17 Pengeluaran KWSP yang Boleh Anda Pertimbangkan

Kali terakhir diperbaharui Jun 21, 2023 oleh Syazwani Yahya
17 Pengeluaran KWSP yang Boleh Anda Pertimbangkan

Ramai dalam kalangan pencarum KWSP beranggapan pengeluaran KWSP hanya boleh dibuat untuk beli rumah sahaja. Namun sebenarnya, banyak lagi pengeluaran KWSP yang boleh anda manfaatkan antaranya untuk tujuan pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Rancang Persaraan Anda: Pengeluaran KWSP yang Dibenarkan untuk Keselesaan Masa Depan

KWSP membenarkan pengeluaran penuh atau sebahagian daripada simpanan bagi membolehkan ahli membuat persediaan menghadapi persaraan yang lebih selesa. Ia terbahagi kepada dua kategori pengeluaran yang dibenarkan iaitu pengeluaran sebahagian atau pengeluaran penuh simpanan KWSP.

Pengeluaran Sebahagian Simpanan KWSP

Pengeluaran ini dibenarkan untuk pencarum yang berumur 55 tahun ke bawah. Berikut antara pengeluaran daripada Akaun 2 yang dibenarkan.

1. Pengeluaran Umur 50

Apabila mencapai umur 50 tahun, anda boleh membuat pengeluaran KWSP sama ada sebahagian atau kesemua simpanan daripada Akaun 2. Wang yang dikeluarkan ini boleh digunakan sebagai persediaan untuk persaraan anda.

2. Pendidikan

Anda juga boleh memilih untuk mengeluarkan simpanan daripada Akaun 2 bagi membiayai pendidikan tinggi anda, pasangan (suami atau isteri), anak-anak dan/ atau ibu bapa.

Namun begitu, ia tertakluk pada institusi pendidikan dalam dan luar negara yang diluluskan sahaja. Anda boleh keluarkan kesemua simpanan dalam Akaun 2 (mengikut mana yang lebih rendah) untuk membiayai kos:

      • Jumlah yuran pengajian dan caj yang dikenakan oleh institusi pengajian; atau
      • Jumlah baki pinjaman pendidikan;
      • Yuran hostel dan penginapan;
      • Penerbangan sehala untuk pelajar tahun pertama yang belajar di luar kawasan/luar negara.

Simpanan KWSP boleh dikeluarkan untuk tujuan pendidikan

3. Haji

Ahli yang beragama Islam yang merancang untuk mengerjakan ibadat Haji boleh mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk perbelanjaan. Ia bagi menampung simpanan di Lembaga Tabung Haji yang tidak mencukupi.

4. Mengurangkan atau Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan

Anda juga boleh membuat pengeluaran KWSP daripada Akaun 2 bagi mengurangkan atau menyelesaikan baki pinjaman perumahan anda atau pasangan.

5. Beli Rumah

KWSP juga turut membenarkan pengeluaran Akaun 2 untuk membiayai pembelian rumah. Keputusan ini bagi membolehkan ahli membeli hartanah bagi merealisasikan persaraan yang lebih selesa.

Untuk ketahui lebih lanjut anda boleh ikuti artikel pengeluaran Akaun 2 untuk beli rumah ini.

6. Bina Rumah

Jika anda ingin membina sendiri rumah impian anda, KWSP juga membenarkan ahli membuat pengeluaran daripada Akaun 2 bagi membiayai pembinaan rumah.

7. Perumahan PR1MA

Pengeluaran KWSP ini hanya untuk pembiayaan rumah PR1MA dan bayaran akan dikreditkan secara terus ke institusi kewangan.

8. Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan

Bagi membantu meringankan beban pemilik rumah, KWSP turut membenarkan Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan. Ia bagi membantu pemilik rumah yang berdepan masalah kewangan membayar ansuran bulanan.

Ansuran bulanan pinjaman perumahan ini akan dibayar sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan atau sehingga masalah kewangan selesai.

9. Perumahan Fleksibel

Anda boleh menggunakan simpanan KWSP untuk mendapat kelayakan pinjaman perumahan yang lebih tinggi daripada institusi kewangan. Sebahagian daripada simpanan dalam Akaun 2 akan diketepikan untuk Akaun Pinjaman Perumahan Fleksibel.

Semasa penilaian kelayakan pinjaman dibuat, institusi kewangan akan mengira caruman bulanan KWSP anda sebagai sebahagian daripada pendapatan.

Pengeluaran KWSP boleh digunakan untuk beli rumah, bina rumah dan bayar ansuran bulanan rumah.

10. Kesihatan

Kos penjagaan kesihatan boleh dikatakan agak mahal dan boleh menelan belanja yang tinggi. KWSP membenarkan ahli yang menghadapi masalah kesihatan untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2.

