Kereta Total Loss, 5 Perkara Wajib yang Anda Perlu Tahu

Kali terakhir diperbaharui May 23, 2023 oleh Hariz Hafiz
Kereta Total Loss, 5 Perkara Wajib yang Anda Perlu Tahu

Antara isu biasa yang dihadapi selepas kemalangan jalan raya ialah memikirkan cara untuk membiayai kerosakan dan kerugian yang dialami. Namun begitu, jika anda memiliki perlindungan insurans kereta komprehensif, anda tidak perlu risau akan hal ini kerana pihak insurans akan menanggung kos-kos pembaikan yang berkaitan tanpa perlu anda keluarkan wang dari poket anda. Tetapi, apa yang berlaku sekiranya kereta anda kemalangan dan diisytiharkan kereta total loss?

Perkara Asas Anda Perlu Tahu Tentang Kemalangan Kereta Total Loss

Jika anda terlibat dalam kemalangan jalan raya, kereta anda biasanya akan dianggap total loss oleh pihak insurans apabila kos pembaikan kereta lebih tinggi berbanding nilai tunai sebenar kenderaan. Apa maksud kereta total loss? Apa pula yang dimaksudkan dengan nilai tunai sebenar kenderaan? Ketahui lebih lanjut berkaitan kereta total loss dalam artikel ini.

1. Apa Itu Total Loss?

Sesebuah kenderaan akan diisytiharkan total loss oleh syarikat insurans sekiranya kenderaan tersebut tidak selamat, tidak dapat dibaiki atau kos anggaran untuk baik pulih kereta tersebut melebihi nilai tunai sebenar kenderaan tersebut. Nilai tunai sebenar kenderaan dalam konteks ini merujuk pada amaun yang akan dibayar oleh syarikat insurans jika kenderaan anda total loss.

Dalam erti kata lain, kereta anda Beyond Economic Repair (BER) atau Tidak Dapat Dibaiki Secara Berhemat. Contoh terperinci boleh dilihat dalam 2 (ii).

2. Situasi Kereta Total Loss

Selain itu, anda juga perlu tahu bahawa sesebuah kenderaan tidak kira kereta atau motosikal akan dianggap total loss oleh pihak insurans disebabkan oleh dua keadaan:

i. Kenderaan Alami Kerosakan Teruk dan Tidak Selamat untuk Dibaiki

Kereta Perodua Myvi Munir terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van. Akibat kemalangan tersebut, kereta Munir rosak teruk dan dihantar ke bengkel panel insurans.

Setelah diperiksa oleh pihak adjuster insurans untuk menentukan amaun kerugian, pihak adjuster insurans mengesahkan kereta Munir sudah tidak selamat untuk dibaiki – syarikat insurans biasanya akan mengisytiharkan kereta anda sebagai total loss.

ii. Kenderaan Masih Boleh Dibaiki, Tetapi Kos Pembaikan Melebihi Nilai Tunai Sebenar

Dalam situasi lain, Kereta Proton Persona Jung Meng terlibat dalam kemalangan dan masih boleh dibaiki. Namun begitu, setelah penilaian dilakukan, pihak insurans mendapati kos anggaran pembaikan (termasuk alat ganti kereta) melebihi nilai tunai sebenar kereta tersebut.

Sebagai contoh, kos anggaran pembaikan kerosakan kereta adalah sekitar RM25,000, tetapi nilai tunai sebenar hanyalah sebanyak RM15,000.

Dalam kes sebegini, kereta Jung Meng juga akan disahkan sebagai total loss kerana anggaran kos pembaikan melebihi nilai tunai sebenar kereta.

Cara Buat Tuntutan Insurans Kereta Kemalangan

3. Pampasan Kereta Total Loss

Sekiranya kereta anda diisytiharkan total loss, anda boleh membuat tuntutan pampasan daripada syarikat insurans anda. Namun begitu, proses tuntutan ini tertakluk pada polisi insurans anda – tuntutan total loss hanya boleh dibuat oleh pemilik sekiranya kereta anda dilindungi Polisi Insurans Komprehensif.

Jika kereta anda dilindungi oleh Polisi Pihak Ketiga, Kebakaran atau Kecurian atau Polisi Pihak Ketiga sahaja, ia tidak melayakkan anda untuk membuat tuntutan kepada syarikat insurans.

Cara Kira Jumlah Pampasan Kereta Total Loss

Secara asasnya, jumlah pampasan yang akan diterima ditentukan berdasarkan jumlah perlindungan atau sum insured kereta anda – sama ada mengikut nilai pasaran kereta (market value) atau nilai dipersetujui (agreed value).

