Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih tidak tahu tentang kepentingan medical card atau kad perubatan. Medical card bukan sahaja berfungsi sebagai pelan perlindungan, tetapi ia juga bertindak sebagai penyelamat terutamanya semasa anda memerlukan. Berdasarkan laporan, kira-kira 85 peratus penduduk di Malaysia masih lagi tidak mempunyai perlindungan takaful atau insurans yang secukupnya ketika berlaku kecemasan.
11 Perkara Tentang Medical Card atau Kad Perubatan Kena Faham Supaya Tak Tertipu
Jika diteliti, kos rawatan di hospital semakin lama semakin meningkat. Oleh sebab itu, pelan kad perubatan atau kad kesihatan merupakan salah satu keperluan yang perlu anda miliki kerana ia mampu memberi perlindungan dan keselesaan kepada anda dan juga keluarga anda sekiranya ditimpa musibah. Meskipun ramai yang berpendapat hospital kerajaan sudah mencukupi dan menyediakan rawatan secara percuma, ia tidaklah bermaksud anda tidak perlu mengeluarkan bayaran langsung.
Ada sesetengah rawatan di hospital kerajaan terutamanya berkaitan penyakit serius dan kronik memerlukan belanja yang agak mahal walaupun telah disubsidi. Sebelum anda membuat keputusan mengenai syarikat insurans kesihatan yang perlu dipilih, berikut 11 perkara yang perlu anda ketahui tentang kad perubatan (medical card):
1. Limit Tahunan, Limit Seumur Hidup
Sebelum pilih medical kad, anda perlu pertimbangkan dua perkara ini yang biasanya ditawarkan oleh syarikat insurans – had tahunan dan had seumur hidup. Kebanyakan pelan perubatan mempunyai had seumur hidup dan tahunan yang bertindak sebagai panduan bagi pemegang polisi tentang jumlah yang boleh dituntut daripada syarikat insurans.
Had Tahunan
Secara asasnya, had tahunan merujuk limit maksimum yang ditetapkan oleh pihak insurans untuk urusan berkaitan kos perubatan. Ini bermaksud, pihak insurans akan menanggung kos rawatan anda sepanjang tempoh polisi kad perubatan anda masih aktif. Oleh sebab itu, had penggunaan ini sangat penting sebelum anda pilih mana-mana kad perubatan.
Sebagai contoh, andaikan had tahunan kad perubatan anda adalah sebanyak RM100,000 setahun. Anda selalu sakit dan perlu dimasukkan ke hospital dengan lebih kerap. Had penggunaan yang ditetapkan oleh syarikat insurans ini menyebabkan tuntutan anda terhad kepada amaun yang dinyatakan dalam tahun tersebut. Ini bermaksud, anda hanya boleh menuntut sebanyak RM100,000 bagi rawatan perubatan anda.
Jika kad perubatan atau kad kesihatan tersebut sudah mencapai had yang ditetapkan atau melebih RM100,000, anda perlu tanggung sendiri kos perbelanjaan perubatan selebihnya menggunakan simpanan atau gaji anda. Meskipun begitu, manfaat ini akan diperbaharui pada tahun berikutnya dan anda akan diperuntukkan manfaat sebanyak RM100,000 lagi sehingga mencapai had seumur hidup.
Anda disarankan untuk pilih medikal kad dengan limit tahunan yang tinggi lebih-lebih lagi jika mengambil kira kos perubatan di Malaysia semakin meningkat saban tahun.
Had Seumur Hidup
Selain had tahunan, ambil kira juga had seumur hidup. Apa itu limit seumur hidup? Had seumur hidup merujuk jumlah keseluruhan manfaat perubatan yang layak yang boleh dituntut sepanjang tempoh pelan perubatan seperti yang ditetapkan oleh syarikat insurans. Pelan perubatan akan tamat secara langsung apabila manfaat pelan yang dibayar telah mencapai had seumur hidup bagi seseorang pemegang polisi.
