Penyakit Diabetes Boleh Dapatkan Perlindungan Insurans Kesihatan Diabetes?

Kali terakhir diperbaharui Jun 23, 2023 oleh Syazwani Yahya
Penyakit Diabetes Boleh Dapatkan Perlindungan Insurans Kesihatan Diabetes?

Penyakit diabetes  atau juga dikenali sebagai kencing manis adalah satu penyakit yang bukan lagi asing terutamanya di negara kita, Malaysia. Di Malaysia, terdapat tiga penyakit yang dihidapi ramai iaitu sakit jantung, darah tinggi dan juga diabetes. Statistik menunjukkan bahawa seramai 3.9 juta individu yang berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes. Jumlah penghidap diabetes adalah merupakan keempat yang tertinggi di Asia.

Penghidap penyakit kencing manis ini menunjukkan trend yang meningkat pada setiap tahun. Lebih merisaukan apabila segelintir daripada statistik tersebut tidak sedar bahawa mereka sebenarnya menghidapi penyakit tersebut. Untuk pengetahuan, jangan ingat muda-muda tak boleh kena diabetes. Diabetes tidak mengenali mangsa dari segi usia. 5.5% daripada statistik adalah dalam lingkungan usia 18-19 tahun direkodkan menghidap penyakit bahaya itu begitu juga dengan dua dalam lima warga emas yang berusia antara 70 hingga ke 74 tahun menghidap penyakit itu.

Diabetes Pembunuh Senyap?

Diabetes adalah satu penyakit jenis metabolik yang berkemampuan untuk merosakkan organ-organ dalaman seperti buah pinggang, jantung, otak, saraf, mata, kulit dan banyak lagi. Ada dua jenis penyakit diabetes iaitu:

Jenis 1 – Insulin Dependent Diabetes

Diabetes jenis 1 ini mengakibatkan penghidapnya untuk bergantung kepada suntikan insulin. Ini kerana penyakit autoimun di mana sistem pertahanan tubuh menyerang dan juga mampu untuk merosakkan sel-sel yang menghasilkan insulin sekaligus mengakibatkan pankreas tidak mampu untuk menghasilkan hormon itu lagi. Jika dapat hasilkan, ianya dalam jumlah yang sangat kecil.

Kira-kira satu daripada 10 pesakit diabetes merupakan pesakit jenis 1. Pesakit jenis 1 juga perlu mendapatkan suntikan insulin setiap hari di sepanjang hayat mereka.

Jenis 2 – Non Insulin Dependent Diabetes

Diabetes jenis 2 pula tidak bergantung pada insulin. Dan majoriti penghidap penyakit diabetes mempunyai jenis 2 ini. Penyakit diabetes jenis 2 ini sering dikaitkan obesiti yang boleh menjadi punca rintangan insulin yang mengakibatkan peningkatan paras gula yang tinggi dalam darah.

Diabetes sering dikatakan pembunuh senyap kerana ia hanya boleh dikesan apabila setelah berlakunya komplikasi.

Boleh Ke Pesakit Penyakit Diabetes Mendapatkan Perlindungan Insurans?

Sebenarnya, individu yang telah disahkan menghidap penyakit diabetes yang tidak mempunyai insurans perlindungan sebelumnya sukar untuk mendapatkan perlindungan. Malahan ada kebanyakkan syarikat insurans akan terus menolak jika pemohon sudah menghidap penyakit tersebut. Mereka tidak akan menawarkan pelan perlindungan insurans kerana penyakit diabetes adalah salah satu penyakit yang memakan kos yang tinggi berbanding penyakit-penyakit biasa yang lain.

Ia boleh menjadi tinggi disebabkan komplikasi-komplikasi yang disebabkan diabetes. Tambah pula dengan kadar purata inflasi perubatan tahunan pada 10 peratus, kos perubatan dan rawatan bagi komplikasi yang disebabkan penyakit kencing manis dijangka akan melambung.

Inilah pentingnya jika kita menyediakan perlindungan insurans, seperti insurans perubatan atau insurans kesihatan. Lebih awal, lebih bagus. Jangan tunggu waktu kita sakit. Ini kerana risiko rakyat Malaysia untuk menghidap diabetes adalah sangat tinggi. Malaysia sangat terkenal dengan pelbagai jenis makanan yang enak-enak belaka.

Gaya pemakanan antara punca mengapa ramai rakyat Malaysia berpotensi untuk mendapatkan penyakit diabetes ini. Komplikasi daripada penyakit ini juga tidak boleh dipandang remeh. Ia boleh merosakkan organ-organ penting dalam badan. Kos perubatan dan rawatan sudah tentunya menjadi sangat tinggi.

