Syarat, Cara Refinance Rumah untuk Kurangkan Komitmen Bulanan

Kali terakhir diperbaharui Sep 6, 2023 oleh Shafiq Wahab
Syarat, Cara Refinance Rumah untuk Kurangkan Komitmen Bulanan

Pembiayaan semula rumah atau refinance rumah merupakan salah satu cara untuk mengurangkan bayaran balik pinjaman perumahan dengan menurunkan kadar faedah pinjaman sedia ada. Secara amnya, ia merupakan alternatif terbaik yang boleh dilakukan oleh peminjam untuk menambah baik aliran tunai terutamanya bagi individu yang berdepan dengan masalah kewangan. Meskipun begitu, banyak aspek yang perlu dititikberatkan sebelum melakukan refinancing rumah antaranya mengenal pasti kedudukan semasa kewangan, tujuan pembiayaan, serta kebaikan dan keburukan refinance rumah kepada pemohon.

Pembiayaan Semula Pinjaman Perumahan: Perkara Wajib Tahu Tentang Refinance Rumah di Malaysia

Apa maksud refinance rumah? Secara amnya, refinance loan rumah atau pembiayaan semula pinjaman perumahan merujuk kepada proses pertukaran pinjaman perumahan sedia ada kepada pinjaman perumahan baharu. Pembiayaan semula pinjaman dilakukan bertujuan untuk mendapatkan terma atau kadar faedah pinjaman yang lebih baik dan mengurangkan amaun bayaran ansuran bulanan.

Selain itu, proses reloan rumah ini juga bertujuan untuk memperbaiki aliran tunai peminjam kerana biasanya pembiayaan semula pinjaman menawarkan kadar faedah yang lebih rendah dengan tempoh pembayaran pinjaman yang lebih panjang berbanding pinjaman sedia ada. Di Malaysia, proses refinance rumah dilakukan bertujuan untuk:

  • mendapatkan kadar faedah pinjaman yang lebih rendah berbanding kadar faedah pinjaman sedia ada;
  • memendekkan tempoh pinjaman sedia ada;
  • memanfaatkan nilai pasaran hartanah terkini untuk membiayai pembelian hartanah baharu;
  • menggabungkan hutang sedia ada atau penyatuan hutang;
  • menukar produk kewangan berbeza (pinjaman gadai janji bertempoh tetap, fleksi atau separa fleksi).

Syarat Refinance Rumah untuk Kurangkan Komitmen Bulanan

Jika anda sedang menghadapi masalah kewangan, refinance loan rumah merupakan salah satu cara yang boleh anda pertimbangkan. Meskipun begitu, terdapat beberapa syarat dan kelayakan yang perlu dipatuhi oleh peminjam. Berikut syarat-syarat refinance rumah untuk untuk rujukan dan panduan anda:

1. Kelayakan Pinjaman

Salah satu perkara penting yang perlu dilakukan sebelum anda memohon pembiayaan semula pinjaman perumahan adalah dengan memeriksa syarat kelayakan pinjaman semasa. Banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk menyemak kelayakan pinjaman anda sama ada menggunakan kalkulator refinance rumah secara dalam talian atau berurusan secara terus dengan pihak bank. Cara ini membolehkan anda mendapatkan gambaran awal status kelayakan pinjaman semasa anda.

2. Semakan CCRIS

Laporan CCRIS atau Central Credit Reference Information System (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat) merujuk pada laporan kredit peribadi peminjam yang boleh diakses oleh pihak bank bagi mendapatkan maklumat mengenai kelakuan kredit peminjam (pinjaman tertunggak, saman dan status muflis).

Ia juga membolehkan pihak bank mengakses maklumat untuk mengenal pasti kemampuan peminjam untuk membayar balik pinjaman dan menilai sejarah pembayaran pinjaman sebelum ini sama ada baik atau tidak. Jika laporan CCRIS tidak baik, besar kemungkinan permohonan pembiayaan semula pinjaman perumahan anda akan ditolak.

