Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan platform i-Lindung di bawah Pelan Perlindungan Ahli (PPA). Platform layan diri ini dilaksanakan untuk memudahkan pembelian produk Insurans dan Takaful merangkumi perlindungan hayat dan perlindungan penyakit kritikal daripada Akaun 2 KWSP ahli.
i-Lindung KWSP: Pelan Perlindungan Insurans dan Takaful Khas untuk Ahli KWSP
Pemilikan polisi Insurans dan sijil Takaful dalam kalangan rakyat di Malaysia masih lagi rendah terutamanya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah atau B40. Kemudahan i-Lindung secara tidak langsung boleh membantu ahli mendapat perlindungan Insurans dan Takaful pada harga berpatutan.
1. Apa Itu i-Lindung KWSP?
i-Lindung merupakan sebuah platform layan diri yang tersedia dalam i-Akaun (ahli). Ia boleh diakses untuk tujuan pembelian produk perlindungan di bawah Pelan Perlindungan Ahli (PPA). Melalui PPA, ahli KWSP dibenarkan untuk melakukan pengeluaran dari Akaun 2 KWSP bagi membeli produk Insurans atau Takaful yang diluluskan oleh KWSP.
2. Ciri-ciri Utama i-Lindung
Secara asasnya, skim i-Lindung menawarkan pilihan kepada ahli dalam mendapatkan perlindungan Insurans dan Takaful pada harga yang berpatutan. Ia juga bertindak sebagai persediaan dalam membantu ahli berdepan dengan sebarang insiden yang tidak diingini pada masa hadapan.
- Alternatif mudah untuk mendapatkan produk perlindungan tanpa keperluan pemeriksaan kesihatan;
- Sebut harga bagi setiap produk Insurans atau Takaful ditawarkan secara dalam talian;
- Kemudahan untuk mengakses dan menganalisis semua maklumat produk yang ditawarkan sebelum membuat pilihan;
- Maklumat berkaitan polisi atau sijil yang dibeli boleh diteliti secara menyeluruh;
- Kelebihan untuk mendapatkan produk pada bila-bila masa dan di mana jua.
3. Jenis Perlindungan
Perlindungan yang ditawarkan di bawah skim i-Lindung merangkumi perlindungan hayat dan penyakit kritikal. Buat masa ini, perlindungan yang ditawarkan hanyalah untuk tempoh satu (1) tahun.
Apa Itu Insurans Perlindungan Hayat?
Insurans nyawa menyediakan pembayaran kepada benefisiari sebagai pertukaran premium yang dibayar. Ia bertindak sebagai jaminan perlindungan kewangan untuk keluarga jika anda (pemegang polisi) meninggal dunia. Insurans perlindungan hayat boleh digunakan untuk:
-
-
- Kehilangan sumber pendapatan;
- Pembayaran hutang-piutang;
- Yuran pendidikan atau pengajian;
- Penjagaan kesihatan;
- Penjagaan anak;
- Hutang isi rumah;
- Perbelanjaan harian (atau komitmen bulanan);
- Perbelanjaan pengebumian.
-
Jumlah wang yang diterima bergantung pada polisi dan jumlah premium.
Apa Itu Insurans Penyakit Kritikal?
Polisi insurans penyakit kritikal menyediakan bayaran sekaligus jika anda didiagnosis dengan keadaan kesihatan yang mengancam nyawa seperti kanser atau penyakit jantung. Pampasan yang diterima daripada insurans penyakit kritikal membolehkan anda untuk:
-
-
- Bayar kos rawatan dan perubatan;
- Menampung kos perbelanjaan harian – jadi anda tidak perlu risau untuk bekerja untuk menampung bil anda;
- Bayar kos pengangkutan ke pusat rawatan;
- Bayar pakej percutian jika anda memerlukan tempat yang tenang untuk pulih.
-
4. Syarat Kelayakan i-Lindung
Sekiranya anda ingin memohon skim i-Lindung, berikut syarat kelayakan yang perlu anda patuhi:
- Warganegara Malaysia;
- Mempunyai baki yang mencukupi dalam Akaun 2 KWSP*;
- Pengguna i-Akaun (ahli).
