Cara Claim Insurans Kereta, Punca Claim Insurans Kereta Ditolak

Kali terakhir diperbaharui Nov 23, 2022 oleh Hariz Hafiz
Cara Claim Insurans Kereta, Punca Claim Insurans Kereta Ditolak

Sekiranya berlaku kemalangan, perkara pertama yang difikirkan oleh pemilik kereta semestinya cara claim insurans kereta dan kos baiki kereta kemalangan. Namun biasanya, kereta yang memiliki perlindungan insurans kereta yang sah tidak perlu memikirkan perkara ini kerana kos pembaikan kereta kemalangan ditanggung oleh pihak insurans asalkan anda mempunyai perlindungan insurans yang sewajarnya.

Secara amnya, kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa dan boleh menimpa sesiapa sahaja yang menggunakan jalan raya. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), secara purata lebih daripada 500 ribu kes kemalangan jalan raya dilaporkan melibatkan hampir tujuh ribu kematian saban tahun.

Oleh sebab itu, artikel ini akan membincangkan jenis tuntutan insurans kereta rosak yang boleh anda lakukan, cara nak claim insurans kereta kemalangan dan perkara-perkara yang boleh anda pertimbangkan berkaitan proses claim insurans kereta.

Insurance Kereta: Jenis Tuntutan Insurans Kereta

Sekiranya anda terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kerosakan harta benda tanpa sebarang kecederaan fizikal, anda boleh lakukan tuntutan ganti rugi dengan mempertimbangkan tiga jenis tuntutan berikut:

1. Tuntutan Kerosakan Sendiri

Ia merujuk pada tuntutan kerugian atau kerosakan kereta anda terhadap insurans kereta anda sendiri (own damage claim). Sebagai contoh, anda secara tidak sengaja terlanggar pagar ketika sedang mengundur keluar dari rumah dan menyebabkan kerosakan teruk pada kereta. Anda boleh claim insurans kereta untuk membayar kos kerosakan kereta menggunakan insurans anda.

Namun begitu, tuntutan kerosakan sendiri ini hanya boleh dilakukan sekiranya anda merupakan pemegang polisi Insurans Komprehensif yang menawarkan perlindungan kepada anda dan pihak ketiga. Sekiranya tuntutan ini dibuat, polisi anda secara automatik akan kehilangan NCD Kereta (No Claim Discount). Ini bermakna, NCD kereta anda akan kembali kepada sifar peratus pada tahun berikutnya dan premium insurans anda mungkin menjadi lebih mahal semasa renew insurans.

Meskipun begitu, anda tidak akan kehilangan NCD kereta sekiranya anda membuat tuntutan kerosakan sendiri kecuali dalam dua situasi seperti berikut:

  • Kerosakan Bukan Kesalahan Sendiri (No Fault Damage) – merujuk pada situasi kemalangan yang disahkan oleh pihak polis bukan berpunca daripada kecuaian anda;
  • Insurans Cermin Kereta – jika anda menambah perlindungan tambahan cermin kereta, NCD kereta tidak akan terjejas meskipun anda membuat tuntutan insurans cermin kereta.

2. Tuntutan Knock-for-Knock

Sekiranya berlaku kemalangan yang berpunca daripada pihak lain, anda boleh pertimbangkan untuk membuat tuntutan Knock-for-Knock. Ini bermaksud, anda akan membuat claim insurans kereta daripada syarikat insurans anda sendiri, dan pihak insurans akan menuntut semula daripada syarikat insurans pihak ketiga.

Walau bagaimanapun, tuntutan ini hanya boleh dibuat sekiranya anda pemegang polisi Insurans Komprehensif. Kos baik pulih kereta akan ditanggung oleh syarikat insurans anda terlebih dahulu sebelum dituntut semula daripada syarikat insurans pihak ketiga di kemudian hari – ini kerana tempoh claim insurans kemalangan biasanya memakan masa yang lama. Berikut merupakan manfaat tuntutan Knock-for-Knock:

  • Proses claim insurans kereta menjadi lebih cepat;
  • Diskaun NCD kereta kekal seperti biasa;
  • Tuntutan Excess dan Loss of Use boleh dilakukan daripada syarikat insurans pihak ketiga.

