Bagi pekerja di Malaysia, terdapat penolakan gaji dibuat setiap bulan yang dicarumkan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Insurans Pekerjaan (EIS) dan PERKESO atau SOCSO. Kebanyakan daripada anda tahu fungsi KWSP dan EIS, tetapi bagaimana pula dengan fungsi PERKESO? Apa tuntutan PERKESO yang boleh dibuat dan peranan PERKESO dalam membantu pekerja di Malaysia?
Apa Skim Perlindungan yang Ditawarkan oleh PERKESO?
Anda perlu tahu bahawa fungsi utama PERKESO adalah untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja di Malaysia. Ia berperanan memberi bantuan kewangan dan perubatan kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau jatuh sakit sehingga tidak berupaya untuk bekerja.
Selain itu, PERKESO juga memberi bantuan kepada ahli tanggungan melalui pencen sekiranya berlaku kematian ke atas pencarum. Skim perlindungan PERKESO terbahagi kepada tiga seperti berikut:
- Skim Bencana Pekerjaan;
- Skim Keilatan – perlindungan 24 jam kepada pekerja daripada keilatan atau kematian yang bukan disebabkan oleh pekerjaan;
- Insurans Pekerjaan – skim bantuan kewangan yang membantu pekerja yang kehilangan kerja sehingga mereka mendapat pekerjaan baharu.
Untuk artikel ini, fokus akan diberikan kepada jenis-jenis tuntutan PERKESO yang boleh dibuat di bawah Skim Bencana Pekerjaan.
Apa Itu Skim Bencana Pekerjaan PERKESO?
Skim Bencana Pekerjaan PERKESO memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau menghidap penyakit yang disebabkan oleh pekerjaannya. Contohnya, pekerja kemalangan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Maka, pekerja layak untuk membuat tuntutan Skim Bencana Pekerjaan PERKESO.
Jika kemalangan berlaku pada hari cuti, kemalangan ini tidak dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan.
Jenis-jenis Tuntutan PERKESO di Bawah Skim Bencana Pekerjaan
Ada beberapa jenis kemalangan atau penyakit khidmat yang boleh dituntut oleh pekerja di bawah Skim Bencana Pekerjaan, antaranya:
1. Kemalangan Semasa Sedang Bekerja
Kemalangan berlaku ketika pekerja sedang menjalankan urusan kerja dan/atau ketika berada di tempat kerja.
2. Kemalangan Semasa dalam Perjalanan
Kemalangan berlaku ketika pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja dari kediaman, atau di antara tempat kerja ke tempat makan dalam waktu rehat yang dibenarkan. Selain itu, perlindungan ini juga termasuk perjalanan yang dibuat bagi apa-apa sebab yang berkaitan dengan pekerjaan.
3. Kemalangan Semasa Kecemasan
Kemalangan berlaku semasa pekerja berada dalam atau berdekatan dengan mana-mana premis tempat bekerja dengan tujuan untuk menyelamatkan, membantu atau melindungi orang lain dalam kecemasan atau bahaya.
4. Penyakit Khidmat
Penyakit yang dihidapi berpunca atau disebabkan oleh pekerjaan seperti tersenarai dalam Jadual Kelima Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Contoh Penyakit Khidmat:
-
-
- Penyakit Covid-19 (terhad kepada pekerjaan yang terdedah kepada agen biologi dan ada berlaku jangkitan dalam kalangan pekerja jagaan kesihatan sahaja);
- Hilang pendengaran disebabkan oleh paras tekanan bunyi tinggi yang berterusan;
- Penyakit asma disebabkan oleh pekerjaan yang melibatkan pendedahan berterusan kepada habuk atau bahan kimia yang merbahaya dan sebagainya.