5 Cara Refinance Rumah untuk Mudahkan Proses Permohonan

Kebanyakan pemilik rumah memilih untuk lakukan refinance loan rumah kerana mahukan kadar faedah pembayaran alternatif yang lebih rendah. Jika anda sedang menghadapi masalah kewangan, refinance rumah merupakan salah satu cara yang boleh anda pertimbangkan. Berikut merupakan cara nak refinance rumah yang perlu diikuti untuk memudahkan proses refinancing loan rumah untuk panduan anda:

1. Sediakan Dokumen Diperlukan

Sediakan dokumen lengkap yang diperlukan oleh pihak bank seperti maklumat peribadi, perakuan pendapatan dan sebagainya untuk melancarkan proses permohonan anda. Berikut senarai dokumen refinance rumah yang diperlukan oleh pihak bank untuk rujukan anda:

Kategori Dokumen Diperlukan
Bekerja Gaji Tetap
  1. Kad pengenalan;
  2. Penyata slip gaji tiga bulan terkini;
  3. Penyata bank tiga bulan terkini;
  4. Cukai pendapatan dan resit bayaran;
  5. Penyata KWSP;
  6. Surat Perjanjian Jual Beli;
  7. Surat Tawaran Pembiayaan;
  8. Penyata baki hutang;
  9. Geran.
Bekerja Gaji Berdasarkan Komisen/Jualan
  1. Kad pengenalan
  2. Penyata komisen/pendapatan untuk tempoh enam hingga 12 bulan
  3. Penyata bank enam bulan – 12 bulan
  4. Cukai pendapatan dan resit bayaran;
  5. Penyata KWSP;
  6. Surat Perjanjian Jual Beli;
  7. Surat Tawaran Pembiayaan;
  8. Penyata baki hutang;
  9. Geran.
Perniagaan Milikan Tunggal
  1. Kad pengenalan;
  2. Borang D;
  3. Penyata komisen/pendapatan untuk tempoh enam hingga 12 bulan;
  4. Penyata bank perniagaan dan individu bagi tempoh enam bulan hingga 12 bulan;
  5. Cukai pendapatan dan resit bayaran;
  6. Penyata KWSP;
  7. Surat Perjanjian Jual Beli;
  8. Surat Tawaran Pembiayaan;
  9. Penyata baki hutang;
  10. Geran.
Syarikat Sdn Bhd
  1. Kad pengenalan;
  2. Penyata bank syarikat dan individu bagi tempoh enam bulan;
  3. Memorandum & Article Association (MAA);
  4. Borang 24;
  5. Borang 49.

Selain itu, bank juga memerlukan dokumen sokongan seperti Perjanjian Sewa Rumah (tenancy agreement), akaun simpanan, saham dan deposit tetap bergantung pada situasi.

2. Semak Skor Kredit

Lakukan pemeriksaan skor kredit sebelum melakukan permohonan pembiayaan semula – skor kredit yang baik boleh membantu anda mendapatkan kadar faedah terbaik dan memudahkan permohonan anda diluluskan. Pemeriksaan skor kredit boleh dilakukan secara percuma dengan merujuk Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit atau agensi-agensi kewangan lain yang berkaitan.

3. Ketahui Harga Pasaran Rumah

Anda juga disarankan untuk menganggarkan kedudukan semasa atau nilai pasaran wajar hartanah anda. Anda boleh melakukan tinjauan harga semasa melalui laman web yang menyediakan perkhidmatan berkaitan. Anda juga boleh menggunakan kalkulator refinance rumah yang tersedia secara online.

Secara asasnya, pembiayaan semula pinjaman perumahan adalah keputusan yang terbaik untuk anda jika nilai hartanah semasa lebih tinggi daripada baki hutang.

4. Ambil Maklum Kos Pembiayaan Semula yang Perlu Ditanggung

Proses refinancing tertakluk kepada kos-kos tertentu antaranya moving cost. Apa itu moving cost? Moving cost secara asasnya merujuk pada wang yang anda perlu belanjakan atau kos yang perlu ditanggung bagi mendapatkan pinjaman baharu. Kos-kos ini termasuklah duti setem, yuran penilaian, yuran guaman, disbursement dan sebagainya iaitu kira-kira dua hingga tiga peratus daripada keseluruhan pinjaman.