3. Tuntutan Pihak Ketiga

Ia merujuk pada proses tuntutan atau claim insurans kereta terhadap syarikat insurans pihak ketiga sekiranya berlaku kerosakan pada kereta atau harta benda anda disebabkan oleh kemalangan jalan raya yang bukan berpunca daripada kesalahan anda. Biasanya, NCD kereta anda tidak akan terjejas disebabkan oleh tuntutan ini.

Cara Claim Insurans Kereta Kemalangan Sendiri, Claim Insurans Kemalangan Pihak Ketiga

Sekiranya kereta anda rosak kerana terlanggar pagar rumah disebabkan kecuaian sendiri atau kereta anda rosak akibat kemalangan dengan kereta lain, panduan proses claim insurans kereta ini diharap boleh membantu anda. Qoala senaraikan dua cara claim insurans kereta kemalangan – cara nak claim insurans kereta orang lain dan tuntutan insuran kereta kemalangan sendiri.

5 Cara Claim Insuran Kereta Kemalangan Sendiri

Tuntutan kerosakan sendiri atau claim insurans kemalangan sendiri merujuk proses tuntutan kerugian atau kerosakan pada kereta anda daripada syarikat insurans anda sendiri. Bagi proses tuntutan insurans kereta rosak ini, anda boleh ikuti langkah-langkah berikut:

1. Hubungi Syarikat Insurans

Sekiranya anda berdepan situasi ini, hubungi syarikat insurans anda untuk memaklumkan mengenai kemalangan ini dalam tempoh tujuh hari dari tarikh kemalangan. Jika kereta anda mengalami kerosakan yang serius dan memerlukan bantuan kecemasan, minta bantuan perkhidmatan trak tunda.

2. Buat Laporan Polis

Report polis untuk claim insurans perlu dibuat di balai polis berhampiran dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan bagi mengelakkan sebarang risiko lain seperti tuntutan ditolak oleh pihak insurans atau sebagainya.

3. Hantar Kereta ke Bengkel

Minta senarai penuh bengkel panel daripada syarikat insurans anda dan hantar kereta anda ke bengkel panel yang dipilih. Sekiranya anda memilih untuk menghantar kereta ke bengkel selain bengkel panel, proses dan tempoh tuntutan insurans kemalangan mungkin menjadi lebih sukar dan memakan masa yang lama, selain kos pembaikan yang boleh menjadi lebih tinggi.

4. Sediakan Dokumen Sokongan

Bagi memudahkan proses, anda perlu kemukakan dokumen berikut kepada syarikat insurans anda:

      1. Borang tuntutan yang lengkap;
      2. Salinan asal laporan polis;
      3. Salinan kad pengenalan dan lesen memandu (pemandu dan pemegang polisi);
      4. Salinan sijil pemilikan kenderaan;
      5. Gambar semasa kejadian dan kerosakan kenderaan;
      6. Dokumen polis yang menyatakan pihak yang dikompaun bagi kesalahan jalan raya.

5. Selesai

Tunggu sehingga proses baik pulih kereta anda selesai. Anda juga boleh semak dengan syarikat insurans anda bagi memastikan alat ganti yang ditukar oleh bengkel panel adalah alat ganti yang tulen dan berkualiti. Setelah berpuas hati dengan proses pembaikan ini, tandatangan borang pelepasan syarikat insurans anda.

cara claim insuran kereta

8 Cara Claim Insurans Kemalangan Pihak Ketiga

Sekiranya kereta anda kemalangan, anda disarankan untuk kekal tenang dan jangan panik. Apa yang penting, ketahui hak anda sebagai pemegang polisi insurans bagi memudahkan proses claim insurans kemalangan. Berikut lapan cara claim insurans third party sekiranya anda terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kerosakan harta benda tanpa sebarang kecederaan fizikal untuk panduan anda:

1. Berhentikan Kenderaan di Bahu Jalan

Sejurus selepas kemalangan, alihkan kenderaan anda ke bahu jalan atau berhenti di mana-mana lokasi yang selamat. Elakkan daripada berbincang di tengah-tengah jalan kerana selain ia bukan sahaja boleh menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk, malah mungkin boleh membahayakan nyawa anda. Namun begitu, jika kereta anda tidak boleh dialihkan akibat kerosakan kereta yang serius, letakkan segi tiga amaran kecemasan sekurang-kurangnya 45 meter di belakang kereta bagi memudahkan anda dilihat oleh kenderaan lain.