Jika kita tidak mempunyai perlindungan awal, dikhuatiri kita terpaksa menggunakan wang sendiri untuk menjalani rawatan-rawatan lanjut untuk tempoh masa yang lama kerana untuk mengawal kencing manis bukannya mudah, apatah lagi untuk pulih sepenuhnya daripada penyakit berbahaya ini.

7 Punca Penyakit Diabetes

Diabetes boleh berpunca daripada pelbagai faktor. Bukan sahaja makanan tapi banyak lagi. Ini antara punca-punca diabetes yang boleh Qoala kongsikan:

1. Pengambilan Makanan Tinggi Gula

Umum mengetahui bahawa punca utama diabetes adalah pengambilan jumlah gula yang tinggi. Meskipun begitu, jangan ingat maksud pengambilan gula di sini adalah gula semata-mata. Kandungan gula dalam makanan-makanan lain juga boleh menjadi punca. Antara makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi tanpa kita sedari adalah seperti, madu, pastri, pisang dan bermacam-macam lagi. Makanan-makanan ini mempunyai glisemik indeks yang tinggi. Kebanyakan minuman di pasaraya pula menggunakan pemanis seperti glukosa atau sirap jagung yang mempunyai fruktosa yang tinggi.

2. Refined Carbs

Pengambilan refined carbs juga antara punca penyakit diabetes. Refined carbs termasuk juga roti, cereal, nasi putih, dan pasta. Bukan orang Malaysia lah, kalau tak makan nasi betul tak? Beras boleh dibuat nasi lemak, nasi dagang, nasi kerabu dan pelbagai lagi masakan yang sedap lain. Ramai individu mengambil nasi sebagai sumber utama karbohidrat dan juga tenaga. Namun begitu, nasi juga lah yang menjadi punca ramai orang mengidap penyakit diabetes kerana kandungan kanjinya yang tinggi.

3. Tidak Bersenam

Tidak bersenam membolehkan datangnya pelbagai penyakit termasuklah penyakit kencing manis. Sesetengah individu mempunyai tabiat di mana makan berpanjangan tanpa sebarang senaman dengan alasan jumlah makanan yang diambil adalah sedikit. Walaupun sedikit, kekerapan mengambil makanan tersebut turut memerlukan kita untuk bersenam. Tambah-tambah lagi jika kita seseorang yang suka memakan makanan tidak sihat seperti burger, pizza, ayam goreng dan pelbagai lagi.

4. Sejarah Penyakit Keluarga

Antara punca lain diabetes adalah sejarah penyakit keluarga. Jika keluarga anda ada yang menghidap penyakit diabetes, anda juga berisiko tinggi untuk menghidapi penyakit yang sama. Dan sekiranya ibu anda mempunyai kencing manis jenis 2, anda juga mempunyai risiko setinggi 40 peratus untuk mendapatkannya juga. Manakala jika kedua-dua, ibu dan bapa mempunyai penyakit ini, risiko anda adalah pada tahap 80 peratus.

5. Tidak Makan Sayur dan Buah

Bukan nak menakutkan, tapi individu yang liat dan susah sangat nak makan sayur dan buah ni bukan sahaja boleh berisiko untuk menghidap kencing manis, malah penyakit lain juga. Jika anda seorang yang tak suka makan sayur, cuba mula makan daripada sekarang. Pada mulanya memang lah pahit dan tak sedap, tapi lama kelamaan pasti akan terbiasa. Kena mula daripada sekarang kerana pelbagai risiko yang boleh kita dapat jika tak makan sayur kerana badan kita memerlukan nutrisi-nutrisi daripada sayur-sayur tersebut.

6. Diabetes Gestasi dan Pradiabetes

Diabetes gestasi adalah satu situasi di mana tahap kadar gula dalam darah anda meningkat naik hanya pada sewaktu anda hamil dan bukanlah disebabkan anda pernah mengalami diabetes. Walau bagaimanapun, ia juga boleh menjadi penyebab individu tersebut untuk menghidapi kencing manis jenis 2.

Sewaktu penghamilan, hormon plasenta boleh menyebabkan kadar gula dalam darah meningkat. Sekiranya penghasilan insulin tidak mampu menampung paras gula dalam darah, ia boleh menyebabkan individu tersebut untuk mendapatkan kencing manis jenis 2 semasa dalam tempoh hamil. Namun, bacaan paras gula akan kembali normal pada kebiasaanya sejurus melahirkan. Tetapi ia tetap berisiko untuk kekal menjadi diabetes jenis 2 jika pengambilan gula tidak dikawal dengan rapi.

