Baru-baru ini viral di aplikasi X (atau Twitter) kerana ramai yang terkejut bahawa pemegang polisi perlu membuat bayaran terlebih dahulu untuk dapatkan rawatan di hospital swasta sedangkan mereka memiliki insurans perubatan. Sebenarnya sudah lama bayaran tambahan yang lebih dikenali sebagai deduktibel vs ko insurans dikenakan kepada pemegang polisi insurans kesihatan.
Apa yang Anda Perlu Tahu Tentang Deduktibel vs Ko Insurans dalam Polisi Insurans Kesihatan
Masih ramai yang tidak tahu atau keliru dengan deduktibel vs ko insurans ini. Artikel ini akan bantu anda memahami deduktibel dan ko-insurans dalam insurans perubatan dengan lebih baik.
Apa itu Deduktibel dalam Insurans Kesihatan dan Perubatan?
Deduktibel merujuk pada suatu jumlah yang perlu ditanggung oleh pemegang polisi sebelum layak membuat tuntutan daripada syarikat insurans. Dalam erti kata lain, pemegang polisi perlu membayar sejumlah wang tertentu manakala baki rawatan akan ditanggung oleh syarikat insurans.
Jumlah deduktibel yang perlu dibayar adalah tetap dan perlu dibayar oleh pemegang polisi sebelum mendapatkan rawatan atau sebelum dimasukkan ke wad hospital. Deduktibel biasanya ditetapkan untuk setiap kemasukan (setiap kali masuk hospital perlu bayar) atau setiap tahun (sekali bayaran untuk setahun).
Anda boleh rujuk polisi insurans kesihatan anda jika anda kurang pasti dengan jumlah deduktibel polisi anda.
Contoh Pengiraan Deduktibel
Pemilik polisi dimasukkan ke hospital dan perlu membayar kos rawatan hospital berjumlah RM20,000. Dalam terma polisi insurans kesihatan beliau, deduktibel ditetapkan sebanyak RM500.
Sebelum dimasukkan ke hospital, beliau perlu membuat bayaran deduktibel sebanyak RM500. Manakala, syarikat insurans akan menanggung baki bayaran selebihnya sebanyak RM19,500.
Jika pembayaran deduktibel ikut tahun, kemasukan ke wad dalam tahun yang sama tidak lagi perlu dibayar kerana bayaran kemasukan seterusnya akan ditanggung oleh syarikat insurans. Jika deduktibel ikut kemasukan, anda tertakluk pada bayaran pendahuluan RM500 setiap kali kemasukan ke wad.
Fungsi deduktibel adalah untuk mengelakkan salah guna kad perubatan atau tuntutan polisi insurans perubatan yang tidak sah seperti membuat tuntutan untuk kos rawatan kecil yang boleh didapatkan di klinik biasa. Deduktibel dikenakan bagi menjadikan pemegang polisi akan lebih bertanggungjawab dan berhati-hati sebelum membuat tuntutan apabila deduktibel dikenakan.
Contohnya, lebih baik ke klinik biasa untuk rawatan demam dan bayar perkhidmatan RM100 berbanding bayar deduktibel RM500 untuk kemasukan ke wad. Selain itu, deduktibel juga boleh mengurangkan kos caruman bulanan atau tahunan kad perubatan. Dalam erti kata lain, kos bayaran insurans bulanan insurans dengan deduktibel lebih rendah berbanding insurans tanpa deduktibel.
Apa itu Ko Insurans dalam Insurans Kesihatan dan Perubatan?
Ko-insurans pula merujuk pada perkongsian kos antara pemegang polisi dan syarikat insurans. Kedua-dua pihak bersetuju untuk menanggung sebahagian daripada kos perubatan yang dikenakan mengikut peratusan tertentu yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, peratusan ko-insurans yang dipersetujui adalah 80:20.
Syarikat insurans bersetuju menanggung 80 peratus daripada kos perubatan, manakala baki 20 peratus perlu ditanggung atau dibayar oleh pemegang polisi. Ko-takaful menawarkan konsep yang sama seperti ko-insurans.
Contoh Pengiraan Ko Insurans
Pemilik polisi telah mendapatkan rawatan apendiks di hospital dan kos perubatan yang dikenakan adalah sebanyak RM20,000. Dalam terma polisi insurans, beliau tertakluk pada bayaran deduktibel sebanyak RM500 dan peratusan ko-insurans dalam polisinya adalah sebanyak 80:20.