2. Minta Bantuan Segera

Keluar dari kereta dengan berhati-hati dan segera periksa kerosakan yang berlaku pada kereta anda. Kenal pasti tahap kerosakan kereta sama ada anda memerlukan perkhidmatan trak tunda atau tidak. Kemudian, hubungi talian khidmat pelanggan syarikat insurans kereta bagi mendapatkan bantuan.

Sekiranya berlaku kemalangan, biasanya ramai pihak ketiga atau ejen trak tunda yang akan berhenti dan menawarkan perkhidmatan trak tunda ke bengkel milik mereka. Anda dinasihatkan untuk berurusan dengan pengendali trak tunda yang berdaftar dengan syarikat insurans anda sahaja bagi mengelakkan sebarang masalah lain.

Dalam keadaan panik, kita cenderung untuk membuat keputusan terburu-buru. Oleh itu anda perlu kekal tenang, jangan sesekali memberikan keizinan kepada pihak ketiga untuk menguruskan kenderaan anda melainkan mereka berdaftar dengan syarikat insurans anda.

3. Ambil Gambar Sebagai Bukti, Catat Butiran Saksi (Jika Ada)

Ambil gambar kawasan kejadian, gambar kerosakan yang berlaku pada kereta dan gambar kenderaan yang melanggar termasuk butiran penting seperti nombor plat kereta, roadtax kereta, kad pengenalan individu yang terlibat dan sebagainya. Catatkan lokasi dan masa kemalangan untuk memudahkan rujukan semasa membuat laporan polis.

Sekiranya individu terlibat enggan memberikan kerjasama, nyatakan kepada mereka bahawa mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 52 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana hak anda sebagai pihak yang telah dilanggar untuk mendapatkan maklumat dari pihak yang melanggar telah dihalang.

Jika kemalangan melibatkan kenderaan persendirian, dapatkan nombor telefon pemandu tersebut. Namun jika kemalangan melibatkan kenderaan syarikat, dapatkan nombor telefon syarikat terbabit. Bagi memastikan nombor telefon yang diberikan betul-betul boleh dihubungi, minta individu tersebut untuk menelefon anda menggunakan telefon bimbit miliknya. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan maklumat berikut untuk memudahkan anda:

      1. Nombor lesen memandu;
      2. Nombor telefon untuk dihubungi dan alamat tempat tinggal;
      3. Model dan nombor pendaftaran kenderaan;
      4. Syarikat insurans yang didaftarkan.

Selain itu, ramai dalam kalangan mangsa kemalangan terlupa untuk mengambil maklumat saksi mungkin disebabkan kerana terlalu panik. Jika ada, ambil maklumat saksi yang menyaksikan kejadian. Saksi-saksi ini boleh membantu memberi keterangan sekiranya diperlukan.

4. Segera Dapatkan Rawatan

Sekiranya kemalangan yang berlaku menyebabkan kecederaan, jangan berlengah lagi untuk mendapatkan rawatan di hospital meskipun kecederaan yang dialami tidak terlalu serius. Jika bertangguh, ia mungkin menyukarkan anda untuk membuat tuntutan perubatan atau tuntutan-tuntutan lain (jika perlu).

5. Buat Laporan Polis

Sekiranya kenderaan masih selamat untuk dinaiki, segera ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis. Laporan polis membabitkan kemalangan perlu dibuat dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan. Sekiranya report kemalangan dibuat selepas 24 jam atau lebih lambat berbanding tempoh yang telah ditetapkan, anda mungkin boleh dikenakan denda dan ada kemungkinan tuntutan anda ditolak.

Selepas laporan diterima, Pegawai Penyiasat atau Penolong Pegawai Penyiasat yang bertugas akan menjalankan siasatan awal. Rakaman percakapan anda dan saksi akan dibuat, bukti bergambar akan diambil dan dokumen berkaitan akan diminta bagi membantu melengkapkan siasatan. Biasanya, keputusan kes oleh pengawai penyiasat akan dikeluarkan dalam tempoh 15 hari selepas kemalangan.