Pradiabetes pula adalah salah satu situasi dimana kadar gula dalam darah berada adalam keadaan yang tinggi meskipun bacaan yang direkod adalah normal. Yang merisaukan, individu boleh mempunyai pradiabetes selama beberapa tahun tanpa sebarang simptom. Inilah yang dimaksudkan ramai yang tidak menyedari mereka menghidapi kencing manis sehinggalah berlaku komplikasi.

7. Kerintangan Insulin

Kerintangan insulin, atau juga dikenali sebagai insulin resistan adalah sebuah situasi dimana jumlah insulin normal tidak lagi cukup bagi menghasilkan tindak balas insulin normal terhadap sel lemak, otot, dan juga hati. Kerintangan insulin pada sel lemak mengurangkan kemampuan dan keberkesanan insulin lantas mengakibatkan peningkatan hidrolisis trigliserida yang tersimpan. Ada pelbagai sebab yang boleh mengakibatkan berlakunya kerintangan insulin. Antaranya ialah genetik, faktor penuaan, berat badan yang berlebihan, kurang bersenam, merokok dan banyak lagi.

Tanda-tanda Awal Diabetes

Tanda-tanda awal diabetes sebenarnya bergantung pada kadar kandungan gula dalam darah

1. Kerap Buang Air Kecil

Situasi kekerapan membuang air kecil ini juga dikenali sebagai poliuria. Anda akan kerap membuang air kecil apabila buah pinggang anda tidak lagi mampu memproses jumlah glukosa yang tinggi dalam darah. Disebabkan itu, buah pinggang akan menyingkirkan sebahagiannya melalui air kencing.

Jadi, bila anda selalu sangat buang air kecil, jangan lupa buat pemeriksaan lanjut.

2. Kerap Rasa Haus

Antara tanda-tanda awal diabetes adalah kekerapan merasa haus daripada biasa. Ini juga berkaitan dengan kekerapan buang air kecil. Apabila kita kerap buang air kecil, sudah pastinya tubuh badan akan mengalami kekurangan air sekaligus menyebabkan haus. Seterusnya, sekiranya kadar gula dalam darah berada pada kadar yang terlalu tinggi, ia juga boleh menyebabkan anda berasa haus dengan lebih kerap. Ia turut akan menyebabkan anda rasa kurang puas walaupun telah meminum air yang banyak.

3. Tompok Gelap pada Kulit

Selain itu, tompok gelap pada kulit turut menjadi tanda-tanda awal anda mengalami kencing manis. Tompok-tompok ini sering terjadi pada kawasan sekitar leher, ketiar dan juga pada celah kangkang. Kulit seorang yang mengalami kencing manis juga akan menjadi tebal daripada biasa. Kewujudan tompok hitam ini ada disebabkan keadaan insulin yang berlebihan dalam darah.

4. Luka Lambat Pulih

Jika anda mempunyai sebarang luka, dan proses pemulihan luka itu lambat, ia juga boleh menjadi tanda-tanda awal diabetes. Antara sebab utama mengapa luka tersebut lambat untuk pulih adalah kerana salur darah kita sendiri.

Kadar gula yang tinggi dalam darah akan menyempitkan saluran darah dan secara automatik memperlahankan aliran darah. Perkara ini akan menyebabkan kawasan luka akan terhalang untu mendapatkan oksigen yang mencukupi untuk kembali sembuh dengan segera. Bukan itu sahaja, kandungan gula dalam darah pada satu tempoh masa yang lama juga boleh menyebabkan sistem imun dalam tumbuh terbantut. Dan disebabkan itu, badan memerlukan masa yang lebih lama untuk melawan jangkitan pada luka tersebut.

5. Kerap Rasa Lapar

Kenapa boleh jadi cepat rasa lapar? Ini kerana sel-sel dalam badan akan menggunakan glukosa sebagai sumber tenaga supaya sel-sel tersebut kekal berfungsi dengan baik. Walau bagaimanapun, sekiranya sistem ini rosak disebabkan penyakit diabetes, sel-sel dalam badan tidak dapat lagi menyerap glukosa dalam darah.

Akibatnya, sel-sel dalam tubuh akan mencari sumber tenaga lain yang akan mengakibatkan kita terasa cepat lapar.

