Anda mungkin selalu dengar tentang zakat fitrah, zakat pendapatan atau zakat harta, namun jarang sekali diperkatakan tentang zakat emas. Tidak kiralah barangan kemas untuk perhiasan diri mahu pun pelaburan, emas yang dimiliki tertakluk pada zakat emas.
Perkara Penting Tentang Zakat Emas di Malaysia yang Anda Perlu Tahu
Islam memandang emas sebagai simbol kekayaan harta yang berharga dan mampu berkembang. Oleh sebab keistimewaan yang dimiliki ini, Islam mewajibkan zakat emas ke atas barangan emas yang dimiliki.
Ramai dalam kalangan umat Islam khususnya generasi hari ini memilih untuk melabur dalam pelaburan emas sama ada dalam bentuk saham, emas fizikal atau barangan perhiasan. Ini kerana, emas boleh dikatakan sebagai aset selamat yang menjadi pilihan pelabur kerana nilainya yang stabil.
Kadar Uruf bagi Emas Perhiasan Mengikut Negeri
Uruf dalam bahasa mudah merujuk pada nilai kebiasaan pemakaian emas perhiasan setempat. Kadar uruf biasanya berbeza-beza mengikut negeri. Berikut kadar uruf terkini bagi setiap negeri di Malaysia untuk rujukan dan panduan anda:
Negeri | Kadar Uruf |
Johor | 850 gram |
Kedah | 170 gram |
Kelantan | Tiada uruf |
Kuala Lumpur/Putrajaya | 800 gram |
Melaka | 180 gram |
Negeri Sembilan | 200 gram |
Pahang | 500 gram |
Perak | 500 gram |
Perlis | 85 gram |
Pulau Pinang | 165 gram |
Sabah | 152 gram |
Sarawak | 90 gram |
Selangor | 800 gram |
Terengganu | 850 gram |
Bagi negeri yang tiada uruf, kesemua barangan kemas yang diperbuat daripada emas tertakluk pada bayaran zakat emas tanpa mengira jumlah berat emas yang dimiliki.
Jenis Simpanan Emas yang Perlu Dibayar Zakat
Zakat adalah wajib bagi semua umat Islam yang memenuhi syarat. Emas yang diwajibkan zakat biasanya dari jenis emas tulen sama ada dalam bentuk jongkong, bijih, wang, perkakas atau perhiasan rumah serta barangan kemas. Secara asasnya, zakat emas terbahagi kepada beberapa kategori simpanan emas seperti berikut:
1. Emas Pakai
Secara asasnya, hukum asal sebarang bentuk pemakaian emas tidak diwajibkan berzakat. Ini kerana, emas yang dipakai tidak lagi bersifat subur dan berkembang. Namun begitu, emas pakai wajib dikeluarkan zakat emas sekiranya berlebihan atau terlalu banyak sehingga melampaui kadar uruf.
Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur misalnya, kadar uruf emas perhiasan adalah sebanyak 800 gram. Ini bermaksud, apa-apa emas yang dipakai sebagai perhiasan walaupun hanya sekali dalam tempoh setahun wajib dikeluarkan zakat emas ke atasnya.
Formula Kiraan Zakat Emas Pakai
Kadar zakat emas pakai adalah 2.5 peratus dari jumlah keseluruhan nilai emas tersebut. Sebagai contoh, andaikan jumlah emas perhiasan yang dipakai dalam tempoh setahun ialah 900 gram:
= Berat Emas Dipakai (jika melebihi nilai uruf) x Harga Emas Semasa x 2.5% Kadar Zakat Emas
= 900 gram x RM165.68 (anggaran harga emas terkini) x 2.5%
= RM3,727.80
2. Emas Simpan atau Emas yang Tidak Dipakai
Emas simpan merujuk pada emas yang disimpan termasuk barangan kemas yang tidak dipakai kerana rosak atau lama, atau tidak dipakai langsung walaupun sekali dalam tempoh setahun. Bagi emas yang bercampur dengan bahan lain seperti emas putih atau batu permata (atau seumpamanya), zakat emas akan akan dikira mengikut peratusan emas tulen sahaja.
Zakat emas wajib dikeluarkan untuk emas simpan sekiranya jumlah berat emas tersebut sama atau melebihi nisab 85 gram atau 25 mayam, serta melepasi tempoh masa 12 bulan atau setahun (cukup haul).