Sekiranya anda melakukan pembiayaan semula untuk menjimatkan kadar faedah, bandingkan kos sedia ada dengan penjimatan faedah yang bakal diperoleh melalui pembiayaan semula sebelum buat keputusan.

5. Hantar Permohonan

Sebelum menghantar permohonan pembiayaan semula pinjaman kepada pihak bank, teliti pakej dan skim refinancing yang ditawarkan. Buat perbandingan kadar faedah, bank terbaik untuk refinance rumah serta skim pinjaman terbaik dan berbaloi untuk anda. Sekiranya tidak pasti, minta nasihat daripada rakan atau bantuan daripada pegawai bank yang berpengalaman.

Tempoh Refinance Rumah

Berapa lama proses refinance rumah? Secara keseluruhan, proses refinance rumah boleh ambil masa sehingga beberapa bulan bergantung kepada situasi (antara dua hingga enam bulan bergantung pada kes). Ini kerana, ia melibatkan banyak proses antaranya mendapatkan kebenaran atau kelulusan daripada pihak berkuasa negeri bagi kes hartanah pegangan pajakan dengan hak milik strata atau individu.

Selain itu, pihak bank juga akan melantik penilai untuk memeriksa rumah anda setelah menerima permohonan anda. Penilai tersebut kemudian akan menyediakan laporan penilaian hartanah sebelum diserahkan kepada pihak bank untuk proses lanjut.

Jenis Refinancing, Panduan Pengiraan Refinance Rumah di Malaysia

Proses refinancing atau pembiayaan semula pinjaman di Malaysia biasanya melibatkan dua jenis pinjaman – pinjaman kereta atau pinjaman perumahan. Ia terbahagi kepada beberapa jenis, sesuai dengan tujuan dan keperluan anda. Refinance loan rumah atau pinjaman perumahan misalnya terbahagi kepada tiga (3) jenis refinance rumah seperti berikut:

1. Pembiayaan Semula Kadar dan Terma

Kategori refinancing ini mengubah kadar faedah sedia ada kepada kadar faedah baharu yang lebih baik tanpa mengubah jumlah pinjaman sedia ada. Ia menyebabkan komitmen bulanan menjadi lebih rendah, sekali gus menstabilkan kedudukan kewangan anda.

Sebagai contoh, berlaku perubahan pada Kadar Dasar Semalaman (OPR) menyebabkan kadar faedah sedia ada berkurangan atau menjadi lebih rendah misalnya daripada enam peratus kepada empat peratus. Sekiranya refinancing dilakukan, anda boleh nikmati penjimatan sekurang-kurangnya dua peratus daripada faedah pinjaman anda.

Jika nilai hartanah sedia ada anda bernilai RM500,000, anda boleh berjimat hampir RM10,000 setahun. Anda boleh manfaatkan refinancing jenis ini sekiranya ada perubahan pada kadar OPR untuk nikmati kadar bayaran bulanan yang lebih rendah.

2. Pembiayaan Semula Tunai Masuk (Cash-In)

Anda juga boleh mempertimbangkan pembiayaan semula tunai masuk ini sekiranya anda ingin menjelaskan sejumlah amaun yang besar terhadap prinsipal gadai janji (mortgage principal) sedia ada anda. Ia membolehkan anda berunding kadar faedah dan bayaran bulanan yang lebih rendah dalam pinjaman perumahan baharu.

Ini bermaksud, pembiayaan semula ini sebenarnya menawarkan alternatif yang lebih baik sekiranya anda memiliki nilai ekuiti kurang daripada 20 peratus.

Cara Ketahui Kedudukan Ekuiti Semasa

Bagi mengetahui kedudukan ekuiti semasa, anda perlu kira nisbah Pinjaman kepada Nilai atau Loan-to-Value (LTV) terlebih dahulu. Andaikan nilai hartanah semasa anda ialah RM200,000 dan anda telah jelaskan RM10,000 daripada keseluruhan pinjaman. Ini bermaksud, anda masih mempunyai baki hutang sebanyak RM190,000.

