Insurans kebakaran rumah ditawarkan kepada pemilik hartanah bertujuan untuk melindungi harta kediaman atau premis komersial daripada kerugian atau kerosakan akibat kebakaran, kilat atau letupan gas domestik. Dalam erti kata lain, insurans kebakaran rumah boleh diibaratkan seperti payung perlindungan kewangan sekiranya berlaku situasi yang tidak diingini yang berisiko menyebabkan kerugian atau kerosakan hartanah anda.
Adakah Perlu Miliki Insurans Kebakaran Rumah atau Tidak?
Secara asasnya, proses beli rumah merupakan antara pelaburan yang besar dan mahal. Oleh sebab itu, penting untuk anda melindungi aset yang dibeli dengan perlindungan insurans yang bersesuaian seperti insurans kebakaran rumah untuk mengelakkan dan mengurangkan risiko kerugian sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Meskipun begitu, ramai masih belum arif tentang insurans rumah. Apa yang anda perlu tahu sebelum beli insurans kebakaran rumah?
1. Jenis Insurans Rumah
Secara asasnya, terdapat tiga jenis insurans isi rumah yang boleh anda pertimbangkan – ketiga-tiga insurans ini menawarkan tahap perlindungan dan kos yang berbeza-beza bergantung pada pilihan anda. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk banding dan lakukan semakan terperinci sebelum pilih insurans rumah (atau insurans kebakaran rumah) yang sesuai untuk anda.
1. Polisi Kebakaran Asas
Polisi asas memainkan peranan penting dalam melindungi kediaman anda daripada kerugian atau kerosakan nilai hartanah. Ia menawarkan perlindungan berkaitan nilai hartanah (atau bangunan) jika berlaku kerugian atau kerosakan akibat kebakaran – polisi ini TIDAK termasuk perlindungan isi rumah.
Meskipun begitu, polisi ini boleh diperluas dengan perlindungan tambahan lain seperti perlindungan kerosakan rumah akibat banjir, ribut, pemendapan tanah dan sebagainya. Anda boleh rujuk syarikat insurans anda untuk mendapatkan senarai penuh perlindungan tambahan yang sesuai untuk anda.
2. Polisi Pemilik Rumah
Berbeza dengan polisi kebakaran asas, polisi ini menawarkan perlindungan tambahan untuk hartanah – ia menawarkan perlindungan kepada struktur fizikal hartanah seperti dinding, bumbung, lekapan dan lengkapan bangunan, struktur luar dan sebagainya.
Dalam erti kata lain, polisi ini menawarkan perlindungan daripada kerosakan rumah akibat bencana alam seperti bumbung tercabut akibat cuaca buruk, dinding rosak akibat banjir, kebakaran, paip pecah dan insiden buruk lain yang boleh menjejaskan kediaman.
3. Polisi Isi Rumah
Polisi isi rumah pula menawarkan perlindungan tambahan kepada barangan dan peralatan dalam rumah. Ini bermaksud, polisi ini melindungi barangan dan peralatan dalam rumah seperti perabot, barangan elektrik dan sebagainya.
Ini bermaksud, sekiranya berlaku kejadian yang boleh diinsuranskan seperti kerosakan perabot akibat kebakaran, kilat, banjir, paip pecah dan sebagainya, anda boleh membuat tuntutan ganti rugi daripada pihak insurans.
2. Premium Insurans: Perlindungan Insurans Kebakaran Rumah
Musibah seperti bencana alam atau kebakaran adalah sesuatu perkara di luar kawalan dan berisiko menyebabkan kemusnahan harta benda. Sekiranya pemilik memiliki polisi perlindungan insurans kediaman, ia melayakkan pemilik untuk menerima pampasan sekiranya berlaku musibah bergantung pada jenis perlindungan atau premium insurans yang dimiliki.
Oleh sebab itu, penting untuk anda memahami polisi insurans kebakaran yang dimiliki bagi mengelakkan salah faham atau kecewa jika syarikat insurans tidak membayar pampasan sekiranya berlaku kerosakan atau kemusnahan.
Secara asasnya, premium insurans atau harga insurans kebakaran rumah berbeza-beza bergantung pada saiz dan harga rumah. Harga insurans rumah juga boleh dipengaruhi oleh perlindungan tambahan yang anda pilih – anda boleh pertimbangkan perlindungan tambahan (mengikut lokasi rumah) seperti berikut:
- Kerosakan pesawat;
- Gempa bumi;
- Letusan gunung berapi;
- Ribut dan taufan;
- Banjir;
- Pecahan tangki air;
- Kebakaran belukar;
- Tanah runtuh;
- Rusuhan;
- Pokok tumbang;
- Letupan dan sebagainya.
Sebagai contoh, jika rumah anda berhampiran dengan lapangan terbang, anda boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan perlindungan tambahan kerosakan pesawat bagi melindungi kediaman anda.
