9 Tips Kewangan Efektif untuk Golongan Muda

Kali terakhir diperbaharui Sep 22, 2023 oleh Shafiq Wahab
9 Tips Kewangan Efektif untuk Golongan Muda

Cara urus kewangan yang lemah biasanya berpunca daripada beberapa faktor seperti pendapatan kecil, tabiat perbelanjaan yang tidak baik serta tidak amalkan disiplin dan tips kewangan yang betul. Data daripada Jabatan Pendidikan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan tahap kesejahteraan kewangan dalam kalangan orang muda yang bekerja di negara ini masih berada pada tahap rendah.

Tips Kewangan: Cara Urus Kewangan Anda untuk Hidup Lebih Bebas, Tenang dan Bahagia

Setiap orang mengimpikan kehidupan yang bebas, bahagia dan tenang. Bagi mencapai matlamat kewangan ini, ia memerlukan disiplin, kerja keras dan komitmen yang tinggi bermula dari sekarang. Ramai yang berpendapat duit pencen daripada kerajaan dan simpanan KWSP (untuk pekerja swasta) sudah cukup untuk menyara kehidupan di hari tua. Namun sebenarnya, banyak persediaan yang perlu dilakukan bermula usia muda bagi membantu anda bersedia mendepani kehidupan hari mendatang yang semakin mencabar.

1. Belanja Ikut Keperluan

Tabiat perbelanjaan yang tidak sihat boleh menjadi punca utama kepada masalah kewangan dalam kalangan golongan muda. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk berbelanja ikut kemampuan dan ukur baju di badan sendiri. Hadkan kemahuan yang tidak penting seperti beli kereta mahal dan pakaian berjenama.

Pakai pakaian tidak berjenama atau bundle tidak akan menjadikan anda kolot atau tidak pandai berfesyen. Jika dipadankan dengan aksesori yang sesuai dan keyakinan diri yang tinggi, baju-T berharga RM30 sudah cukup untuk menyerlahkan gaya anda. Begitu juga dengan pemilihan tempat makan, lepak di warung di tepi jalan tidak menjadikan anda kelas rendah dan begitulah sebaliknya.

2. Kurangkan Sikap Boros

Kebanyakan orang cenderung untuk berbelanja lebih apabila semakin tinggi pendapatan yang diterima setiap bulan. Namun sebenarnya, anda perlu hidup di bawah kemampuan anda. Jika anda berbelanja mewah mengikut kemampuan yang anda ada, anda mungkin akan cukup-cukup makan setiap bulan dan ini mungkin akan memberi kesan kepada kewangan peribadi anda.

Jika anda berbelanja di bawah kemampuan anda, pastinya akan ada lebihan duit untuk disimpan setiap bulan. Wang lebihan ini boleh diperuntukkan untuk pelaburan dan sebagainya. Selain itu, elakkan hutang-hutang jahat seperti hutang kad kredit, personal loan dan sebagainya untuk cover perbelanjaan bulanan anda.

Sekiranya hutang anda tinggi melebihi kemampuan anda untuk bayar balik, ada kemungkinan nama anda akan disenarai hitam oleh pihak bank melalui rekod CCRIS atau laporan CTOS anda, atau dalam senario yang lebih teruk anda boleh diisytiharkan muflis.

3. Tips Kewangan: Buat Tabung Simpanan

Secara asasnya, kekayaan bukanlah diukur melalui seberapa banyak pendapatan yang anda peroleh, tetapi seberapa banyak amaun yang anda boleh simpan untuk kegunaan masa depan. Tidak dinafikan ada segelintir rakyat Malaysia yang tidak mampu untuk menyimpan disebabkan oleh kekangan gaji yang terhad.

Meskipun begitu, ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk anda tidak menyimpan langsung. Anda boleh menyimpan apa-apa amaun yang anda rasakan sesuai dengan kemampuan anda. Selain itu, anda juga boleh ikuti mana-mana cara simpan duit yang sesuai untuk anda seperti berikut:

Tabung Paksa Rela

Simpan duit dalam ASB melalui loan ASB. Cara ini memerlukan anda untuk pinjaman pelaburan daripada pihak bank. Sebagai contoh, jika anda meminjam RM50,000 untuk pelaburan ASB, anda perlu bayar sekitar RM250 sebulan (atau mungkin lebih bergantung pada kadar faedah bank semasa).

Melalui tabungan ini, anda akan menerima purata dividen ASB sekitar lima hingga tujuh peratus setahun bergantung pada pasaran semasa. Simpanan ini boleh digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu seperti tabung pendidikan, deposit rumah, simpanan persaraan dan sebagainya.

