Cara Kira Fidyah Puasa, Bayar Fidyah Puasa Online 2024

Kali terakhir diperbaharui Jan 18, 2024 oleh Shafiq Wahab
Cara Kira Fidyah Puasa, Bayar Fidyah Puasa Online 2024

Fidyah puasa atau merupakan satu bentuk bayaran denda yang dikenakan ke atas seseorang individu Islam yang telah baligh. Denda puasa ini adalah kerana tidak dapat menggantikan puasa di bulan Ramadan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadan tahun berikutnya.

9 Perkara Wajib Tahu Berkaitan Fidyah Puasa di Malaysia

Sebagai umat Islam, anda perlu ketahui semua perkara berkaitan fidyah seperti golongan yang wajib bayar fidyah puasa termasuk cara kiraan fidyah puasa. Artikel ini akan membantu anda memahami konsep apa itu fidyah termasuk pengiraan fidyah puasa, cara bayar fidyah puasa dan lain-lain lagi.

1. Fidyah Maksud

Apa maksud fidyah? Secara asasnya, fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri sama ada dalam bentuk harta atau tindakan lain kerana kekurangan dalam sesuatu amal ibadah.

Dalam konteks ibadah puasa, fidyah puasa perlu dibayar kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu, atau dengan sengaja melewatkan puasa ganti (qada puasa) Ramadan.

Hasil bayaran fidyah akan diserahkan kepada Baitulmal sebelum diagihkan kepada fakir miskin dalam bentuk beras atau bekalan makanan.

2. Hukum Fidyah Puasa

Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi ganjaran pahala kepada pelakunya. Hukum bayar fidyah puasa adalah WAJIB mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Dengan membayar fidyah puasa, ia tidak bermaksud anda tidak perlu lagi menggantikan atau qada puasa. Puasa masih wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan. Ia juga menjadi tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

3. Kadar Bayaran Fidyah Mengikut negeri-negeri Seluruh Malaysia

Kadar fidyah puasa adalah berbeza-beza mengikut negeri. Kadar bayaran fidyah bagi setiap hari puasa wajib yang ditinggalkan ialah secupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).

Dalam bentuk nilaian wang berdasarkan kadar bayaran fidyah yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, secupak beras bersamaan dengan 600 gram dengan kadar RM4.

Anda boleh rujuk jadual kadar bayaran di bawah untuk ketahui kadar bayaran fidyah mengikut negeri anda.

Negeri Kadar Bayaran Fidyah Puasa (RM)
Kedah 1.80
Perlis 5.00
Pulau Pinang 1.75
Perak 1.80
Selangor 1.80
Wilayah Persekutuan 4.00
Negeri Sembilan 1.75
Melaka 1.80
Johor 1.75
Pahang 1.75
Terengganu 1.75
Kelantan 1.75
Sarawak 1.75
Sabah 1.75

cara kiraan fidyah puasa

4. Kiraan Fidyah Puasa: Cara Kira Fidyah Puasa

Untuk memahami kaedah kiraan fidyah puasa dengan lebih tepat, anda boleh ikuti contoh kiraan berdasarkan situasi seperti berikut:

i. Bayaran Fidyah Tidak Berganda

Faridah meninggalkan puasa selama tujuh hari disebabkan oleh haid pada bulan Ramadan tahun 2017 (1438H). Faridah tidak qada puasa sehingga masuk Ramadan tahun berikutnya (1439H).

Formula Kiraan: Bilangan Hari Tidak Berpuasa x Kadar Fidyah Mengikut Negeri
7 hari x RM4 = RM28

ii. Bayaran Fidyah Berganda

Apa Itu Fidyah Berganda? Apabila seseorang individu meninggalkan puasa dan tidak qada puasa sehingga beberapa tahun, ada sesetengah negeri menetapkan fidyah berganda. Ini bermaksud, kadar bayaran fidyah perlu didarabkan dengan bilangan tahun yang ditinggalkan. Rujuk contoh di bawah:

Faridah masih belum menggantikan puasa sehingga memasuki beberapa Ramadan tahun-tahun berikutnya. Beliau tidak berpuasa selama tujuh hari pada Ramadan 2017 (1438H) dan masih belum menggantikannya sehingga Ramadan 2020 (1441H). Faridah berkemampuan untuk menggandakan bayaran fidyah beliau.

