7 Cara Isi e-Filing 2024 untuk Pembayar Cukai Kali Pertama

Kali terakhir diperbaharui Jan 18, 2024 oleh Shafiq Wahab
7 Cara Isi e-Filing 2024 untuk Pembayar Cukai Kali Pertama

Bulan Mac setiap tahun boleh dikatakan sebagai bulan claim cukai pendapatan atau tempoh isi e-Filing cukai pendapatan. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mewajibkan penyerahan borang taksiran cukai pendapatan dilakukan melalui sistem e-Filing. Anda boleh mula isi e-Filing cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2023 bermula 1 Mac 2024.

LHDN efiling: Panduan Isi e-Filing Cukai Pendapatan Tahun Taksiran 2024 Melalui MyTax

Bagi pembayar cukai kali pertama, anda mungkin keliru dengan cara isi e-Filing untuk mendapatkan semula lebihan bayaran tahun taksiran yang dibayar. Perkhidmatan LHDN eFiling merupakan platform untuk anda mengisi maklumat berkaitan dengan pencukaian anda. Sebagai pembayar cukai, anda perlu kemukakan borang taksiran cukai pendapatan melalui sistem efiling 2024 ini.

Sama ada anda fresh grad yang baru bekerja ataupun ingin refresh semula berkenaan cara isi e Filing LHDN ini, berikut panduan e filing 2024 lengkap yang boleh anda ikuti untuk membantu anda isi LHDN e Filing melalui portal MyTax dengan betul:

1. Akses Laman Web MyTax

Untuk mengisi borang cukai pendapatan secara online, anda perlu layari portal rasmi MyTax (sebelum ini dikenali sebagai ezHASiL). Anda boleh layari pautan https://mytax.hasil.gov.my/.

Kemudian, pilih Jenis Pengenalan – No Kad Pengenalan. Masukkan nombor kad pengenalan anda, seterusnya klik Hantar.

2. Daftar Pengguna Kali Pertama

Bagi pengguna yang kali pertama ingin isi e-Filing ini, sistem akan memaparkan mesej makluman sekiranya Sijil Digital anda tidak wujud. Pembayar cukai perlu mempunyai Sijil Digital di bawah Akta Tandatangan Digital 1997 untuk mengakses MyTax dan isi e-Filing.

Bagi anda yang belum memiliki Sijil Digital, kaedah permohonan Sijil Digital boleh dilakukan sama ada melalui:

  • e-CP55D (Permohonan di laman web);
  • e-KYC (Pengecaman identiti wajah melalui mobile).

Untuk mendapatkan Sijil Digital, klik butang e-CP55D – pengguna akan dibawa ke halaman Pengesahan Maklumat. Sahkan maklumat peribadi yang dipaparkan pada skrin seperti nombor kad pengenalan, nama penuh dan alamat e-mel. Jika betul, klik Hantar.

Makluman pendaftaran berjaya akan dipaparkan setelah pengguna berjaya log masuk kali pertama. Pautan pengaktifan log masuk kali pertama juga akan dihantar ke alamat e-mel yang berdaftar dengan LHDN.

Anda perlu klik pautan pada e-mel untuk mengaktifkan Sijil Digital dalam tempoh dua hari dari tarikh e-mel diterima.

3. Daftar Sijil Digital

Setelah selesai pengaktifan Sijil Digital, akses semula laman web MyTax. Pilih Jenis Pengenalan – No Kad Pengenalan, kemudian masukkan nombor kad pengenalan dan klik Hantar.

Lakukan Pengesahan Maklumat Asas – pastikan semua maklumat yang dipaparkan adalah betul. Kemudian cipta kata laluan baharu serta frasa keselamatan. Klik butang Setuju dan klik Hantar.

Sistem akan memaparkan makluman yang Sijil Digital telah berjaya didaftarkan. Kemudian, klik butang OK.

Isi e-Filing LHDN melalui MyTax HASil

4. Pilih Menu e-Filing MyTax 2024

Setelah selesai, klik pada menu Perkhidmatan ezHasil dan pilih e-Filing. Paparan akan menunjukkan pilihan menu yang tersedia seperti e-Semakan Pengesahan, e-Borang, e-Permohonan Pindaan BE dan e-BE Tahun Taksiran Semasa.

