11 Risiko Kereta Sambung Bayar yang Perlu Anda Pertimbangkan

Kali terakhir diperbaharui Sep 26, 2022 oleh Shafiq Wahab
11 Risiko Kereta Sambung Bayar yang Perlu Anda Pertimbangkan

Kereta sambung bayar atau kereta sambung loan merupakan salah satu cara pemilik kenderaan menjual kereta kepada pembeli tanpa membuat pindahan hak milik kenderaan di JPJ atau membuat pinjaman dengan pihak bank. Kebanyakan pemilik kereta memilih untuk berbuat sedemikian kerana tidak dapat melangsaikan tunggakan pinjaman bank atau tidak dapat meneruskan ansuran bulanan seperti dijadualkan sekali gus mengelakkan nama daripada disenarai hitam atau blacklist.

Kereta Sambung Bayar: Apa Perkara Penting yang Anda Perlu Tahu?

Apa maksud kereta sambung bayar? Secara asasnya, sambung bayar kereta merujuk pada proses jual beli kereta yang masih mempunyai baki hutang pinjaman kepada pihak ketiga tanpa melibatkan proses tukar nama kereta sambung bayar.

Ini bermaksud, pembeli akan meneruskan bayaran ansuran seperti biasa kepada pihak bank bagi pihak pemilik asal untuk tempoh tertentu mengikut surat perjanjian sambung bayar kereta yang dipersetujui antara pihak terlibat.

Undang-undang Sambung Bayar Kereta

Secara amnya, sambung loan kereta adalah salah di sisi undang-undang dan tertakluk kepada Akta Sewa Beli 1967 sambung bayar seperti berikut:

        1. Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967 – Ia menjadi kesalahan bagi sesiapa yang menjual barang-barang yang dibeli secara perjanjian sewa beli tanpa kebenaran daripada pemunya, jika didapati bersalah boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara kurang daripada 3 tahun atau kedua-duanya.
        2. Seksyen 46 Akta Sewa Beli 1967 – Sesiapa yang bersalah melanggar peruntukan-peruntukan di bawah Akta ini boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara kurang daripada 6 bulan atau kedua-duanya.

Risiko Sambung Bayar Kereta: Adakah Selamat Beli Kereta Sambung Bayar, Jual Kereta Sambung Bayar?

Sambung bayar kereta merupakan salah satu cara yang dilakukan oleh pembeli jika loan kereta ditolak atau tidak diluluskan oleh pihak bank disebabkan nama kena blacklist.

Beli kereta sambung bayar secara asasnya tidak memerlukan bayaran pendahuluan yang tinggi dan lebih menguntungkan pembeli kerana tidak melibatkan proses yang rumit serta tidak melibatkan urusan dengan pihak bank. Pembeli yang disenaraihitamkan oleh pihak bank atau mengalami kesukaran untuk mendapatkan pinjaman kereta biasanya membeli kereta impian mereka melalui kaedah ini.

Bagi pemilik asal pula, mereka biasanya memilih untuk jual kereta sambung bayar kerana berdepan masalah kewangan seperti tak mampu bayar ansuran kereta atau bebanan komitmen yang terlalu tinggi – kereta sambung loan merupakan salah satu cara untuk mengurangkan beban komitmen bulanan yang tidak lagi mampu ditanggung.

Ini bermaksud, pemilik kereta boleh memperolehi wang tambahan dengan menjual kereta untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka. Malah, pemilik kereta juga dapat mengekalkan nama bersih dan mengelakkan nama daripada disenarai hitam oleh institusi kewangan kerana pembayaran ansuran bulanan kereta akan diteruskan oleh pembeli baharu.

Oleh sebab itu, skim sambung loan kereta menjadi pilihan ramai meskipun ia berisiko tinggi dan salah dari segi undang-undang. Sekiranya anda beli atau jual kereta melalui kaedah sambung loan, apa risiko yang mungkin anda hadapi? Ketahui risiko kereta sambung bayar seperti berikut:

Risiko Sambung Bayar Kereta: Risiko kepada Penjual

Meskipun sambung loan merupakan cara mudah untuk menjual kereta, proses jual kereta sambung bayar boleh menyebabkan penjual atau pemilik asal terdedah kepada pelbagai risiko. Berikut merupakan risiko kereta loan yang mungkin dihadapi oleh penjual untuk rujukan dan panduan anda:

1. Ansuran Bulanan Kereta Tidak Dijelaskan, Ada Tunggakan Bayaran

Kebanyakan individu yang beli kereta sambung bayar biasanya telah disenaraihitamkan atau tidak layak mendapat pinjaman kereta daripada bank atas faktor kelayakan gaji, komitmen sedia ada dan sebagainya.