Beliau perlu membayar deduktibel sebanyak RM500 terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan. Selain itu, beliau juga perlu menanggung sebahagian kos perubatan mengikut kadar peratusan ko-insurans yang dipersetujui iaitu sebanyak 20 peratus. Andaikan:
Kos Perubatan RM20,000 – Deduktibel RM500 = RM19,500
Peratusan Ko-Insurans 20% x RM19,500 = RM3,900
Selain kos deduktibel RM500, beliau perlu menanggung kos tambahan sebanyak RM3,900 untuk ko-insurans. Baki selebihnya iaitu sebanyak RM15,600 akan ditanggung oleh syarikat insurans.
Sama seperti fungsi deduktibel, ko-insurans atau ko-takaful bertujuan untuk mengelakkan salah guna oleh pemegang polisi. Oleh sebab ada peratusan yang perlu ditanggung oleh pemegang polisi itu sendiri, pemegang polisi akan lebih berhati-hati apabila ingin membuat tuntutan insurans perubatan.
Kelebihan dan Kekurangan Deduktibel vs Ko Insurans
Berikut antara kelebihan dan kekurangan deduktibel dan ko-insurans di Malaysia:
Kelebihan | Kekurangan |
Kadar Caruman Bulanan/Tahunan yang Lebih Murah
Deduktibel dan ko-insurans menjadikan kadar caruman bulanan atau tahunan insurans perubatan menjadi lebih rendah. Ini sekaligus membantu anda merancang kewangan anda dengan lebih baik. |
Perlu Tanggung Sebahagian Kos Rawatan
Pengguna perlu keluarkan simpanan kecemasan untuk menanggung sebahagian kos perubatan. Meskipun tertakluk pada bayaran bulanan/tahunan yang lebih murah, pengguna perlu bayar sebahagian daripada kos rawatan yang berkemungkinan lebih mahal bergantung pada kos keseluruhan rawatan. |
Elakkan Salah Guna Kad Perubatan/Insurans Perubatan
Deduktibel dan ko-insurans boleh menyebabkan pengguna lebih berhemah dalam menggunakan insurans kesihatan dan perubatan. Pengguna tidak akan sesuka hati menggunakan kad perubatan kerana deduktibel atau ko-insurans perlu dibayar jika mendapatkan rawatan di hospital. |
Belanja Perubatan yang Lebih Mahal
Biasanya polisi insurans perubatan akan menetapkan jumlah peratusan yang perlu dibayar. Ini bermaksud, semakin tinggi kos perubatan tersebut, semakin tinggi kos rawatan bersama yang perlu anda bayar. |
Deduktibel vs Ko Insurans: Mana Satu Pilihan yang Lebih Baik?
Secara ringkasnya, deduktibel merujuk pada suatu jumlah yang perlu dibayar terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan tanpa mengira jumlah kos manfaat yang layak. Manakala, ko-insurans merujuk perkongsian kos antara pemegang polisi dan syarikat insurans. Pemegang polisi akan menanggung sebahagian kos mengikut peratusan yang ditetapkan.
Jika anda memilih insurans perubatan dan kesihatan yang menetapkan deduktibel – jumlah yang perlu dibayar adalah tetap dan tidak akan berubah. Sebaliknya, jika insurans perubatan anda menetapkan ko-insurans, jumlah yang perlu dibayar adalah tidak tetap bergantung pada peratusan yang dipersetujui dan kos keseluruhan rawatan yang dikenakan.
Apa yang penting, pilih mana-mana insurans tidak kiralah sama ada insurans dengan deduktibel dan ko-insurans atau tidak yang menawarkan manfaat selari dengan status kewangan semasa. Anda boleh pilih untuk bayar caruman bulanan yang tinggi tanpa perlu memikirkan kos tambahan yang perlu ditanggung kemudian hari.
Atau, anda juga boleh pilih untuk bayar caruman yang lebih rendah setiap bulan dan simpan sebahagian wang anda untuk persediaan sekiranya dimasukkan ke hospital. Untuk maklumat lanjut berkaitan pelan insurans deduktibel vs ko insurans, layari laman web Qoala untuk info lanjut.
Qoala menawarkan perkhidmatan perbandingan insurans secara percuma. Dapatkan insurans kesihatan deduktibel dan ko-insurans terbaik di Qoala hari ini.