Nak Servis Kereta? Jom Tengok 12 Checklist Ini

Kali terakhir diperbaharui Nov 22, 2023 oleh Shafiq Wahab
Nak Servis Kereta? Jom Tengok 12 Checklist Ini

Orang kata “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Korang tahu tak kalau tak buat servis kereta dengan kerap, kereta korang berpotensi besar akan rosak? Sebelum pergi bengkel untuk servis kereta korang, jom baca artikel ni sekejap. Qoala akan menerangkan 12 checklist yang korang kena tahu, tak adalah terpinga-pinga bila berurusan di bengkel nanti.

12 Checklist Servis Kereta 

Sekarang, jom tengok 12 checklist servis kereta yang korang wajib tahu

1. Minyak Hitam Dan Penapis Minyak

Korang tahu tak apa sebenarnya fungsi minyak hitam ni? Selalu dengar kan?

Fungsi minyak hitam kereta berfungsi ini adalah untuk membersihkan, menyejukkan, melicinkan pergerakan dan mengelakkan kerosakan pada bahagian enjin.

Untuk pengetahuan, korang disarankan untuk menukar minyak hitam dan penapis setiap tiga bulan atau 3,000 batu.

Ini bergantung pada jenis kereta, jenis minyak dan cara penggunaan kereta.

Minyak hitam ini sangatlah penting untuk prestasi dan ketahanan enjin. Oleh itu, korang kena bagi perhatian lebih dalam hal ini.

Berikut merupakan tanda-tanda korang kena tukar minyak hitam kereta sebelum terlambat:

  • Minyak berwarna gelap dan kotor
  • Enjin meragam
  • Simbol amaran menyala
  • Bau terbakar
  • Penggunaan petrol meningkat

2. Paras Minyak dan Cecair Penyejuk

Seterusnya, korang kena periksa paras minyak dan juga cecair penyejuk kereta dan pastikan ianya tidak rendah.

Paras  yang rendah boleh menyebabkan kerosakan besar pada enjin dan juga kerosakan lain.

Dekat mana nak check? Pertama sekali, pastikan korang dah matikan enjin kereta. Selepas itu, korang kena buka hud enjin dan korang akan jumpa.

Seeloknya, jika korang tak pasti paras yang disyorkan, korang boleh rujuk pakar atau manual mengenai kereta korang.

3. Minyak Gearbox

Untuk setiap 20,000 km, korang disarankan untuk menukar minyak gearbox kereta.

Walaubagaimanapun, jangka hayat minyak gearbox ini bergantung pada jenis dan spesifikasi kereta.

Tak kiralah kereta korang manual ataupun automatik, pemeriksaan dan penggantian minyak gearbox ini amatlah penting.

Sekiranya tidak ditukar dan dibiarkan sahaja, kereta korang akan mengalami kerosakan dan berkemungkinan memerlukan penggantian komponen.

Berikut merupakan antara tanda gearbox kereta korang dah mula rosak:

  • Sukar tukar gear
  • Bagi transmisi automatik terdapat sentakan yang kuat
  • Kereta tidak dapat bergerak

4. Spark Plug

Servis kereta keempat yang korang kena periksa adalah Spark Plug. Jadi, apa itu spark plug?

Spark plug ni memikul tanggungjawab untuk menghasilkan tenaga elektrik yang menyalakan campuran bahan api udara dalam enjin pembakaran, yang menghidupkan kereta anda.

Kalau spark plug ni rosak dan tak dapat berfungsi dengan baik, korang akan perasan enjin akan mula  kehilangan kuasa dan ini bermakna ia tidak dapat beroperasi pada kapasiti yang maksimum.

Jika korang mendapati kereta korang tengah mengalami isu ini, Qoala sarankan untuk dapatkan pemeriksaan profesional dengan segera.

Berikut merupakan 5 tanda spark plug korang dah mula rosak dan perlu diganti:

  • Pecutan kereta tak begitu berkuasa
  • Minyak cepat habis
  • Enjin kereta tak berjalan lancar
  • Bunyi enjin bising
  • Kereta boleh start tapi tak hidup

Periksa tayar kereta

5. Tayar Kereta

Pemeriksaan tayar kereta ni sebenarnya ramai yang terlepas pandang walaupun bahagian ini yang paling senang kita nampak. Kalau korang biarkan tayar terus berada dalam kondisi yang teruk atau rosak, anda berisiko tinggi mengalami kecederaan atau kemalangan yang mungkin boleh meragut nyawa semasa di atas jalan raya.

Qoala cadangkan korang untuk memeriksa tayar korang sekurang-kurangnya sekali setiap 1-2 minggu. Setiap kali nak memulakan perjalanan jauh pun, korang kena check jugak. Apa yang perlu diperiksa? Ada 2 perkara yang korang kena beri perhatian.