*Ahli berumur 55 tahun dan ke atas boleh memilih untuk mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka dari Pengeluaran Umur 55 hingga 60 tahun (i-Lindung). Permohonan pengeluaran hanya boleh dibuat secara dalam talian melalui i-Akaun (ahli).
5. Harga Premium atau Sumbangan
Kadar premium atau sumbangan yang dikenakan bergantung pada produk Insurans atau Takaful yang dipilih. Biasanya, harga premium insurans dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti berikut:
- Umur (umur pada hari jadi berikutnya/umur pada hari jadi terakhir bergantung pada syarikat Insurans atau Takaful);
- Jantina;
- Status perokok (jika berkaitan);
- Jumlah perlindungan yang dipilih semasa permohonan.
Untuk perlindungan i-Lindung paling asas, anda boleh menikmati jumlah perlindungan sebanyak RM10,000 dengan hanya premium serendah RM30 setahun. Ia semestinya perlindungan sosial dan keselamatan kewangan yang berbaloi untuk dimiliki.
6. Cara untuk Mendaftar
Untuk butiran lanjut mengenai cara mendaftar i-Lindung KWSP, anda boleh rujuk cara untuk mendaftar di bawah:
1. Log Masuk KWSP i-Akaun
Anda hanya perlu ‘Log Masuk’ ke Portal i-Akaun KWSP anda. Jika anda belum berdaftar, anda perlu ‘Daftar Masuk’ terlebih dahulu.
2. Pilih i-Lindung
Klik pada bahagian ‘i-Lindung’ dan pilih mana-mana produk atau pelan perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat Insurans atau Takaful yang sesuai dengan keperluan anda. Ada beberapa syarikat insurans terbaik yang boleh anda pilih antaranya:
-
-
- Takaful Berhad;
- Prudential Assurance Malaysia Berhad;
- Prudential BSN Takaful Berhad;
- Etiqa Life Insurance Berhad; dan
- Etiqa Family Takaful Berhad.
-
3. Daftar Pelan Perlindungan
Lengkapkan semua maklumat yang diperlukan. Berikan kebenaran untuk membayar melalui potongan dari Akaun KWSP.
4. Buat Pembayaran
Lakukan pembayaran sumbangan untuk melengkapkan transaksi. Bayaran untuk perlindungan Insurans dan Takaful ini akan ditolak daripada Akaun 2 KWSP anda.
Setelah permohonan diluluskan, pembayaran tidak akan dilakukan serta-merta dan mungkin boleh memakan masa beberapa hari. Walau bagaimanapun, status polisi atau sijil anda akan kekal aktif kecuali pembayaran anda ditolak.
Sekiranya pembayaran ditolak, polisi atau sijil yang dibeli akan dibatalkan. Anda boleh menyemak status permohonan pembayaran di bawah i-Lindung di bahagian ‘Sejarah Transaksi’.
5. Terima Polisi
Perlindungan akan bermula mengikut hari polisi atau sijil anda dikeluarkan oleh syarikat Insurans atau Takaful. Polisi atau sijil anda akan dihantar melalui e-mel. Ia juga boleh didapati di bawah i-Lindung di bahagian ‘Pelan Perlindungan Saya’.
i-Lindung KWSP: Pelan Perlindungan Mampu Milik untuk Perlindungan Masa Depan
Kemudahan i-Lindung semestinya memberikan manfaat yang besar dalam melindungi ahli KWSP daripada ketidaktentuan kewangan. Ia bertindak sebagai perlindungan persaraan dan membolehkan ahli mendapatkan perlindungan Insurans atau Takaful pada harga yang mampu milik.
Selain i-Lindung KWSP, anda juga boleh mendapatkan insurans perlindungan hayat dan penyakit kritikal pada harga mampu milik di Qoala. Qoala merupakan platform perbandingan dan pembaharuan insurans paling popular di Malaysia. Anda boleh mendapatkan polisi insurans terbaik di Malaysia dengan tawaran harga yang kompetitif dan terbaik.