Sebagai contoh, kad perubatan anda mempunyai had tahunan sebanyak RM100,000 dan had seumur hidup sebanyak RM1 juta. Ini bermaksud, seseorang pemegang polisi hanya boleh membelanjakan RM100,000 setiap tahun untuk kos rawatan selama 10 tahun untuk menikmati manfaat RM1 juta tersebut. Oleh sebab itu, anda perlu pertimbangkan limit seumur hidup sebelum pilih insurans terbaik untuk anda.
Jika mengambil kira kos perubatan yang meningkat pada kadar inflasi 10 hingga 12 peratus setahun, anda perlu memilih jumlah had tahunan dan had seumur hidup yang munasabah dengan kemampuan dan keperluan anda.
2. Premium/Sumbangan
Ia merujuk kepada bayaran yang dibuat oleh pemegang polisi kepada syarikat insurans atau pengendali medical card takaful. Premium insurans atau sumbangan ini boleh dibayar secara bulanan, suku tahunan atau tahunan bergantung pada syarikat insurans atau pengendali takaful. Bagi sesetengah syarikat insurans, pilihan pembayaran premium secara tahunan boleh memberi penjimatan jangka panjang yang lebih baik.
3. Perlindungan Penuh, Deduktibel atau Ko-takaful
Selain itu, istilah seperti perlindungan penuh (full coverage), deduktibel (deductible) dan ko-takaful (co-takaful) juga mungkin boleh memeningkan anda. Untuk membantu anda memahami dengan lebih baik, anda boleh rujuk perkara berikut:
Perlindungan Penuh (Full Cover)
Pelan insurans ini menawarkan perlindungan penuh dan menyeluruh. Ini bermaksud, semua kos rawatan yang berkaitan akan ditanggung oleh syarikat insurans.
Deduktibel (Deductible)
Deduktibel ialah amaun tetap yang perlu dikeluarkan sendiri untuk perbelanjaan perubatan sebelum pembayaran dibuat oleh syarikat insurans perubatan anda. Sekiranya amaun deduktibel yang ditetapkan oleh syarikat insurans ialah RM300, anda perlu membayar RM300 daripada jumlah perbelanjaan perubatan di bawah perlindungan polisi anda (kecuali kos bilik dan penginapan hospital harian).
Sebagai contoh, Ali dimasukkan ke hospital dan perlu menanggung kos rawatan keseluruhan sebanyak RM20,000. Syarikat Takaful ABC mengenakan kadar deduktibel maksimum sebanyak RM500. Ini bermaksud, Ali perlu bayar sendiri sebanyak RM500 dan selebihnya akan ditanggung oleh pihak insurans sehingga had tahunan dan had seumur hidup, tertakluk pada caj-caj munasabah dan lazim.
Ko-takaful/Ko-insurans
Apa itu ko-takaful? Secara amnya, ia merujuk pada perkongsian bersama antara pemegang polisi dan syarikat takaful atau insurans. Dalam erti kata lain, anda perlu mengeluarkan wang anda sendiri untuk menanggung sebahagian daripada kos perubatan biasanya sekitar 10 peratus daripada jumlah kos rawatan perubatan, bergantung pada syarikat insurans yang anda pilih. Anda disarankan untuk merujuk panel insurans anda terlebih dahulu untuk maklumat lanjut. Namun biasanya, kos pengiraan adalah seperti contoh berikut:
Sabri dimasukkan ke hospital dan caj rawatan keseluruhan yang perlu dibayar berjumlah RM20,000. Syarikat Takaful PRS mengenakan caj ko-takaful sebanyak 10 peratus daripada jumlah keseluruhan yang perlu dibayar. Maka, Sabri perlu membayar sebanyak RM2,000, manakala lebihan kos rawatan akan ditanggung oleh pihak insurans. Ia sekali gus menyebabkan harga pelan insurans dengan ko-insurans ditawarkan jauh lebih murah berbanding harga pelan insurans tanpa ko-insurans.
