8 Cara Simpan Duit Gaji, Formula Urus Duit Gaji dengan Berkesan

Kali terakhir diperbaharui Jun 21, 2023 oleh Shafiq Wahab
8 Cara Simpan Duit Gaji, Formula Urus Duit Gaji dengan Berkesan

Ramai individu terutamanya golongan muda tidak tahu cara simpan duit gaji dengan bijak. Masih ramai yang ada masalah untuk urus gaji dengan baik sehinggakan ada yang tidak memiliki simpanan kecemasan walaupun sudah lama bekerja. Pengurusan gaji atau cara manage duit gaji yang tidak betul boleh beri kesan buruk kepada kewangan anda untuk jangka masa panjang.

Tips Simpan Duit Gaji: 8 Cara Simpan Duit Gaji untuk Anak Muda, Gaji Bawah RM3K Menyimpan

Penting untuk anda tahu cara menabung dengan bijak dan manage duit yang anda dapat setiap bulan. Kalau anda tak tahu cara menabung dengan bijak, anda akan berdepan masalah untuk kembangkan duit simpanan anda. Bagi membantu anda urus duit dengan baik, berikut lapan tips urus gaji yang boleh anda praktikkan.

1. Simpanan Gaji: Formula Urus Duit Gaji

Jika duit gaji anda sering bocor sebelum hujung bulan, ini bermakna anda mempunyai masalah urus duit dengan baik. Tujuan utama untuk urus duit gaji adalah supaya perbelanjaan (atau komitmen bulanan) tidak melebihi pendapatan yang diperoleh.

Bagaimana cara bahagi duit gaji atau pembahagian gaji ideal yang tidak membebankan? Anda boleh ikuti cara bahagi gaji menggunakan formula simpan duit gaji seperti berikut:

Simpan duit gaji: cara menyimpan duit dengan bijak

Formula Urus Gaji 30-30-30-10

Formula ini merangkumi pecahan gaji bulanan anda kepada empat bahagian iaitu, 30 peratus, 30 peratus, 30 peratus dan 10 peratus. Untuk 30 peratus pertama diperuntukkan untuk perlindungan masa depan seperti simpanan pendidikan, perlindungan insurans atau Takaful dan pelaburan.

30 peratus yang kedua pula diperuntukkan untuk hutang dan perbelanjaan komitmen bulanan seperti ansuran kereta dan rumah. Jika anda ingin membuat pembiayaan rumah atau loan kereta, pastikan jumlah hutang itu tidak melebihi 30 peratus daripada gaji.

30 peratus yang terakhir merangkumi semua jenis perbelanjaan lain setiap bulan seperti makan dan minum, barangan dapur, keperluan peribadi, sewa rumah, bil utiliti dan sebagainya. Manakala baki 10 peratus lagi boleh gunakan untuk hiburan atau tujuan lain seperti diberikan kepada ibu bapa, sedekah, bayar zakat pendapatan dan lain-lain.

Jika anda baru mula bekerja atau tidak mempunyai komitmen bulanan yang tinggi, anda disarankan untuk mengguna pakai formula urus gaji ini. Sebagai contoh, sekiranya gaji bersih anda RM3,000 sebulan, bahagi gaji kepada empat bahagian – masing-masing RM900, RM900, RM900 dan RM300.

Formula simpanan gaji boleh dianggap sebagai cara saving duit gaji terbaik. Ini kerana, ia memfokuskan semua elemen pengurusan peribadi seperti simpanan, perbelanjaan, perlindungan dan pelaburan.

Formula Urus Gaji 50-30-20

Formula duit gaji membahagikan gaji kepada beberapa bahagian – 50 peratus, 30 peratus dan 20 peratus. 50 peratus diperuntukkan untuk membayar komitmen tetap bulanan seperti pinjaman peribadi, loan perumahan, ansuran kereta dan bil-bil utiliti.

Bahagian ini juga merangkumi perbelanjaan asas seperti makan minum, barangan dapur, minyak kereta dan tol. Katakan gaji RM3,000 x 0.5% = RM1,500 (had maksimum untuk bayaran komitmen dan bil bulanan).

30 peratus seterusnya diperuntukkan untuk komitmen tidak tetap atau perbelanjaan berubah-ubah seperti keperluan diri, pakaian, hiburan, melancong, barangan kehendak dan sebagainya. Baki 20 peratus digunakan untuk simpanan, pelaburan dan perlindungan insurans/Takaful.

Formula 50-30-20 sesuai untuk golongan muda yang mempunyai pendapatan sederhana dan baru mula berjinak-jinak untuk urus duit gaji dengan baik.

