Anda tengah risau memikirkan cara selesaikan hutang? Memang tidak dinafikan, hutang merupakan satu perkara yang boleh menyebabkan kebimbangan dan tekanan dalam hidup, terutama sekiranya hutang yang tertunggak menjadi hutang lapuk. Walaupun kebanyakan individu berhutang untuk memenuhi keperluan asas, terlalu banyak hutang dapat mengakibatkan masalah kewangan yang serius.
Jenis Hutang yang Anda Mungkin Ada
Sebenarnya, hutang merupakan sebahagian dalam kehidupan kita terutamanya dalam membiayai pembelian besar seperti beli kereta atau beli rumah. Namun, tidak semua hutang dicipta sama, ada yang baik dan ada yang jahat.
Hutang Baik
Hutang yang dianggap baik merujuk kepada hutang yang digunakan untuk membiayai pembelian yang memberikan keuntungan atau manfaat dalam jangka masa panjang. Antara contoh pinjaman yang baik adalah:
Pinjaman Perumahan
Pinjaman perumahan memberikan manfaat jangka panjang dalam bentuk pemilikan rumah, yang biasanya bertambah nilai dan dapat dijadikan aset untuk masa depan.
Pinjaman Kereta
Mengambil loan untuk membeli kereta adalah pinjaman yang baik kerana ia mempunyai tujuan yang baik iaitu untuk memudahkan pergerakan harian. Pinjaman ini membolehkan individu memperoleh kenderaan yang diperlukan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain, meningkatkan produktiviti dan kemudahan mobiliti.
Pinjaman Pendidikan
Pinjaman tersebut membantu pelajar dalam memperoleh pendidikan yang lebih tinggi dengan tujuan untuk meningkatkan kemahiran dan potensi pendapatan pada masa hadapan. Sebagai contohnya, pinjaman PTPTN memberikan peluang kepada pelajar untuk membiayai keseluruhan atau sebahagian daripada yuran pengajian dan kos sara hidup selama tempoh pengajian. Selain itu, kadar bayaran balik pinjaman PTPTN juga terjangkau oleh semua peminjam.
Pinjaman Perniagaan
Pinjaman perniagaan membantu usahawan untuk memulakan atau membesarkan perniagaan, meningkatkan pendapatan dan memberikan faedah kepada ekonomi negara.
Hutang Jahat
Hutang jahat pula merujuk kepada hutang yang diperolehi untuk membiayai pembelian yang tidak memberikan manfaat pada jangka masa panjang dan boleh membawa kepada masalah kewangan pada masa akan datang.
Perbelanjaan berlebihan untuk pembelian barangan elektronik dan pakaian berjenama menyumbang kepada keperluan pinjaman peribadi dan kad kredit. Anda disarankan untuk tidak gunakan kad kredit secara berlebihan kerana ia mempunyai kadar bayaran yang sangat tinggi. Oleh sebab itu, pastikan anda membuat keputusan yang bijak dengan membezakan kehendak dan keperluan untuk mengelakkan hutang lapuk.
Langkah untuk Selesaikan Hutang Anda
Anda mungkin merasa tertekan dan buntu kerana mempunyai banyak hutang dan tidak tahu harus menyelesaikan hutang yang mana dahulu. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk menyelesaikan hutang anda:
Kenalpasti Jumlah Hutang Anda
Untuk memulakan proses menyelesaikan hutang, langkah pertama yang anda perlu lakukan adalah mengenal pasti jumlah hutang anda. Selepas itu, anda boleh mula membuat bajet perbelanjaan bulanan yang mudah diikuti dengan aplikasi kewangan atau Excel boleh membantu anda mengesan perbelanjaan dan simpanan setiap bulan. Anda perlu jujur dengan diri sendiri tentang pendapatan dan perbelanjaan, serta mengasingkan perbelanjaan untuk melihat di mana anda boleh membuat penyesuaian. Paling penting, anda perlu ada disiplin dan komitmen untuk mengikuti bajet yang anda telah tetapkan.
Anda boleh mengunjungi laman web atau aplikasi rasmi bank atau institusi kewangan yang berkaitan untuk menyelesaikan hutang tertentu atau menghubungi talian yang disediakan. Di samping itu, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyediakan khidmat kaunseling kewangan dan nasihat, program pengurusan hutang dan program pendidikan ilmu kewangan secara percuma di seluruh negara.