6. Penglihatan Terganggu

Pesakit-pesakit kencing manis juga sering mengalami kerosakan penglihatan sehingga ada yang buta. Tanda awalnya adalah penglihatan anda mungkin akan menjadi kabur dan samar-samar disebabkan kencing manis. Ia boleh dilihat apabila kadar gula dalam darah terlalu tinggi, ia boleh juga merosakkan salur-salur darah kecil yang terdapat pada mata. Ini mengakibatkan cecair pada mata akan meresap masuk ke dalam kanta mata lantas mengakibatkan penglihatan menjadi kabur.

7. Sakit saraf

Dengan memiliki penyakit diabetes pada tempoh yang lama tanpa disedari, ia boleh mengakibatkan sakit pada saraf-saraf badan. Situasi ini juga dikenali sebagai neuropati diabetes. Badan yang mempunyai masalah saraf akan kerap berasa kebas atau kesemutan. Antara bahagian badan yang sering terasa kebas ialah bahagian tangan, jari dan juga kaki.

Cara Mengawal Kadar Gula Dalam Badan

Belum terlambat untuk kita menjaga diri kita daripada terkena penyakit diabetes ini. Ini antara cara-cara mengawal kadar gula dalam badan.

Selalu Bersenam

Bersenam ada banyak faedahnya. Kalau dari segi diabetes pula, ia dapat membantu menurunkan berat badan dan meningkat kepekaan insulin. Sekiranya kepekaan insulin dalam badan meningkat, ini bermakna sel-sel badan akan menggunakan gula yang ada di saluran darah dengan lebih baik. Senaman yang kerap juga mampu mencegah pelbagai lagi penyakit jika dilakukan secara konsisten.

Kawal Pengambilan Karbohidrat

Tahukah anda, tubuh badan kita akan memecahkan karbohidrat kepada menjadi gula dan kemudiannya insulin akan memindahkan gula ke dalam sel-sel dalam tubuh. Pengambilan karbo yang banyak akan merumitkan proses ini dan menyebabkan kadar glukosa dalam darah meningkat.

Persatuan Diabetes Amerika (ADA) mengesyorkan untuk mengawal pengambilan karbo dengan mengira karbohidrat atau menggunakan sistem pertukaran makanan. Oleh itu, rancang pemakanan anda agar dapat mengawal paras gula dalam badan.

Lebihkan Pengambilan Serat

Apa yang menarik mengenai serat ini adalah, ia boleh melambatkan pencernaan karbohidrat dan penyerapan gula. Oleh itu, dengan mengambil serat yang banyak, ia akan meningkatkan kadar gula dalam darah secara beransur-ansur. Untuk pengetahuan korang, ada dua jenis serat iaitu serat tidak larut dan larut. Kedua-duanya penting, namun serat larut lebih terbukti dapat mengawal kadar gula dalam darah.

Antara makanan yang tinggi dengan serat dalam sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan bijian.

Saiz Hidangan yang Disyorkan

Dengan mengawal saiz hidangan makanan, ia dapat membantu mengawal pengambilan kalori dan juga boleh membantu kita menurunkan berat badan. Dengan berat badan yang terkawal, ia akan menyebabkan kadar gula dalam darah menjadi sihat dan mengurangkan risiko untuk mendapatkan penyakit diabetes jenis 2.

Bukan itu sahaja, kawalan saiz hidangan boleh membantu kita untuk mengurangkan kadar gula dalam darah secara sihat.

Tidur yang Berkualiti

Tidur bukan sahaja perlu cukup, ia juga perlu berkualiti untuk menjamin kesihatan yang baik. Tabiat tidur yang tidak sihat dan juga kurang mendapatkan rehat boleh menjadi faktor kenaikan gula dalam darah badan dan juga kepekaan insulin. Ia dapat menambah selera lantas menaikan berat badan. Kekurangan tidur juga boleh menyebabkan kurangnya pembebasan hormon pertumbuhan dan meningkatkan hormon kortisol iaitu hormon stress.

Kesimpulannya, penyakit diabetes ini boleh dielak dan dikawal. Untuk perlindungan yang lebih baik, pastikan kita mencarum untuk insurans perubatan sewaktu sihat kerana kita tak tahu apa yang bakal berlaku pada masa depan.

Bila dah berlaku macam ni, apa yang kita boleh buat adalah mengawal penyakit ini supaya tidak menyebabkan komplikasi-komplikasi yang teruk. Qoala harap artikel harini dapat membantu anda.

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60