4. Pembaharuan Terjamin atau Pembaharuan Tidak Terjamin
Anda mungkin tidak perasan bahawa kad perubatan perlu diperbaharui setiap tahun sama seperti anda renew insurans kereta. Jika polisi insurans anda ada menggunakan klausa ini, berikut beberapa perkara yang anda perlu beri perhatian:
Pembaharuan Terjamin (Guarantee Renewal)
Syarikat insurans diwajibkan memperbaharui polisi insurans anda sekiranya anda memilih untuk meneruskan polisi dan selagi pembayaran premium dibuat tepat pada masanya. Namun begitu, ia tertakluk pada syarat-syarat tertentu seperti anda belum melebihi had tuntutan seumur hidup dan belum mencapai umur kelayakan perlindungan maksimum.
Pembaharuan Tidak Terjamin (No Guarantee Renewal)
Jika anda sakit kritikal atau sakit yang berisiko untuk berulang pada masa akan datang, pihak medical card takaful atau insurans berhak untuk tidak memperbaharui polisi insurans anda. Dalam erti kata lain, polisi atau sijil anda tertakluk pada kelulusan syarikat insurans atau pengendali takaful. Jika anda menghidap sakit kritikal atau sakit yang berisiko untuk berulang kembali, pihak takaful atau insurans berhak untuk tidak memperbaharui polisi sedia ada.
Jika anda ingin mendapatkan pelan perlindungan yang baharu, anda perlu memaklumkan status kesihatan semasa kepada pihak insurans. Ia sekali gus boleh menyebabkan anda dikenakan kadar premium insurans atau sumbangan yang lebih mahal. Dalam sesetengah keadaan, penyakit yang dihidapi mungkin dikecualikan daripada perlindungan insurans anda.
5. Tempoh Menunggu
Kebanyakan pelan insurans perubatan tertakluk pada tempoh menunggu yang perlu dipatuhi oleh pemegang polisi. Ini bermaksud, anda tidak boleh menggunakan kad perubatan tersebut di mana-mana hospital panel atau membuat sebarang tuntutan insurans untuk tempoh masa tertentu biasanya sekitar 30 hingga 120 hari dari tarikh pembelian polisi insurans. Tempoh menunggu ini bertujuan untuk memastikan anda berada dalam keadaan yang sihat tanpa sebarang penyakit-penyakit kritikal sepanjang tempoh ini.
Namun begitu, ada sesetengah syarikat insurans yang tidak menawarkan tempoh menunggu untuk jenis-jenis perlindungan tertentu seperti perlindungan terhadap kemalangan. Perlindungan terhadap kemalangan berkuat kuasa serta-merta kerana kemalangan berisiko berlaku pada bila-bila masa.
6. Pengecualian
Pengecualian ialah syarat atau keadaan khusus yang disenaraikan dalam polisi yang menggariskan situasi-situasi kesihatan tertentu yang tidak tertakluk pada perlindungan insurans. Sebagai contoh, sekiranya pemegang polisi sudah menghidap penyakit kanser, buah pinggang dan sebagainya, kos rawatan bagi penyakit tersebut tidak akan ditanggung dan akan dikecualikan oleh syarikat insurans.
7. Hospital Panel
Kad perubatan yang anda daftar mempunyai senarai hospital panel yang mengambil bahagian. Ini bermaksud, anda boleh mendapatkan rawatan di mana-mana hospital panel yang tersenarai dalam kad perubatan untuk menikmati kemudahan jaminan insurans atau takaful tersebut. Oleh sebab itu, penting untuk anda mendapatkan insurans kesihatan yang menawarkan akses kepada hospital panel yang lebih menyeluruh untuk memudahkan urusan anda sekiranya berlaku kecemasan.
