Boleh Buat Tuntutan Insurans Kereta Kena Hempap Pokok, Tenggelam Banjir?

Kali terakhir diperbaharui May 24, 2023 oleh Syazwani Yahya
Boleh Buat Tuntutan Insurans Kereta Kena Hempap Pokok, Tenggelam Banjir?

Kereta kena hempap pokok akibat ribut, hujan lebat sehingga menyebabkan banjir kilat dan sebagainya merupakan antara bencana alam yang sering berlaku di Malaysia. Bencana alam yang berlaku tanpa sebarang amaran ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda, tetapi turut menyebabkan kerugian wang ringgit untuk menampung kos pembaikan kerosakan.

Adakah Layak Claim Insurans Jika Kereta Rosak Kena Hempap Pokok atau Tenggelam Banjir?

Secara asasnya, kereta yang rosak akibat ditenggelami banjir atau kereta rosak dihempap pokok tumbang boleh melayakkan anda membuat tuntutan. Namun begitu, ia bergantung pada keadaan dan situasi-situasi tertentu.

Sebagai contoh, jika kerosakan kereta anda berpunca daripada pokok tumbang, syarikat insurans atau pengendali takaful biasanya akan mempertimbangkan perkara-perkara berikut:

1. Punca Kereta Kena Hempap Pokok

Syarikat insurans akan melakukan pengesahan berkaitan insiden pokok tumbang ini. Jika kereta kena hempap pokok tumbang berlaku disebabkan oleh kerja-kerja jalan raya atau landskap oleh pihak majlis, anda boleh membuat tuntutan secara terus kepada pihak majlis atau jabatan berkaitan tanpa melibatkan tuntutan insurans atau takaful anda.

Namun begitu, jika insiden kereta kena hempap pokok tumbang berlaku disebabkan oleh bencana alam seperti ribut, tanah runtuh, hujan lebat dan lain-lain, syarikat insurans biasanya akan merujuk kepada laporan meteorologi untuk mengesahkan kejadian tersebut – tuntutan insurans akan dipertimbangkan mengikut jenis perlindungan kereta yang anda miliki.

2. Perlindungan Tambahan Bencana Alam (Special Perils)

Secara asasnya, perlindungan insurans asas (atau insurans komprehensif) sahaja tidak mampu melindungi kereta anda jika kerosakan tersebut berpunca daripada bencana alam seperti insiden kereta kena hempap pokok. Syarikat insurans biasanya akan mengambil kira perlindungan kereta anda – perlindungan asas dan perlindungan tambahan (add-on) yang anda miliki.

Ini bermaksud, jika kereta anda tidak dilindungi dengan perlindungan tambahan khusus untuk bencana alam, anda mungkin tidak layak untuk membuat tuntutan ini. Dalam erti kata lain, tuntutan hanya boleh dilakukan jika anda mendapatkan add-on perlindungan Special Perils untuk kereta anda.

Apa Itu Special Perils?

Ia merujuk pada perlindungan tambahan sekiranya berlaku kerosakan pada kereta sama ada disebabkan oleh ribut, banjir, gempa bumi, tanah runtuh dan bencana alam lain. Biasanya, perlindungan yang ditawarkan berbeza-beza tertakluk pada syarikat insurans pilihan anda.

Berapa Premium yang Perlu Dibayar untuk Perlindungan Tambahan Ini?

Kadar premium bagi perlindungan tambahan ini biasanya sekitar 0.25 peratus daripada jumlah yang diinsuranskan (sum insured). Meskipun begitu, kadar premium ini mungkin berubah bergantung pada syarikat insurans anda.

Sebagai contoh, jika sum insured untuk kereta anda ialah RM50,000 – anda hanya perlu bayar sebanyak RM125 (RM50,000 x 0.25% = RM125) untuk perlindungan peril khas untuk setahun.

Adakah Berbaloi Ambil Perlindungan Peril Khas?

Jika diikutkan, kos untuk mendapatkan perlindungan tambahan ini tidaklah terlalu mahal. Malah, jika dibandingkan dengan kos yang perlu dikeluarkan untuk pembaikan kerosakan kereta anda sekiranya kena hempap pokok, ia semestinya lebih berbaloi berbanding kos pembaikan kereta yang mungkin mencecah ribuan ringgit.

Kereta Kena Hempap Pokok Layak Buat Tuntutan Insurans

Perlindungan Peril Khas (Special Perils) Boleh Selamatkan Kewangan Anda

Secara asasnya, anda boleh membuat tuntutan insurans bagi menampung kos pembaikan kereta yang tenggelam akibat banjir, kereta kena hempap pokok atau bencana alam lain. Dengan syarat, anda telah memasukkan perlindungan tambahan peril khas (bencana alam) ke dalam polisi insurans kereta komprehensif anda.

Tuntutan insurans ini perlu dibuat di bawah tuntutan kerosakan sendiri (own damage). Namun begitu, tuntutan ini boleh memberi kesan kepada kadar NCD kereta semasa anda. Ini bermaksud, NCD kereta anda akan kembali ke angka sifar dan harga premium insurans kereta anda berkemungkinan akan menjadi lebih mahal pada tahun berikutnya.

Perlindungan insurans memainkan peranan penting dalam membantu meringankan beban kewangan anda. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk dapatkan perlindungan insurans kereta komprehensif, dan tambah perlindungan tambahan peril khas untuk perlindungan kereta yang lebih optimum.

Selain itu, jika anda ingin perbaharui insurans kereta anda termasuk perlindungan peril khas (perlindungan insurans banjir atau insurans kereta kena hempap pokok), anda boleh lakukannya secara online melalui platform Qoala. Anda boleh banding dan pilih insurans daripada beberapa syarikat insurans terbaik untuk proses yang lebih mudah dan pantas. Layari laman web Qoala untuk info lanjut.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60