3. Jenis Tuntutan Wang Pampasan Insurans Kebakaran
Secara asasnya, kos pembaikan kerosakan atau pampasan hanya akan dibayar sekiranya kerosakan yang berlaku ke atas kediaman ada disenaraikan atau dinyatakan dalam polisi insurans. Ini bermaksud, langganan polisi insurans kebakaran asas hanya akan melindungi kediaman daripada kerugian disebabkan kebakaran dan TIDAK termasuk perkara-perkara lain yang tidak dinyatakan dalam polisi.
Perlindungan insurans kebakaran asas ini TIDAK akan melindungi kediaman daripada tanah runtuh (yang disebabkan oleh hujan lebat). Selain itu, kerosakan-kerosakan lain yang berpunca daripada penganiayaan manusia seperti rusuhan, mogok atau niat jahat juga tidak termasuk melainkan anda memasukkan perlindungan tambahan ini dalam polisi anda.
Ini bermaksud, jika kerosakan rumah anda tidak berpunca daripada mana-mana sebab yang dinyatakan dalam polisi, anda tidak boleh atau TIDAK LAYAK untuk membuat tuntutan insurans kebakaran. Secara asasnya, terdapat dua asas pembayaran pampasan yang boleh digunakan sekiranya berlaku kerosakan atau kerugian disebabkan oleh mana-mana insiden yang diinsuranskan, seperti berikut:
1. Asas Pemulihan
Sekiranya berlaku kejadian atau insiden yang diinsuranskan, pemilik polisi akan menerima pampasan nilai penuh barangan yang rosak atau hilang.
2. Asas Ganti Rugi
Pemilik polisi akan mendapat ganti rugi berdasarkan nilai barangan yang hilang atau rosak tertakluk pada kadar susut nilai semasa (pampasan diterima mungkin lebih rendah berbanding nilai asal semasa pembelian).
Nilai pampasan yang akan diterima biasanya bergantung pada nilai premium anda. Anda boleh rujuk syarikat insurans anda untuk maklumat lanjut.
4. Cara Buat Tuntutan Insurans Kebakaran Rumah
Jika anda sudah memiliki insurans kebakaran, anda boleh membuat tuntutan insurans sekiranya berlaku musibah ke atas kediaman anda. Anda boleh mengemukakan tuntutan dengan melengkapkan maklumat yang diperlukan serta melampirkan bersama surat dan dokumen sokongan. Ini bagi memudahkan pihak insurans melakukan proses penilaian yang sewajarnya.
- Ambil gambar kerosakan rumah akibat kebakaran sebagai bukti;
- Buat laporan polis secepat mungkin;
- Maklumkan kepada ejen atau syarikat insurans dengan segera – syarikat insurans biasanya akan menghantar adjuster untuk menilai keadaan kerosakan dan menganggarkan kerugian;
- Hantar borang tuntutan pampasan dengan lengkap dan sertakan dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan;
- Pembayaran pampasan akan dibuat dalam tempoh tujuh hingga 14 hari (bergantung pada syarikat insurans) setelah tuntutan pampasan dibuat.
5. Dokumen Diperlukan untuk Tuntutan Insurans Kebakaran
Secara asasnya, setiap syarikat insurans menetapkan keperluan dan ketetapan tertentu bergantung pada prosedur operasi standard yang ditetapkan. Namun biasanya, syarikat insurans memerlukan dokumen sokongan seperti berikut untuk memproses tuntutan anda:
- Borang tuntutan kerosakan kebakaran yang lengkap;
- Senarai kerosakan harta benda yang terperinci;
- Laporan Polis;
- Laporan Bomba;
- Rekod aset dan resit pembelian;
- Rekod inventori dan bukti penerimaan;
- Laporan pelaras tuntutan insurans (adjuster).
Dapatkan Perlindungan Insurans Rumah untuk Kehidupan Lebih Terjamin
Anda tidak boleh mengetahui insiden atau bencana yang akan berlaku pada kediaman anda seperti kebakaran, banjir dan sebagainya. Oleh sebab itu, anda perlu dapatkan perlindungan insurans kebakaran rumah dengan segera untuk ketenangan fikiran.
Anda bukan sahaja boleh mendapat pampasan sekiranya berlaku sesuatu ke atas rumah anda, tetapi ia secara tidak langsung menjadikan kehidupan anda bersama keluarga lebih terjamin dan selamat kerana rumah yang anda diami dilindungi oleh insurans. Dapatkan perlindungan pelan insurans kebakaran sebelum terlambat.
Selain itu, sekiranya anda ingin dapatkan info lanjut berkaitan insurans kebakaran rumah, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan insurans yang komprehensif di Malaysia dengan tawaran perlindungan insurans rumah terbaik pada harga mampu milik.