8. Rider atau Standalone
Berikut dua jenis kad perubatan yang biasa ditawarkan dalam pasaran:
Kad Perubatan Rider
Kad perubatan atau medikal kad juga boleh ditawarkan sebagai perlindungan tambahan (rider) kepada pelan utama (produk asas) seperti pelan insurans nyawa dan pelan berkaitan pelaburan. Bagi pelan jenis ini, manfaat perlindungan perubatan tidak boleh dibeli secara berasingan. Sebagai contoh, pemegang polisi boleh menambah perlindungan untuk penyakit kritikal di dalam polisi insurans nyawa atau simpanan. Ini bermaksud, pemegang polisi akan dilindungi jika didiagnosis dengan penyakit kritikal seperti strok, kanser dan sebagainya. Dalam erti kata lain, pemegang polisi bukan sahaja akan menerima perlindungan perubatan tetapi turut menerima perlindungan nyawa dan simpanan.
Harga pelan ini biasanya lebih tinggi berbanding pelan standalone kerana anda bukan sahaja membayar untuk perlindungan perubatan tetapi turut termasuk insurans hayat dan pelaburan. Kadar premium pula adalah tetap mengikut usia pemegang polisi ketika memasuki pelan pada permulaannya. Biasanya, peningkatan kecil terhadap kadar premium mungkin berlaku disebabkan oleh peningkatan inflasi perubatan.
Medical Card Standalone
Kad perubatan standalone merupakan pelan perubatan yang boleh dibeli secara berasingan tanpa apa-apa pelan tambahan lain. Ini bermaksud, anda hanya akan mendapat manfaat perlindungan perubatan sahaja tanpa sebarang perlindungan tambahan lain seperti kematian, simpanan atau pelaburan. Kadar premium kad perubatan standalone tidak tetap – harga caruman biasanya lebih murah pada peringkat awal penyertaan berbanding kadar caruman rider. Kadar caruman ini biasanya akan meningkat mengikut jadual umur, biasanya setiap empat hingga lima tahun. Syarikat insurans juga akan menaikkan kadar dari semasa ke semasa mengikut kenaikan kadar inflasi perubatan.
Perlindungan kad perubatan standalone adalah komprehensif – ia menawarkan manfaat kos pembedahan, bilik dan penginapan hospital, elaun hospital, penyakit kritikal, kos perunding pakar dan sebagainya bergantung pada polisi. Namun secara asasnya, berikut antara tiga manfaat yang biasa diperoleh dalam kad perubatan standalone:
Kos Kemasukan ke Hospital dan Pembedahan
Ia termasuk segala kos yang berkaitan dengan kemasukan ke hospital, pembedahan, bilik dan penginapan, perkhidmatan ambulans, ubat-ubatan dan lain-lain.
Penyakit Kritikal
Ia merangkumi lebih 36 jenis penyakit kritikal termasuk kanser, serangan jantung, strok dan lain-lain. Anda boleh rujuk maklumat dalam polisi anda untuk maklumat lanjut berkaitan penyakit kritikal yang disenaraikan.
Rawatan Jangka Panjang
Ia berguna terutama untuk individu yang mempunyai penyakit kronik yang memerlukan rawatan dan penjagaan untuk tempoh masa yang lama seperti pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis berpanjangan.
9. Medical Card: Pelan Individu vs Pelan Keluarga
Bagi golongan ibu bapa misalnya, sudah tentu takaful ahli keluarga menjadi salah satu perbelanjaan wajib yang perlu dimasukkan dalam perancangan komitmen bulanan selain belanja beli rumah, cukai jalan kenderaan, tabung korban dan lain-lain lagi. Ia boleh menjadi komitmen kewangan yang agak tinggi lebih-lebih lagi jika anda mempunyai bilangan tanggungan yang ramai.
Oleh sebab itu, ramai individu yang berkeluarga memilih pelan perlindungan keluarga berbanding pelan individu. Tetapi, adakah untung mengambil pelan kad perubatan keluarga? Berikut anggaran pengiraan untuk pasangan suami isteri dan dua anak:
Pilihan A – Pelan Individu
Andaikan setiap seorang dalam keluarga dilindungi oleh pelan standard dengan anggaran harga medical card sekitar RM150 seorang. Maka, kos keseluruhan yang perlu ditanggung untuk empat orang setiap bulan adalah sebanyak RM600 atau RM7,200 setahun.
