Sebelum Jadi Penjamin Pinjaman, Ini 10 Perkara Penting Anda Perlu Tahu

Kali terakhir diperbaharui May 3, 2023 oleh Hariz Hafiz
Sebelum Jadi Penjamin Pinjaman, Ini 10 Perkara Penting Anda Perlu Tahu

Anda mungkin pernah berdepan situasi ahli keluarga atau rakan meminta pertolongan anda menjadi penjamin pinjaman. Pihak bank biasanya akan meminta peminjam untuk mendapatkan seorang penjamin pinjaman sekiranya peminjam tidak melepasi syarat kelulusan pinjaman kereta (atau pinjaman perumahan) atau peminjam dikategorikan sebagai berisiko.

5 Perkara Penting Sebelum Jadi Penjamin Pinjaman

Kita semestinya akan tersepit atau rasa berbelah bahagi jika diminta menjadi penjamin pinjaman terutamanya oleh seseorang yang mempunyai pertalian keluarga. Penting untuk anda ketahui perkara-perkara penting berkaitan penjamin pinjaman sebelum menandatangani apa-apa borang pinjaman bank.

Jika boleh, tolak permintaan tersebut dengan cara yang baik atau cipta alasan yang munasabah. Cara ini boleh membantu elakkan anda daripada terbeban dengan komitmen hutang jika peminjam gagal bayar balik pinjaman. Namun begitu, jika tidak boleh dielakkan, ambil kira aspek-aspek berikut sebelum bersetuju menjadi penjamin pinjaman.

1. Kenal Pasti Tujuan Pinjaman

Buat penelitian sebelum meletakkan nama anda selaku penjamin pinjaman atau guarantor. Kenal pasti sebab pinjaman tersebut dilakukan, dan teliti sama ada peminjam berkemampuan untuk bayar balik pinjaman tersebut.

Minta maklumat terperinci berkaitan permohonan pinjaman yang ingin dilakukan. Jika anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena, jangan takut untuk bersuara dan menolak permintaan ini.

2. Pertimbangkan Kemampuan Bayar Balik Pinjaman

Selain itu, pertimbangkan juga kemampuan anda untuk bayar balik pinjaman yang dilakukan. Lakukan analisis lengkap berkaitan kedudukan dan kemampuan kewangan anda terlebih dahulu.

Ambil kira situasi sekiranya peminjam gagal melangsaikan hutang pinjaman ini. Jika ini berlaku, sudah semestinya anda yang perlu selesaikan pinjaman tertunggak dan lain-lain kos tambahan yang mungkin ada.

3. Semak Kontrak Penjanjian Pinjaman

Teliti setiap klausa yang dinyatakan dalam perjanjian pinjaman. Ramai dalam kalangan penjamin pinjaman ambil mudah akan hal ini. Jika perlu, dapatkan khidmat nasihat peguam untuk pastikan anda memahami hak dan risiko sebagai penjamin.

Selain itu, anda juga boleh sediakan surat ganti rugi yang ditandatangani oleh peminjam sebagai back up plan. Dengan adanya surat ini, anda boleh ambil tindakan mahkamah atas kerugian yang dihadapi jika peminjam gagal bayar balik seperti dijadualkan.

4. Jangan Tandatangan Dokumen Kosong

Jangan tandatangan mana-mana dokumen pinjaman dengan terburu-buru. Selain itu, elakkan juga tandatangan dokumen kosong yang tidak terisi – hanya tandatangan dokumen pinjaman yang telah diisi oleh peminjam.

Pastikan jumlah pinjaman, kadar faedah dan tempoh kontrak dinyatakan dengan jelas. Ini bagi memastikan anda tidak bersetuju dengan terma dan syarat yang berbeza.

5. Ketahui Risiko, Kesan Terhad Skor Kredit

Meskipun anda berniat untuk membantu kawan atau ahli keluarga anda, jangan sampai perbuatan ini memakan diri. Pertimbangkan juga rekod kredit seperti laporan CCRIS dan CTOS, atau impak terhadap kedudukan kredit sekiranya anda menjadi penjamin.

