Cara Claim Bayaran Balik Cukai Terlebih Bayar 2024 Malaysia

Kali terakhir diperbaharui Jan 18, 2024 oleh Shafiq Wahab
Cara Claim Bayaran Balik Cukai Terlebih Bayar 2024 Malaysia

Sebagai pembayar cukai di Malaysia, anda boleh menuntut bayaran balik cukai terlebih bayar. Bayaran balik cukai pendapatan terlebih bayar ini boleh digunakan untuk meningkatkan kedudukan kewangan, meningkatkan aliran tunai dan mengurangkan beban cukai anda.

Tuntut Bayaran Balik Cukai Pendapatan, 5 Perkara Penting Anda Perlu Tahu

Penting untuk anda mengetahui hak anda dan memahami proses untuk menuntut bayaran balik cukai terlebih bayar ini. Namun begitu, anda perlu tahu bahawa pengecualian cukai dan pembayaran balik cukai adalah dua perkara yang berbeza.

Pengecualian cukai merupakan pemotongan daripada pendapatan yang boleh dikenakan cukai. Ia secara tidak langsung mengurangkan jumlah pendapatan yang tertakluk kepada cukai. Manakala, bayaran balik cukai pula merujuk pada cukai yang telah terlebih bayar kepada LHDN.

1. Bayaran Balik Cukai Terlebih Bayar di Malaysia

Secara asasnya, bayaran balik cukai pendapatan merupakan proses pengembalian semula lebihan bayaran cukai yang telah dibayar oleh pembayar cukai. Di Malaysia, pembayar cukai layak untuk mendapatkan pembayaran balik cukai jika mereka membayar cukai melebihi jumlah yang ditetapkan mengikut undang-undang.

Bayaran balik cukai biasanya akan diterima selepas 30 hari bekerja selepas penghantaran Borang Nyata secara e-Filing. Individu yang dikenakan Potongan Cukai Bulanan (PCB) mungkin layak untuk mendapatkan pembayaran balik cukai pendapatan. Ini kerana, potongan bulanan ini tidak termasuk pengecualian cukai atau perbelanjaan yang dibenarkan.

Sebagai contoh, anda beli barangan seperti buku, komputer peribadi atau anda ada resit kos rawatan perubatan penyakit serius – item ini termasuk dalam senarai pelepasan cukai. Jadi, anda berhak untuk menuntut potongan cukai tambahan yang tidak diambil kira dalam PCB bulanan tadi.

Dalam erti kata lain, anda telah terlebih bayar cukai dan layak untuk mendapatkan balik bayaran cukai yang telah dibayar melalui potongan PCB itu tadi.

Bayaran Balik Cukai Terlebih Bayar di Malaysia

2. Proses Permohonan Bayaran Balik Cukai LHDN

Jika anda layak untuk mendapatkan bayaran balik cukai, anda perlu mengisi borang cukai dan melampirkan dokumen sokongan yang diperlukan untuk menuntut bayaran balik. Pembayaran balik cukai pendapatan biasanya dibayar melalui pemindahan bank secara terus ke dalam akaun bank anda atau melalui cek.

Berapa lama masa yang diambil oleh LHDN memproses bayaran balik atau mengkreditkan bayaran kepada anda? Piagam Pelanggan LHDN menetapkan bahawa bayaran balik cukai akan diproses:

  • Dalam tempoh 30 hari bekerja selepas penghantaran Borang Nyata melalui e-Filing;
  • Dalam tempoh 90 hari bekerja selepas penghantaran Borang Nyata yang dihantar melalui pos atau serahan di kaunter.

Perlu diingatkan bahawa proses bayaran balik cukai pendapatan bergantung kepada maklumat yang diberikan dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan. Pihak LHDN juga mungkin memerlukan dokumen sokongan untuk semakan, jika perlu.