Sebagai contoh, individu yang telah disenaraihitamkan oleh institusi kewangan kebiasaannya memiliki rekod kewangan yang kurang baik. Ini bermaksud, ada kemungkinan mereka tidak berdisiplin dalam membuat bayaran balik ansuran bulanan kereta setiap bulan yang mungkin akan memberi kesan langsung kepada anda.

Sekiranya bayaran ansuran tidak diterima oleh pihak bank seperti dijanjikan, pihak bank biasanya akan menghubungi pemilik asal untuk menjelaskan amaun yang tertunggak.

Situasi sebegini sedikit-sebanyak akan merugikan anda – meskipun anda sudah menjual kereta tersebut, tetapi oleh sebab pemilikan masih atas nama anda, anda secara tidak langsung bertanggungjawab atau terikat dengan kos pemilikan ini.

2. Disenarai Hitam oleh Institusi Kewangan

Oleh sebab tiada penglibatan terus antara pembeli dengan pihak bank dalam urusan pemilikan kereta, mereka mungkin berpotensi untuk tidak membayar ansuran bulanan seperti dijanjikan.

Sekiranya pemilik baharu tidak membayar balik pinjaman (bagi pihak anda seperti dijadualkan), hutang kereta tertunggak ini boleh menjejaskan skor kredit CCRIS dan CTOS anda sebagai peminjam.

Jika laporan kredit anda teruk disebabkan oleh tunggakan bayaran daripada pihak ketiga yang beli kereta anda, ia mungkin boleh menjejaskan peluang anda untuk mendapatkan pinjaman lain seperti loan rumah, pinjaman peribadi dan sebagainya pada masa akan datang.

Malah, kegagalan bayar balik pinjaman juga boleh menyebabkan kereta kena tarik dengan pihak bank, dan anda mungkin perlu mengeluarkan belanja untuk menjelaskan kos-kos tambahan dan tunggakan yang ada untuk menuntut semula kereta anda.

3. Saman Kereta Pemilik Baharu

Mengikut undang-undang Malaysia, kereta sambung bayar yang telah dijual kepada pemilik baharu masih lagi dianggap sebagai hak milik pemilik asal meskipun terdapat surat perjanjian sambung bayar telah dibuat.

Dalam erti kata lain, pemilik asal bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilikan kenderaan selagi proses pemindahan hak milik kereta tidak dilakukan. Sebagai contoh, pemilik baharu melakukan kesalahan lalu lintas seperti langgar lampu isyarat, segala saman polis dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemilik asal kereta.

Ini bermaksud, pemilik asal perlu menanggung semua kos berkaitan saman polis kerana saman akan dikeluarkan ke atas nama pemilik kenderaan bukannya pemandu.

4. Kereta Digunakan untuk Kegiatan Jenayah

Selain itu, sekiranya pemilik baharu menyalahgunakan kenderaan untuk kegiatan jenayah, ia semestinya suatu tindakan yang boleh memakan diri anda sebagai pemilik asal kenderaan. Sekiranya anda memilih untuk jual kereta sambung loan, anda perlu bersedia untuk bertanggungjawab dan menanggung segala risiko yang mungkin timbul sekiranya berlaku perkara sebegini.

Anda mungkin akan dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan. Lebih memburukkan keadaan, anda mungkin dituduh bersubahat dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Namun begitu, anda tak boleh nak salahkan pihak polis. Ini kerana, prosedur sambung bayar kereta tidak perlu membuat sebarang loan kereta, dan tiada hitam putih antara anda dan pihak bank. Jika kereta disalahgunakan untuk kegiatan jenayah, anda perlu bersedia berdepan dengan risiko ini kerana anda pemilik kereta yang sah.

