Gaji Berapa Perlu Bayar Cukai Pendapatan 2024?

Kali terakhir diperbaharui Feb 6, 2024 oleh Shafiq Wahab
Gaji Berapa Perlu Bayar Cukai Pendapatan 2024?

Setiap tahun pasti ramai dalam kalangan pembayar cukai akan failkan e-filing untuk cukai pendapatan. Tetapi, bagi mereka yang baru mula bekerja ia semestinya sedikit memeningkan. Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan cukai pendapatan? Berapa gaji perlu bayar cukai pendapatan? Siapa perlu bayar cukai pendapatan?

Apa Itu Cukai Pendapatan di Malaysia?

Cukai pendapatan sebenarnya adalah cukai yang dikenakan terhadap individu yang menerima pendapatan. Jenis-jenis pendapatan yang dikenakan cukai termasuklah:

  • Keuntungan yang diperoleh daripada sesuatu perniagaan;
  • Keuntungan yang diperoleh daripada penggajian;
  • Dividen, faedah atau diskaun;
  • Sewa, royalti atau premium;
  • Pencen, anuiti atau bayaran berkala lain; dan
  • Keuntungan yang tidak termasuk dalam mana-mana kategori di atas.

Siapa Perlu Bayar Cukai Pendapatan?

Jadi, Siapa Perlu Bayar Cukai Pendapatan?

Adakah semua individu yang memiliki gaji perlu membayar cukai pendapatan? Jawapan ringkasnya, tidak. Hanya individu yang menerima jumlah pendapatan melebihi nilai ambang yang ditetapkan sahaja yang dikenakan cukai pendapatan.

Pengenaan cukai juga bergantung kepada taraf mastautin seseorang individu. Jika individu berstatus bermastautin di Malaysia, individu tersebut akan dikenakan cukai mengikut kadar cukai berskala. Selain itu, individu ini layak menuntut potongan atau rebat cukai menurut seksyen 45A ACP hingga seksyen 49 ACP.

Jika individu tersebut bukan pemastautin, individu ini boleh dikenakan cukai pada kadar tetap 30 peratus dan tidak layak menikmati sebarang potongan cukai. Selain itu, sebarang punca pendapatan daripada luar Malaysia yang dibawa masuk ke Malaysia tidak dikenakan cukai.

Macam Mana Nak Tahu Gaji Berapa Perlu Bayar Cukai Pendapatan?

Individu yang berpendapatan terbahagi kepada dua – individu di bawah penggajian dan individu yang berpendapatan perniagaan.

1. Individu Berpendapatan Melalui Penggajian

Secara asasnya, individu yang menerima pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 dan mempunyai Potongan Cukai Bulanan layak dikenakan cukai. Untuk ketahui sama ada anda perlu bayar cukai atau tidak, anda perlu tahu ambang gaji individu yang tidak dikenakan cukai.

Pengiraan ambang atau threshold gaji adalah berdasarkan jumlah pendapatan kasar tahunan ditolak dengan pelepasan asas individu dan rebat cukai yang layak.

  • Pelepasan asas yang diambil kira adalah pelepasan individu dan saudara tanggungan serta pelepasan suami/isteri dan anak (di bawah umur 18 tahun) bagi individu yang telah berkahwin;
  • Untuk individu yang berpendapatan bercukai tidak melebihi RM35,000, kerajaan membenarkan penolakan rebat individu (RM400) serta pasangan (RM400 jika berkenaan).

Berikut pengiraan ambang bagi individu yang TIDAK DIKENAKAN CUKAI. Jika gaji anda lebih daripada ambang yang ditetapkan, maka anda adalah individu yang perlu bayar cukai pendapatan secara tahunan.

JENIS TAKSIRAN PENDAPATAN TAHUNAN (RM) PENDAPATAN BULANAN (RM)
Diri Sendiri (Bujang/janda/balu/duda/pasangan tiada punca pendapatan) 37,333 3,111
Berasingan
1. Berkahwin + 0 Anak 37,333 3,111
2. Berkahwin + 1 Anak
3. Berkahwin + 2 Anak 41,333 3,444
Bersama
1. Berkahwin + 0 Anak 48,000 4,000
2. Berkahwin + 1 Anak 50,000 4,167
3. Berkahwin + 2 Anak 52,000 4,333

Nota:

  • Jumlah pelepasan individu dan saudara tanggungan adalah RM9,000.
  • Jumlah pelepasan anak di bawah umur 18 tahun adalah RM2,000 bagi seorang anak.
  • Jumlah kelayakan rebat (diri sendiri dan suami/isteri) terhad kepada pendapatan bercukai individu sehingga RM35,000.

2. Individu Berpendapatan Melalui Perniagaan

Bagi individu yang mempunyai pendapatan melalui perniagaan pula, anda perlu kira keuntungan yang diperolehi untuk tahun tersebut. Keuntungan ini diperoleh daripada aktiviti menjalankan perniagaan, perdagangan, pencarian atau profesion termasuk sebarang bentuk perniagaan yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa (Ekonomi Bayangan).

Di Malaysia, perniagaan terdiri daripada:

  • Milikan Tunggal/Bekerja Sendiri – Individu yang menjalankan perniagaan secara perseorangan;
  • Perkongsian – Meliputi sebarang bentuk kerjasama antara dua atau lebih pihak bagi menyatukan hak, kuasa, tenaga kerja atau kemahiran dalam menjalankan perniagaan dan mewujudkan perkongsian keuntungan.

Antara perniagaan yang tertakluk pada cukai adalah seperti:

  • Perniagaan runcit;
  • Perniagaan pasar malam/Gerai;
  • Perniagaan melalui Internet (Ekonomi Digital);
  • Bidang lakonan/Nyanyian/Duta produk/Ulasan produk;
  • Komisen/Kelas tuisyen/Penceramah;
  • Perniagaan jualan langsung/Stokis;
  • Bidang penulisan/Youtuber/Blogger;
  • Pertanian dan Penternakan;
  • Klinik, Firma guaman atau Lain-lain pengamal profesional;
  • Pemandu teksi/e-hailing.

Bayar Cukai Pendapatan untuk Masa Depan dan Ketenangan Fikiran

Bayar Cukai Pendapatan Anda untuk Masa Depan Negara

Penting untuk anda melaksanakan tanggungjawab dengan membayar cukai pendapatan (jika layak). Ini kerana cukai yang dibayar oleh rakyat akan digunakan oleh kerajaan untuk membangunkan negara.

Kerajaan biasanya menawarkan pelepasan cukai untuk perbelanjaan-perbelanjaan tertentu daripada pelbagai kategori. Antaranya, adalah pelepasan cukai untuk insurans yang dibayar setiap tahun. Antaranya, pelepasan cukai untuk insurans yang dibayar setiap tahun, rawatan perubatan, yuran pendidikan, zakat pendapatan dan lain-lain lagi.

Jika anda ingin tahu maklumat lanjut tentang pelepasan cukai untuk insurans nyawa dan insurans kesihatan, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform pilihan ramai kerana ia memberikan perkhidmatan perbandingan insurans terbaik di Malaysia. Anda boleh beli insurans dengan mudah dan selamat tanpa sebarang kos tersembunyi.

Kongsi:
About Writer
Editor
Pakar pengurusan kewangan peribadi untuk membantu anda uruskan kewangan dengan lebih baik!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60