Insurans motosikal (atau insurans motor) berperanan penting dalam melindungi pemilik sekiranya ada tuntutan liabiliti daripada pihak ketiga. Ia boleh membantu meringankan beban pemegang polisi khususnya dari aspek kewangan. Dengan perlindungan insurans motosikal, kos pembaikan atau kerosakan akan ditanggung oleh syarikat insurans.
‘Single Rider’ vs ‘All Riders’, Apa yang Terbaik untuk Insurans Motosikal yang Anda Perlu Pilih?
Sama seperti insurans kereta, insurans motosikal tidak dapat dinafikan sangat berguna sekiranya berlaku kecurian atau kemalangan motor. Namun begitu, ia bergantung pada polisi perlindungan yang diambil – perlindungan insurans motosikal ‘All Riders’ atau ‘Single Rider’. Oleh sebab itu, penting untuk anda memilih jenis insurans motor yang sesuai dengan keperluan untuk perlindungan yang lebih optimum:
1. Perlindungan Insurans Motor ‘All Riders’
Polisi perlindungan ‘All Riders’ amatlah disyorkan kepada semua pemilik motosikal. Biasanya, semua pemilik yang membeli motosikal baharu melalui pinjaman bank perlu mendapatkan perlindungan ‘All Riders’. Ia bagi memastikan motosikal yang dibeli mendapat perlindungan yang lebih baik.
Tetapi, apa yang dimaksudkan dengan perlindungan ‘All Riders’? Polisi insurans motosikal ‘All Riders’ membolehkan pemegang polisi dan mana-mana individu yang dibenarkan untuk menunggang motosikal anda.
Ini bermaksud, anda atau sesiapa sahaja yang dibenarkan oleh pihak diinsuranskan untuk menunggang motosikal boleh buat tuntutan insurans sekiranya berlaku kemalangan atau apa-apa kerosakan dan kerugian, asalkan:
- Anda atau penunggang yang dibenarkan mempunyai lesen motosikal yang sah;
- Penunggang yang dibenarkan mendapat kebenaran untuk menunggang motosikal anda.
Perlindungan ‘All Riders’ biasanya melibatkan tambahan premium insurans sebanyak 50 peratus. Berbanding premium biasa, kos premium ‘All Riders’ ini boleh dikatakan lebih mahal berbanding premium ‘Single Rider’. Umumnya, perlindungan insurans ini merangkumi pembelian insurans motor seperti berikut:
Insurans Motor Pihak Ketiga (Insurans Third Party)
Insurans Motosikal Pihak Ketiga merupakan pelan perlindungan insurans yang paling asas. Ia melindungi kerosakan harta benda pihak ketiga sekiranya berlaku kecederaan dan kematian atau kerosakan pada motosikal.
Dalam bahasa mudah, ia tidak memberi perlindungan kepada pemegang polisi insurans. Tetapi sebaliknya, ia menawarkan perlindungan kepada pihak ketiga sahaja.
Anda sebagai pemegang polisi tidak boleh menuntut apa-apa pampasan atau ganti rugi untuk motosikal sekiranya berlaku kemalangan.
Insurans Motor First Party (Insurans Komprehensif)
Insurans Motosikal Komprehensif pula bukan sahaja beri perlindungan kepada harta benda pihak ketiga, tetapi turut memberi perlindungan kepada pemegang polisi.
Polisi ini menawarkan perlindungan daripada kebakaran, kecurian, kehilangan dan kerosakan motosikal anda dan pihak ketiga disebabkan oleh kemalangan.
Selain itu, ia juga melindungi anda sekiranya anda bertanggungjawab ke atas kecederaan, kematian atau kerosakan harta benda pihak ketiga.
2. Perlindungan Insurans Motor ‘Single Rider’
Polisi perlindungan ‘Single Rider’ pula hanya akan melindungi penunggang yang dinamakan dalam polisi. Jika berlaku kemalangan semasa motosikal dipinjamkan kepada orang lain, berkemungkinan besar tuntutan insurans tidak boleh dibuat.
Hanya pemilik polisi berdaftar (kebiasaannya pemilik motosikal) yang boleh menunggang motosikal dan boleh buat tuntutan sekiranya berlaku kemalangan.
Ini bermaksud, jika ditunggang oleh pihak yang tidak dinamakan dalam polisi, pihak insurans tidak akan bertanggungjawab. Segala kerugian atau apa-apa tuntutan perlu ditanggung oleh pihak anda sendiri.
Perkara ini boleh timbulkan kekeliruan jika tidak difahami dengan betul. Oleh sebab itu, pemilik atau pemegang polisi perlu ambil tahu mengenai jenis perlindungan insurans yang diambil untuk elakkan tuntutan insurans ditolak oleh syarikat insurans.
Optimumkan Perlindungan Anda, Miliki Insurans Motor Terbaik Hari Ini
Berdasarkan statistik daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), sebanyak lebih 60 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan. Statistik ini melibatkan penunggang motosikal untuk tempoh 20 tahun. Malah secara purata, 20 peratus daripada 500,000 kemalangan dilaporkan setiap tahun membabitkan kemalangan motosikal.
Oleh sebab itu, penting untuk anda memiliki perlindungan insurans motosikal yang komprehensif bagi melindungi anda sekiranya berlaku kemalangan, kecurian atau kerosakan. Perlindungan insurans motosikal terbaik boleh elakkan anda daripada menanggung beban kewangan dan kos pembaikan yang tinggi.
Anda boleh mendapatkan perlindungan insurans motor murah dan terbaik di Qoala. Proses mendapatkan sebut harga tidak memakan masa yang lama dan urusan pembaharuan insurans motor boleh disiapkan dalam masa kurang daripada 30 minit. Layari laman web Qoala untuk info lanjut.