3 Jenis Hibah Tabung Haji Anda Perlu Tahu

Kali terakhir diperbaharui May 17, 2023 oleh Hariz Hafiz
3 Jenis Hibah Tabung Haji Anda Perlu Tahu

Tabung Haji merupakan pilihan ramai rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk membuat simpanan dan pelaburan. Sekiranya anda merupakan salah seorang pendeposit atau mahu mula menyimpan duit di Tabung Haji, anda boleh mendapat pulangan hibah daripada institusi ini. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, artikel ini akan menjelaskan jenis-jenis hibah Tabung Haji yang anda perlu tahu.

Apa Itu Hibah Tabung Haji, Berapa Jenis Hibah yang Ditawarkan oleh Pihak Tabung Haji?

Apa maksud hibah Tabung Haji? Secara asasnya, hibah merupakan perkongsian keuntungan di antara pembekal hibah dan pendeposit. Ia berbeza dengan pelaburan biasa seperti ASB dan SSPN yang menawarkan dividen atau pulangan pelaburan secara konsisten pada setiap tahun.

Dengan kata lain, hibah ini ibarat hadiah yang diisytihar oleh pihak Tabung Haji mengikut kemampuan kewangan Tabung Haji pada tahun semasa. Pulangan hibah tidak wajib diberikan pulangan pada setiap tahun seperti pulangan dividen. Sebaliknya, jumlah pulangan hibah bergantung sepenuhnya kepada keuntungan yang diperolehi oleh pihak Tabung Haji.

Tabung Haji menyediakan tiga jenis hibah kepada pendeposit iaitu Hibah Tahunan, Hibah Haji dan Hibah Amanah. Berikut adalah penerangan bagi setiap satu jenis hibah yang ditawarkan oleh Tabung Haji:

1. Hibah Tahunan

Hibah Tahunan merupakan pulangan yang boleh diterima oleh anda sebagai pendeposit berdasarkan prestasi kewangan tahun semasa. Sekiranya Tabung Haji mendapati jumlah asetnya lebih tinggi daripada liabiliti, anda berkemungkinan akan mendapat pulangan hibah. Konsep ini dinamakan Wadiah Yad Dhamanah yang bermaksud mengikut kemampuan kewangan pembekal hibah anda pada tahun semasa.

2. Hibah Haji

Hibah Haji mula diperkenalkan pada tahun 2013 dengan tujuan untuk memberi pulangan kepada pendeposit yang belum menunaikan haji khususnya mereka dengan simpanan kurang daripada kos haji semasa. Katakanlah kos haji semasa adalah RM9,980 dan simpanan anda dalam Tabung Haji kurang daripada jumlah tersebut, anda akan menerima pulangan Hibah Haji. Ia bagi membolehkan anda menunaikan haji menunaikan rukun Islam kelima ini.

tabung haji hibah

3. Hibah Amanah

Tabung Haji juga menyediakan produk Hibah Amanah bagi membantu para pendeposit untuk membuat pengurusan kewangan dengan lebih baik. Secara asasnya, Hibah Amanah merupakan pemberian harta Hibah Amanah daripada akaun simpanan Tabung Haji pemberi atau pendeposit Tabung Haji semasa masih hidup kepada penerima Hibah Amanah.

Hibah Tabung Haji ini dibuat atas dasar kasih sayang dan secara sukarela tanpa paksaan. Pemberi Hibah Amanah bebas menghibahkan harta hibah yang dimiliki kepada sesiapa sahaja penerima yang dihajati seperti ahli keluarga atau rakan-rakan termasuk individu bukan beragama Islam. 

Berikut merupakan antara kelebihan mengambil Hibah Amanah:

  • Sesiapa sahaja layak menerima harta hibah kerana tidak tertakluk kepada hukum faraid;
  • Penerima hibah akan memiliki harta sepenuhnya kerana waris-waris lain tidak boleh menuntut mengikut hukum faraid;
  • Boleh menjadi suatu alternatif bagi pembahagian harta kepada mereka yang baru memeluk agama Islam yang tidak mempunyai waris beragama Islam atau kepada anak angkat;
  • Pemberi Hibah Amanah masih boleh menikmati faedah atau manfaat harta yang telah dihibahkan selagi pemberi dan penerima Hibah Amanah masih hidup.