Nilai Pasaran

Sekiranya jumlah perlindungan kereta anda berdasarkan nilai pasaran atau market value, jumlah pampasan akan dibayar mengikut nilai pasaran kereta ketika kereta anda total loss, dan bukannya mengikut nilai pasaran kereta semasa anda renew insurans kereta anda.

Sum Insured (Ikut Nilai Pasaran) Ketika Renew Insurans: RM20,000
Jumlah Pampasan Diterima: RM12,000 (Ikut Nilai Pasaran Semasa Total Loss)

Jika jumlah sum insured kereta anda kurang daripada nilai pasaran pada masa kerugian, syarikat insurans hanya akan menanggung sebahagian daripada kerugian mengikut nisbah perbezaan antara market value dan sum insured. Walau bagaimanapun, formula kiraan ini hanya terpakai sekiranya jumlah under-insurance melebihi 10 peratus daripada market value.

Nilai Dipersetujui

Jika anda memilih nilai dipersetujui atau agreed value pula, anda akan menerima jumlah pampasan mengikut jumlah perlindungan (sum insured). Sebagai contoh, jika anda memilih agreed value sebanyak RM20,000 iaitu nilai yang dipersetujui oleh anda dan syarikat insurans, anda akan menerima pampasan sebanyak RM20,000 sekiranya kereta anda total loss

Sum Insured (Ikut Nilai Dipersetujui) Ketika Renew Insurans: RM20,000
Jumlah Pampasan Diterima: RM20,000 (Tidak Terjejas dengan Susut Nilai)

Amaun ini tidak akan terjejas meskipun nilai pasaran semasa kereta anda telah susut nilai.

4. Prosedur Claim Insurans Kereta Total Loss

Secara asasnya, proses tuntutan insurans kereta total loss tidak banyak beza dengan proses tuntutan insurans kereta kemalangan. Namun begitu, sekiranya kereta anda total loss, tuntutan insurans perlu dibuat di bawah Own Damage Claim (atau Tuntutan Kerosakan Sendiri).

Setelah syarikat insurans meluluskan tuntutan anda, tawaran jumlah pampasan akan dibuat. Jika anda bersetuju dengan pampasan yang ditawarkan, anda perlu sertakan beberapa dokumen tambahan seperti berikut:

  1. Borang Penyata Pertukaran Milikan Kenderaan Motor Selain Daripada Pindah Milik Secara Sukarela Oleh Pemunya Berdaftar (JPJ K3A) (dua salinan);
  2. Borang Permohonan Pembatalan Pendaftaran Kenderaan (JPJ K1C) (salinan) – jika berkenaan;
  3. Polisi insurans (salinan asal);
  4. Geran kereta atau sijil pemilikan kenderaan (salinan asal);
  5. Surat pelepasan daripada syarikat sewa beli – jika berkenaan;
  6. Salinan kad pengenalan (disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah);
  7. Kunci kenderaan asal (dua set).

*Senarai dokumen yang diperlukan ini mungkin berbeza bergantung pada syarikat insurans anda.

Setelah selesai, syarikat insurans akan memproses bayaran pampasan kepada anda. Sekiranya anda masih mempunyai baki hutang pinjaman kereta dengan pihak bank, pihak insurans akan membuat bayaran kepada pihak bank mengikut jumlah pampasan yang dipersetujui.

Ini bermaksud, jika baki hutang kereta adalah sebanyak RM30,000, dan pampasan yang diluluskan adalah sebanyak RM20,000 – pihak insurans akan membayar RM20,000 kepada pihak bank dan anda perlu menjelaskan baki RM10,000 lagi kepada pihak bank mengikut ansuran bulanan yang ditetapkan.

Namun begitu, jika jumlah pampasan melebihi baki hutang pula, anda akan menerima baki pampasan setelah baki hutang dengan pihak bank dijelaskan.

5. Kereta Dipandu Orang Lain Terlibat Kemalangan Total Loss, Boleh Buat Claim Insurans?

Ya. Secara asasnya, anda masih boleh buat tuntutan insurans sekiranya berlaku kemalangan total loss semasa kereta dipandu oleh orang lain. Walau bagaimanapun, jika pemandu tersebut tidak dinamakan dalam polisi atau anda tidak mempunyai perlindungan insurans semua pemandu (all driver coverage), anda perlu membayar ekses wajib sebanyak RM400 kepada syarikat insurans anda.

Semoga panduan berkaitan kereta total loss ini dapat membantu anda sekiranya anda berdepan situasi yang memerlukan anda membuat tuntutan insurans ini. Selain itu, jika anda ingin renew insurans kereta anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Anda boleh banding dan pilih syarikat insurans terbaik, dan dapatkan sebut harga insurans kereta secara percuma dengan proses mudah dan pantas.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60