5 Cara Urus Kewangan dengan Bijak Sempena Hari Raya

Kali terakhir diperbaharui Aug 11, 2023 oleh Shafiq Wahab
5 Cara Urus Kewangan dengan Bijak Sempena Hari Raya

Menjelang hari raya, pasti ramai yang sibuk membuat persiapan seperti membeli pakaian raya baharu, perabot dan kelengkapan rumah baharu dan banyak lagi. Dalam keghairahan membuat persiapan raya, beberapa tindakan terutamanya berkaitan cara urus kewangan perlu diambil. Ia bagi mengelakkan pembaziran atau berbelanja melebihi bajet dan kemampuan.

Bajet Hari Raya: Cara Urus Kewangan untuk Elakkan Bebanan Hutang Selepas Aidilfitri

Dalam kemeriahan dan kesibukan membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri, aspek pengurusan kewangan perlu dititikberatkan. Ini kerana, ramai yang sanggup berhutang pinjaman peribadi dan mengeluarkan duit daripada tabung simpanan semata-mata untuk tampil serba baharu di pagi raya. Jika tidak dikawal, ia boleh menyebabkan anda terjerat dengan komitmen hutang yang tinggi selepas hari raya.

1. Baju Raya

Setiap kali menjelang hari raya, ramai memilih untuk membeli baju raya. Ada sesetengah orang tak sah jika baju rayanya tidak ‘tailored-made’. Namun, baju yang dijahit secara khas ini kebiasaannya lebih mahal daripada biasa. Oleh tu, anda disarankan untuk membuat berbelanja dengan kemampuan sendiri. Elakkan diri daripada terpaksa berhutang sana sini. 

Antara perkara yang anda boleh praktikkan adalah elak beli baju raya setiap tahun. Ini kerana ada yang memakai baju raya tersebut untuk dipakai sekali sahaja dan tersimpan usang di dalam almari. Sekiranya kemahuan anda untuk membeli itu tinggi, pilih baju dengan harga yang sederhana dan boleh digunapakai berulang kali selepas raya. 

Selain itu, tetapkan had belanja untuk setiap baju. Contohnya RM100 hingga RM150 diperuntukkan untuk baju raya dewasa dan RM60 hingga RM70  untuk baju raya kanak-kanak. Sekiranya anda mempunyai enam ahli keluarga, anda boleh ikuti bajet seperti di bawah:

  • Suami: RM100
  • Isteri: RM150
  • Anak pertama: RM70
  • Anak kedua: RM70
  • Anak ketiga: RM70
  • Anak keempat: RM70
  • Jumlah: RM530

Walau bagaimanapun, bajet ini boleh dikecilkan lagi seperti menggunakan baju raya lama yang masih baik mengikut kemampuan anda. Yang paling penting, baju raya yang dibeli mestilah sesuai untuk dipakai lebih dari sekali supaya tidak dibazirkan. 

2. Kuih Muih dan Ketupat Rendang

Tak sah lah raya bila tak ada ketupat rendang dan kuih-muih. Walau bagaimanapun, mana satu yang lebih jimat, buat sendiri atau beli? Sekiranya anda inginkan kuih raya dalam kuantiti yang banyak, lebih jimat jika dibuat sendiri. Kalau sekadar inginkan dalam kuantiti yang sedikit, beli di pasaraya lebih jimat. Ini juga terpakai untuk makanan-makanan raya yang lain seperti ketupat, rendang, lemang dan bermacam-macam lagi. 

Sebagai contoh, ini bajet untuk makanan raya yang anda boleh ikuti:

  • Kuih Raya – RM100
  • Ketupat – RM30
  • Lemang – RM40
  • Rendang ayam dan daging – RM200

Jumlah yang anda perlu peruntukkan untuk juadah hari raya adalah: RM320

Sekiranya anda mempunyai bajet yang lebih kecil, apa yang anda boleh lakukan anda dengan mengurangkan bajet dari segi kuih raya dan lemang. 

