5 Jenis Insurans di Malaysia yang Perlu Dipertimbangkan

Kali terakhir diperbaharui Feb 15, 2023 oleh Hariz Hafiz
5 Jenis Insurans di Malaysia yang Perlu Dipertimbangkan

Apabila sebut tentang insurans atau takaful, pasti ramai yang menganggap memiliki dan membayar insurans pada setiap bulan adalah membebankan. Meskipun ada banyak pilihan jenis insurans di Malaysia yang anda boleh pilih, ramai yang masih mengelak dan beranggapan insurans hanyalah suatu kehendak bukanlah keperluan yang wajib ada.

Jenis-Jenis Insurans di Malaysia yang Anda Perlu Tahu, Yang ‘Last’ Tu Wajib Ada

Secara asasnya, perlindungan insurans atau takaful memainkan peranan penting dalam kehidupan. Ia bukan sahaja boleh melindungi diri anda dan keluarga daripada sebarang situasi yang tidak dijangka, tetapi salah satu aspek paling penting adalah melindungi kewangan anda.

Oleh sebab itu, anda perlu pilih insurans yang terbaik dan tepat, sesuai dengan keperluan anda. Artikel ini akan membantu anda memahami jenis insurans di Malaysia yang boleh anda pertimbangkan.

1. Insurans Kesihatan & Perubatan

Anda tidak tahu bila anda akan jatuh sakit atau ditimpa kecelakaan. Dengan memiliki insurans kesihatan, ia sekurang-kurangnya boleh ringankan atau kurangkan beban kewangan sekiranya anda perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Secara asasnya, memiliki insurans perubatan boleh membantu memberikan perlindungan kewangan – ia boleh mengelakkan anda daripada membayar kos perubatan di Malaysia yang tinggi terutamanya di hospital swasta. Jika anda dimasukkan ke hospital, kad perubatan atau medical card yang anda miliki boleh menampung kos rawatan anda. Kos rawatan di hospital swasta khususnya boleh menelan belanja yang sangat mahal dan tinggi.

Dengan memiliki kad perubatan atau perlindungan penyakit kritikal, beban kewangan dapat dikurangkan dan boleh mengelakkan anda daripada gunakan simpanan persaraan atau simpanan kecemasan anda.

2. Insurans Rumah

Insurans hartanah secara umumnya boleh mengurangkan kerugian yang dialami oleh pemilik kediaman sekiranya berlaku sesuatu bencana alam seperti rumah ditenggelami banjir, terbakar, dilanda ribut petir dan sebagainya.

Kejadian rumah terbakar contohnya boleh mengakibatkan kerosakan fizikal seperti struktur rumah dan isi rumah. Oleh sebab itu, penting untuk ada memiliki insurans rumah kerana ia boleh mengurangkan kerugian yang dialami pemilik. Malah, anda juga tidak perlu memikirkan kos pembaikan kerosakan yang tinggi.

Di Malaysia, terdapat tiga jenis insurans hartanah di Malaysia yang boleh anda pilih seperti berikut:

Polisi Isi Rumah

Insurans isi rumah melindungi segala peralatan dan perkakas dalam kediaman anda seperti barangan elektrik, perabot dan barangan berharga yang lain.

Polisi Pemilik Rumah

Polisi perlindungan insurans pemilik rumah pula memberikan perlindungan kepada struktur fizikal hartanah seperti dinding, bumbung, lekapan dan lengkapan bangunan, struktur luar dan sebagainya.

Polisi Kebakaran

Polisi insurans kebakaran rumah melindungi kerugian atau kerosakan harta kediaman (tidak termasuk isi rumah) yang disebabkan oleh kebakaran atau kilat.

Jenis insurans di Malaysia: Insurans rumah melindungi rumah daripada sebarang risiko kerosakan atau kerugian akibat bencana atau kebakaran.

3. Insurans Perjalanan

Ramai yang beranggapan bahawa insurans perjalanan tidaklah begitu penting memandangkan kebanyakan daripada anda sudah memiliki insurans perubatan. Tetapi sebenarnya, insurans perjalanan atau travel insurance merupakan salah satu jenis insurans di Malaysia yang penting.

Insurans perjalanan boleh melindungi anda daripada sebarang risiko atau kerugian kewangan sebelum atau semasa anda melancong. Meskipun anda sudah memiliki insurans perubatan, anda masih digalakkan untuk mendapatkan insurans perjalanan sebelum mula bercuti. Ini kerana, kedua-dua insurans perjalanan dan insurans perubatan menawarkan kelebihan dan manfaat yang tersendiri.