Formula Urus Gaji 90-10

Cara asingkan duit gaji ini sesuai untuk individu yang tidak mahu buat pembahagian duit gaji kepada banyak bahagian. Formula urus duit ini terbahagi kepada dua – 90 peratus dan 10 peratus.

90 peratus daripada gaji digunakan untuk semua perbelanjaan merangkumi perbelanjaan tetap atau perbelanjaan berubah-ubah, belanja keperluan atau belanja kehendak.

Dalam erti kata lain, 90 peratus daripada duit gaji ini digunakan untuk bayar komitmen bulanan seperti bil utiliti, makan minum, keperluan diri, hiburan dan lain-lain. Bahagian ini boleh dibelanja sesuka hati asalkan tidak melebihi jumlah yang diperuntukkan.

Apa yang penting, bahagian ini digunakan untuk bayar komitmen tetap terlebih dahulu. Baki yang ada barulah dibelanjakan untuk perkara-perkara lain. Baki 10 peratus lagi diperuntukkan untuk simpanan atau pelaburan.

Formula Urus Gaji 30-20-20-20-10

Formula simpan duit ini khusus untuk anda yang ingin urus gaji atau kawal perbelanjaan ikut minggu. Apabila dapat gaji, asingkan 10 peratus untuk simpanan dan pelaburan. Bagi 90 peratus lagi dibahagikan kepada empat bahagian iaitu 30 peratus, 20 peratus, 20 peratus dan 20 peratus.

Untuk minggu pertama, gunakan bahagian 30 peratus ini. Minggu pertama biasanya banyak duit diperlukan untuk bayar komitmen tetap seperti hutang bank, sewa, bil dan sebagainya. Manakala untuk minggu-minggu seterusnya, gunakan setiap bahagian 20 peratus tadi.

Formula ini memerlukan disiplin diri yang tinggi – anda perlu kawal perbelanjaan agar tidak berbelanja melebihi peruntukan yang ditetapkan.

Jika ada lebihan, anda boleh simpan duit ini dalam tabung kecemasan. Anda juga boleh gunakan lebihan ini untuk reward diri sendiri pada minggu terakhir sebelum gaji.

Cara urus gaji: berapa peratus simpanan dari gaji?

Peratus simpanan gaji atau cara bahagikan gaji yang dinyatakan di atas adalah panduan sahaja. Cara simpan duit gaji bergantung sepenuhnya kepada setiap individu.

Cara simpan duit gaji A mungkin tidak menjadi untuk individu B, tetapi berjaya untuk individu C dan begitulah sebaliknya. Anda boleh pilih mana-mana cara menyimpan duit gaji, dan ubah suai ikut kesesuaian dan keperluan anda sendiri. Apa yang penting:

  • Simpan sebahagian daripada duit gaji sekurang-kurangnya minimum 10 peratus sebelum dibelanjakan;
  • Hidup di bawah kemampuan gaji – jika mampu beli barangan berharga RM100, cuba dapatkan barang yang sama pada harga lebih rendah;
  • Kawal nafsu supaya tidak berbelanja melebihi pendapatan.

2. Buat Simpanan Bulanan di ASB atau Tabung Haji

Cara terbaik untuk beranakkan duit simpanan anda adalah dengan menyimpan di platform berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji. Instrumen pelaburan sebegini menawarkan risiko pelaburan yang rendah dan memerlukan modal yang rendah.

Berbanding simpanan biasa di bank, anda boleh nikmati kadar dividen dan bonus tahunan yang lebih kompetitif. Ini merupakan cara terbaik untuk kembangkan duit simpanan anda. Biasanya, pelaburan berisiko rendah boleh memberi pulangan antara lima hingga enam peratus setahun bergantung pada situasi ekonomi semasa.

Jika boleh, jangan sentuh simpanan gaji ini melainkan dalam situasi kecemasan. Anda akan dapat melihat hasil pulangan yang berganda-ganda sekiranya anda berdisiplin. Ia juga salah satu alternatif simpanan hari tua yang terbaik dan menguntungkan.

3. Cara Simpan Duit Gaji: Hadkan Penggunaan Kad Kredit

Kad kredit ini banyak manfaatnya tetapi ia boleh menjadi bahaya jika disalahgunakan lebih-lebih lagi untuk sesetengah orang yang mempunyai nafsu berbelanja yang tinggi dan suka melebihkan kehendak daripada keperluan.

Statistik turut melaporkan ramai individu diisytiharkan bankrap kerana gagal menguruskan kewangan dan tidak tahu cara menggunakan kad kredit dengan betul.

Mana tidaknya, ada sesetengah individu yang wave dan swipe sahaja tanpa memikirkan status kewangan semasa. Akibatnya, hutang pun semakin meningkat dan gagal membayar balik hutang mengikut jadual.