3. Bagi Duit Raya Ikut Kemampuan

Ini juga merupakan satu dilema. Berapa duit raya yang perlu diberi? Amalan memberi duit raya adalah amalan yang baik kerana dalam Islam sendiri amat digalakkan untuk bersedekah. Namun, anda disarankan untuk memberi duit raya mengikut kemampuan sendiri. Antara tips yang boleh digunapakai adalah: 

  • Tukar awal pecahan duit raya kepada not matawang yang lebih kecil seperti RM1 atau RM5 untuk diberikan kepada anak saudara atau anak tetamu yang berkunjung
  • Utamakan duit raya untuk ibu bapa, dan anak terlebih dahulu.

Contohnya: RM50 x 4 = RM 200 untuk ibu bapa termasuk belah suami/ isteri:

RM50 x 3 = RM150 untuk tiga orang anak.

  • Peruntukkan lagi RM100 – RM150 untuk diberikan kepada anak saudara atau anak tetamu yang datang menziarahi.

Sekali lagi diingatkan, ubah dan sesuaikan tips di atas mengikut kemampuan kewangan semasa anda. 

4. Elak Guna Kad Kredit

Bagi perbelanjaan raya, anda dinasihatkan untuk mengelakkan penggunaan kad kredit. Ini kerana anda akan cenderung untuk berbelanja mengikut nafsu dan bukan dalam bajet raya yang sesuai. Jika tidak, anda terpaksa menanggung bil hutang kad kredit yang tinggi kemudian hari. Meskipun raya adalah perayaan setahun sekali, jadi elakkan diri daripada berhutang. 

Anda perlu memastikan keperluan dan keutamaan dengan betul. Panduan pecahan yang disyorkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) iaitu:

  • Keperluan barangan runcit untuk rumah dan juga hari raya – 20 peratus 
  • Keperluan pakaian raya – 10 peratus (Atau gunakan baju yang sedia ada) 
  • Keperluan duit raya – 10 peratus
  • Keperluan kecemasan – 10 peratus

Jika diikutkan panduan ini, hanya 40 peratus perbelanjaan yang dikatakan sebagai keutamaan atau keperluan. Jadi, elakkan berbelanja mengikut nafsu dan disiplin dalam mengikut bajet yang anda telah tetapkan.

Sebenarnya, banyak perbelanjaan yang dapat dikurangkan dan wang lebihan boleh digunakan untuk menambah simpanan yang boleh digunakan kemudian hari. Ini juga adalah waktu yang sesuai untuk membina dana simpanan dan dana kecemasan. 

5. Dana Kecemasan

Bukan sahaja perlu disediakan untuk keperluan harian, tetapi bajet raya anda juga memerlukan dana kecemasan. Misalnya, jika anda dalam perjalanan pulang ke kampung halaman dan kenderaan anda meragam atau kereta mati tepi jalan. Dana kecemasan ini boleh digunapakai untuk membaiki kenderaan tersebut. 

Sebagai contoh, anda boleh asingkan 25 peratus daripada keseluruhan bajet raya anda untuk dana kecemasan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. 

duit raya

Amalkan Sikap Bersederhana, Rancang Perbelanjaan untuk Ketenangan Fikiran

Secara asasnya, anda disarankan untuk amalkan sikap berhemah dan bersederhana dalam berbelanja. Dalam keadaan ekonomi semasa, pendekatan terbaik yang boleh diamalkan adalah berbelanja secara berhemah dan bersederhana, elakkan berhutang dan amalkan cara urus kewangan dengan teliti.

Hari raya semestinya perlu disambut dengan meriah, tetapi tidak semestinya anda perlu membelanjakan semua wang simpanan dan harta yang anda miliki. Selain itu, jika anda nak balik kampung tapi belum renew insurans dan roadtax kereta anda, jangan lupa untuk memperbaharui insurans dan roadtax kereta di Qoala.

Qoala merupakan platform perbandingan dan pembaharuan insurans paling komprehensif di Malaysia. Anda boleh mendapatkan polisi perlindungan insurans yang terbaik untuk anda daripada beberapa syarikat insurans terbaik di Malaysia. Layari laman web Qoala untuk info lanjut.

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60