Pengeluaran KWSP ini boleh digunakan bagi membiayai kos perubatan penyakit kritikal dan/atau peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan termasuk rawatan kesuburan.

11. Simpanan Melebihi RM1 Juta

Jika anda mempunyai simpanan melebihi RM1 juta, anda diberi kelonggaran untuk membuat pengeluaran dan menguruskan sendiri lebihan simpanan. Dengan cara ini, anda boleh memilih dan mempelbagaikan portfolio pelaburan mengikut penilaian risiko anda sendiri.

Pengeluaran Penuh Simpanan KWSP

Pengeluaran penuh simpanan KWSP pula dibenarkan untuk pencarum yang telah mencapai umur persaraan iaitu 55 tahun ke atas. Anda mempunyai pilihan untuk menguruskan wang persaraan anda sama ada dengan membuat pengeluaran penuh atau pengeluaran fleksibel. Berikut antara pengeluaran KWSP yang dibenarkan.

12. Umur 55 Tahun

Apabila mencapai umur 55 tahun, caruman dalam Akaun 1 dan Akaun 2 anda akan digabungkan ke dalam Akaun 55. Anda boleh mengeluarkan kesemua atau sebahagian daripada simpanan daripada akaun ini pada bila-bila masa.

Sekiranya anda memilih untuk terus bekerja selepas umur 55 tahun, caruman yang diterima selepas itu akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas yang hanya boleh dikeluarkan apabila anda mencapai umur 60 tahun.

13. Umur 60 Tahun

Pengeluaran ini merupakan lanjutan daripada pengeluaran umur 55 tahun. Ia bagi memenuhi keperluan ahli yang memilih untuk melanjutkan umur persaraan dan sambung bekerja selepas umur 55 tahun.

Pada umur 60 tahun, kesemua simpanan yang terkumpul dalam Akaun 55 (jika ada) dan Akaun Emas akan digabungkan untuk pengeluaran.

Anda boleh memilih untuk membuat pengeluaran secara sekali gus atau sebahagian pada bila-bila masa untuk membiayai persaraan anda.

14. Pekerja Berpencen atau Persaraan Pilihan

Pekerja sektor awam boleh membuat pengeluaran KWSP sekali sahaja sebelum umur 55 tahun setelah diberikan taraf Pekerja Berpencen.

15. Hilang Upaya

Pengeluaran semua simpanan KWSP juga boleh dilakukan sekiranya anda hilang keupayaan fizikal atau mental sehingga menghalang anda untuk bekerja. Bagi ahli yang layak, anda akan menerima RM5,000 sebagai Bantuan Hilang Upaya untuk meringankan beban anda.

16. Meninggalkan Negara

Ahli yang telah melepaskan atau melucutkan taraf kewarganegaraan Malaysia untuk berhijrah ke negara lain atau ekspatriat, penduduk tetap (PR) atau pekerja asing yang kembali ke negara asal boleh mengeluarkan kesemua simpanan KWSP.

17. Kematian

Sekiranya anda meninggal dunia, simpanan KWSP anda boleh digunakan untuk membantu meringankan beban kewangan serta menampung perbelanjaan pengurusan pengebumian.

Sekiranya anda masih belum membuat penamaan, anda digalakkan untuk berbuat sedemikian. Ia bagi membolehkan waris terdekat anda mengeluarkan simpanan KWSP tanpa sebarang kesulitan.

Ahli keluarga yang di bawah tanggungan anda juga akan dipertimbangkan untuk menerima bayaran Bantuan Kematian bagi membantu mereka dalam waktu kesulitan.

Sekiranya anda mempunyai persoalan atau memerlukan maklumat lanjut mengenai pengeluaran sebahagian atau pengeluaran penuh KWSP, anda boleh layari laman web KWSP.

duit kwsp boleh digunakan untuk persaraan hari tua

Simpanan untuk Masa Depan, Buat Permohonan Pengeluaran Melalui i-Akaun KWSP

Permohonan pengeluaran KWSP boleh dibuat secara manual dengan mengisi borang melalui kaunter atau kiosk. Anda juga boleh memohon untuk membuat pengeluaran secara online melalui i-Akaun KWSP. Untuk maklumat lanjut berkaitan proses pengeluaran KWSP dan dokumen yang diperlukan, anda boleh layari laman web KWSP.

Selain itu, sekiranya anda ingin mendapatkan insurans perubatan dan kesihatan untuk perlindungan tambahan masa depan anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan dan pembaharuan insurans terbaik di Malaysia dengan jaminan proses beli insurans yang mudah, selamat dan cepat.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60