Pertama, periksa kehausan tayar. Tengok bunga tayar jika telah haus. Kalau korang nak tahu, kadar kehausan tayar ini mungkin berbeza- tayar depan dan tayar belakang. 

Jika korang mendapati, tayar kereta dah botak dan kelihatan licin, cepat-cepat tukar tayar. Bahaya jika memandu dengan keadaan tayar yang begitu.

Kedua, penting untuk korang periksa tekanan tayar. Pastikan tekanan angin tayar bersesuaian. Jangan terlalu rendah atau terlalu tinggi.

Tekanan angin yang rendah boleh menyebabkan tayar bocor manakala tekanan yang tinggi boleh menyebabkan aquaplanning terutama sekali semasa hujan.

Bagaimana nak tahu tekanan yang sesuai? Ini bergantung pada jenis kereta dan juga jenis tayar yang korang gunakan. Korang boleh periksa maklumat tekanan tayar yang sesuai untuk kereta korang pada bahagian pintu depan sebelah pemandu.

Tekanan angin dalam tayar bergantung pada jenis kereta dan jenis tayar yang digunakan – periksa maklumat tekanan tayar pada bahagian pintu depan sebelah tempat duduk pemandu.

6. Lampu Kereta

Servis kereta yang seterusnya yang korang mesti tahu adalah memastikan lampu kereta berfungsi dan berada dalam keadaan yang baik.

Berikut merupakan bahagian-bahagian lampu yang korang kena periksa sekurang-kurangnya sekali sebulan:

  • Lampu suluh rendah (low beam)
  • Lampu suluh tinggi (high beam)
  • Lampu kabus
  • Lampu depan dan belakang
  • Lampu brek
  • Signal kereta

7. Bateri Kereta

Untuk pengetahuan korang, bateri kereta perlu korang ganti setiap dua tahun. Namun ini bergantung pada cara penggunaan, jenis bateri dan cara penjagaan.

Korang mungkin tertanya-tanya, apa sebenarnya fungsi bateri kereta ni? Dalam sistem elektrik kereta korang, komponen yang paling penting ialah bateri kereta.

Bateri kereta ni menghidupkan enjin kereta dengan membekalkan arus elektrik. Ia juga berfungsi menyimpan muatan elektrik untuk digunakan semasa enjin kereta tidak beroperasi.

Korang ada tak menghadapi masalah-masalah di bawah?

  • Kereta susah nak dihidupkan (start)
  • Lampu amaran timbul
  • Bau busuk
  • Alarm kereta berbunyi tidak tentu hala

Jika ada, ini tanda-tanda bateri kereta korang dah nak kong. Jadi cepat-cepatlah tukar ya.

8. Pad Brek

Brek memastikan anda selamat semasa memandu di jalan raya. Ia bukan sahaja memastikan korang selamat, ia juga menjamin keselamatan orang sekeliling korang.

Jadi, memang penting untuk korang pastikan brek korang berfungsi dengan baik. Jadi, apa itu pad brek?

Pad brek ini komponen utama sistem brek kereta korang dan memainkan peranan penting dalam membuat kereta korang berhenti apabila pedal brek ditekan.

Sekiranya korang mendapati brek kereta tak respon dengan begitu baik atau brek tak makan, dah tiba masanya untuk pergi ke bengkel.

wiper kereta

9. Wiper Kereta

Ini penting ni semasa memandu dalam keadaan hujan. Wiper kereta atau pengelap cermin ini merupakan komponen kereta yang penting, jadi korang kena jaga baik-baik.

Semua kereta wajib ada wiper kereta untuk satu tujuan untuk membantu untuk meningkatkan tahap kebolehlihatan semasa pemanduan dalam hujan dan juga menghilangkan sisa air hujan, kotoran-kotoran lain macam debu, habuk dan bendasing yang lain.

Pastikan getah wiper berada dalam keadaan yang baik. Korang disarankan untuk menggantikan getah wiper ini setiap 6-12 bulan bergantung pada keadaannya.

Wiper kereta yang berada dalam keadaan terbaik dapat menolak air pada cermin dengan lebih efektif.

Jarak penglihatan semasa pemanduan dalam hujan juga lebih baik dan boleh menyelamatkan nyawa korang.

10. Penapis Udara

Pastikan penapis udara berada dalam keadaan baik kerana ia boleh membantu memanjangkan jangka hayat enjin.

Fungsi penapis udara adalah untuk mengawal aliran udara yang masuk ke dalam enjin dan membantu mengelakkan serpihan atau bendasing daripada memasuki dan merosakkan bahagian enjin.

Korang boleh memeriksa dan membersihkan penapis udara dengan sendiri di rumah.