Tabung Duit Hijau RM5

Simpan duit dalam tabung khas setiap kali anda terima duit RM5 – tetapkan syarat tabung hijau ini hanya boleh dibuka selepas setahun bergantung pada objektif simpanan. Anda juga boleh gunakan teknik ini untuk amaun yang lebih besar seperti RM10, RM20 dan sebagainya bergantung pada kemampuan anda.

Tabung Duit Syiling

Kebanyakan orang tidak gemar membawa duit syiling dalam wallet kerana ia menyebabkan wallet menjadi berat. Jadi, apa yang boleh anda lakukan ialah sediakan tabung khas untuk anda simpan duit syiling ini. Duit syiling yang disimpan ini boleh digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu seperti percutian, servis kereta tahunan dan sebagainya.

4. Melabur

Selain memudahkan individu merancang masa depan, pelaburan penting bagi menjamin kualiti hidup yang lebih baik. Namun begitu, proses menggandakan atau mengembangkan wang simpanan bukanlah satu kerja mudah. Ia memerlukan kesabaran, disiplin dan ilmu yang mencukupi bagi mencapai sasaran dan misi yang ditetapkan. Di Malaysia, banyak pelaburan yang boleh anda pertimbangkan antaranya:

Secara asasnya, pelaburan tidak sama dengan simpanan melalui kaedah konvensional di bank – simpanan ambil masa yang lama untuk mendapatkan pulangan. Ini kerana, sesetengah bank menetapkan kadar pulangan ke atas simpanan yang sangat rendah. Oleh sebab itu, anda perlu bijak memilih instrumen pelaburan terbaik untuk kembangkan simpanan anda.

5. Jana Pendapatan Sampingan

Penambahan beberapa ratus ringgit sebulan mampu memberi kesan yang ketara terhadap status kewangan individu, apatah lagi jika anda mampu menjana side income sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan. Dalam keadaan ekonomi serba mencabar ini, anda disyorkan mencari pendapatan sampingan untuk kehidupan yang lebih tenang. Anda boleh pertimbangkan kerja sambilan seperti berikut:

Pekerja Bebas (Freelancer)

Sebagai pekerja bebas, anda tidak terikat dengan waktu kerja yang tetap dan boleh bekerja mengikut kesesuaian waktu sendiri. Banyak kerja-kerja bebas memerlukan kemahiran-kemahiran tertentu seperti terjemahan, penulis kandungan sosial media, reka bentuk grafik dan sebagainya.

Jadi Ejen Dropship atau Affiliate

Anda juga boleh menjual barangan secara online melalui laman sosial media atau platform jual beli barangan yang ada. Kelebihan menjadi ejen dropship, anda tidak perlu menyimpan stok atau mengeluarkan modal perniagaan yang besar. Anda hanya perlu mempromosikan produk menggunakan pautan khas dan komisen akan dibayar jika ada pembelian dibuat melalui pautan khas ini.

Buat Kandungan Digital

Jika anda seseorang yang gemar mengambil gambar atau kreatif dalam menghasilkan video, anda boleh mempertimbangkan karier sebagai social media influencer. Biasanya, syarikat-syarikat besar akan menggunakan khidmat pempengaruh media sosial untuk mempromosikan barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengikut tersendiri.

Pekerjaan dalam Ekonomi Gig

Pekerjaan gig merujuk pada perkhidmatan atas permintaan seperti penghantar makanan, pertukangan, mengemas rumah, mengangkat barangan dan sebagainya melalui aplikasi-aplikasi popular di pasaran. Anda boleh tawarkan perkhidmatan yang sesuai bergantung pada kemahiran yang anda ada.

cara urus kewangan dengan bijak

6. Tips Kewangan: Bersederhana dalam Semua Aspek

Selain itu, antara tips kewangan yang boleh anda ikuti ialah amalkan sikap bersederhana dan jangan berbelanja secara berlebihan. Amalan bersederhana membolehkan anda memupuk tabiat perbelanjaan yang berdisiplin dengan memfokuskan pada bajet dan mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak perlu. Lebihan yang ada boleh disimpan untuk kegunaan hari mendatang.

Sebagai contoh, jika anda perlu memiliki kereta untuk kegunaan ke tempat kerja, memadai untuk anda beli kereta mampu milik dan murah berbanding kereta berjenama asalkan sampai ke destinasi yang dituju. Malah, kereta-kereta ini juga lebih menjimatkan dari aspek penyelenggaraan dan penjagaan. Namun lebih baik jika anda boleh elakkan beli kereta dan gunakan kemudahan pengangkutan awam ke tempat kerja.

