kemudahan yang diberikan oleh majikan. Sebagai contoh, majikan beri kemudahan kereta, caruman KWSP, zakat pendapatan dan sebagainya. Dalam erti kata lain, semua maklumat ada dinyatakan dalam borang – jadi tiada isu menyembunyikan maklumat penggajian.

Selain itu, borang EA ini juga penting untuk urusan berkaitan permohonan pinjaman kereta atau pinjaman rumah. Pihak bank biasanya akan meminta peminjam untuk sediakan borang EA ini.

Nota: Borang EC pula merujuk pada Borang Cukai Pekerja Kerajaan untuk Penyata Gaji selama setahun

 

download borang ea lhdn di sini

2. Daftar Masuk e-Filing Cukai Pendapatan

Bagi pembayar cukai kali pertama, anda perlu mencipta profil terlebih dahulu bagi membolehkan anda mendapatkan akses kepada laman e-Filing. Apabila selesai mendaftar, anda boleh mula mengisi maklumat ke dalam sistem e-Filing dengan merujuk maklumat yang dinyatakan dalam borang EA.

Pastikan amaun yang dimasukkan semasa mengisi e-Filing adalah sama dengan amaun yang dipaparkan dalam Borang EA atau Borang EC ini. Setelah selesai mengisi maklumat ini, pengguna boleh mengetahui jumlah atau baki cukai pendapatan yang perlu dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Individu yang membayar PCB melebihi kadar cukai sebenar yang perlu dibayar akan menerima lebihan wang bayaran cukai tersebut. Oleh sebab itu, penting untuk anda mengisi e-Filing bagi membolehkan anda mendapat semula lebihan PCB yang dibayar setiap bulan. Perkhidmatan e-Filing bagi tahun taksiran 2022 mula dibuka pada 1 Mac 2024.

3. Kenal Pasti Perbelanjaan Layak Pelepasan Cukai

Ambil tahu jenis perbelanjaan tahun percukaian semasa yang layak mendapat pelepasan cukai termasuk rebat. Perbelanjaan keperluan anak-anak, yuran persekolahan dan pengajian; insurans perubatan, insurans nyawa, zakat, perbelanjaan gaya hidup dan penginapan hotel ketika melancong merupakan antara pelepasan cukai asas yang ditawarkan oleh kerajaan.

Penyata Takaful & Insurans

Anda boleh minta penyata tahunan daripada ejen takaful atau insurans anda. Anda boleh menuntut bayaran balik untuk langganan takaful/insurans nyawa, insurans pendidikan dan perubatan TIDAK termasuk pembaharuan takaful/insurans kereta.

Resit Gaya Hidup

Anda boleh claim pelepasan gaya hidup sehingga maksimum RM2,500. Apa-apa pembelian gaya hidup seperti pembelian telefon bimbit, komputer riba, tablet dan alatan sukan, langganan buku dan internet dan sebagainya layak mendapat pelepasan cukai.

Resit Alatan Penyusuan

Pelepasan ini untuk pembayar cukai wanita sahaja. Ia melibatkan pembelian peralatan penyusuan ibu untuk anak berumur dua tahun dan ke bawah. Amaun yang boleh dituntut terhad maksimum RM1,000.

Resit Prasekolah

Jika anda mempunyai anak yang berumur enam tahun dan ke bawah yang dihantar ke prasekolah atau pusat asuhan, anda boleh buat tuntutan pelepasan cukai. Potongan maksimum untuk tuntutan ini hanyalah RM1,000.

Namun begitu, anda perlu pastikan taman asuhan kanak-kanak ini berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau prasekolah kerajaan dan swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri.

Penyata SSPN-i

Selain itu, amaun simpanan bersih yang dimasukkan ke dalam akaun SSPN-i juga boleh dituntut. Simpanan bersih merujuk pada amaun bersih yang disimpan, bukan amaun yang dimasukkan setiap bulan ke dalam akaun. Untuk tahun taksiran 2022, amaun maksimum yang boleh dituntut adalah sebanyak RM8,000.

Jumlah Simpanan Tahun Semasa – Jumlah Pengeluaran Tahun Semasa

Sebagai contoh, baki bawa ke hadapan akaun SSPN-i dari tahun 2021 adalah sebanyak RM4,500. Anda menyimpan sebanyak RM2,000 pada tahun 2021 dan lakukan pengeluaran RM1,500 untuk perbelanjaan sekolah anak-anak. Potongan pelepasan cukai yang layak dituntut adalah sebanyak RM500 sahaja (RM2,000 – RM1,500).