3. Cara Memohon Bayaran Balik Cukai

Proses tuntutan bayaran balik cukai pendapatan di Malaysia adalah suatu proses yang mudah. Berikut merupakan langkah untuk membantu anda menuntut pembayaran balik cukai di Malaysia:

i. Tentukan Kelayakan Anda

Langkah pertama dalam menuntut bayaran balik cukai pendapatan anda adalah dengan menentukan kelayakan anda. Anda boleh menuntut bayaran balik cukai jika:

    • Anda telah membayar cukai melebihi jumlah yang layak dikenakan cukai; atau
    • Anda telah membuat potongan atau kredit cukai terlalu banyak.

ii. Hantar Borang Cukai

Untuk menuntut bayaran balik, anda perlu menghantar borang cukai anda sebelum 30 April tahun berikutnya. Anda boleh menghantar borang cukai anda secara dalam talian melalui sistem e-Filing atau dengan mengemukakan Borang Nyata secara fizikal.

iii. Lampirkan Dokumen Sokongan

Jika anda menuntut pengecualian cukai tambahan seperti perbelanjaan perubatan atau pembelian barangan yang diluluskan (buku atau komputer peribadi), anda perlu melampirkan dokumen sokongan bersama borang cukai anda.

iv. Tunggu Penilaian

Setelah anda mengemukakan borang cukai anda, LHDN akan menilai permohonan anda untuk menentukan sama ada anda layak untuk mendapatkan bayaran balik atau tidak.

v. Terima Bayaran Balik Cukai

Jika anda layak untuk bayaran balik cukai pendapatan, ia biasanya akan diproses dalam tempoh 30 hingga 90 hari selepas penilaian selesai. Bayaran balik akan dibuat melalui pemindahan bank atau cek.

4. Cara Semak Status Bayaran Balik Cukai Pendapatan Malaysia

Setelah mengemukakan borang cukai, anda mungkin ingin tahu status bayaran balik cukai terlebih bayar tersebut. Berikut adalah cara untuk memeriksa status pembayaran balik dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN):

i. Layari Laman Web LHDN

Layari laman web LHDN dan klik “Log Masuk e-Filing” yang terletak di bahagian atas kanan laman utama.

ii. Log Masuk ke Akaun e-Filing

Masukkan ID pengguna dan kata laluan untuk mengakses akaun e-Filing anda.

iii. Periksa Status Bayaran Balik

Setelah log masuk, anda boleh memeriksa status bayaran balik cukai pendapatan anda dengan klik pada “Status Bayaran Balik” di bawah tab “Perkhidmatan”.

iv. Masukkan Maklumat

Anda perlu memasukkan nombor rujukan cukai dan nombor kad pengenalan anda untuk memeriksa status bayaran balik anda.

v. Lihat Status Bayaran Balik

Setelah mengisi semua maklumat yang diperlukan, anda akan dapat melihat status bayaran balik cukai anda. Jika bayaran balik anda telah diproses, anda juga dapat melihat butiran pembayaran termasuk tarikh dan jumlah bayaran balik.

Selain itu, anda juga boleh memeriksa status bayaran balik cukai anda melalui telefon dengan menghubungi talian khidmat pelanggan LHDN di 1-800-88-5436. Pastikan anda mempunyai nombor rujukan cukai dan nombor kad pengenalan anda untuk memudahkan proses semakan.

Isi e-Filing LHDN melalui MyTax HASil

5. Bayaran Balik Cukai Malaysia: Perkara-perkara Lain yang Perlu Anda Ketahui

Semasa mengemukakan e-filing, anda akan dapat mengetahui jumlah bayaran balik yang akan anda terima. Ada kemungkinan bayaran balik yang akan diterima dibayar lewat. Untuk mengelakkan kelewatan tersebut, berikut tiga tips yang perlu diikuti:

  1. Pastikan semua maklumat dikemaskini semasa mengisi e-filing. Maklumat penting seperti nombor akaun bank, alamat surat-menyurat, nombor telefon, alamat e-mel, dan nombor pendaftaran syarikat (untuk pembayar cukai korporat) diperlukan untuk mempercepatkan proses bayaran balik;
  2. Jangan berikan maklumat yang salah atau palsu berkenaan pelepasan cukai pendapatan kerana anda boleh diaudit oleh LHDN pada bila-bila masa. Sebagai contoh, jika anda menuntut pelepasan cukai untuk simpanan SSPN, hanya claim jumlah bersih yang disimpan bukannya jumlah keseluruhan yang didepositkan;
  3. Nyatakan semua jenis pendapatan yang diterima seperti pendapatan sewaan atau pulangan pelaburan semasa e-filing. Pihak LHDN mempunyai akses kepada maklumat ini dan kegagalan untuk melaporkannya boleh menyebabkan anda berdepan denda.

