Insurans Kereta Banjir: 5 Tips Memandu Ketika Hujan dengan Selamat

Kali terakhir diperbaharui Feb 16, 2023 oleh Shafiq Wahab
Insurans Kereta Banjir: 5 Tips Memandu Ketika Hujan dengan Selamat

Musim tengkujuh atau musim hujan merupakan fenomena yang biasa berlaku di Malaysia terutamanya pada hujung tahun. Hujan lebat bukan sahaja boleh meningkatkan risiko kemalangan, tetapi turut berpotensi menyebabkan banjir di lokasi-lokasi tertentu. Oleh sebab itu, anda perlu lakukan persediaan sewajarnya dengan melakukan servis berkala untuk kereta anda terutamanya bahagian tayar dan miliki insurans kereta banjir untuk mengelakkan anda daripada menanggung kos pembaikan yang tinggi akibat kereta ditenggelami banjir.

Panduan Keselamatan Ketika Hujan: Insurans Kereta Banjir Perlu Ada untuk Perlindungan Kereta Lebih Optimum

Semasa musim hujan, banyak perkara yang perlu diberi perhatian oleh pemilik kenderaan khususnya bagi memastikan keselamatan diri dan kenderaan lebih terjamin. Selain insurans kereta banjir, pemanduan semasa hujan tanpa ilmu dan persediaan asas boleh mengundang risiko kecelakaan. Ikuti tips pemanduan selamat semasa hujan seperti berikut untuk menjadikan pemanduan anda dalam musim hujan lebih selamat.

1. Lampu Kereta Depan dan Belakang dalam Keadaan Elok

Pastikan lampu kereta termasuk lampu brek berfungsi dengan baik bagi membolehkan pemandu lain peka dengan kedudukan anda semasa memandu dalam hujan. Biasanya, jarak penglihatan semasa memandu boleh terjejas disebabkan hujan lebat. Ini kerana, biasan air hujan menyebabkan objek kelihatan lebih jauh dari jarak sebenar.

Anda disarankan untuk nyalakan lampu besar suluh rendah bagi meningkatkan pencahayaan sekali gus membantu anda melihat dengan lebih baik. Elakkan daripada menyalakan lampu kecemasan atau hazard light semasa hujan sewaktu kereta sedang bergerak.

Jika anda menggunakan lampu kecemasan semasa hujan, pemilik kenderaan lain boleh terkeliru dan beranggapan kereta anda sedang tidak bergerak. Secara asasnya, lampu kecemasan hanya boleh digunakan dalam situasi kecemasan seperti kereta rosak tepi jalan dan sebagainya.

2. Pastikan Wiper Kereta Berfungsi Baik

Selain itu, pastikan wiper kereta anda berfungsi dan berada dalam keadaan baik. Secara asasnya, wiper kereta memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap kebolehlihatan semasa memandu dalam hujan. Tahap penglihatan ketika hujan akan bertambah buruk, tidak jelas dan lebih terhad sekiranya aspek penyelengggaraan pengelap cermin depan diabaikan.

Jika wiper kereta tidak berfungsi, tidak diselenggara atau tidak digantikan setelah rosak, ia tidak dapat mengelap air pada cermin dengan sekata dan sempurna. Ia sekali gus meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Anda disarankan untuk tukar wiper kereta sekiranya getah pengelap sudah haus atau keras. Wiper tak bergerak dengan lancar atau tersekat-sekat juga perlu ditukar bagi menjamin kebolehlihatan anda, selain memastikan anda memandu ketika hujan dengan selamat.

Insurans kereta banjir: tayar kereta perlu dalam keadaan baik untuk elakkan kemalangan atau insiden tidak diingini semasa hujan

3. Periksa Keadaan Tayar Kereta

Kerosakan tayar kereta seperti bunga tayar haus, tayar botak, tayar makan dalam, tayar makan luar dan tayar bengkak tepi merupakan antara jenis kerosakan tayar kereta yang tidak boleh diambil mudah dan perlu diberi perhatian terutamanya semasa musim hujan.

Keadaan jalan raya yang licin ditambah pula dengan keadaan tayar yang tidak baik boleh mengurangkan cengkaman tayar pada jalan sehingga berisiko menyebabkan kemalangan lebih-lebih lagi jika memandu laju dalam hujan.

