9 Kategori Penyakit yang Tidak Dilindungi Insurans di Malaysia

Kali terakhir diperbaharui May 22, 2023 oleh Ramen Hasniran
9 Kategori Penyakit yang Tidak Dilindungi Insurans di Malaysia

Polisi insurans perubatan dan kesihatan secara asasnya tidak melindungi semua jenis penyakit. Ada pengecualian-pengecualian tertentu atau penyakit yang tidak dilindungi insurans terutamanya penyakit kronik atau penyakit kritikal. Biasanya, syarikat insurans di Malaysia menyenaraikan beberapa penyakit yang tidak dilindungi insurans kesihatan – anda boleh rujuk polisi insurans anda untuk info lanjut.

Insurans Perubatan dan Kesihatan: Adakah Insurans Ini Melindungi Semua Jenis Penyakit?

Secara asasnya, insurans perubatan atau insurans kesihatan memainkan peranan yang penting dalam melindungi kewangan anda khususnya berkaitan kos rawatan, hospitalisasi dan ubat-ubatan.

Meskipun begitu, insurans ini tidak melindungi pemegang polisi dalam semua keadaan. Ada beberapa jenis penyakit yang tidak dilindungi insurans kesihatan – seperti dinyatakan di atas, ada pengecualian terhadap beberapa jenis penyakit kronik. Penyakit yang tidak dilindungi insurans perubatan antaranya:

  • Penyakit organ jantung;
  • Penyakit buah pinggang;
  • Hilang upaya fizikal;
  • Hilang upaya mental;
  • Kanser;
  • Strok;
  • Koma.

Meskipun ada pengecualian penyakit yang tidak dilindungi insurans ini, ia tidak bermaksud anda tidak boleh menerima manfaat langsung. Pemegang polisi atau tanggungan masih lagi boleh menikmati manfaat daripada polisi insurans kesihatan.

Pampasan akan dibayar oleh syarikat insurans untuk membayar kos rawatan dan perubatan bergantung pada pelan perlindungan anda. Berbeza dengan insurans penyakit kritikal yang memberi pampasan secara sekaligus sekiranya didiagnosis dengan penyakit kritikal tanpa mengira kos rawatan hospital.

Senarai Penyakit yang Tidak Dilindungi Insurans Kesihatan dan Perubatan Malaysia

Secara asasnya, penting untuk anda memahami pelan insurans atau takaful anda. Anda perlu ketahui penyakit yang dilindungi atau penyakit yang tidak dilindungi insurans bagi membantu anda memahami polisi anda dengan lebih baik. Malah, ia juga dapat membantu anda memilih pelan perlindungan insurans atau takaful perubatan yang sesuai untuk anda.

Berikut senarai sembilan (9) penyakit yang tidak dilindungi insurans untuk rujukan dan panduan anda:

1. Penyakit Sedia Ada

Sekiranya anda menghidap apa-apa penyakit sebelum anda melanggan pelan insurans atau takaful, berkemungkinan besar pihak insurans tidak akan melindungi penyakit ini. Maksudnya, kos rawatan berkaitan penyakit sedia ada (pre-existing condition) tidak akan ditanggung atau dilindungi insurans atau takaful.

Sebagai contoh, anda menjalani rawatan membuang ketumbuhan (cyst). Selepas rawatan tersebut, anda membuat keputusan untuk mengambil polisi insurans. Ada kemungkinan apa-apa penyakit berkaitan cyst sama ada secara langsung atau tidak langsung tidak akan dilindungi oleh insurans.

Berbeza dengan individu yang sihat semasa ambil polisi – apa-apa penyakit yang didiagnosis selepas polisi berkuatkuasa akan dilindungi oleh insurans bergantung pada polisi insurans anda.

2. Keabnormalan atau Kecacatan Kongenital

Kecacatan kelahiran (atau gangguan kongenital) merujuk pada penyakit atau keadaan yang dialami sejak lahir. Ia boleh mengakibatkan kecacatan fizikal, intelektual atau perkembangan.

Sebarang rawatan atau operasi pembedahan berkaitan kecacatan kongenital termasuk penyakit keturunan dikategorikan sebagai penyakit yang tidak dilindungi insurans.

Penyakit yang Tidak Dilindungi Insurans di Malaysia

3. Prosedur Kosmetik

Apa-apa prosedur kosmetik seperti pembedahan plastik, rawatan gigi, rawatan mata, berkhatan atau apa-apa rawatan lain yang berkaitan merupakan antara penyakit yang tidak dilindungi insurans.

Meskipun begitu, ia biasanya dipertimbangkan oleh syarikat insurans bergantung pada situasi atau kes-kes tertentu. Sebagai contoh, gigi patah disebabkan oleh kecederaan atau kemalangan – kos rawatan biasanya akan ditanggung oleh syarikat insurans.

4. Vaksinasi Pelancongan

Ada sesetengah negara yang memerlukan anda mendapatkan suntikan imunisasi atau vaksinasi tertentu sebelum anda boleh masuk ke negara tersebut. Suntikan vaksinasi untuk tujuan ini juga merupakan salah satu penyakit yang tidak dilindungi oleh insurans.

Jika anda ingin mendapatkan vaksin untuk bercuti ke luar negara contohnya, anda perlu mengeluarkan belanja sendiri kerana ia tidak akan ditanggung oleh syarikat insurans. Meskipun begitu, ia tertakluk kepada polisi insurans masing-masing. Anda boleh rujuk syarikat insurans anda untuk info lanjut.

