Pelan Bayaran Ansuran Mudah (EPP) Lebih Baik daripada BNPL?

Kali terakhir diperbaharui Nov 2, 2023 oleh Shafiq Wahab
Pelan Bayaran Ansuran Mudah (EPP) Lebih Baik daripada BNPL?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pilihan pembayaran ansuran seperti Pelan Bayaran Ansuran Mudah (EPP) dan Beli Dulu Bayar Kemudian (BNPL) kini menjadi semakin popular di Malaysia. Pilihan pembayaran ini dapat membantu anda mengurus aliran tunai dengan baik. Ia juga memudahkan anda untuk membeli barangan mahal seperti barangan elektronik, perabot dan perkakasan rumah yang mungkin tidak mampu dibayar dalam satu pembayaran. Dengan begitu banyak pilihan pembayaran ansuran mudah, manakah yang anda patut pilih?

Pelan Ansuran Mudah: Perbezaan Penting Antara EPP dan BNPL di Malaysia

Anda mungkin sudah biasa dengar tentang Easy Payment Plan (EPP) dan Buy Now Pay Later (BNPL) ini. Secara mudahnya, kedua-dua perkhidmatan ini menawarkan pilihan bayaran secara ansuran kepada pelanggan. EPP berkait rapat dengan kad kredit yang disediakan oleh pihak bank. Ini bermaksud, pemilik kad kredit sahaja yang boleh menggunakan perkhidmatan ini.

Had perbelanjaan untuk EPP bergantung sepenuhnya pada pihak bank yang mengurus kad kredit anda. Bagi BNPL pula, ia tidak memerlukan kad kredit untuk menggunakannya. Ia secara tidak langsung menjadikan BNPL alternatif yang menarik kepada pelanggan yang lebih muda yang mungkin tidak memenuhi syarat pendapatan untuk memiliki kad kredit.

Semua Perkara yang Perlu Anda Ketahui Tentang Pelan Bayaran Ansuran Mudah

Apa Itu EPP? EPP atau Easy Payment Plan merujuk pada pelan bayaran ansuran mudah atau pelan pembayaran fleksibel. Ia menawarkan pengguna alternatif pembayaran yang lebih fleksibel dan mudah untuk menguruskan perbelanjaan terutamanya melibatkan pembelian mahal.

Dengan EPP, anda boleh memecahkan pembayaran anda kepada jumlah yang lebih kecil dalam jangka masa tertentu. Ia membolehkan anda menikmati produk atau perkhidmatan yang anda inginkan tanpa perlu berbelanja besar setiap bulan atau mengikat perut. Anda juga boleh menikmati kadar faedah sifar peratus sepanjang tempoh pembayaran balik.

Tempoh pembayaran balik biasanya antara tiga hingga 36 bulan dan kadar faedah yang dikenakan bergantung pada bank anda. Sebagai contoh, anda berbelanja di kedai-kedai yang menawarkan perkhidmatan pelan bayaran ansuran mudah sebanyak RM2,000 dengan kadar faedah sifar peratus untuk tempoh 12 bulan.

Daripada membayar penuh RM2,000 semasa kitaran bil kad kredit seterusnya, pembayaran kad kredit anda akan menjadi RM166.67 setiap bulan selama 12 bulan. Ia dikira berdasarkan jumlah keseluruhan hutang kredit dengan bilangan bulan. EPP membolehkan pengguna membuat pembelian besar tanpa perlu bimbang tentang hutang kad kredit yang tinggi.

Pelan Ansuran Mudah di Malaysia yang boleh anda pertimbangkan

Bagaimana anda boleh menikmati perkhidmatan pelan bayaran ansuran mudah ini? Berikut antara beberapa perkara penting yang perlu dipertimbangkan:

  • Pertama, anda perlu pastikan peniaga mempunyai sistem EPP untuk kad kredit anda dan menyokong jumlah pembelian anda;
  • Pastikan kategori item layak untuk kemudahan pembayaran balik;
  • Pastikan juga jumlah pembelian layak menggunakan EPP;
  • Kenal pasti tempoh rancangan pembayaran balik;
  • Semak sebarang yuran tambahan yang mungkin dikenakan (seperti yuran perkhidmatan).

Setelah anda jelas dan berpuas hati dengan kriteria serta terma dan syarat yang dinyatakan, anda boleh menggunakan kad kredit anda untuk membuat pembayaran. Meskipun begitu, kami mengesyorkan anda untuk memaklumkan kepada peniaga yang anda ingin menggunakan perkhidmatan pelan bayaran ansuran mudah semasa membuat pembayaran.

Kelebihan Kekurangan
Diterima di kebanyakan kedai Semakan kredit diperlukan untuk memohon
Pelan bayaran ansuran mudah berdasarkan pakej yang ditawarkan oleh pihak bank Biasanya terdapat keperluan perbelanjaan minimum
Membolehkan aliran tunai diuruskan dengan lebih baik Caj faedah mungkin bertambah
Beberapa kad menawarkan faedah seperti rebat, pulangan tunai (cashback) dan insurans

Perkara Penting yang Anda Perlu Tahu Tentang Beli Dulu Bayar Kemudian

BNPL atau Beli Dulu Bayar Kemudian adalah pilihan pembayaran yang ditawarkan oleh kebanyakan pemilik perniagaan dan penyedia perkhidmatan. Anda mungkin biasa dengan beberapa penyedia BNPL popular di Malaysia seperti Atome, Grab PayLater dan Shopee Buy Now Pay Later (SPayLater).