Dalam kes ini, nisbah LTV semasa anda ialah 95 peratus dengan nilai ekuiti lima peratus – nisbah LTV melebihi 80 peratus boleh dipertimbangkan untuk jenis refinancing ini. Anda boleh memohon pembiayaan semula cash-in ini dan membayar RM30,000 secara lump-sum untuk mengurangkan prinsipal pinjaman sedia ada kepada RM160,000.

Meskipun begitu, nisbah LTV kurang daripada 80 peratus tidak digalakkan untuk memohon pembiayaan semula jenis ini.

3. Pembiayaan Semula Tunai Keluar (Cash-Out)

Cash-out refinancing membolehkan anda meminjam 90 peratus daripada nilai keseluruhan hartanah semasa anda. Andaikan nilai hartanah yang dibeli 10 tahun lalu bernilai RM300,000. Nilai hartanah ini dianggarkan berkemungkinan akan meningkat kepada RM500,000 hari ini. Margin pinjaman maksimum yang dibenarkan untuk membiayai semula pinjaman ialah 90 peratus iaitu kira-kira RM180,000.

Amaun ini boleh digunakan untuk membayar baki pinjaman sedia ada untuk nikmati bayaran bulanan yang lebih rendah. Meskipun begitu, RM180,000 yang diperoleh ini bukanlah percuma kerana anda tertakluk pada perkara-perkara berikut:

        1. Nilai hartanah sedia ada ialah RM300,000 – 90 peratus daripada jumlah pinjaman semasa ialah RM270,000;
        2. Hartanah semasa dianggarkan meningkat kepada RM500,000 dalam tempoh 10 tahun;
        3. Anda keluarkan pinjaman 90 peratus daripada RM500,000 (nilai pasaran hartanah hari ini) atau bersamaan dengan RM450,000;
        4. Sekiranya tempoh dan faedah pinjaman kekal dengan anggaran kadar 4.25 peratus setahun, anda perlu menanggung kadar faedah pinjaman baharu bernilai RM2,060.52 berbanding kadar faedah pinjaman lama bernilai RM1,236.31;
        5. Anda perlu menanggung penambahan kos sebanyak RM824.21 sebulan;
        6. Anda mungkin boleh nikmati lebihan wang daripada pembiayaan semula ini untuk perkara-perkara lain seperti renovation rumah, membayar yuran pendidikan, modal perniagaan dan sebagainya.
        7. Namun begitu, bayaran ansuran bulanan akan meningkat yang mungkin boleh meningkatkan komitmen bulanan anda.

Kebaikan, Keburukan Refinance Rumah

Kebaikan dan Keburukan Pembiayaan Semula Pinjaman Perumahan

Secara amnya, pembiayaan semula pinjaman atau refinancing rumah boleh membantu memperbaiki aliran kewangan serta mengurangkan beban komitmen bulanan anda. Meskipun begitu, refinancing juga mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Berikut antara kebaikan dan keburukan refinance rumah untuk panduan anda seperti berikut:

Kelebihan Refinance Rumah Keburukan Refinance Rumah
Nikmati kadar faedah yang lebih rendah Caj penalti mungkin dikenakan
Tempoh bayaran balik boleh dipendekkan Nilai bayaran terdahulu yang dibuat mungkin tiada jika pembiayaan hampir selesai
Boleh ditunaikan untuk membiayai keperluan lain (renovate rumah, rancangan perniagaan, pendidikan dll.) Tertakluk pada kos tambahan untuk pembiayaan semula (contoh: moving cost)
Hutang sedia ada digabungkan untuk menjimatkan faedah Kelulusan tidak dijamin kerana bank perlu mengambil kira skor kredit dan pendapatan sedia ada
Menjimatkan wang, terutamanya jika kadar faedah semasa lebih rendah

Semoga panduan tentang refinancing rumah ini boleh membantu sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk membuat pembiayaan semula pinjaman perumahan. Selain itu, anda juga boleh layari laman web Qoala untuk info lanjut berkaitan insurans rumah. Qoala merupakan platform beli insurans yang mudah, telus dan pantas dengan tawaran harga yang kompetitif dan berpatutan.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60