5. Untung Atas Angin, Pembeli Baharu Jual kepada Pihak Ketiga

Dalam sesetengah situasi, ada pihak yang terlibat dengan urusan jual beli kereta sambung bayar menjual semula kereta yang dibeli kepada pihak ketiga untuk mengaut keuntungan atas angin. Ia sekali gus memberi impak kepada pemilik asal sekiranya berlaku sesuatu.

Bayangkan anda jual kereta kepada pihak ketiga dan pihak ketiga menjual kepada pihak yang lain tanpa pengetahuan anda, sudah semestinya ia menjadi masalah kepada anda kerana anda tidak tahu apa pihak ketiga lakukan dengan kereta anda.

Jika pihak ketiga culas untuk bayar atau kereta digunakan untuk tujuan jenayah, nama anda mungkin kena blacklist atau anda mungkin sukar untuk mendapatkan pinjaman lain.

proses jual beli kereta sambung bayar

Risiko Beli Kereta Sambung Bayar: Risiko kepada Pembeli

Kebanyakan orang cenderung untuk beli kereta sambung bayar kerana mereka tidak perlu membuat sebarang loan kereta yang baharu untuk pemilikan kereta. Ini bermaksud, mereka hanya perlu sambung loan kereta yang dibeli. Selain risiko kepada penjual, proses beli kereta sambung bayar juga boleh menyebabkan pembeli berdepan dengan risiko-risiko tertentu. Berikut merupakan risiko sambung bayar yang mungkin dihadapi oleh pembeli:

6. Pemilik Asal Ambil Semula Kereta Sambung Bayar

Pemilik asal kenderaan biasanya memilih untuk jual kereta secara sambung bayar disebabkan oleh masalah kewangan – pemilik ada tunggakan bayaran bulanan yang tinggi, jadi memilih untuk jual kereta untuk elakkan kereta ditarik oleh pihak bank atau disenaraihitamkan jika pinjaman tersebut tidak dijelaskan.

Meskipun begitu, ada berlaku situasi tidak bernasib baik yang mana pemilik asal ambil semula kereta atau menuntut kembali kereta yang dijual daripada pembeli setelah hutang tunggakan diselesaikan atau setelah pinjaman bank dilunaskan sepenuhnya.

Sebagai pemilik baharu, situasi sebegini mungkin merugikan anda dan tiada tindakan yang boleh anda lakukan bagi mendapatkan kereta yang anda bayar setiap bulan ini.

Ini kerana, pemilik asal mempunyai hak terhadap kereta tersebut meskipun telah dijual dan boleh menuntut kereta milikannya pada bila-bila masa kerana hak milik kenderaan masih belum ditukar.

7. Kemungkinan Dituduh Sebagai Pencuri Kereta

Ada juga situasi pemilik asal menuntut kembali kereta setelah kereta habis dibayar oleh pembeli dengan membuat laporan polis kereta telah dicuri. Ia sekali gus memaksa pembeli untuk menyerahkan kereta kepada pemilik asal bagi mengelakkan daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Kereta yang dibeli tanpa tukar nama boleh menjadi masalah kerana ia secara teknikal masih belum menjadi hak milik pembeli yang sah. Oleh sebab itu, anda dinasihatkan untuk uruskan proses pertukaran nama terlebih dahulu sekiranya anda beli kereta terpakai untuk mengelakkan kesulitan-kesulitan sebegini.

8. Tukar Nama Kereta Sambung Bayar

Antara persoalan biasa apabila sambung loan kereta “sambung bayar kereta boleh tukar nama?”. Secara asasnya, kenderaan yang masih lagi dalam pembiayaan atau terikat dengan pinjaman bank tidak boleh dipindah milik, dijual atau diberikan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran atau persetujuan daripada pihak bank. Dalam erti kata lain, pertukaran hak milik kenderaan hanya boleh dilakukan setelah baki keseluruhan pinjaman dijelaskan sepenuhnya.

9. Sambung Loan Kereta: Owner Asal Kereta Meninggal Dunia

Apabila anda beli kereta sambung loan, anda perlu bersedia bahawa proses tukar nama hanya boleh dilakukan apabila pinjaman dilunaskan sepenuhnya. Sekiranya pemilik asal meninggal dunia, ia mungkin akan menjadi masalah besar kepada pembeli. Ini kerana, milikan kenderaan tersebut akan dipindah milik kepada waris secara automatik.