Klik butang e-Borang – tab lain akan dibuka memaparkan kategori e-Borang yang boleh anda pilih bergantung pada kategori percukaian anda seperti:

  • e-BE (Individu pemastautin tiada punca pendapatan perniagaan);
  • e-B (Individu pemastautin ada punca pendapatan perniagaan);
  • e-BT (Individu pemastautin yang terdiri daripada pekerja berpengetahuan atau pekerja berkepakaran (Program Kepulangan Pakar) yang telah diluluskan oleh Menteri;
  • e-M (Borang pengembalian cukai bagi individu bukan pemastautin);
  • e-MT (Individu bukan pemastautin yang terdiri daripada pekerja berpengetahuan yang tertakluk pada kelulusan oleh Menteri.

5. Pilih Borang e-BE (Individu Makan Gaji)

Bagi individu bujang makan gaji (atau menerima penggajian daripada majikan), pilih borang e-BE untuk isi e-Filing cukai pendapatan individu 2024. Masukkan tahun taksiran yang betul – tab lain akan dibuka memaparkan Borang Nyata Individu yang perlu diisi.

Lengkapkan borang tersebut dengan maklumat yang tepat. Anda boleh merujuk Borang EA LHDN yang dikeluarkan oleh majikan anda semasa mengisi borang ini. Secara asasnya, borang e-BE MyTax terbahagi kepada lima bahagian – isi dan lengkapkan semua maklumat diperlukan.

i. Profil Individu

Bahagian ini mengandungi maklumat asas pembayar cukai seperti Nama, No. Pengenalan Cukai, Status Perkahwinan, Jenis Taksiran dan lain-lain lagi.

ii. Profil Lain

Bahagian ini pula mengandungi maklumat lain pembayar cukai seperti nombor telefon, nombor majikan, alamat e-mel, kaedah bayaran balik lebihan cukai, maklumat bank, alamat surat-menyurat, tuntutan insentif dan lain-lain lagi.

iii. Pendapatan

Bahagian ini mengandungi pendapatan berkanun penggajian* dan jumlah pendapatan seperti bilangan penggajian. Apa maksud bilangan penggajian e filing? Ia merujuk pada bilangan majikan dalam tahun taksiran sama ada satu atau lebih. Dalam ayat mudah, maksud bilangan penggajian ialah berapa banyak syarikat yang membayar gaji anda dalam tahun ini.

Sebagai contoh, Ali berhenti daripada syarikat A pada bulan April, kemudian beliau menyertai syarikat B pada bulan Mei. Ini bermaksud, Ali memiliki dua bilangan penggajian LHDN dan memerlukan dua borang EA daripada dua syarikat berbeza.

*Nota: Apa maksud Pendapatan Berkanun Penggajian? Pendapatan Berkanun Penggajian merujuk pada jumlah wang yang diterima oleh seseorang kerana melakukan kerja di suatu syarikat atau organisasi termasuk gaji, elaun, dan bonus.

Selain itu, anda perlu memasukkan kesemua pendapatan yang diperoleh dalam tahun taksiran termasuk faedah, diskaun, royalti, premium, pencen, anuiti dan apa-apa perolehan dan keuntungan tambahan lain.

iv. Pelepasan Cukai

Bahagian ini membolehkan anda memasukkan pelepasan cukai yang boleh dituntut untuk tahun taksiran semasa. Namun begitu, pastikan pelepasan cukai yang anda tuntut mempunyai bukti seperti resit pembelian seperti resit perubatan ibu bapa, resit pembelian telefon pintar baharu, buku dan sebagainya.

Anda juga perlu pastikan anda memasukkan nilai yang sama atau tidak memasukkan apa-apa amaun jika tidak mempunyai resit pembayaran. Ini kerana, pihak LHDN boleh meminta bukti (resit pembelian) pada masa hadapan. Jika gagal mengemukakan bukti, anda boleh dikenakan penalti oleh LHDN.

Cara Claim Pelepasan Cukai: Senarai Pelepasan Cukai Individu Bagi Tahun Taksiran 2023 LHDN (e-Filing 2024)

Berikut senarai pelepasan cukai yang boleh anda pertimbangkan bagi membolehkan anda mendapat lebihan bayaran tahun taksiran atau bayaran balik PCB yang dipotong dalam slip gaji anda:

Jenis Pelepasan Cukai Amaun Pelepasan Cukai
Pelepasan Cukai Individu
  1. Individu dan saudara tanggungan: RM9,000
  2. Individu kurang upaya: RM6,000
  3. Suami atau isteri kurang upaya: RM5,000
  4. Suami/isteri/alimoni kepada bekas isteri: RM4,000
  5. Yuran pengajian diri sendiri: RM7,000
Pelepasan Cukai Gaya Hidup, Perubatan & Peralatan Berkaitan
  1. Perbelanjaan melancong dalam negara: RM1,000
  2. Rawatan perubatan keperluan khas dan penjagaan ibu bapa: RM8,000
  3. Peralatan alat sokongan khas (individu/suami/isteri/anak/ibu bapa OKU): RM6,000
  4. Gaya hidup (pembelian bahan bacaan, komputer peribadi, telefon pintar, langganan internet, peralatan sukan, keahlian gimnasium: RM2,500
  5. Tambahan untuk pembelian komputer peribadi, telefon pintar dan tablet: RM2,500 
  6. Tambahan gaya hidup berkaitan aktiviti sukan (pembelian peralatan sukan, sewaan mana-mana fasiliti sukan, fi pendaftaran penyertaan pertandingan: RM500 
  7. Pembelian peralatan penyusuan (pembayar cukai wanita sahaja): RM1,000
  8. Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius (individu/suami/isteri/anak) & rawatan kesuburan (diri sendiri/pasangan): RM8,000
  9. Rawatan perubatan penuh, ujian pengesanan COVID-19, pemvaksinan dan pemeriksaan kesihatan mental atau konsultasi: RM1,000
Pelepasan Cukai Anak
  1. Anak berumur 18 tahun dan ke bawah (belum berkahwin): RM2,000
  2. Anak berumur 18 tahun dan ke atas (belum berkahwin, belajar sepenuh masa): RM2,000
  3. Anak berumur 18 tahun dan ke atas (belum berkahwin, belajar di IPT Diploma dan ke atas di Malaysia): RM8,000
  4. Yuran taman asuhan kanak-kanak/Tadika berdaftar (berumur 6 tahun dan ke bawah: RM3,000
  5. Anak kurang upaya: RM6,000
  6. Tambahan bagi anak kurang upaya (belajar di IPT Diploma dan ke atas): RM8,000 
Caruman dan Sumbangan Lain
  1. Insurans nyawa dan KWSP (individu penjawat awam berpencen): RM7,000
  2. Insurans nyawa/Takaful (selain penjawat awam): RM3,000
  3. KWSP dan Skim yang diluluskan (selain penjawat awam): RM4,000
  4. PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan: RM350
  5. Skim persaraan dan anuiti tertangguh: RM3,000
  6. Insurans pendidikan dan perubatan (individu/pasangan/anak): RM3,000
  7. SSPN (tabungan bersih): RM8,000
  8. Bayaran pemasangan, sewa dan pembelian pengecas kenderaan elektrik untuk kegunaan sendiri (termasuk sewa beli dan langganan): RM2,500

v. Rumusan

Pada bahagian ini, rumusan cukai akan dipaparkan sama ada pembayar cukai mempunyai Lebihan Bayaran atau ada Baki Cukai Kena Dibayar. Bahagian ini juga membolehkan anda menyemak semula semua maklumat yang telah diisi.

Klik butang Teruskan untuk menghantar pengisytiharan borang. 

6. Tandatangan dan Hantar Borang

Setelah anda pastikan semua maklumat yang dimasukkan adalah betul, klik Tandatangan dan Hantar. Masukkan nombor kad pengenalan dan kata laluan yang ditetapkan untuk menghantar borang yang telah lengkap diisi. Setelah selesai, anda boleh memuat turun salinan e-Borang untuk simpanan anda.

7. Terima Bayaran Balik

Bagi menerima lebihan bayaran tahun taksiran, anda boleh masukkan butiran bank anda bagi memudahkan bank membayar lebihan balik kepada anda. Bayaran balik LHDN untuk lebihan bayaran tahun taksiran biasanya akan dilakukan dalam tempoh dua (2) minggu selepas borang e-Filing dihantar.

Anda boleh mula isi e-Filing bermula 1 Mac dan tarikh akhir e filing 2024 adalah pada 30 April.

senarai pelepasan cukai 2022

Bayar Cukai Pendapatan untuk Masa Depan Malaysia yang Lebih Baik

Semoga panduan berkaitan cara isi e filing 2024 cukai pendapatan ini boleh membantu anda mengetahui cara claim income tax (atau cara isi e filing 2023/2024) dengan betul, apa yang boleh claim income tax dan sebagainya. Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut mengenai cara isi e-Filing cukai pendapatan individu 2024 ini, anda boleh merujuk laman web rasmi LHDN untuk info lanjut.

Selain itu, sekiranya anda ingin mendapatkan insurans perubatan dan kesihatan bagi memaksimumkan pelepasan cukai anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan dan pembaharuan insurans terbaik di Malaysia.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60