Kaedah Kiraan, Cara Bayar Zakat Simpanan di Malaysia 2024

Kali terakhir diperbaharui Jan 18, 2024 oleh Shafiq Wahab
Kaedah Kiraan, Cara Bayar Zakat Simpanan di Malaysia 2024

Ramai umat Islam yang membayar zakat fitrah dan zakat pendapatan setiap tahun. Tetapi ramai yang tidak sedar atau terlepas pandang kewajipan untuk membayar zakat simpanan ke atas wang simpanan dimiliki yang memenuhi syarat-syaratnya. Umumnya, zakat wang simpanan dikeluarkan oleh pendeposit daripada simpanan yang telah genap setahun dan cukup nisab.

7 Perkara Golongan Muda Wajib Tahu Tentang Zakat Simpanan

Antara persoalan yang sering ditanyakan berkaitan zakat simpanan – Jenis simpanan yang layak dikenakan zakat? Berapa jumlah simpanan minimum yang wajib keluarkan zakat? Bagaimana kaedah pengiraan zakat?

Jadi, untuk menjawab persoalan anda berkaitan zakat wang simpanan ini, berikut panduan asas tentang zakat wang simpanan untuk rujukan dan panduan anda.

1. Apa Itu Zakat Simpanan?

Zakat simpanan dikenakan ke atas wang simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan termasuklah akaun simpanan, simpanan tetap, simpanan semasa, saham amanah, pelaburan, pegangan saham, bon simpanan dan sebagainya. Ia juga dikenakan ke atas perkara lain yang boleh diterima pakai sebagai mata wang dalam urusan jual beli seperti emas atau perak.

2. Jenis Simpanan yang Boleh Dikenakan Zakat Simpanan

Berikut merupakan antara simpanan yang boleh dikenakan zakat simpanan. Anda perlu kira jumlah keseluruhan kesemua jenis simpanan ini bagi mengetahui sama ada simpanan anda melebihi nilai nisab zakat wang simpanan terkini:

  • Simpanan dalam bank atau institusi kewangan;
  • Simpanan wang di luar institusi kewangan;
  • Simpanan ASB;
  • Sijil bon simpanan;
  • Pegangan saham;
  • Pelaburan jangka panjang;
  • Lain-lain simpanan seperti simpanan emas dan sebagainya.

Namun begitu, tidak semua simpanan perlu diambil kira dalam menentukan jumlah zakat simpanan yang perlu dibayar. Simpanan wang di Tabung Haji atau dalam akaun Bank Islam contohnya tidak tertakluk pada zakat wang simpanan.

Ini kerana, institusi-institusi ini telah mengeluarkan zakat simpanan bagi pihak anda.

3. Syarat Wajib Zakat Wang Simpanan

Secara asasnya, wang simpanan yang anda miliki wajib dikeluarkan zakat jika:

  • Cukup nisab* – kadar nisab biasanya berbeza mengikut negeri sama seperti kadar zakat fitrah;
  • Cukup haul**

*Nisab merujuk pada kadar harta yang telah ditentukan oleh Syarak – sesuatu harta tidak akan dikenakan zakat sekiranya tidak sampai kadar harta yang telah ditentukan.

**Cukup haul bermaksud simpanan atau harta yang dimiliki cukup tempoh setahun dalam perkiraan tahun Hijrah (354 hari) atau mengikut tahun masihi (365 hari).

simpanan yang cukup haul dan nisab perlu dibayar zakat simpanan

4. Nisab Zakat Wang Simpanan

Nisab* zakat wang simpanan adalah berdasarkan harga secara purata emas seberat 85 gram atau 595 gram perak pada tahun itu dengan kadar bayaran zakat sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah bersih. Sebagai contoh, jika harga emas satu (1) gram ialah RM35.29, maka harga bagi 85 gram emas ialah RM3,000 (nilai nisab wang simpanan).

Ini bermakna, jika simpanan anda melebihi RM3,000 (atau apa-apa nilai semasa zakat wang simpanan bergantung pada negeri masing-masing), anda wajib membayar zakat simpanan setelah cukup haul (setahun).

Nisab Zakat Simpanan Mengikut Negeri di Malaysia

Untuk makluman, kadar nisab zakat simpanan terkini untuk negeri Selangor (2022) adalah RM19,973. Ini bermaksud, jika simpanan anda sama atau melebihi amaun RM19,973 ini, anda wajib membayar zakat wang simpanan. Berikut merupakan jadual kadar nisab zakat wang simpanan untuk semua negeri-negeri di Malaysia untuk rujukan anda:

Negeri/Tahun 2023 2022 2021 2020
Johor Akan dikemas kini RM20,614 RM20,579.75 RM21,783.37
Kedah Akan dikemas kini RM20,402 RM20,345.24 RM15,767.73
Kelantan Akan dikemas kini RM20,520 RM15,972.06 RM15,972.06
Melaka Akan dikemas kini RM20,361 RM15,767.73
Negeri Sembilan Akan dikemas kini RM20,970 RM18,789 RM18,789.75
Pahang Akan dikemas kini RM20,312 RM21,556.65
Pulau Pinang Akan dikemas kini RM20,370 RM20,500 RM15,885
Perak Akan dikemas kini RM20,614 RM19,940.01 RM20,949.86
Perlis Akan dikemas kini RM20,614 RM20,579.75 RM20,949.86
Selangor Akan dikemas kini RM19,973 RM20,920 RM18,570
Terengganu Akan dikemas kini RM20,331 RM20,503.42 RM19,512.03
Sabah Akan dikemas kini RM20,600 RM20,300 RM15,800
Sarawak Akan dikemas kini RM20,137 RM20,440.68 RM14,456.21

5. Kadar Wajib Zakat Simpanan

Jika simpanan anda melebihi kadar nisab zakat simpanan terkini, kadar bayaran zakat yang dikenakan adalah sebanyak 2.5 peratus ke atas baki terakhir dalam tempoh setahun simpanan.