Berbeza dengan insurans perubatan, insurans perjalanan menawarkan lebih banyak perlindungan daripada risiko-risiko yang mungkin berlaku ketika bercuti di luar negara. Secara asasnya, insurans perjalanan menawarkan perlindungan daripada:

  1. Kemalangan diri;
  2. Pembatalan atau gangguan perjalanan (penerbangan terlewat atau tertunda);
  3. Kehilangan barangan peribadi seperti wang atau kad kredit hilang;
  4. Kerosakan bagasi atau bagasi lewat tiba;
  5. Kehilangan pasport;
  6. Belanja perubatan atau kos rawatan di hospital di luar negara;
  7. Penghantaran pulang jenazah dan manfaat lain tertakluk pada polisi insurans anda.

4. Insurans Kemalangan Diri

Tidak kira sama ada kemalangan di tempat kerja atau kemalangan jalan raya, anda mungkin terdedah dengan risiko kemalangan setiap hari tanpa anda sedari. Oleh sebab itu, insurans kemalangan diri merupakan salah satu jenis insurans di Malaysia yang anda perlu ada.

Insurans kemalangan diri secara umumnya memainkan peranan penting dalam memberi perlindungan terhadap risiko kemalangan yang tidak dijangka. Sekiranya anda cedera, hilang upaya kekal atau meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, insurans ini akan menawarkan pampasan tunai kepada anda.

Anda boleh gunakan pampasan ini untuk menyara keluarga menggantikan pendapatan yang hilang dalam tempoh anda tidak dapat bekerja. Berikut antara perlindungan insurans kemalangan diri peribadi yang anda pilih:

Kematian Akibat Kemalangan

Sekiranya pemegang polisi meninggal dunia akibat kemalangan, penama akan menerima pampasan bergantung pada terma dan syarat serta jumlah yang dinyatakan dalam polisi.

Hilang Upaya Kekal Akibat Kemalangan

Sekiranya kemalangan menyebabkan kecacatan kekal, pemegang polisi layak menerima pampasan seumur hidup bergantung pada tahap kecacatan.

Hilang Upaya Sementara (Menyeluruh/Separa) Akibat Kemalangan

Pemegang polisi juga layak menerima pampasan seumur hidup jika terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan kecacatan kekal separa bergantung pada tahap kecacatan.

Jenis Insurans di Malaysia: Insurans Kemalangan Diri

5. Insurans Kereta & Insurans Motor

Jika anda pemilik kereta atau motosikal, anda mungkin sudah tahu kepentingan insurans dan terbiasa dengan pembelian insurans. Ini kerana, boleh dikatakan kebanyakan rakyat Malaysia memiliki kereta atau motor.

Sekiranya kereta anda rosak akibat kemalangan, perlindungan insurans kereta atau insurans motor boleh mengelakkan anda daripada terbeban dengan kos pembaikan yang tinggi.

Jika berlaku kerosakan akibat kemalangan contohnya, sebahagian atau mungkin keseluruhan kos pembaikan kereta anda akan ditanggung oleh syarikat insurans. Ini bermaksud, anda tidak perlu mengeluarkan belanja untuk kerja-kerja pembaikan kerosakan.

Perlindungan Peril Khas atau Special Perils

Perlindungan peril khas merupakan perlindungan tambahan selain perlindungan polisi asas yang ditawarkan oleh syarikat insurans. Biasanya, polisi asas tidak akan melindungi kereta daripada risiko kerosakan akibat bencana alam.

Jadi, anda perlu dapatkan perlindungan peril khas untuk melindungi kenderaan anda daripada sebarang risiko kehilangan atau kerosakan. Terutamanya kerosakan yang disebabkan oleh bencana alam seperti banjir, ribut, gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya.

Dapatkan Perlindungan Insurans Menyeluruh untuk Anda dan Keluarga di Qoala

Insurans kesihatan, insurans rumah, insurans kemalangan diri, insurans kereta, insurans motor atau insurans perjalanan – antara jenis insurans di Malaysia yang penting untuk ketenangan fikiran. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, anda digalakkan untuk memiliki perlindungan insurans yang dikongsikan di atas.

Jika berlaku sesuatu kepada anda, insurans yang anda miliki ini boleh melindungi anda (dan kewangan anda). Sebagai contoh, jika anda ditimpa sakit, kad perubatan yang anda miliki boleh digunakan untuk menanggung kos rawatan di hospital.

Jika anda ingin mendapatkan perlindungan insurans yang komprehensif, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan insurans yang menawarkan pelbagai pilihan insurans terbaik di Malaysia. Anda boleh pilih insurans daripada syarikat insurans terbaik pada harga yang terendah secara online!

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60