Kebanyakan bank juga bersedia untuk berunding semula terma pinjaman. Adalah penting untuk membincangkan dan merumuskan semula aliran pembayaran balik yang mampu dan boleh dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Kurangkan Perbelanjaan yang Tidak Perlu
Berhenti menambahkan hutang adalah cara terbaik untuk mengatasi masalah hutang. Untuk memulakan langkah ini, kurangkan perbelanjaan yang tidak penting dan tanyakan diri sendiri sebelum membuat pembelian sama ada ia berbaloi atau tidak. Dengan membuat ini sebagai satu tabiat, ia boleh membantu anda mengawal kewangan anda dengan lebih baik.
Uruskan Hutang yang Mempunyai Kadar Faedah Paling Tinggi Terlebih Dahulu
Menguruskan hutang yang mempunyai faedah atau interest rate yang paling tinggi adalah penting kerana ia boleh membantu anda mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar dan membantu anda menyelesaikan hutang dengan lebih cepat. Hutang dengan kadar faedah yang tinggi biasanya termasuk dalam kategori kad kredit atau pinjaman peribadi yang mempunyai faedah tahunan yang tinggi.
Dengan mengurangkan jumlah hutang dengan kadar faedah yang tinggi, anda dapat mengurangkan jumlah faedah yang dikenakan pada keseluruhan hutang anda dan mengurangkan jumlah wang yang perlu anda bayar secara keseluruhan. Ini dapat membantu anda menyelesaikan hutang dengan lebih cepat dan mengurangkan beban hutang dalam jangka panjang.
Sebagai manusia, kita tidak dapat mengelak daripada melupakan sesuatu perkara. Ini termasuk melupakan untuk membayar hutang pada masanya. Oleh itu, adalah penting untuk membayar hutang tepat pada waktunya dan memastikan pembayaran penting termasuk hutang yang tertunggak tidak terlepas lagi.
Beberapa kaedah untuk membantu mengingatkan diri sendiri tentang pembayaran hutang termasuk menerima peringatan melalui:
- Peringatan e-mel;
- Penggera telefon;
- Aplikasi di telefon pintar;
- Bayar terus (Auto debit);
- Membuat dan menampal nota.
Cara Selesaikan Hutang: 5 Teknik yang Anda Boleh Pertimbangkan
Anda pasti ingin kehidupan bebas hutang bukan? Berikut adalah lima teknik berkesan yang dapat membantu anda menyelesaikan hutang dan memulakan langkah ke arah kebebasan kewangan.
1. Teknik Avalanche
Teknik pertama yang berkesan ialah ‘avalanche’ yang diperkenalkan oleh seorang penasihat kewangan terkenal dari Amerika. Ia bermaksud anda perlu memfokuskan pada pembayaran pinjaman yang mempunyai kadar faedah tertinggi terlebih dahulu. Jika anda mengutamakan hutang yang mempunyai kadar faedah tinggi, teknik ini sesuai untuk anda.
Jadi jika anda jenis seseorang yang rimas dengan jumlah faedah tinggi, boleh cuba teknik ini. Langkah-langkah untuk mengaplikasikan teknik ‘avalanche’:
- Senaraikan semua hutang beserta jumlah dan kadar faedah;
- Utamakan hutang dengan kadar faedah tertinggi untuk dihabiskan dahulu;
- Rancang bajet bulanan dengan teliti;
- Gunakan duit lebihan untuk menyelesaikan hutang dengan kadar faedah tertinggi;
- Jangan lupa membayar jumlah minimum untuk hutang yang lain;
- Ulangi langkah-langkah di atas sehingga semua hutang diselesaikan.
2. Teknik Snowball
Teknik ini dikenali sebagai Teknik ‘Salji Gugur’ dan ia melibatkan fokus untuk melunaskan satu jenis hutang pada satu masa sambil membuat pembayaran minimum untuk hutang lain yang kurang signifikan. Dalam kata lain, anda akan menumpukan usaha untuk menyelesaikan hutang yang mempunyai jumlah yang kecil dahulu sebelum menumpukan perhatian kepada hutang yang lebih besar.
Teknik ‘snowball’ melibatkan beberapa langkah mudah untuk membantu anda mengurangkan hutang anda. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil:
- Senaraikan semua hutang yang anda miliki dan susun mengikut nilai baki hutang terendah;
- Sertakan kadar faedah untuk setiap hutang supaya anda boleh mengira jumlah faedah yang perlu dibayar pada setiap hutang;
- Rancang bajet bulanan anda dengan teliti dan gunakan duit lebihan untuk membayar hutang dengan nilai baki paling rendah;
- Setelah selesai membayar hutang dengan nilai baki terendah, ulangi langkah di atas sehingga semua hutang selesai.