Pastikan anda hadkan penggunaan kad kredit dan gunakan kad kredit untuk perbelanjaan tertentu sahaja seperti mengisi petrol. Dengan cara ini, anda boleh menikmati manfaat-manfaat yang ditawarkan oleh syarikat penyedia kad kredit. 

Kajian Research For Social Advancement (REFSA) mendapati 2.2 juta isi rumah di Malaysia dengan pendapatan sebanyak RM1,000 ke bawah dan majoritinya mereka yang tinggal di bandar mempunyai tabiat kewangan yang buruk iaitu berbelanja melebihi pendapatan – 50 peratus daripada mereka adalah pemegang kad kredit berusia bawah 30 tahun. 

4. Semak Kos Perbelanjaan Isi Rumah

Cara simpan duit gaji yang seterusnya adalah buat penilaian balik kos perbelanjaan isi rumah anda. Ini kerana, kos perbelanjaan isi rumah kadar sewa rumah, bil elektrik dan air, makanan, perubatan dan banyak lagi perkara yang berkaitan adalah salah satu sebab utama kenapa ramai tidak mampu untuk mempunyai simpanan walaupun sedikit.

Anda disyorkan untuk mengawal perbelanjaan isi rumah supaya tidak menggunakan lebih daripada 25 peratus gaji anda. Jika anda menetap di luar kawasan Kuala Lumpur, ia mungkin tidak menjadi masalah kepada anda.

Namun bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar terutamanya Kuala Lumpur, kewangan anda mungkin akan terjejas jika tabiat perbelanjaan tidak diuruskan dengan betul. 

Apa yang anda boleh buat adalah ubah gaya hidup dengan berbelanja secara sederhana dan berpada-pada. 

5. Rancang Perbelanjaan untuk Simpan Duit

Merancang perbelanjaan dengan teliti adalah antara cara simpan duit gaji yang amat membantu. Jika sebelum ini anda selalu berbelanja ikut kemahuan dan nafsu semata-mata, anda mungkin mendapati wang anda habis dengan begitu cepat berbanding biasa.

Sebagai contoh, setiap kali anda mahu ke pasaraya untuk membeli barangan dapur, pastikan tulis dan senaraikan barang-barang yang perlu dibeli. Senarai ini akan memastikan anda untuk kekal berdisiplin semasa berbelanja. 

Dengan merancang perbelanjaan, anda boleh mengelakkan diri daripada berbelanja lebih. Strategi ini juga boleh diguna pakai untuk perbelanjaan yang lain juga dan tidak terhad pada perbelanjaan barangan dapur sahaja. Anda boleh menggunakan strategi ini untuk perbelanjaan lain seperti kos minyak kereta, servis motor, tol dan sebagainya.

Apabila anda sudah mula rancang dan track perbelanjaan, anda akan perasan perbezaan yang ketara dan anda sebenarnya mampu untuk menyimpan duit pada setiap bulan. 

6. Perhatikan Perbelanjaan Kecil

Mungkin bagi sesetengah orang duit perbelanjaan kecil seperti duit untuk beli kopi ini tidak memberi kesan yang begitu besar. Anda mungkin beranggapan perbelanjaan RM15 untuk secawan kopi daripada francais berjenama setiap pagi tidak memberi kesan yang signifikan. Namun sebenarnya, secara tidak sedar tabiat ini sebenarnya yang memakan duit anda dengan jumlah yang banyak. 

Nampak macam remeh tetapi percayalah apabila anda buat kira-kira, anda akan nampak betapa banyak duit yang anda habiskan untuk makanan atau minuman yang mahal. Oleh sebab itu, anda perlu ubah dan hadkan perbelanjaan yang tidak perlu. Anda akan terkejut dengan jumlah yang anda boleh jimat dengan mengurangkan perbelanjaan bersifat kemahuan. 

7. Kurangkan Makan di Luar dan Simpan Duit

Memang tidak salah makan di restoran untuk sekali-sekala. Namun begitu, jika boleh kurangkan makan di luar dan lebihkan memasak sendiri di rumah. Secara asasnya, kos makan di luar lebih besar daripada memasak sendiri di rumah. Okay, jom buat kira-kira sikit:

  • Nasi goreng: RM7.00
  • Teh O Ais: RM2.50

Kos untuk seorang makan adalah dalam lingkungan harga RM7 hingga RM10 untuk setiap hidangan. Cuba anda buat pengiraan sendiri –bayangkan jika anda mempunyai isteri dan dua orang anak, kos ini boleh menjadi empat kali ganda lebih mahal. Oleh sebab itu, anda perlu pastikan anda kawal dan hadkan perbelanjaan makan di luar dan cuba masak makanan sendiri di rumah.