Resit Bayaran Zakat

Semua jenis bayaran zakat seperti zakat fitrah, zakat pendapatan, zakat emas dan zakat simpanan yang dibuat dalam tahun taksiran boleh dituntut semula. Anda boleh mendapatkan resit atau penyata bayaran zakat dari Pusat Zakat Negeri semasa membuat bayaran.

Walaupun pihak LHDN tidak meminta pembayar cukai untuk menghantar resit-resit ini semasa mengisi e-Filing, anda disarankan untuk menyimpan resit bayaran sebagai bukti. Ini kerana, anda mungkin akan diminta oleh pihak LHDN untuk menghantarnya pada masa akan datang untuk diaudit.

Setiap tahun, pihak LHDN akan memilih individu secara rawak untuk menghantar resit dan segala dokumen berkaitan bagi tujuan semakan. Sekiranya tiada resit bayaran, anda mungkin akan dikenakan denda atau penalti kerana dianggap melakukan tuntutan palsu bagi pengecualian cukai.

Had maksimum perbelanjaan dan senarai pelepasan cukai biasanya akan dikemas kini oleh pihak LHDN setiap tahun. Senarai ini boleh berubah bergantung pada dasar semasa kerajaan. Untuk ketahui senarai penuh pelepasan cukai tahun taksiran 2022, anda boleh rujuk artikel Senarai Pelepasan Cukai 2022 untuk e-Filing 2024.

4. Buat Rayuan Bayaran Ansuran, Jika Perlu

Pembayar cukai dinasihatkan untuk tidak menghantar pemfailan cukai selagi tidak memuktamadkan jumlah sebenar cukai pendapatan yang perlu dibayar selepas penolakan. Ini kerana, jika amaun PCB yang dipotong tidak mencukupi, maka amaun perbezaan (potongan PCB setiap bulan dengan cukai sebenar kena bayar) perlu dibayar kepada LHDN dalam tempoh 30 hari selepas borang cukai dihantar.

Kegagalan menjelaskan bayaran dalam tempoh tersebut boleh menyebabkan anda didenda dengan kenaikan 10 peratus daripada baki cukai yang tidak dibayar. Namun begitu, mana-mana individu yang berdepan masalah untuk membuat pembayaran boleh membuat rayuan untuk pembayaran cukai secara ansuran kepada LHDN.

Borang EA: Pelepasan Cukai Suami Isteri

5. Pilihan untuk Pembayar Cukai yang Sudah Berkahwin

Pembayar cukai yang sudah berkahwin mempunyai pilihan sama ada untuk pemfailan cukai secara bersama atau berasingan. Biasanya, pembayar cukai memilih untuk membuat pengiraan cukai secara bersama jika pasangan tidak bekerja atau mempunyai pendapatan rendah. Cara ini membolehkan pembayar cukai mendapat pengecualian cukai bagi perbelanjaan tanggungan isteri sebanyak RM9,000.

Namun begitu, jika kedua-dua pembayar cukai bekerja dan mempunyai pendapatan yang layak dicukai, kebiasaannya akan memilih untuk membuat pemfailan cukai secara berasingan. Tuntutan pelepasan cukai bagi tanggungan anak-anak boleh dibahagikan antara suami dan isteri, selain boleh mendapat pengecualian cukai bagi tanggungan ibu bapa masing-masing.

Selain itu, pemfailan cukai secara berasingan dilakukan bagi mengelakkan pembayar cukai daripada dikenakan kadar peratus cukai yang lebih tinggi sekiranya kedua-dua pendapatan digabungkan.

Isi e-Filing Awal untuk Elakkan Masalah, Beli Insurans Kesihatan untuk Maksimumkan Pelepasan Cukai

Selain itu, anda disarankan untuk melakukan pengisian e-Filing lebih awal. Elakkan daripada mengisi e-Filing pada hari terakhir penyerahan borang cukai. Ini kerana, pembayar cukai mungkin terdedah kepada risiko seperti masalah akses internet yang terhad dan laman web yang tidak stabil.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan borang EA atau pembayaran cukai pendapatan, anda boleh rujuk laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk info lanjut.

Selain itu, sekiranya anda ingin mendapatkan insurans perubatan dan kesihatan bagi memaksimumkan pelepasan cukai anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan dan pembaharuan insurans terbaik di Malaysia.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60