Sebagai contoh, jika jumlah keseluruhan simpanan anda daripada semua beberapa sumber simpanan berjumlah RM22,000, pengiraan kadar wajib zakat simpanan adalah seperti berikut – 2.5 peratus x RM22,000 = RM550.

Jumlah zakat wang simpanan yang perlu dibayar pada tahun itu adalah sebanyak RM550.

Kalkulator Zakat Simpanan

Untuk mengetahui nilai zakat simpanan yang perlu dibayar, anda boleh merujuk kalkulator zakat simpanan yang disediakan oleh institusi zakat negeri masing-masing.

Sekiranya anda mempunyai kemusykilan, kami menyarankan anda untuk membuat pengiraan zakat wang simpanan di kaunter zakat berhampiran anda.

6. Kaedah Pengiraan

Berikut merupakan kaedah pengiraan zakat wang simpanan mengikut kategori simpanan tertentu untuk panduan anda. Kaedah pengiraan ini adalah anggaran semata-mata, anda boleh rujuk pusat zakat negeri untuk penjelasan lebih lanjut berkaitan kaedah pengiraan zakat simpanan ini.

i. Kiraan Zakat Simpanan Tetap

Simpanan tetap merujuk pada simpanan yang tidak dikeluarkan daripada sesuatu akaun dalam tempoh tertentu mengikut perjanjian yang dibuat dengan institusi kewangan. Simpanan tetap juga tertakluk pada zakat simpanan.

Anda wajib keluarkan zakat simpanan sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah simpanan tetap jika telah cukup syarat-syaratnya. Berikut kaedah kiraan zakat wang simpanan tetap untuk panduan anda:

Contoh: Simpanan tetap di bank sebanyak RM50,000 tanpa dikeluarkan selama setahun;
RM50,000 x 2.5% = RM1,250;
Jumlah zakat untuk simpanan tetap yang perlu dibayar adalah RM1,250.

ii. Kiraan Zakat Simpanan Biasa

Bagi simpanan biasa (aliran duit keluar masuk tidak tetap) pula, zakat sebanyak 2.5 peratus dikeluarkan berdasarkan jumlah baki terendah sesuatu akaun simpanan dalam tempoh setahun dan cukup haul serta nisab.

Contoh: Baki terendah bagi tahun 2014 adalah RM15,000;
RM15,000 x 2.5% = RM375;
Zakat wang simpanan yang dikenakan adalah sebanyak RM375.

iii. Kiraan Zakat Beberapa Akaun Simpanan

Bagi pemilik beberapa akaun simpanan pula, baki terendah setiap akaun perlu ditambah dan didarabkan dengan 2.5 peratus untuk mendapatkan jumlah zakat (meskipun baki terendah masih belum cukup nisab jika dikira satu-satu atau salah satu akaun).

Berikut kaedah kiraan untuk simpanan dalam beberapa akaun untuk panduan anda:

Contoh: Baki terendah untuk akaun 1 ialah RM6,500 dan akaun 2 ialah RM3,000;
Jumlah baki terendah dalam kedua-dua akaun x 2.5% = (RM6,500 + RM 3,000) x 2.5% = RM237.50;
Zakat simpanan adalah sebanyak RM237.50.

Namun begitu, jika ditambah kesemua baki terendah masih tidak mencukupi nisab, maka tidak wajib bayar zakat simpanan.

7. Zakat Wang Simpanan KWSP dan LTAT

Caruman ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) atau seumpamanya wajib dibayar zakat apabila anda melakukan pengeluaran.

Dalam erti kata lain, zakat wajib dikeluarkan apabila pencarum membuat pengeluaran KWSP atau LTAT yang mencapai atau melebihi nisab. Pengeluaran KWSP boleh dilakukan untuk tujuan persaraan, beli rumah pertama dan sebagainya.

pengeluaran duit kwsp juga tertakluk pada cukai simpanan

Zakat Simpanan Menyuburkan Harta dan Memberi Keberkatan Hidup

Menabung atau menyimpan wang bukanlah sesuatu yang mudah terutamanya dalam kalangan generasi muda hari ini. Anda digalakkan untuk mula menyimpan dari awal dan sebanyak mungkin supaya boleh dijadikan simpanan kecemasan atau dijadikan simpanan persaraan.

Namun begitu, dalam keghairahan menyimpan, jangan lupakan tanggungjawab anda untuk membayar zakat wang simpanan jika sudah cukup haul dan nisab.

Selain itu, jika anda ingin mendapatkan perlindungan insurans kereta dan insurans motor untuk ketenangan fikiran sepanjang pemanduan, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan dan pembaharuan insurans online terbaik di Malaysia.

Anda boleh mendapatkan insurans dan takaful kereta dan motor terbaik di Malaysia dengan selamat pada harga yang berpatutan.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

One comment

  1. Salam tuan,maaf bertanya, bukan kah cara pengiraan zakat simpanan yg paling latest bukan lagi menggunakan BAKI TERENDAH, sebaliknya BAKI TERAKHIR dalam tempoh haul…..ini setakat bacaan saya la.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60