Salinan laporan akan diserahkan kepada anda dalam tempoh kurang dari tiga hari bekerja, manakala gambar kemalangan dan rajah kasar akan diserahkan dalam masa kurang dari 15 hari. Keputusan kes, gambar kemalangan dan lakaran rajah diperlukan bagi melengkapkan dokumen tuntutan insurans kemalangan pihak ketiga.

6. Maklumkan kepada Syarikat Insurans

Tuntutan insurans kemalangan perlu dilakukan dengan segera sekurang-kurangnya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh kemalangan. Namun begitu, anda boleh menulis surat kepada pihak insurans sekiranya berlaku kelewatan dalam proses tuntutan kerosakan kereta. Semasa membuat claim insurans kereta, anda perlu mengemukakan laporan polis atau sekiranya anda tercedera, anda mestilah dirawat di hospital dalam masa 30 hari setelah kemalangan berlaku. Berikut merupakan dokumen yang diperlukan semasa proses claim insurans kereta daripada syarikat insurans:

      1. Salinan kad pengenalan;
      2. Cover note insurans;
      3. Salinan lesen memandu;
      4. Salinan asal laporan polis;
      5. Salinan geran kereta;
      6. Gambar kemalangan dan lakaran rajah dari pihak polis polis.

7. Servis Kereta di Bengkel Panel

Kereta perlu dihantar ke bengkel panel insurans anda atau pusat servis kenderaan yang boleh dipercayai bagi memastikan kerosakan kereta dibaiki dengan sempurna dan spare parts atau alat ganti kereta yang digunakan adalah tulen. Sekiranya anda memiliki kereta Honda, anda disarankan untuk menghantar kereta anda ke Pusat Servis Honda bagi memudahkan proses tuntutan. Ia juga bagi memastikan proses tuntutan insurans dapat dilakukan dengan lebih cepat dan jaminan kualiti pembaikan yang lebih baik.

8. Selesai

Tunggu sehingga proses baik pulih kereta anda selesai. Biasanya, tempoh yang diambil untuk kereta anda disiapkan bergantung pada tahap kerosakan kereta anda. Selain kos pembaikan kereta, anda juga boleh membuat tuntutan Pampasan untuk Tempoh Pembaikan yang Dianggarkan (Compensation for Assessed Repair Time, CART). Ia merujuk pada amaun yang perlu dibayar oleh syarikat insurans pihak ketiga mengikut bilangan hari yang diperlukan untuk membaiki kerosakan kereta anda seperti dinilaikan oleh adjuster (bukan berdasarkan bilangan hari kereta berada di bengkel).

Ini bermaksud, kos pengangkutan awam atau kos sewa kenderaan gantian yang ditanggung sepanjang tempoh baik pulih kereta anda akan diberi pampasan oleh pihak insurans. Kebiasaannya, pusat servis kereta akan menyediakan laporan lengkap beserta salinan dokumen yang diperlukan untuk memudahkan urusan tuntutan anda. Hantar dokumen dan laporan tersebut kepada syarikat insurans pihak yang melanggar kereta anda untuk diproses. Lakukan follow-up dari semasa ke semasa. Biasanya, proses tuntutan ini memakan masa antara tujuh hingga 14 hari bekerja.

Tuntutan Insurans Kena Reject, 5 Punca Claim Insurans Kena Tolak

Bagi pemandu yang baru memiliki kereta dan tidak berapa mahir tentang insurance kereta terutamanya cara claim insurans kereta kemalangan, panduan ini mungkin boleh membantu anda untuk mengurangkan risiko tuntutan anda ditolak. Secara amnya, banyak faktor yang boleh menyebabkan claim insurans ditolak oleh syarikat insurans. Oleh sebab itu, penting untuk anda memahami polisi insurans yang anda ambil dan istilah-istilah biasa dalam insurans untuk mengelakkan kekeliruan.