Anda perlu tahu jika peminjam gagal bayar balik pinjaman, anda sebagai penjamin pinjaman bertanggungjawab menyelesaikan hutang tersebut. Jika anda tidak mampu selesaikan tunggakan, rekod dalam laporan CCRIS anda mungkin terkesan.

Perkara Penting Perlu Tahu Sebelum Jadi Penjamin Pinjaman

5 Risiko Jadi Penjamin Pinjaman yang Perlu Anda Tahu

Penjamin pinjaman biasanya diperlukan sekiranya bakal peminjam mempunyai skor kredit yang lemah, atau pendapatan peminjam tidak melepasi syarat permohonan. Ini kerana, apabila peminjam tidak dapat bayar balik pinjaman, penjamin adalah antara orang yang akan dicari oleh pihak bank. Justeru itu, tidak hairanlah jika menjadi penjamin pinjaman berisiko tinggi.

1. Aset Boleh Disita

 Menurut Jabatan Insolvensi, seseorang individu boleh diisytiharkan muflis atau bankrap melalui perintah mahkamah. Pemiutang boleh memfailkan tindakan muflis terhadap penghutang jika jumlah hutang mencapai RM100,000.

Sekiranya situasi ini berlaku, Jabatan Insolvensi boleh menyita harta yang dimiliki oleh peminjam dan penjamin pinjaman untuk membayar balik hutang tersebut.

2. Skor Kredit Boleh Terjejas

Secara asasnya, dalam kes-kes tertentu bank memerlukan penjamin sebagai cagaran bagi pinjaman yang diberikan. Dalam bahasa mudah, jika peminjam buat hal atau tidak bayar balik pinjaman, bank akan mencari penjamin untuk jelaskan hutang bagi pihak peminjam.

Jika anda sebagai penjamin tidak mampu membayar balik, skor kredit anda berisiko untuk terjejas. Apabila skor kredit buruk, ia mungkin menyukarkan anda untuk membuat pinjaman lain pada masa akan datang.

3. Boleh Diisytiharkan Muflis

Seperti dijelaskan di atas, jika peminjam tidak dapat bayar balik pinjaman seperti dijadualkan, tanggungjawab untuk menjelaskan hutang tersebut jatuh kepada penjamin.

Sekiranya anda mampu bayar balik bagi pihak peminjam, ia tidak menjadi masalah. Tetapi, jika anda tidak berupaya untuk membayar balik pinjaman tersebut, anda berisiko untuk diisytiharkan bankrap atau muflis.

4. Kerjaya Tersekat

Selain itu, kegagalan peminjam untuk membayar balik pinjaman juga boleh memberi kesan tidak langsung kepada anda. Andaikan peminjam gagal menjelaskan hutang sehingga anda diisytiharkan bankrap, ia mungkin akan menjejaskan kerjaya anda.

Silap hari bulan, tiada majikan yang ingin mengajikan anda disebabkan rekod yang anda ada. Malah, ia juga boleh beri kesan lain seperti anda tidak boleh memiliki perniagaan atau memiliki sebahagian daripada perniagaan.

5. Boleh Disekat daripada ke Luar Negara

Individu yang memiliki hutang tertunggak atau belum dilangsaikan biasanya akan disenaraihitamkan dalam senarai sekatan imigresen. Ia sekali gus menghalang anda untuk keluar negara. Ini bermaksud, anda tidak boleh bercuti ke luar negara sehingga anda keluarkan nama daripada senarai hitam ini.

Selain itu, jika anda ingin dapatkan polisi perlindungan insurans yang komprehensif dan menyeluruh untuk perlindungan diri anda dan keluarga, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan insurans yang menawarkan pelbagai pilihan insurans daripada beberapa syarikat insurans popular di Malaysia.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60