7. Rancang dan Hadkan Perbelanjaan

Tentukan matlamat perbelanjaan untuk mengelakkan anda berbelanja melebihi had yang ditetapkan. Andaikan anda ingin beli motosikal berharga RM8,000 secara tunai, anda perlu rancang pembelian setahun lebih awal dengan membahagikan kos pembelian kepada 12 bulan (atau lebih mengikut keperluan anda). Dengan cara ini, anda boleh rancang berapa banyak yang anda perlu simpan setiap bulan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

Selain itu, kurangkan makan di luar dan masak sendiri di rumah. Secara asasnya, anda perlu belanjakan sekurang-kurangnya RM20 untuk setiap hidangan apabila anda makan di luar atau minimum RM50 sehari. Meskipun sedikit melecehkan, anda boleh jimat lebih banyak jika masak sendiri di rumah. Dengan amaun RM50 ini, anda boleh sediakan hidangan untuk sekurang-kurangnya dua atau tiga hari.

8. Manfaatkan Jualan Murah

Sekiranya anda seseorang yang mementingkan jenama, anda boleh manfaatkan jualan murah untuk lebih penjimatan. Banyak pasaraya besar yang menjual baju berjenama dan berkualiti pada harga yang jauh lebih murah terutamanya semasa perayaan atau hujung tahun.

Namun secara asasnya, jenama bukanlah kayu ukur yang paling penting dalam memilih pakaian. Tidak salah untuk anda memakai pakaian yang tidak berjenama asalkan selesa dan menawarkan kualiti yang setanding. Kenalan anda tidak akan bertanyakan jenama pakaian yang anda gayakan namun mereka biasanya akan memuji jika pakaian yang dikenakan kena dengan diri anda.

Anda tidak perlu membelanjakan RM80 hingga RM100 untuk sehelai pakaian jika anda boleh dapatkan dalam lingkungan harga yang jauh lebih murah tetapi dengan kualiti yang sama.

9. Tips Kewangan: Beli Insurans untuk Perlindungan

Antara tips kewangan yang sering diabaikan oleh orang muda ialah memiliki insurans perlindungan diri. Ramai dalam kalangan orang muda berasakan memiliki insurans sama ada insurans nyawa atau medical card merupakan sesuatu yang merugikan kerana beranggapan mereka masih muda dan risiko menghidapi penyakit kritikal amat rendah.

Namun sebenarnya, sakit atau kematian tidak mengenal usia. Anda perlu peruntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji anda untuk insurans. Pastikan anda mempunyai pelan insurans yang bukan sahaja mampu melindungi anda tetapi keluarga anda sekiranya terjadi sesuatu kepada anda.

Sekurang-kurangnya, ada perlindungan insurans yang boleh menampung kos rawatan sekiranya anda didiagnosis dengan sakit kritikal. Atau dalam senario yang lebih teruk, ahli keluarga masih boleh meneruskan hidup dengan wang hibah yang anda tinggalkan jika anda meninggal dunia akibat kemalangan.

kempen #QoalaHadir

Bebas, Bahagia & Tenang: Rebut Diskaun dan Hadiah Menarik Sempena Kempen #QoalaHadir

Tips kewangan atau langkah penyelesaian jangka panjang yang paling efektif untuk kehidupan yang lebih bebas, bahagia dan tenang adalah dengan menukar gaya hidup yang lebih sederhana dalam berbelanja, ukur baju di badan sendiri dan elakkan diri daripada berhutang kad kredit atau hutang peribadi untuk perkara-perkara yang tidak penting.

Sama seperti di Qoala, kempen #QoalaHadir menjanjikan kehidupan yang lebih bebas, bahagia dan tenang khusus buat pelanggan yang dihargai. Ini bermaksud, pelanggan boleh menjalani kehidupan seharian tanpa risau dan tekanan dengan pelan perlindungan insurans yang komprehensif yang ditawarkan di Qoala.

Qoala menawarkan perkhidmatan insurans daripada syarikat insurans dan takaful terbaik untuk melindungi anda dan keluarga dengan hanya beberapa langkah mudah. Apa yang menarik, anda berpeluang untuk menangi pelbagai diskaun dan hadiah keseluruhan menarik bernilai sehingga RM11,000 jika anda beli insurans perubatan, insurans kereta, insurans rumah, insurans perjalanan atau insurans motor di Qoala bermula 29 Ogos hingga 16 September 2022. Layari laman web Qoala untuk info lanjut.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60