11. Shock Absorber

Mungkin korang dah boleh agak fungsinya kalau tengok pada namanya. Shock absorber atau penyerap hentakan merupakan komponen penting dalam sistem suspensi kenderaan. Mengapa bahagian ini penting? Jom kita tengok fungsinya:

  • Mengawal hentakan
  • Menyerap hentaman
  • Mengawal pergerakan spring dan keseluruhan sistem suspensi ketika kenderaan melalui bonggol, jalan berlubang atau jalan yang tidak rata.

Penting untuk korang pastikan komponen ini berada dalam keadaan yang baik kerana kereta boleh hilang kawalan semasa pemanduan.

12. Serpentine Belt

Servis kereta yang terakhir dalam senarai artikel ini adalah serpentine belt atau tali sawat serpentin.

Ia merupakan tali sawat yang mempunyai alur berbilang yang diletakkan pada takal alur berbilang untuk memacu pengulang-alik, stereng kuasa, dan pemampat penyaman udara (aircond compressor).

Apa akan terjadi kalau serpentine belt ini rosak?  Kereta akan berdetar seakan seperti bunyi gegaran apabila menghidupkan aircond kereta.

Serpentine belt  yang sudah haus akan menyebabkan bunyi bising terutamanya semasa penyaman udara kereta dihidupkan.

Kepentingan Servis Kereta: Apa Akan Terjadi Kalau Tak Buat?

Memang best ada kereta ni. Dengan kereta, kita dapat bergerak dari poin A ke poin B, kemudian ke poin C selepas itu poin D dan kemudian balik semula ke poin A dan sebagainya. Dengan kata lain, kereta ni memang memudahkan urusan kita untuk bergerak ke mana-mana pada bila-bila masa.

Tapi malangnya, tak semua tahu cara untuk menguruskan kereta dengan betul terutama sekali bab servis-servis ni. Tak kiralah lelaki ke perempuan ke, kalau tak tahu basic bab penjagaan kereta ni, memang akan ada akibatnya nanti. Kemungkinan besar ia akan menelan kos yang lebih tinggi!

Haa dekat sini, Qoala nak bagi AMARAN awal-awal apa yang bakal terjadi pada kereta kesayangan korang kalau apa akan jadi sekiranya korang terus tak ambil peduli.

Tujuan utama kita melakukan servis adalah untuk mengekalkan kondisi kereta supaya boleh terus berfungsi dengan baik. Penyelenggaraan kereta yang kerap boleh mengelakkan kerosakan dan kemalangan yang tidak dijangka.

Namun, sekiranya, korang tak lakukan servis kereta dengan kerap, potensi kos kerosakan akibat kekurangan servis adalah lebih besar.

Setiap kereta mempunyai tempoh masa tertentu untuk diservis. Berikut merupakan antara masalah yang mungkin korang bakal hadapi kalau tak servis kereta:

Membahayakan Diri Sendiri (& Juga Penumpang!)

Pernah nampak tak kereta berhenti tepi highway? Bahaya kan? Dah lah dekat highway, kereta semua laju-laju.

Korang boleh elakkan situasi ini kalau korang selalu servis kereta. Potensi kerosakan tu memang tinggi kalau tak peka dengan keadaan kereta.

Ini bukan sahaja membahayakan diri, korang juga akan membahayakan penumpang yang mungkin terdiri daripada ahli keluarga atau kawan.

Bila korang selalu servis kereta, korang akan dapat memandu dengan tenang tanpa rasa gelisah. Sebab korang tahu kereta berada dalam keadaan yang terbaik.

Kerosakan Akan Bertambah

Servis kereta yang kerap akan dapat mengekalkan prestasi kereta korang pada tahap optimumnya. Selain itu, ia juga boleh mengelakkan kerosakan kereta menjadi semakin teruk. Dari segi sudut kewangan, servis kereta ini jauh lebih baik dari korang kena baiki kerosakan.

Nilai Resale Berkurang Dengan Drastik

Siapa yang nak beli kereta dengan prestasi yang buruk? Kalau korang, mesti tak nak kan?

Katalah satu hari nanti korang bercadang nak jual kereta, korang akan berkemungkinan menghadapi masalah seperti tawaran  harga yang terlalu rendah daripada jangkaan.

Ingat ni, nilai resale kereta korang berkurangan jika ia tidak dalam keadaan baik. Oleh itu, servis yang konsisten diperlukan.

Dipendekkan Jangka Hayat

Kereta korang yang sepatunya boleh tahan berpuluh tahan mungkin akan bertahan dalam beberapa tahun je.

Inilah hakikatnya kalau tak servis kereta, kereta korang akan menghadapi banyak masalah dan kereta tak akan dapat bertahan dengan lama.

servis kereta

Semoga 12 checklist yang Qoala telah kongsikan dalam artikel ini bermanfaat untuk korang. Ingat, lebih baik keluar duit untuk servis kereta sebab ia lebih jimat berbanding dengan keluar duit untuk repair!

Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta atau insurans motor terbaik dan komprehensif, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans di Malaysia dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60