3. Teknik Penyatuan Hutang
Penyatuan hutang adalah teknik yang menggabungkan semua hutang anda menjadi satu pembiayaan peribadi baru. Dalam teknik ini, anda menggunakan wang dari pinjaman peribadi baru untuk menyelesaikan hutang sedia ada.
Ini dapat membantu mengurangkan komitmen kewangan bulanan dan meningkatkan skor kredit anda. Anda juga dapat fokus membayar satu akaun hutang dan mengurangkan kadar faedah. Berikut adalah langkah-langkah untuk melaksanakan teknik penyatuan hutang:
- Semak baki hutang anda, termasuk baki tertunggak, kadar keuntungan, dan jumlah ansuran bulanan untuk setiap hutang;
- Dapatkan jumlah baki keseluruhan hutang anda;
- Semak kelayakan anda, pilih, dan mohon pinjaman peribadi yang sesuai untuk membayar hutang anda.
4. Teknik Snowflake
Dalam teknik snowflake, anda akan melakukan pembayaran mikro dengan menggunakan duit lebihan yang ada setiap hari, minggu atau bulan. Contohnya, membayar tambahan RM10 pada baki kad kredit anda sebelum tarikh bayaran. Dengan teknik ini, anda boleh melangsaikan hutang dengan lebih cepat berdasarkan kemampuan sendiri.
Teknik ini sesuai bagi mereka yang baru bekerja, bekerja secara bebas atau sambilan. Dengan teknik kurang komitmen ini, anda mungkin dapat melunaskan hutang tanpa disedari. Berikut adalah langkah-langkah untuk mengaplikasikan teknik snowflake:
- Senaraikan hutang dan rancang cara pembayaran dengan teliti;
- Pastikan anda membuat pembayaran minimum untuk semua hutang anda;
- Jika mampu, bayar lebih dari jumlah minimum. Contohnya, jika anda mempunyai baki RM20 atau RM50 dalam bajet mingguan atau bulanan, gunakan wang tersebut untuk membayar hutang anda;
- Teruskan strategi ini sehingga semua hutang selesai.
5. Teknik Overlap Hutang
Penyatuan (Overlap) adalah teknik mengumpulkan hutang-hutang yang berbeza ke dalam satu pinjaman peribadi baru dengan institusi kewangan yang sama. Pinjaman peribadi ini menawarkan faedah yang lebih rendah atau tempoh bayaran yang lebih lama berbanding pinjaman sedia ada. Anda boleh menggunakan kalkulator pinjaman peribadi overlap untuk menganggarkan penjimatan ansuran bulanan jika anda menggunakan teknik ini.
Teknik Overlap hanya ditawarkan oleh institusi kewangan yang sama. Misalnya, jika anda mempunyai pinjaman peribadi dan kad kredit aktif di Bank X, anda hanya boleh memohon Penyatuan dengan Bank X. Berikut adalah langkah-langkah untuk menggunakan teknik Overlap untuk menyelesaikan hutang:
- Lakukan Overlap dengan pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah;
- Lakukan Overlap dengan pinjaman dengan tempoh bayaran yang lebih lama;
- Lakukan Overlap jika potongan gaji melebihi 60% (untuk penjawat awam).
Memilih teknik pengurusan hutang yang sesuai dengan diri sendiri dan kemampuan kewangan sangat penting. Kelima-lima teknik yang telah dibincangkan mempunyai kebaikan dan kelemahan tersendiri. Ada teknik yang efektif untuk melangsaikan hutang dengan cepat tetapi memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi, sementara ada teknik yang lebih fleksibel.
Anda harus membuat keputusan yang bijak dan memilih teknik yang sesuai dengan keperluan diri sendiri. Sebaiknya anda mengambil masa untuk menilai keadaan kewangan dan memilih teknik yang paling berkesan untuk membantu anda melangsaikan hutang dengan berjaya.
Selain itu, jika anda sedang mencari insurans kereta, anda boleh layari laman web Qoala untuk dapatkan insurans kereta terbaik. Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia. Platform ini membolehkan anda membandingkan pelan insurans kereta daripada beberapa syarikat insurans berbeza bagi memastikan anda mendapatkan pelan insurans kereta yang sesuai dan terbaik untuk anda.