1. Langgar Tak Buat Report

Sekiranya anda terlibat dalam kemalangan, pastikan anda terus membuat laporan di balai polis berdekatan anda. Jangan ambil mudah kerana laporan polis bagi kes kemalangan perlu dibuat dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan berlaku kecuali kes-kes tertentu seperti anda cedera parah atau koma disebabkan kemalangan. Sekiranya report kemalangan dibuat selepas 24 jam, ada kemungkinan tuntutan insurans anda akan ditolak oleh syarikat insurans.

Selain itu, kejadian kemalangan ini mungkin dianggap tidak sah oleh pihak insurans jika tiada laporan polis dibuat atau laporan dibuat selepas tempoh 24 jam. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk tidak menangguh atau memandang remeh urusan ini melainkan anda mempunyai sebab dan alasan yang munasabah. Selain itu, elakkan daripada membuat laporan palsu atau menipu dalam laporan yang dibuat.

Ia bukan sahaja boleh menyebabkan claim insurans kereta anda ditolak, tetapi anda juga boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman saman sebanyak RM5,000 atau penjara 6 bulan atau kedua-duanya.

2. Pemandu Tidak Dinamakan

Insurans kereta hanya melindungi pemandu kereta yang dinamakan dalam polisi insurans  kereta yang digunakan oleh pemandu yang tidak dinamakan dalam polisi boleh menyebabkan claim insurans kereta ditolak oleh syarikat insurans. Oleh sebab itu, ramai pemilik kenderaan yang takut untuk meminjamkan kereta kepada individu yang tidak dinamakan dalam polisi insurans. Secara asasnya, tuntutan masih boleh dibuat sekiranya kereta yang dipandu oleh individu yang tidak dinamakan terlibat dalam kemalangan. Namun begitu, anda perlu membayar denda atau excess insurans sebanyak RM400.

Sekiranya pasangan, anak atau ahli keluarga kerap menggunakan kereta anda, anda disarankan untuk ambil langkah berjaga-jaga dengan mendaftarkan nama mereka sebagai pemandu kedua di bawah polisi insurans anda. Ia bagi membolehkan mereka menerima perlindungan yang sama seperti anda sekiranya berlaku kemalangan.

Bagi polisi insuran kereta di Malaysia, anda boleh menamakan sekurang-kurangnya dua pemandu lain untuk dimasukkan ke dalam polisi insurans anda secara percuma. Manakala, penambahan nama seterusnya akan dikenakan caj sebanyak RM10 bagi setiap nama (atau mungkin lebih bergantung pada syarikat insurans).

3. Memandu di Bawah Pengaruh Dadah, Alkohol

Memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah bukan sahaja menjadi kesalahan di Malaysia, tetapi turut menyebabkan tuntutan insurans kereta atau claim insurans kereta anda tidak dilayan oleh syarikat insurans. Sekiranya berlaku kemalangan semasa anda sedang mabuk atau khayal, ada kemungkinan tuntutan insurans anda akan ditolak. Ini kerana, pihak insurans beranggapan kemalangan ini berpunca daripada kelalaian atau kecuaian pemandu. Lebih memburukkan keadaan, anda mungkin boleh dikenakan hukuman yang lebih berat sekiranya kemalangan jalan raya ini menyebabkan kecederaan atau kematian.

4. Maklumat Tidak Tepat

Sekiranya anda tidak memberikan maklumat yang tepat semasa proses pembaharuan insurans kereta dilakukan untuk mengelakkan bayaran premium yang tinggi, pihak insurans berhak untuk menolak claim insurans kereta anda sekiranya berlaku kerosakan atau kemalangan. Secara asasnya, pihak insurans mengambil kira beberapa faktor risiko dalam menentukan kadar premium antaranya ciri keselamatan dalam kenderaan, tempoh kenderaan berada di jalan raya, lokasi geografi (dalam kawasan dengan kes kecurian tinggi) dan kesalahan lalu lintas yang pernah direkodkan.

Ini bermaksud, pihak insurans berhak mengetahui maklumat tentang kereta anda walaupun sekadar lokasi anda meletakkan kereta anda. Meskipun maklumat ini dianggap remeh, parking kereta di kawasan dengan kawalan rapi mempunyai risiko kecurian yang lebih rendah berbanding parking kereta di kawasan parking awam terbuka. Jika berlaku kecurian dan maklumat yang diberi kepada syarikat insurans tidak tepat, syarikat insurans berhak untuk menolak tuntutan yang dilakukan.

