Panduan Lengkap Zakat Pendapatan di Malaysia 2024

Kali terakhir diperbaharui Jan 18, 2024 oleh Shafiq Wahab
Panduan Lengkap Zakat Pendapatan di Malaysia 2024

Zakat pendapatan merupakan salah satu kategori zakat harta. Ia dikenakan ke atas semua umat Islam jika gaji, elaun dan pendapatan setahun melepasi kadar yang ditetapkan dalam Islam (cukup haul). Meskipun begitu, masih ramai yang belum jelas tentang apa itu zakat pendapatan, syarat zakat pendapatan, cara kira zakat pendapatan atau haul zakat pendapatan di Malaysia.

9 Perkara Penting Berkaitan Zakat Pendapatan yang Anda Perlu Tahu

Zakat pendapatan atau zakat gaji bukanlah suatu perkara yang asing bagi umat Islam di Malaysia. Bayaran zakat merupakan rukun Islam yang keempat dan menjadi satu kewajipan kepada umat Islam yang berkemampuan.

Zakat Pendapatan perlu dijelaskan sebelum 31 Disember setiap tahun.

Artikel ini akan membantu anda memahami perkara asas berkaitan zakat gaji dengan lebih lanjut untuk memudahkan anda.

1. Apa Itu Zakat Pendapatan?

Zakat gaji ialah zakat yang dikenakan ke atas semua jenis sumber pendapatan termasuk hasil upah yang diperolehi daripada perkhidmatan, pekerjaan dan aktiviti yang menghasilkan pendapatan. Pendapatan yang layak dikenakan zakat termasuklah:

  • Gaji;
  • Elaun;
  • Bonus;
  • Komisen;
  • Emolumen;
  • Upah;
  • Bayaran profesional;
  • Semua jenis penerimaan yang tidak berasaskan modal, tetapi berasaskan kerja atau perkhidmatan yang diberikan;
  • Lain-lain pendapatan seperti hasil ternakan, pertanian atau sewa rumah.

2. Siapa yang Wajib Bayar Zakat Pendapatan?

Secara asasnya, tidak semua individu wajib bayar zakat harta ini. Bayaran zakat harta hanya dikenakan kepada individu berkemampuan atau mempunyai jumlah pendapatan tertentu seperti ditetapkan oleh institusi zakat negeri masing-masing.

Negeri Kadar Bayaran Zakat Pendapatan 2023/Setahun
Kelantan RM21,553.15
Negeri Sembilan RM22,669.53
Melaka RM21,625.69
Selangor Akan Dikemas Kini
Perak RM24,424.54
Kedah RM22,612.24
Terengganu RM22,176.03
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur RM21,626.00
Pahang RM24,424.54
Johor RM24,424.54
Sabah RM21,500.00
Sarawak RM24,467.11
Pulau Pinang RM15,885.00
Perlis RM22,578.76

Sumber: Majlis Agama Islam Negeri-negeri

3. Kiraan Zakat Pendapatan Gaji Bersih atau Kasar?

Di Malaysia, cara pengiraan zakat pendapatan adalah melalui dua kaedah kiraan – dengan menolak Perbelanjaan Yang Dibenarkan (gaji bersih) atau tanpa menolak apa-apa perbelanjaan (gaji kasar). Anda boleh rujuk laman web Lembaga Zakat negeri masing-masing.

4. Bagaimana Cara Kiraan Zakat Pendapatan?

Secara amnya, terdapat dua cara cara kira zakat bagi ketahui jumlah zakat pendapatan yang perlu dibayar. Anda boleh rujuk panduan pengiraan seperti berikut:

i. Kaedah Tanpa Penolakan

Cara kira zakat pendapatan melalui kaedah ini lebih ringkas dan mudah. Anda hanya perlu tentukan jumlah pendapatan tahunan, kemudian darabkan dengan 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan. Untuk lebih jelas, rujuk formula perkiraan zakat seperti berikut:

      • Pendapatan Kasar Setahun x 2.5% = Jumlah zakat pendapatan yang perlu dibayar
      • RM48,000 x 2.5% = RM1,200

Berdasarkan contoh di atas, jika pendapatan tahunan anda adalah sebanyak RM48,000 (atau RM4,000 sebulan), jumlah zakat yang perlu dibayar adalah sebanyak RM1,200 setahun.

ii. Kaedah Selepas Penolakan

Secara asasnya, cara mengira zakat pendapatan ini sama seperti pengiraan pengecualian cukai pendapatan. Kiraan dibuat berdasarkan jumlah pendapatan bersih atau selepas ditolak pelepasan-pelepasan tertentu.

Penolakan Zakat Pendapatan

Berikut antara perbelanjaan yang dibenarkan untuk penolakan zakat gaji:

      • Perbelanjaan asas diri sendiri – RM12,000;
      • Nafkah isteri – penolakan RM5,000 untuk setiap isteri;
      • Anak berumur bawah 18 tahun – penolakan RM2,000 untuk setiap anak;
      • Anak berumur lebih 18 tahun (belajar) – penolakan RM5,000 untuk setiap anak;
      • Pemberian kepada ibu bapa;
      • Potongan KWSP;
      • Pendidikan sendiri – maksimum RM2,000 setahun;
      • Caruman kepada institusi kewangan, koperasi dan sebagainya (membayar zakat bagi pihak pencarum atau pendeposit seperti Tabung Haji).
  1. Bagi membantu anda memahami dengan lebih baik, anda boleh rujuk contoh pengiraan zakat pendapatan di bawah:
Perkiraan Zakat Pendapatan Jumlah
A. Pendapatan dari Semua Sumber (Setahun)

  • Hasil penggajian dan upah kerja – gaji, upah bonus, tuntutan kerja overtime, pencen, hadiah, insentif dll.
  • Hasil kerja bebas – keuntungan projek, komisen, royalti dll.
  • Harta yang menghasilkan pendapatan – Sewaan aset rumah, kenderaan, produk ternakan seperti susu, telur dsb.
RM48,000
B. TOLAK Perbelanjaan yang Dibenarkan Zakat (Setahun)

  • Belanja diri sendiri (RM12,000)
  • Nafkah isteri (RM5,000)
  • Perbelanjaan anak bawah 18 tahun (RM2,000)
  • Perbelanjaan anak atas 18 tahun (belajar IPT) (RM5,000)
  • Pemberian kepada ibu bapa (RM100 x 12 bulan)
  • Pendidikan sendiri (RM2,000)
  • Potongan KWSP 11% (RM5,280)
RM32,480
Pendapatan Layak Zakat (A – B) RM15,520
C. Nilai Zakat Gaji Wajib Dibayar

  • RM15,520 x 2.5% (percent zakat pendapatan)
RM388
D. TOLAK Zakat ke atas Caruman Setahun Organisasi yang Membayar Zakat bagi Pihak Pencarum (Tabung Haji)

  • RM1,200 x 2.5%
RM30
Jumlah Zakat Setahun (C – D) – Bersih RM358
Jumlah Potongan Gaji Zakat Pendapatan Bulanan

  • RM358 ÷ 12 bulan
RM29.90

Berdasarkan contoh di atas, anda hanya perlu bayar zakat harta sebanyak RM358 setahun atau kira-kira RM29.90 setiap bulan. Pengiraan ini mungkin berbeza bergantung pada perbelanjaan individu.