Bandingkan dengan kos memasak sendiri di rumah, dengan kos bahan mentah RM100, anda mungkin boleh menyediakan hidangan lengkap untuk sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari.

8. Cara Simpan Duit Gaji, Utamakan Keperluan

Utamakan keperluan berbanding kemahuan – ini kerana kemahuan boleh memudaratkan kedudukan kewangan anda dalam jangka masa yang panjang. Cuba anda perhatikan situasi-situasi ini:

  • “Wah, jenama A ada diskaun sehingga 40 peratus, rugi pula kalau tak rebut peluang untuk beli baju ini”
  • “Cantik pula baju ini, tak ada lagi baju warna ini. Bolehlah pakai semasa kenduri hujung minggu ini”

Anda mungkin pernah berada dalam situasi sebegini. Oleh sebab itu, penting untuk anda berbelanja mengikut keperluan dan bukan kehendak. Jika tidak dikawal dengan baik, anda mungkin akan berbelanja melebihi kemampuan anda.

Namun begitu, bagaimana cara nak bezakan kemahuan dan keperluan? Keperluan adalah perbelanjaan yang wajib ada agar dapat menjalankan kehidupan seharian dengan baik seperti duit sewa rumah, makanan dan sebagainya.

Manakala kemahuan pula adalah perbelanjaan yang tidak penting tetapi boleh menjadikan kehidupkan anda lebih selesa seperti pergi ke spa, membeli beg dan baju baharu dan sebagainya. 

tips menabung

Cara Menabung Walaupun dengan Gaji yang Rendah

Secara asasnya, gaji rendah bukan penghalang untuk menabung atau menyimpan. Berikut merupakan cara jimat duit dan cara-cara menabung dengan gaji yang rendah.

1. Kira Perbelanjaan dengan Tepat

Anda disarankan untuk merekod perbelanjaan berbanding pendapatan kerana ini boleh membantu anda untuk memantau status kewangan anda dengan lebih jelas. Malah, ia juga dapat membantu anda merancang dan merangka perbelanjaan untuk bulan seterusnya.

2. Beli Barang Secara Borong

Walaupun anda masih bujang, tidak bererti anda tidak boleh membeli barangan secara borong. Beli barangan secara borong kerana ia lebih menjimatkan. Sebagai contoh, barangan yang tidak cepat rosak dan selalu anda boleh gunakan seperti ubat gigi biasanya ditawarkan pada harga yang lebih rendah dan lebih jimat untuk paket bundle atau pek berkembar.

3. Bawa Bekal

Anda juga boleh membawa bekal ke tempat kerja. Secara asasnya, masak sendiri di rumah lebih menjimatkan berbanding makan di kedai. Selain dapat menjimatkan duit perbelanjaan, anda juga dapat mengamalkan tabiat pemakanan yang lebih sihat.

4. Disiplin dalam Berbelanja

Pastikan anda hanya membeli benda yang terdapat dalam senarai yang hendak dibeli. Elakkan pergi ke kedai terlalu kerap kerana anda akan cenderung membeli barangan yang tidak perlu seperti snek dan minuman ringan.

cara simpan gaji setiap bulan untuk perlindungan masa depan

Simpan Duit Gaji, Belanja dengan Bijak untuk Perlindungan Masa Depan

Penting untuk anda tahu cara urus duit gaji yang betul dan berbelanja dengan bijak. Pengurusan kewangan peribadi yang baik penting untuk mengelakkan anda daripada berbelanja secara berlebihan. Jika anda belum ada simpanan, masih belum terlambat untuk anda mula menyimpan sekarang. Mulakan dengan jumlah simpanan yang kecil, dan tingkatkan jumlah simpanan sedikit demi sedikit.

Selain perlindungan kewangan, anda juga boleh mempertimbangkan perlindungan kesihatan untuk masa depan anda. Kita berkemungkinan berdepan kenaikan kos rawatan perubatan berpunca daripada inflasi perubatan. Jika anda tidak mempunyai insurans kesihatan, ia boleh beri kesan kepada kewangan anda.

Sekiranya anda sedang mencari insurans perubatan dan kesihatan terbaik, anda boleh mempertimbangkan Qoala. Qoala merupakan platform perbandingan dan pembaharuan insurans terbaik di Malaysia. Layari laman web Qoala untuk info lanjut berkaitan insurans kesihatan dan perubatan di Malaysia.

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

2 comments

  1. Cara saya lain pulak….ini orang cina singapura ajar saya….buka akaun caruman pilihan sendiri kwsp….dan simpan di situ tiap bulan minimum RM100.
    hehehehehe….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60