Pilihan B – Pelan Keluarga
Biasanya, harga medical card untuk satu pelan insurans keluarga untuk empat orang bermula pada RM350 dan ke atas bergantung pada polisi yang anda pilih. Sebagai contoh, jika kos untuk pelan keluarga adalah sebanyak RM450 sebulan (andaikan anda menambah perlindungan tambahan lain yang berkaitan), ini bermaksud anda boleh jimat sekurang-kurangnya RM150 setiap bulan atau RM1,800 setahun.
10. Harga Bilik dan Penginapan
Setiap medical kad memperuntukkan amaun tertentu untuk harga bilik dan penginapan di hospital. Jika anda memilih pelan dengan harga bilik RM200, anda layak untuk mendapatkan bilik yang berharga tidak melebihi kelayakan yang ditetapkan. Jika anda ingin menginap di bilik yang lebih mahal, anda perlu menanggung sendiri lebihan bayaran tersebut.
11. Elaun Tunai Harian
Elaun ini diberikan kepada pemegang polisi mengikut jumlah hari menginap di dalam wad. Elaun ini boleh digunakan untuk menampung sebarang kos tambahan jika dimasukkan ke hospital seperti kos membayar pembantu menjaga anak di rumah atau kos ulang-alik ke hospital. Sekiranya anda bekerja sendiri atau berniaga, manfaat elaun tunai ini boleh bertindak sebagai pengganti pendapatan sepanjang tempoh anda tidak bekerja kerana sakit.
Meskipun secara asasnya langganan pelan perlindungan insurans dapat melayakkan anda untuk mendapatkan pengecualian cukai, anda boleh memilih mana-mana pelan insurans yang boleh menjimatkan anda. Dengan lebihan wang ini, anda boleh gunakan untuk bercuti bersama keluarga, buat tabung pendidikan untuk anak-anak atau sebagainya.
Apakah Medical Card Terbaik yang Boleh Anda Dapatkan?
Bagi mendapatkan kad perubatan atau medical kad terbaik di Malaysia, ia bukanlah berdasarkan faktor harga medical card yang murah semata-mata. Ia perlu merangkumi keperluan dan kehendak anda, selain perlu mengambil kira kadar ekonomi dan kos perubatan semasa. Sebagai contoh, kos pintasan rawatan sakit jantung di hospital swasta kini boleh mencecah sehingga RM140,000. Oleh sebab itu, pertimbangkan faktor-faktor sebegini sebelum mendapatkan kad perubatan terbaik untuk anda.
Ambil kira anggaran kos rawatan ini dalam tempoh 10 tahun akan datang sama ada ia akan semakin bertambah atau sebaliknya. Sebelum pilih insurans yang sesuai, bandingkan insurans perubatan pilihan anda dengan limit yang ditawarkan. Seandainya mencukupi, ia semestinya pilihan terbaik yang boleh melindungi anda jika berlaku perkara tidak diingini. Yang paling penting, pilih kad perubatan yang paling sesuai dengan keperluan dan kemampuan diri masing-masing.
Semoga tips ini dapat membantu anda memilih medikal kad terbaik untuk diri anda dan juga keluarga yang tersayang. Sekiranya anda ingin mendapatkan insurans perlindungan diri terbaik, lawati laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala menyediakan rangkaian produk insurans kesihatan dan perubatan daripada beberapa syarikat insurans terbaik dan popular di Malaysia dengan jaminan proses yang mudah, pantas dan selamat.
Kpd cik Nadhirah,
Terima kasih atas info2 yang dikongsikan .Jika ada kenalan jujur dan tulus dalam panel Kad perubatan ni, cubalah kongsi .Saya sedang meneliti jenis & bajet semasa untuk membeli pelan Kad perubatan tepat. Terima kasih.