Secara asasnya, pilihan pembayaran ansuran mudah ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan BNPL untuk memenuhi keperluan pelanggan. Dengan BNPL, pelanggan dapat membeli sesuatu produk secara ansuran dengan pilihan pembayaran yang lebih fleksibel. Kebanyakan penyedia perkhidmatan BNPL menawarkan skim pembayaran ansuran mudah bebas faedah untuk tempoh tiga hingga enam bulan.

Beli-belah dengan pelan ansuran mudah EPP atau BNPL untuk ketenangan fikiran

Untuk membuat pembelian BNPL, anda boleh memilih dan mendaftar dengan penyedia perkhidmatan BNPL pilihan anda. Kemudian, anda boleh memilih pilihan ansuran mudah yang dikehendaki dan menghubungkan kad kredit atau kad debit anda untuk membuat pembayaran. Perlu diingatkan bahawa jika pembayaran balik tidak dibuat tepat pada masanya, pelanggan mungkin akan dikenakan yuran dan caj lewat.

Kelebihan Kekurangan
Pemeriksaan kredit minimum diperlukan untuk permohonan Tidak semua pilihan BNPL menawarkan perkhidmatan bebas faedah
Kadar faedah sifar peratus atau kadar faedah rendah Tidak tersedia di semua kedai atau platform
Proses kelulusan yang mudah dan cepat untuk pelan pembayaran yang fleksibel Pembayaran lewat, bayaran tertunggak atau tidak dibayar boleh mengakibatkan yuran atau denda yang tinggi
Mendorong tabiat perbelanjaan mengikut perasaan atau boros
Sukar untuk menjejak perbelanjaan jika anda mempunyai beberapa pembelian ansuran melalui platform BNPL berbeza

Pembelian secara ansuran boleh beri kesan baik atau buruk bergantung pada situasi kewangan dan tabiat perbelanjaan anda. Seperti yang disebutkan sebelum ini, salah satu kebaikan membeli secara ansuran ialah dapat membahagikan kos pembelian yang besar kepada tempoh bayaran yang lebih panjang.

Ia secara tidak langsung menjadikan pembelian anda lebih mampu milik dan boleh dikendalikan bagi mereka yang tidak mempunyai dana untuk membuat pembayaran sekaligus. Selain itu, kaedah pembelian sebegini juga tidak memberi kesan kepada aliran tunai atau simpanan anda kerana aliran duit keluar lebih minimum.

Meskipun begitu, perkhidmatan bayaran ansuran mudah juga boleh menyebabkan pembelian yang tidak terkawal dan komitmen hutang yang berlebihan. Sebagai contoh, jika anda terlewat bayar, anda akan dikenakan yuran dan denda yang tinggi. Ia boleh menyebabkan hutang anda semakin bertambah dan tidak terkawal jika tidak ditangani dengan baik.

Selain itu, pelan ansuran mudah juga tidak efektif kos untuk jangka masa panjang. Ini kerana, anda perlu membayar lebih daripada sepatutnya disebabkan oleh caj faedah atau yuran tambahan yang dikenakan.

pelan ansuran mudah: belanja dengan bijak untuk elakkan anda terbeban dengan komitmen hutang yang tinggi

Pelan Bayaran Ansuran Mudah vs Beli Dulu Bayar Kemudian, Mana yang Lebih Baik?

Apabila membandingkan Beli Dulu Bayar Kemudian (BNPL) dengan Pelan Bayaran Ansuran Mudah (EPP), penting untuk anda tahu bahawa kedua-dua pilihan ini menawarkan kelebihan kepada anda jika digunakan dengan baik. BNPL dan EPP membolehkan anda membuat pembelian secara ansuran tanpa perlu terikat dengan komitmen hutang yang tinggi.

BNPL misalnya, menawarkan pelan pembayaran jangka pendek tanpa faedah. Namun begitu, anda berkemungkinan dikenakan yuran dan denda yang lebih tinggi jika terlewat bayar. EPP pula biasanya mempunyai pilihan pembayaran jangka panjang sehingga 36 bulan dengan kadar faedah yang lebih rendah. Tetapi, ada perbelanjaan minimum dan semakan kredit yang perlu dilakukan.

Jika anda mempunyai kad kredit dan ingin membahagikan pembelian besar kepada bayaran yang lebih kecil, EPP merupakan pilihan yang baik untuk anda. Tetapi jika anda tidak mempunyai kad kredit dan mencari pelan ansuran mudah dan bebas faedah, perkhidmatan BNPL mungkin boleh anda pertimbangkan.

Pilihan yang terbaik antara BNPL dan EPP semestinya bergantung sepenuhnya pada keadaan kewangan dan keupayaan anda untuk mengurus kredit secara berkesan. Apa yang penting, lakukan penyelidikan dan menilai terma dan syarat setiap pilihan dengan teliti sebelum membuat keputusan.

Dan jika anda sedang mencari insurans kereta terbaik, anda boleh kunjungi laman web Qoala untuk maklumat lanjut. Qoala adalah platform perbandingan dan pembaharuan insurans terbaik di Malaysia dengan proses pembelian yang selamat dan mudah.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60