Formula Kiraan: (Bilangan Hari Tidak Berpuasa x Kadar Fidyah Mengikut Negeri) X Bilangan Tahun yang Ditinggalkan]
(7 hari x RM4) x 3 Tahun = RM84

Berdasarkan situasi di atas, jika puasa ditinggalkan pada tahun 2017 (1438H), kiraan bayaran fidyah puasa bermula dari tahun 2018 (1439H) hingga 2020 (1441). Tahun 2017 (1438H) tidak termasuk dalam kiraan fidyah kerana masih dalam tempoh boleh qada puasa dan belum masuk Ramadan berikutnya.

Senarai Negeri Fidyah Berganda
  • Wilayah Persekutuan
  • Melaka
  • Johor
  • Pahang
  • Terengganu
  • Kelantan
  • Kedah
  • Pulau Pinang
  • Perak
  • Negeri Sembilan
  • Sarawak
  • Sabah
Senarai Negeri Fidyah Tidak Berganda
  • Selangor
  • Perlis

5. Kalkulator Fidyah Puasa

Kadar fidyah puasa dikira berdasarkan kadar secupak harga beras semasa (makanan asasi penduduk). Kadar ini juga berubah mengikut harga yang ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat.

Beras tersebut hendaklah diberi makan kepada golongan fakir miskin dan bukan dalam bentuk wang tunai, pakaian dan sebagainya. Bagi membantu anda membuat kiraan kadar fidyah anda, berikut senarai kalkulator fidyah 2024 mengikut negeri:

6. Golongan yang Dikenakan Fidyah

Terdapat beberapa golongan yang dikenakan fidyah akibat meninggalkan puasa iaitu:

i. Orang Sakit yang Tiada Harapan Sembuh

Golongan yang tidak dapat berpuasa kerana menghidap penyakit yang tiada harapan untuk sembuh atau orang tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya. Golongan ini TIDAK WAJIB qada puasa tetapi PERLU BAYAR fidyah puasa bagi tahun tersebut.

Kiraan Fidyah Puasa

Haji Ali menghidap penyakit diabetes dan tidak mampu untuk berpuasa kerana menjalani dialisis sepanjang Ramadan. Fidyah boleh dibayar bermula masuknya Ramadan

Formula Kiraan: Bilangan Hari Tidak Berpuasa x Kadar Fidyah Tahun Semasa = Bayaran Fidyah
30 hari x RM4.00 = RM120

ii. Perempuan Mengandung atau Sedang Menyusukan Anak yang Bimbang Kesihatan Diri

Perempuan yang hamil atau menyusu anak yang tidak berpuasa di bulan Ramadan kerana bimbang akan kesihatan diri perlu menggantikan puasa yang ditinggalkan. Golongan ini TIDAK WAJIB bayar fidyah. Tetapi, jika masih tidak berganti sehingga tiba Ramadan berikutnya, perlu bayar fidyah puasa kerana LEWAT menggantikan puasa.

Cara Pengiraan Fidyah

Puan Sabrina tidak mampu berpuasa selama 10 hari dalam bulan Ramadan kerana mengalami alahan teruk semasa mengandungkan anaknya. Keadaan bayi sihat, cuma kesihatan beliau terganggu dan hanya mampu menggantikan puasanya setelah tiga tahun kemudian.

Formula Kiraan: Bilangan Hari Tidak Berpuasa x Kadar Fidyah Tahun Semasa = Bayaran Fidyah
10 hari x RM4.00 = RM40

iii. Perempuan Hamil atau Sedang Menyusukan Anak yang Bimbang Keselamatan Kandungan atau Anak yang Disusukan

Ibu yang tidak berpuasa di bulan Ramadan kerana masih menyusukan anak dan bimbang memudaratkan bayi atau perempuan hamil yang risau akan kandungan WAJIB qada puasa dan BAYAR fidyah sebaik sahaja habis Ramadan tahun yang sama.