Formula Kiraan Zakat Emas Simpan
Sama seperti emas pakai, kadar zakat emas simpan adalah sebanyak 2.5 peratus daripada nilai keseluruhan emas tersebut. Sebagai contoh, andaikan anda menyimpan sebanyak 200 gram emas dalam tempoh setahun:
= Berat Emas Disimpan (jika melebihi nilai nisab) x Harga Emas Semasa x 2.5% Kadar Zakat Emas
= 200 gram x RM165.68 (anggaran harga emas terkini) x 2.5%
= RM828.40
3. Emas Pelaburan Patuh Syarak
Selain daripada barang kemas yang disimpan, pelaburan emas juga diwajibkan untuk mengeluarkan zakat emas. Dalam konteks pelaburan akaun emas, pelaburan emas patuh syarak bermaksud fizikal emas itu wujud (secara fizikal) dan boleh dimiliki oleh pelabur. Pelaburan emas patuh syarak lazimnya dibahagikan kepada dua iaitu:
i. Pelaburan Emas Fizikal
Emas fizikal yang dimiliki yang diniatkan sebagai pelaburan untuk mendapatkan keuntungan. Emas fizikal biasanya berbentuk seperti syiling, wafer, bar, jongkong dan sebagainya.
Formula Kiraan Zakat Pelaburan Emas Fizikal
Jika jumlah keseluruhan simpanan emas ini sama atau melebihi nisab 85 gram, maka pelaburan ini wajib dizakatkan. Sebagai contoh, jumlah emas yang dimiliki yang diniatkan untuk pelaburan adalah sebanyak 400 gram:
= Berat Emas x Harga Emas Semasa x 2.5%
= 400 gram x RM165.68 (anggaran harga emas terkini) x 2.5%
= RM1,656.80
ii. Pelaburan Akaun Emas (Passbook)
Ada juga bank yang menawarkan emas pelaburan berbentuk passbook atau akaun simpanan emas. Akaun ini akan mencatatkan jumlah simpanan emas yang dilaburkan dalam unit gram.
Formula Kiraan Zakat Pelaburan Akaun Emas
Pelaburan Akaun Emas wajib dizakatkan sekiranya ada niat pelaburan dan berat emas mencukupi nisab 85 gram. Sebagai contoh, andaikan jumlah emas yang dimiliki dalam passbook adalah sebanyak 200 gram:
= Berat Emas x Harga Emas Semasa x 2.5%
= 200 gram x RM165.68 (anggaran harga emas terkini) x 2.5%
= RM828.40
4. Emas Pelaburan Tidak Patuh Syarak
Dalam konteks pelaburan akaun emas ini pula, ia dikenali sebagai pelaburan emas tidak patuh syarak kerana tiada pegangan emas secara fizikal. Pelaburan emas tidak patuh syarak terbahagi kepada dua iaitu:
i. Pelaburan Akaun Emas (Passbook) Tanpa Emas Fizikal
Pelaburan ini tidak patuh syarak kerana fizikal emas tidak wujud dan tidak dimiliki oleh pelabur. Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sahaja sekiranya jumlah pelaburan melebihi nilai nisab tahunan. Ia dikira mengikut formula kiraan Zakat Wang Simpanan.
ii. Pelaburan Akaun Emas Maya
Akaun emas maya pula merujuk pada emas yang diniagakan untuk pelaburan secara bukan fizikal. Perniagaan emas maya menggunakan platform elektronik. Ini bermaksud, pelabur yang mempunyai akaun di broker tertentu boleh membuat belian dan jualan emas dengan harga semasa yang dipaparkan di platform.
Memandangkan jual beli emas ini tidak melibatkan emas fizikal, ia dikategorikan sebagai pelaburan emas tidak patuh syariah. Zakat emas hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sekiranya jumlah pelaburan melebihi kadar nisab tahunan.
Formula Kiraan Zakat Pelaburan Emas Tidak Patuh Syarak
Berikut merupakan contoh pengiraan zakat emas tidak patuh syarak untuk panduan anda:
= Pelaburan Pokok atau Baki Terendah x Kadar Zakat
= RM40,000 (contoh) x 2.5%
= RM1,000
Dapatkan Insurans Kesihatan untuk Jaminan Ketenangan Masa Depan
Zakat emas memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat. Dengan membayar zakat emas, individu dapat membersihkan harta dan meningkatkan keberkatan dalam kehidupan selain dapat membantu mengurangkan kesenjangan sosial dalam masyarakat.
Selain itu, jika anda ingin mendapatkan perlindungan insurans pendidikan dan kesihatan untuk ketenangan fikiran, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan dan pembaharuan insurans online terbaik di Malaysia. Anda boleh mendapatkan insurans dan takaful kesihatan di Malaysia dengan mudah pada harga yang berpatutan.