Jika waris bersetuju untuk memindahkan kereta ini kepada anda, ia mungkin tidak menjadi masalah besar. Namun bayangkan waris ingin menuntut kembali kereta yang dijual oleh owner kereta yang meninggal dunia, ia semestinya menjadi masalah kepada pihak anda walaupun anda mempunyai surat perjanjian yang sah.

Pihak waris mempunyai hak milikan ke atas kenderaan yang dijual secara sambung bayar, dan kenderaan boleh dituntut semula tanpa mengira seberapa banyak kos yang telah anda keluarkan untuk bayar ansuran dan penyelenggaraan setiap bulan. Oleh sebab itu, anda tidak digalakkan untuk beli kereta sambung bayar kerana ia boleh menyebabkan risiko-risiko sebegini.

10. Kereta Kemalangan: Tuntutan Insurans Kereta

Seperti dinyatakan di atas, sambung loan kereta tidak membolehkan proses tukar nama owner kereta dilakukan. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan risiko lain kepada pembeli terutamanya berkaitan pembaharuan insurans, tuntutan insurans kemalangan dan roadtax kereta.

Jika berlaku sesuatu ke atas kereta yang dibeli seperti kereta terbakar, kereta rosak, kereta kemalangan dan sebagainya, pemilik baharu mungkin tidak dilindungi oleh polisi insurans kereta. Malah, ada kemungkinan segala tuntutan berkaitan insurans kereta atau kos ganti rugi akan diberikan secara terus kepada pemilik asal kenderaan yang boleh merugikan anda.

Meskipun nama pembeli baharu boleh ditambah sebagai pemandu kedua dalam polisi insurans, anda mungkin berdepan masalah lain jika pemilik asal kereta meninggal dunia.

11. Perjanjian Tidak Sah di Sisi Undang-undang

Walaupun anda dan pemilik kenderaan asal membuat agreement sambung bayar kereta, ia tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang. Secara asasnya, pemilik asal mempunyai kawalan mutlak terhadap kenderaan selagi nama pemilik tidak ditukar. Ini bermaksud, pemilik kereta boleh meminta anda untuk memulangkan kereta pada bila-bila masa dan anda perlu mengembalikan kereta kepada pemilik asal.

cara jual kereta masih ada hutang

Cara Jual Kereta Sambung Bayar, Cara Beli Kereta Sambung Bayar dengan Sah

Secara asasnya, anda tidak dibenarkan untuk menjual atau membeli kereta belum habis bayar. Ini bermaksud, sekiranya anda terikat dengan pinjaman bank, anda perlu menjelaskan baki pinjaman terlebih dahulu sebelum anda boleh jual atau beli kereta.

Sekiranya anda ingin beli kereta belum habis bayar, anda disarankan untuk membuat full settlement atau penyelesaian penuh supaya proses tukar nama kereta daripada pemilik asal kepada pemilik baru dapat dilakukan untuk mengelakkan sebarang permasalahan lain.

Selain cara itu, pemilik baharu juga boleh memohon loan baharu terhadap kereta yang sama ke atas baki pinjaman sedia ada. Ini bermaksud, pinjaman baharu akan dibuat ke atas kereta yang dibeli, tertakluk pada kadar faedah yang baharu (pembeli mungkin perlu membayar ansuran bulanan yang lebih tinggi bergantung pada kadar faedah pinjaman bank semasa).

Dalam erti kata lain, pemilik lama terlepas daripada membayar bulanan kereta dan tidak lagi memiliki kereta tersebut kerana pemilikan lama akan ditukarkan kepada pemilikan baharu.

Semoga perkongsian mengenai risiko kereta sambung bayar ini dapat membantu anda membuat keputusan yang tepat. Anda disarankan untuk tidak membeli atau menjual kereta sambung bayar meskipun anda mempunyai hubungan yang rapat dengan pembeli atau penjual untuk elakkan risiko-risiko sebegini.

Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk beli insurans kereta, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala menawarkan perkhidmatan renew insurans kereta yang telus dan mudah dengan jaminan harga insurans kereta murah, berpatutan dan kompetitif.

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2023 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60

Lindung Diri dan Keluarga dengan Perlindungan Insurans Menyeluruh

X