Oleh sebab itu, pastikan anda tidak memalsukan maklumat semata-mata untuk nikmati premium yang lebih rendah untuk mengelakkan claim insurance kereta anda ditolak.

5. Tidak Dilindungi Polisi Insurans

Ramai pemegang polisi insurans beranggapan memiliki insurans kereta yang sah sudah mencukupi dan memadai untuk melindungi kereta sekiranya berlaku kemalangan atau kerosakan kereta. Namun sebenarnya tanggapan ini kurang tepat – pemilikan insurans yang sesuai dan memahami perlindungan yang ditawarkan penting bagi mengelakkan anda terkesan sekiranya berlaku sesuatu pada kereta anda.

Secara asasnya, polisi Insurans Pihak Ketiga hanya melindungi pihak ketiga sahaja tidak termasuk kereta anda. Manakala polisi Insurans Komprehensif pula melindungi kedua-dua pihak iaitu anda dan pihak ketiga sekiranya berlaku kemalangan. Sekiranya kereta anda dilindungi oleh Insurans Pihak Ketiga, anda tidak perlu menanggung kos baiki kereta kemalangan atau kerosakan kereta yang dialami oleh pihak ketiga sekiranya terlibat dalam kemalangan. Namun begitu, anda mungkin perlu keluarkan duit simpanan sendiri untuk membaiki kerosakan kereta anda.

Oleh sebab itu, anda dinasihatkan untuk mengambil kira beberapa faktor lain sebelum beli insurans kereta bagi memastikan anda mendapat perlindungan yang sesuai dengan keperluan anda.

claim insurans kemalangan pihak ketiga

Apa yang Boleh Dilakukan Selepas Tuntutan Insurans Ditolak?

Selepas tuntutan insurans anda ditolak, jangan panik kerana anda masih boleh mengemukakan rayuan. Namun jika rayuan yang dilakukan turut ditolak, anda boleh bawa aduan ini kepada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Bank Negara Malaysia atau Ombudsman Financial Services iaitu sebuah badan bebas yang menyelesaikan aduan dan pertikaian berkaitan perbankan dan tuntutan insurans serta takaful.

Apakah Kesan Claim Insuran Kereta, Berapa Kali Boleh Claim Insuran Kereta?

Tiada had bagi bilangan tuntutan insurans yang boleh dibuat dalam tempoh setahun. Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk tidak memfailkan sebarang tuntutan sekiranya kerosakan kereta tidak terlalu serius. Secara amnya, anda boleh lakukan tuntutan sekiranya anggaran kos kerosakan lebih tinggi berbanding diskaun NCD kereta yang anda terima semasa renew insurans. Jika kos kerosakan lebih rendah, anda dinasihatkan untuk mengeluarkan belanja sendiri bagi mengelakkan kadar premium insurans yang lebih tinggi semasa pembaharuan akan datang.

Perkongsian mengenai cara claim insurans kereta kemalangan ini diharap dapat membantu sekiranya anda berdepan situasi sebegini. Anda digalakkan untuk mendapatkan polisi insurance kereta terbaik dan komprehensif untuk mengelakkan risiko tuntutan insurans kereta anda ditolak. Untuk info lanjut berkaitan insurans, layari laman web Qoala. Qoala merupakan platform beli insurans yang mudah, telus dan pantas dengan tawaran harga yang kompetitif dan berpatutan.

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

7 comments

  1. Kenapa insuran tak cover penuh kalau penggatian barang, katanya cover 85% kalau barang original. apa kejadahnya tak cover.. betul ke tak betul ni.

  2. Assalamualaikum.. boleh ke nak claim untuk cat
    baru kereta padahal calar sikit sahaja? Pihak insurance terima ke?

    1. Waalaikumsalam. Encik boleh semak polisi insurans kereta encik untuk ketahui sama ada ada coverage untuk cat kereta atau tak 😃

      1. Macam mana saya nak buat tuntutan keatas orang yg langgar saya sedangkan insuran dia mati dan nilai pampasannya mcm mana ?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60