5. Bila Perlu Bayar Zakat Pendapatan?

Di Malaysia, urusan pembayaran zakat gaji perlu dijelaskan sebelum 31 Disember setiap tahun. Ia bagi melayakkan anda untuk mendapat rebat cukai pendapatan.

cara kira zakat pendapatan selangor

6. Apa Syarat Zakat Pendapatan?

Secara asasnya, zakat gaji digunakan untuk membantu golongan asnaf dan memperkasakan ekonomi umat Islam. Di Malaysia, ada beberapa syarat wajib zakat pendapatan yang perlu dipenuhi bagi melayakkan individu bayar zakat pendapatan:

i. Beragama Islam

Zakat merupakan satu ibadat yang disyariatkan kepada orang Islam sahaja. Oleh sebab itu, pemilik harta yang layak dikenakan zakat mestilah seseorang yang beragama Islam.

ii. Merdeka

Pemilik harta mestilah bebas daripada sebarang bentuk penghambaan. Para ulama masih lagi mengekalkan faktor ini sebagai salah satu syarat utama untuk membayar zakat meskipun isu penghambaan tidak lagi wujud pada masa kini.

iii. Melepasi Nisab dan Cukup Haul Zakat Pendapatan

Pendapatan tahunan individu yang layak dikenakan zakat mestilah melepasi kadar bayaran zakat (nisab zakat) dan cukup haul yang ditetapkan. Apa maksud nisab zakat pendapatan ini? Nisab merupakan satu kadar yang ditetapkan untuk menentukan sama ada sesuatu harta wajib dikenakan zakat atau tidak.

Sebagai contoh, nisab zakat harta (pendapatan, perniagaan, wang simpanan dan emas) adalah sebanyak 20 mithqal (85 gram emas). Kadar bayaran zakat pendapatan ialah sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan kasar atau pendapatan bersih.

Perlu diingatkan, kadar nisab sentiasa berubah-ubah setiap tahun dan ditentukan oleh institusi zakat. Kadar nisab ini ditetapkan berdasarkan cukup haul*.

*Maksud cukup haul dalam bahasa Melayu: Cukup haul bermaksud telah berlalu satu tahun ke atas harta yang dimiliki dalam kiraan tahun Hijrah (354 hari) atau tahun masihi iaitu (365 hari).

iv. Memiliki Harta Sepenuhnya

Zakat pendapatan tidak wajib jika harta tidak mempunyai pemilik tertentu atau dimiliki oleh orang awam seperti tanah wakaf, harta baitulmal dan sebagainya. Individu yang dikenakan zakat harus membuktikan harta atau pendapatan merupakan miliknya 100 peratus.

Ini bermaksud, tidak ada individu lain yang berhak ke atas harta tersebut kecuali individu itu sendiri.

v. Harta Berpotensi untuk Berkembang

Selain itu, syarat bayar zakat pendapatan mestilah memiliki harta yang berpotensi untuk berkembang dan beri pulangan kepada pemilik. Secara asasnya, sebab zakat hanya diwajibkan ke atas harta yang berkembang supaya pembayaran zakat tidak membawa kepada penyusutan harta.

Lebih-lebih lagi jika harta tersebut satu-satunya sumber untuk kelangsungan hidup pemiliknya.

7. Berapa Peratus Zakat Pendapatan?

Berdasarkan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, zakat ke atas pendapatan penggajian wajib bagi individu yang layak mengeluarkan zakat.

Kadar zakat pendapatan adalah berdasarkan nisab zakat yang dikenakan iaitu 2.5 peratus zakat pendapatan daripada jumlah pendapatan kasar setahun.

8. Bagaimana Cara Bayar Zakat Harta?

Bagi urusan bayaran zakat pendapatan, anda boleh membuat pembayaran melalui laman web Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Bayaran zakat boleh dibuat sama ada melalui potongan gaji zakat pendapatan bulanan atau tahunan.

Di Malaysia, terdapat beberapa cara yang boleh anda praktikkan untuk membayar zakat anda. Anda juga boleh rujuk Majlis Agama Islam negeri masing-masing bagi individu yang ingin ketahui jumlah zakat yang perlu dibayar.

  • Bayar zakat secara online melalui laman web rasmi Lembaga Zakat setiap negeri;
  • Bayaran zakat melalui perbankan internet;
  • Pembayaran secara fizikal sama ada melalui cawangan rasmi Lembaga Zakat, Pejabat POS, kaunter bank atau ATM terpilih;
  • Ejen zakat rasmi yang dilantik.

Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB) vs Potongan Cukai Bulanan (PCB)

Namun begitu, ada individu yang membuat potongan zakat secara bulanan melalui potongan gaji. Majikan boleh meremitkan sebahagian atau keseluruhan potongan cukai bulanan (PCB) kepada mana-mana Pusat Pungutan Zakat pilihan.

Pelarasan boleh dibuat oleh majikan dengan ambil kira jumlah zakat bulanan dan mengurangkan bayaran PCB.

Contoh 1
  • PCB perlu dipotong: RM100
  • Zakat bulanan: tolak (RM70)
  • PCB selepas zakat: RM30
Contoh 2
  • PCB perlu dipotong: RM50
  • Zakat bulanan: tolak (RM50)
  • PCB selepas zakat: Tiada
Cara Potongan Zakat Bulanan

Anda boleh ikuti cara bayar zakat pendapatan melalui potongan gaji seperti berikut:

      1. Rujuk jadual Skim PZB atau kira zakat di zakat.com.my;
      2. Isi borang Kebenaran Potongan Zakat Bulanan, dan serahkan borang kepada majikan (Bahagian Gaji); atau
      3. Anda juga boleh mohon potongan gaji secara online di zakat.com.my.

9. Zakat Pendapatan Perlu Dibayar Dimana?

Secara asasnya, anda digalakkan untuk membayar zakat di tempat anda mencari rezeki. Ini kerana, fakir miskin di kawasan tersebut lebih berhak untuk menerima zakat daripada hasil yang ditunaikan oleh para pembayar zakat di kawasan tersebut.

cara kiraan zakat pendapatan di Malaysia

Bayar Zakat untuk Keberkatan dan Ketenangan Kehidupan

Pembayaran zakat dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan seperti golongan fakir dan miskin, mualaf, ibu tunggal, anak yatim, pelajar dan sebagainya. Oleh sebab itu, sekiranya anda layak untuk membayar zakat, jangan lupa untuk jalankan tanggungjawab dan bayar zakat anda setiap tahun.

Selain itu, jika anda ingin mendapatkan perlindungan insurans kereta untuk ketenangan fikiran sepanjang pemanduan, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan dan pembaharuan insurans terbaik di Malaysia. Anda boleh mendapatkan insurans dan takaful kereta terbaik di Malaysia pada harga yang berpatutan.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

7 comments

  1. Salam sejahtera,
    Perkongsian yg sgt bai, Tuan. Blh saya tahu bagaimana kiraan utk gross pay yang tak tentu? Sbg contoh shift allowance atau oncall allowance yg tidak menentu akan menyebabkan gross pay menjadi tidak tetap, jd agak sukar utk calculate amount utk setahun. Mohon pencerahan. Terima kasih.

    1. Salam Tuan,
      Kiraan bayaran boleh dilakukan melalui dua cara pengiraan

      1. Tunggu sehingga akhir tahun, kiraan dibuat berdasarkan jumlah keseluruhan pendapatan yang diterima dari awal tahun; atau
      2. Kiraan dibuat secara bulanan setiap kali terima gaji.

      Semoga menjawab persoalan.

  2. PNB membayar zakat perniagaan dari pelaburan-pelaburan pelaburnya. LUTH juga membayar zakat sedemikian. Apa beza kiraan dan bayaran zakat perniagaan diantara PNB dan LUTH?

    1. Salam Tuan,

      Nisab zakat pendapatan adalah 85 gram emas dan kadar bayarannya ialah 2.5% daripada jumlah pendapatan.

  3. salam, sekiranya saya mula bekerja pada december 2022 dan december 2023 kira cukup setahun bekerja, gaji kasar tahunan juga belum mencapai kadar cukai minima rm34000. adakah saya perlu membayar zakat pendapatan untuk 2023? sekiranya perlu, bagaimana dengan rebat zakat tersebut?

  4. Salam tuan, boleh sy thu jikalau byran bulanan kereta adakah termasuk dlm kos asas belanja diri sendiri dalam penolakan kos zakat?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60