5. Tempoh Menunggu

Secara asasnya, tidak semua manfaat akan dilindungi oleh syarikat insurans sebaik sahaja polisi berkuatkuasa (enforced). Ada sesetengah keadaan yang memerlukan anda melepasi tempoh menunggu atau waiting period yang ditetapkan – 30 hari, 60 hari dan 120 hari.

Sebarang masalah kesihatan yang didiagnosis dalam tempoh menunggu kecuali kemalangan berkemungkinan besar akan ditolak oleh syarikat insurans. Sebagai contoh, penyakit-penyakit spesifik di bawah memerlukan tempoh menunggu selama 120 hari bermula tarikh polisi berkuatkuasa.

  • Serangan penyakit jantung;
  • Cedera kepala (trauma kepala);
  • Strok;
  • Kanser;
  • Kegagalan ginjal (Buah pinggang)
  • Pemindahan organ utama;
  • Penyakit lumpuh;
  • Sklerosis – penyakit neurologi autoimun yang menyebabkan keradangan sistem saraf pusat;
  • Hepatitis virus fulminan;
  • Koma;
  • Buta;
  • Penggantian injap jantung;
  • Kehilangan anggota badan (Tangan dan kaki);
  • Pembedahan aorta;
  • Alzheimer;
  • Hilang pendengaran;
  • Hilang kebolehan bertutur;
  • Kebakaran;
  • Penyakit terminal – penyakit yang tidak dapat disembuhkan atau diubati;
  • AIDS akibat transfusi darah;
  • Penyakit motor neuron;
  • Parkinson;
  • Penyakit hati yang kronik;
  • Penyakit paru-paru yang kronik;
  • Anemia Aplastik;
  • Distrofi otot – gangguan genetik yang melemahkan otot badan;
  • Poliomielitis – penyakit akibat jangkitan virus yang menyebabkan kelumpuhan;
  • Meningitis bakteria;
  • Tumor otak benigna;
  • Ensefalitis;
  • Full Blown AIDS;
  • Sindrom Apalik;
  • Pembedahan otak;
  • Penyakit koronari yang kronik;
  • Penyakit koronari yang memerlukan pembedahan;
  • Hipertensi arteri pulmonari.

Penting untuk anda tahu waiting period setiap kategori penyakit. Tempoh menunggu yang tidak mencukupi boleh sebabkan tuntutan insurans anda ditolak atau dikategorikan sebagai penyakit yang tidak dilindungi insurans.

Lumba haram atau perbuatan menyalahi undang tidak dilindungi oleh insurans

6. Pelanggaran Undang-undang

Selain itu, sekiranya masalah kesihatan berpunca daripada aktiviti yang melanggar undang-undang, ia juga dikategorikan sebagai penyakit yang tidak dilindungi insurans.

Sebagai contoh, anda menyertai aktiviti lumba haram dan terlibat dalam kemalangan, kos rawatan tidak akan ditanggung oleh syarikat insurans. Selain itu, pihak insurans juga tidak akan melindungi penyakit yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah.

7. Teknologi Perubatan Baharu dan Tanpa Preskripsi (Off Label)

Selari dengan kemajuan teknologi perubatan moden, wujud pelbagai prosedur, rawatan atau ubat-ubatan baharu bagi membantu merawat penyakit-penyakit tertentu. Apa-apa percubaan terhadap teknologi rawatan baharu lebih-lebih lagi yang masih dalam tempoh penyelidikan berkemungkinan tidak akan dilindungi oleh insurans.

Selain itu, proses rawatan atau pengambilan apa-apa ubat-ubatan tanpa kebenaran doktor atau tanpa preskripsi (off label) juga tidak akan dibiayai atau dilindungi insurans.

8. Kehamilan

Tuntutan apa-apa yang berkaitan dengan kos kelahiran bayi, kehamilan, keguguran atau komplikasi akibat mengandung dan sebagainya turut dikategorikan sebagai penyakit yang tidak dilindungi oleh insurans. Melainkan, anda ada menambah apa-apa perlindungan khas yang berkaitan seperti insurans pranatal dan lain-lain.

9. Penglibatan dalam Sukan Ekstrem

Sesetengah syarikat insurans juga tidak akan memberi pampasan sekiranya berlaku hilang upaya kekal yang disebabkan oleh (sama ada secara langsung atau tidak langsung) penglibatan dalam:

  • Sukan ekstrem profesional seperti selam skuba, lumba motor dan penerbangan udara (selain sebagai anggota kru atau penumpang dalam pesawat komersial berlesen);
  • Aktiviti merbahaya seperti bungee jumping, payung terjun atau sky diving.

Sukan ekstrem merupakan salah satu kategori penyakit yang tidak dilindungi insurans

Optimumkan Perlindungan dengan Insurans Kesihatan di Qoala Hari Ini

Diharapkan semoga perkongsian ini dapat membantu anda memahami perlindungan insurans perubatan dan kesihatan anda dengan lebih baik. Ambil tahu tentang penyakit yang dilindungi dan penyakit yang tidak dilindungi insurans untuk elakkan sebarang kesulitan semasa buat tuntutan.

Jika anda ada sebarang kemusykilan atau merancang untuk mendapatkan insurans atau takaful kesihatan, anda boleh layari laman web Qoala untuk info lanjut.

Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia. Ia membandingkan pelan insurans perubatan berbeza bagi membantu anda mendapatkan pelan insurans kesihatan dan perubatan yang sesuai dengan keperluan anda.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60