Tekanan air yang terbentuk semasa memandu laju dalam hujan boleh menyebabkan tayar kereta terapung dan tidak menyentuh permukaan jalan – situasi ini lebih dikenali sebagai aquaplaning atau hydroplaning.

Untuk mengurangkan risiko kemalangan, anda perlu pastikan keadaan tayar (termasuk ketebalan tayar bunga dan tekanan angin tayar kenderaan) berada pada tahap yang memuaskan. Segera gantikan tayar kereta yang sudah botak atau haus.

4. Kekalkan Jarak Selamat antara Kereta Lain

Hujan lebat boleh menyukarkan pemanduan – anda dinasihatkan untuk mengurangkan kelajuan atau memandu lebih perlahan daripada had kelajuan yang ditetapkan. Ia sekali gus dapat mengurangkan risiko kemalangan dan melindungi diri anda sekiranya berlaku masalah pada kereta anda atau kereta lain.

Kenderaan yang dipandu laju biasanya berisiko untuk terbabas sekiranya brek kereta ditekan mengejut. Selain itu, anda juga perlu menjaga jarak selamat antara kenderaan lain. Ini kerana, keadaan jalan raya yang licin berpotensi mengurangkan cengkaman tayar dan meningkatkan masa berhenti.

Oleh sebab itu, penting untuk anda pastikan jarak selamat pemanduan dikekalkan supaya ada ruang yang mencukupi antara kereta anda dengan kenderaan lain di hadapan anda.

5. Fokus Pemanduan, Pegang Stereng Sepanjang Masa

Beri perhatian penuh dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling semasa pemanduan dalam hujan. Kekalkan penglihatan ke hadapan sepanjang masa serta elakkan memandu dengan sebelah tangan.

Pastikan kedua-dua belah tangan menggenggam erat stereng kereta – kedua-dua belah tangan perlu berada pada posisi pukul tiga dan sembilan stereng kereta. Ini bagi membolehkan anda mengawal kereta dengan baik sekiranya berlaku situasi tidak dijangka seperti terlanggar lopak air dan sebagainya.

Anda juga perlu kurangkan aktiviti lain seperti menggunakan telefon bimbit, menonton video atau bersembang dengan pasangan kerana ia boleh mengganggu tumpuan.

Banyak perkara yang boleh terjadi sekiranya terleka seketika, lebih-lebih lagi jika jarak penglihatan rendah atau melalui jalan yang tidak biasa dilalui.

Panduan Keselamatan Ketika Hujan: Pastikan anda mematuhi tips memandu ketika banjir seperti gantikan wiper tidak bergerak, bunga tayar haus, kekalkan jarak selamat kenderaan dan sebagainya untuk kurangkan risiko kemalangan.

Insurans Kereta Banjir: Dapatkan Perlindungan Insurans Banjir Kereta untuk Perlindungan Optimum Semasa Musim Hujan

Semasa banjir, anda berkemungkinan berdepan dengan risiko kerosakan harta benda seperti kereta, rumah, haiwan ternakan dan lain-lain lagi. Oleh sebab itu, anda dinasihatkan untuk menambah perlindungan tambahan peril khas atau insurans kereta banjir dalam polisi insurans komprehensif kereta.

Dengan perlindungan insuran kereta banjir, ia membolehkan anda membuat tuntutan insuran banjir kereta sekiranya kereta anda rosak ditenggelami air banjir. Ia sekali gus dapat mengelakkan anda daripada mengeluarkan belanja yang lebih tinggi untuk pembaikan kerosakan.

Secara asasnya, kadar premium atau harga insuran banjir kereta (insurans kereta banjir atau insurans peril khas) yang dikenakan biasanya sekitar 0.2 peratus hingga 0.5 peratus daripada jumlah diinsuranskan. Harga insurans banjir kereta ini juga bergantung pada syarikat insurans pilihan anda – rujuk syarikat insurans anda untuk info lanjut.

Sekiranya anda ingin mendapatkan perlindungan tambahan seperti insurans cermin depan dan insurans kereta banjir, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan insurans kereta dengan pelbagai tawaran insurans kereta menarik pada harga yang berpatutan.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60