Bayaran fidyah dikenakan kerana Puan Jaslin meninggalkan puasa kerana bimbang keselamatan anaknya. Jika Puan Jaslin belum menggantikan puasa sehingga tiba Ramadan berikutnya, beliau akan dikenakan fidyah lewat menggantikan puasa.

Cara Kira Fidyah Puasa

Sepanjang kehamilan anaknya, Puan Jaslin tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan selama tujuh hari kerana dikhuatiri keguguran dan risau akan keadaan bayi yang dikandungnya.

Formula Kiraan: Bilangan Hari Tidak Berpuasa x Kadar Fidyah Tahun Semasa = Bayaran Fidyah
7 hari x RM4 = RM28

iv. Orang yang Meninggal Dunia

Bagi orang yang telah meninggal dunia dan tidak sempat menggantikan puasa, pihak waris WAJIB laksanakan tanggungjawab bayar fidyah si mati mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Jika si mati tidak berharta, maka pihak waris boleh menggunakan harta mereka sendiri untuk membantu menjelaskannya. Tetapi jika berharta, bayaran fidyah puasa orang meninggal dunia perlu dilakukan sebelum pembahagian harta pusaka dibuat.

Hukum tidak membayar fidyah puasa adalah berdosa. Sekiranya fidyah puasa tidak dilunaskan, ia akan menjadi hutang di sisi Allah SWT dan akan dituntut di akhirat kelak.

Fidyah Puasa Orang Meninggal Dunia

Pak Ahmad ialah seorang warga emas yang terlantar sakit bertahun-tahun. Beliau tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan. Beliau meninggal dunia pada 13 Ramadan.

Formula Kiraan: Bilangan Hari Tidak Berpuasa x Kadar Fidyah Tahun Semasa = Bayaran Fidyah
13 hari x RM4 = RM52

v. Orang yang Sengaja Meninggalkan Puasa Ramadan

Individu yang melambat-lambatkan ganti puasa hingga masuk bulan Ramadan yang berikutnya akan dikenakan denda membayar fidyah. Selain itu, golongan ini juga WAJIB menggantikan atau qada puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

Kadar Bayar Fidyah Puasa

Encik Syed tidak mampu berpuasa selama tiga hari dalam bulan Ramadan kerana bekerja dalam sektor pekerjaan yang lasak. Beliau hanya menggantikan puasanya selepas 10 tahun.

Formula Kiraan: (Bilangan Hari Tidak Berpuasa x Kadar Fidyah Tahun Semasa) x Bilangan Tahun Ditinggalkan = Bayaran Fidyah
(3 hari x RM4) x 10 tahun = RM120

bayar fidyah puasa dengan beras

Perkara Qada Puasa Bayar Fidyah Puasa
Tidak Wajib Ganti Puasa Tetapi Wajib Bayar Fidyah
Orang tua yang tidak mampu berpuasa kerana lemah dan uzur.

Orang sakit tiada harapan sembuh.

Wajib Ganti Puasa Tetapi Tidak Wajib Bayar Fidyah
Perempuan yang menyusukan anak dan bimbang keselamatan dirinya jika berpuasa.

Perempuan hamil yang bimbangkan keselamatan dirinya jika berpuasa.

Orang bermusafir dan berbuka kerana musafir.

Orang sakit sehingga tidak dapat berpuasa kemudian.

Wajib Ganti Puasa dan Bayar Fidyah
Perempuan hamil yang bimbangkan keselamatan kandungan jika berpuasa.

Perempuan yang tidak berpuasa kerana bimbang keselamatan dirinya ketika hamil dan menyusukan anak dan tidak menggantikan puasa hingga masuk Ramadan tahun berikutnya.

Perempuan yang menyusukan anak dan bimbangkan keselamatan bayinya jika berpuasa Ramadan.

Perempuan yang didatangi haid sehingga menghalangnya daripada berpuasa dan tidak menggantikan puasa sebelum Ramadan tahun berikutnya.

Individu yang melambatkan ganti puasa hingga melangkah masuk Ramadan tahun berikutnya.