Jika selepas 30 hari bekerja, anda masih belum menerima pembayaran balik cukai pendapatan anda, anda boleh mengisi Borang Maklum Balas Pelanggan atau menghubungi Hasil Care Line seperti berikut:

📧 http://maklumbalas.hasil.gov.my/
📠 03-89111000

Awasi Mesej dan Panggilan dari Scammer yang Menyamar Sebagai Pegawai LHDN

Selain itu, anda juga perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap panggilan penipuan LHDN terutamanya semasa musim cukai. Banyak pembayar cukai di Malaysia menjadi mangsa kepada sindiket penipuan yang mensasarkan golongan pembayar cukai ini. Pihak scammer ini menyamar sebagai pegawai LHDN dan menggunakan taktik licik untuk menakut-nakutkan pembayar cukai.

Jika anda menerima panggilan atau e-mel daripada individu yang mengaku sebagai pegawai LHDN, jangan panik dan ikuti langkah-langkah berikut:

1. Sahkan Identiti Pemanggil

Minta individu tersebut memberikan nama lengkap, jawatan dan maklumat hubungan. Anda juga boleh meminta nombor pengenalan LHDN atau nombor pekerja mereka.

Jika anda ragu-ragu, minta nombor panggilan balik dan hubungi LHDN secara langsung untuk mengesahkan identiti pemanggil.

2. Jangan Dedahkan Maklumat Peribadi

Penting untuk anda tahu bahawa pihak LHDN tidak akan sekali-kali melakukan panggilan telefon atau menghantar e-mel untuk mendapatkan maklumat peribadi anda seperti nombor IC, butiran akaun bank atau maklumat kad kredit.

3. Berhati-hati dengan Taktik Pemanggil

Scammer biasanya akan menggunakan ugutan atau taktik intimidasi untuk memaksa anda memberikan maklumat peribadi atau membuat pembayaran. Antara taktik yang biasa digunakan adalah pembayar cukai ada tunggakan cukai dan berdepan tindakan undang-undang, atau penangkapan atas tuduhan tidak membayar cukai.

Pihak LHDN tidak akan mengancam anda dengan penangkapan atau tindakan undang-undang melalui telefon atau e-mel.

4. Laporkan Kejadian

Jika anda mengesyaki anda menerima panggilan atau e-mel penipuan daripada scammer, segera laporkan kejadian tersebut kepada LHDN. Anda juga boleh menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melaporkan kejadian tersebut.

Bayar Cukai LHDN untuk Ketenangan Fikiran

Isi e-Filing, Tuntut Bayaran Balik Cukai Terlebih Bayar LHDN di Malaysia

Jika anda terlebih bayar cukai pendapatan semasa mengemukakan borang cukai, jangan bimbang kerana anda boleh menerima bayaran balik cukai terlebih bayar ini. Oleh sebab itu, penting untuk anda memahami proses pembayaran balik cukai terlebih bayar ini. Ia dapat membantu pembayar cukai menerima pulangan maksimum yang sewajarnya.

Apa yang penting, simpan rekod perbelanjaan dan pembelian, potongan dan pembayaran cukai untuk memudahkan anda sekiranya anda berdepan audit cukai. Tidak dapat dinafikan bayaran balik cukai ini boleh menambah baik aliran kewangan anda. Oleh sebab itu, penting untuk anda menggunakan cukai terlebih bayar ini dengan bijak.

Beri keutamaan kepada sebarang hutang yang belum diselesaikan atau membantu anda mencapai matlamat kewangan anda dengan lebih cepat. Selain itu, jika anda mencari perlindungan insurans kesihatan dan insurans nyawa untuk memaksimumkan pelepasan cukai anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut.

Sebagai platform perbandingan dan pembaharuan insurans terbaik di Malaysia, Qoala menawarkan pelbagai pilihan perlindungan insurans yang komprehensif yang sesuai dengan keperluan anda.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

4 comments

  1. Tuan/Puan ,Saya Masih belum dapat bayaran balik wang .Harap diberi penjelasan .T.Kasih

    1. Tuan/Puan,

      Untuk urusan berkaitan bayaran balik lebihan cukai, tuan/puan digalakkan berurusan terus dengan pihak LHDN. Terima kasih!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60