Pemberi Hibah Amanah harus mempunyai Akaun Dewasa dan berumur 18 tahun ke atas. Bagi penerima pula, tiada sebarang syarat yang ditetapkan kerana ia boleh diamanahkan kepada sesiapa sahaja tidak kira sama ada warganegara Malaysia atau bukan warganegara Malaysia, beragama Islam atau bukan Islam, dan tua atau muda.

Cara Tuntut Hibah Amanah Tabung Haji

Sekiranya pemberi hibah meninggal dunia, penerima boleh menuntut hibah yang telah diwariskan kepadanya. Penerima Hibah Amanah boleh membuat tuntutan kepada Tabung Haji setelah kematian pemberi Hibah Amanah. 

Berikut adalah dokumen-dokumen yang diperlukan semasa proses tuntutan:

    • Borang Tuntutan Pengeluaran Hibah Amanah Tabung Haji/ *Penamaan (JP035);
    • Dokumen pengenalan diri Penerima Hibah Amanah/ Penjaga Sah/ *Nama Penerima/ Waris Penerima Hibah (asal dan salinan);
    • Sijil Kematian/ Laporan Kematian Luar Negara Pemberi Hibah Amanah (asal dan salinan);
    • Sijil Kelahiran/ Sijil Pengangkatan (jika Penerima Hibah Amanah di bawah umur 18 tahun dan/ atau tidak waras) (asal dan salinan).

Bagaimana pula jika penerima hibah meninggal dunia terlebih dahulu sebelum pemberi hibah? Dalam situasi ini, pentadbir waris penerima Hibah Amanah boleh membuat tuntutan kepada pihak Tabung Haji. 

Berikut merupakan dokumen-dokumen yang diperlukan:

    • Surat Kuasa Mentadbir/ Perintah (sekiranya Penerima Hibah Amanah telah meninggal dunia) (asal dan salinan);
    • Sijil Kematian/ Laporan Kematian Luar Negara bagi Penerima Hibah Amanah/ *Nama Penerima yang telah meninggal dunia (asal dan salinan).

hibah amanah tabung haji

Masa untuk Anda Buka Akaun Tabung Haji dan Nikmati Manfaat Hibah?

Anda mungkin masih lagi mencari-cari platform yang sesuai untuk menyimpan duit selain daripada akaun simpanan anda. Selain platform pelaburan berisiko rendah seperti ASB, Tabung Haji juga merupakan alternatif yang anda patut pertimbangkan. 

Pendeposit yang menyimpan duit di platform Tabung Haji ini juga akan berpeluang mendaftarkan diri mereka untuk menunaikan ibadah Haji dengan adanya akaun Tabung Haji. 

Berikut adalah kelebihan-kelebihan lain menyimpan di Tabung Haji:

  • Simpanan patuh syariah Islam;
  • Dijamin oleh kerajaan;
  • Dividen dan bonus boleh mendapat pengecualian cukai;
  • Menyantuni para dhuyufurrahman (jemaah haji);
  • Dapat menunaikan kewajipan zakat;
  • Tidak ada had simpanan.

Bukan itu sahaja, Tabung Haji juga menawarkan hibah yang mampu membantu anda menguruskan wang dan pada masa yang sama, anda juga boleh menambah jumlah wang anda melalui pulangan hibah. Namun begitu, sekali lagi diingatkan, pulangan ini bergantung kepada prestasi kewangan semasa Tabung Haji. Produk seperti Hibah Amanah pula membolehkan anda meninggalkan harta untuk waris-waris yang anda pilih sekiranya anda meninggal dunia.

Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik atau insurans motor murah, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Bandingkan insurans daripada beberapa syarikat insurans terbaik dengan tawaran harga terbaik. Qoala menjanjikan perlindungan menyeluruh untuk anda dan juga keluarga tersayang.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60