7. Cara Bayar Fidyah Puasa

Bagaimana cara membayar fidyah puasa? Secara asasnya, fidyah ganti puasa Ramadan boleh dibayar melalui tiga cara berikut:

i. Bayar Fidyah Secara Tunai

Bayaran fidyah ganti puasa boleh dilakukan secara terus di pejabat agama atau pejabat zakat negeri masing-masing.

ii. Bayar Fidyah Puasa Online 2024

Bayaran fidyah juga boleh dibuat melalui platform e-zakat Majlis Agama Islam Negeri masing-masing. Anda boleh rujuk pautan berikut untuk bayar fidyah puasa online:

  1. Bayar fidyah online Perak;
  2. Bayar fidyah online Selangor;
  3. Bayar fidyah online Kedah;
  4. Bayar fidyah online Pahang;
  5. Bayar fidyah online Pulau Pinang;
  6. Bayar fidyah online Terengganu;
  7. Bayar fidyah online Melaka;
  8. Bayar fidyah online Johor;
  9. Bayar fidyah online Kelantan;
  10. Bayar fidyah online Sabah;
  11. Bayar fidyah online Negeri Sembilan;
  12. Bayar fidyah online Sarawak.

iii. Bayar Zakat Melalui Maybank2U

Kaedah bayar fidyah online ini hanya boleh digunakan untuk pusat zakat atau Majlis Agama Islam Negeri yang mengaktifkan pembayaran fidyah melalui Maybank2U:

  1. Log masuk ke akaun Maybank2U;
  2. Kemudian, klik Bill Payment dan klik Make A One-Off Payment;
  3. Klik Zakat & Charity;
  4. Pilih Pusat Pungutan Zakat/Fidyah negeri masing-masing;
  5. Pilih Fidyah dan masukkan jumlah bayaran mengikut kiraan fidyah puasa masing-masing.

8. Waktu Membayar Fidyah

Bila perlu bayar fidyah puasa? Para ulama bersepakat waktu membayar fidyah puasa bermula sebaik sahaja ibadah berkenaan tidak dapat disempurnakan. Meskipun begitu, ia tidak terhad pada satu tempoh waktu tertentu sahaja.

Namun begitu, anda digalakkan untuk segerakan bayar fidyah puasa kerana dikhuatiri tidak dapat dilaksanakan jika bertangguh. Individu yang melambatkan qada puasa sehingga masuk Ramadan tahun berikutnya perlu membayar fidyah (berganda mengikut tahun ditinggalkan) dan qada puasa.

9. Orang yang Berhak Menerima Fidyah Puasa

Bayar fidyah kepada siapa? Golongan yang berhak menerima fidyah adalah golongan fakir miskin. Fakir miskin merujuk pada golongan yang tidak mempunyai harta sehingga tidak berupaya untuk memenuhi keperluan harian.

Namun begitu, timbul persoalan sama ada boleh atau tidak melangsaikan fidyah puasa dengan membayarnya kepada ahli keluarga sendiri? Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, bayaran fidyah atau zakat tidak sah dan perlu dibayar semula jika dibayar kepada ahli keluarga di bawah tanggungan nafkah seperti ibu, bapa dan ke atas, atau anak, cucu dan ke bawah.

Namun begitu, sekiranya fidyah puasa dibayar kepada ahli keluarga bukan di bawah tanggungan seperti adik-beradik, ibu bapa saudara, ia lebih afdhal dan perlu diutamakan.

bayaran fidyah puasa

Renew Insurans Kereta di Qoala dan Nikmati Diskaun dan Hadiah Eksklusif Menarik

Semoga perkongsian mengenai fidyah puasa ini boleh membantu anda merancang kewangan dan hutang anda dengan lebih baik. Secara asasnya, anda perlu ambil tahu cara pengiraan fidyah puasa termasuk cara bayar fidyah puasa secara online. Ia bagi mengelakkan anda daripada terleka dan terlupa untuk bayar dan bakal dituntut di akhirat nanti.

Selain itu, jika anda ingin mendapatkan perlindungan insurans kereta terbaik untuk kereta anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan insurans online paling komprehensif dan terbaik di Malaysia. Ia turut menawarkan proses beli insurans yang mudah dan pantas dengan tawaran harga yang menarik dan berpatutan.

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60