-
Faedah yang Ditawarkan di Bawah Skim Bencana Pekerjaan
Pekerja yang mencarum di bawah skim ini layak mendapat faedah-faedah berikut:
1. Faedah Perubatan
Pekerja boleh tuntut rawatan perubatan secara percuma di panel klinik PERKESO sehingga pulih. Jika rawatan diterima di klinik bukan panel PERKESO, tuntutan bayaran balik caj rawatan di klinik boleh dilakukan.
2. Faedah Hilang Upaya Sementara
Pekerja boleh buat tuntutan Faedah Hilang Upaya Sementara yang akan dibayar sepanjang tempoh cuti sakit yang disahkan oleh doktor. Tempoh cuti sakit mestilah sekurang-kurangnya empat hari termasuk hari kemalangan. Kadar harian yang ditetapkan adalah sebanyak 80 peratus daripada purata gaji harian pekerja dengan kadar minimum RM30 sehari dan maksimum RM132 sehari.
3. Faedah Hilang Upaya Kekal
Selain itu, pekerja juga boleh menuntut Faedah Hilang Upaya Kekal. Had masa membuat tuntutan adalah dalam tempoh 12 bulan dari tarikh terakhir hilang upaya sementara. Kadar harian yang ditetapkan adalah 90 peratus daripada purata gaji harian tertakluk pada kadar minimum RM30 sehari dan maksimum RM148.50 sehari.
4. Elaun Layanan Sentiasa
Elaun Layanan Sentiasa ditetapkan sebanyak RM500 sebulan bagi pekerja yang hilang upaya kekal dan tidak berdaya sehingga memerlukan bantuan orang lain. Meskipun begitu, pekerja yang layak menerima elaun ini tertakluk pada syor daripada Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Khas atau Jemaah Doktor Rayuan Pekerja.
5. Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional
Pekerja juga boleh menuntut perbelanjaan untuk pemulihan jasmani dan vokasional. Pemulihan jasmani termasuk:
-
-
- Fisioterapi;
- Terapi pekerjaan;
- Pembedahan rekonstruktif;
- Bekalan prostetik, ortotik dan lain-lain alat;
- Bekalan ortopedik seperti kerusi roda, tongkat, alat pendengaran, cermin mata, kasut khas dan lain-lain.
-
Manakala, Pemulihan vokasional pula merangkumi:
-
-
- Latihan dalam bidang seperti elektrikal, jahitan, membaiki radio/TV, menaip dan lain-lain.
-
6. Faedah Orang Tanggungan
Sekiranya pekerja meninggal dunia akibat bencana pekerjaan, tanggungan layak menerima Faedah Orang Tanggungan. Kadar harian yang akan dibayar oleh PERKESO adalah 90 peratus daripada purata gaji harian pekerja tertakluk pada kadar minimum RM30 sehari dan maksimum RM148.50 sehari.
7. Faedah Pengurusan Mayat
Sekiranya pekerja meninggal dunia akibat bencana pekerjaan, amaun sebanyak RM3,000 akan dibayar oleh PERKESO kepada waris pekerja. Sekiranya tiada waris, faedah akan dibayar kepada pihak yang menanggung segala perbelanjaan pengebumian itu.
8. Faedah Pendidikan
Faedah Pendidikan merupakan suatu kemudahan dalam bentuk pinjaman yang disediakan kepada anak tanggungan sekiranya pekerja:
-
-
- Meninggal dunia akibat bencana pekerjaan;
- Menerima bayaran berkala Faedah Hilang Upaya Kekal.
-
Meskipun begitu, permohonan tertakluk pada terma dan syarat yang ditetapkan oleh PERKESO.
Skim Bencana Pekerjaan PERKESO, Perlindungan Masa Depan Pekerja
Caruman PERKESO penting dalam memberikan anda perlindungan tambahan daripada sebarang risiko semasa sedang bekerja, dalam perjalanan pergi atau balik dari tempat kerja. Anda boleh buat tuntutan PERKESO dan nikmati faedah-faedah yang ditawarkan di bawah skim ini.
Selain perlindungan daripada kemalangan atau penyakit semasa bekerja, anda juga perlu pastikan anda mendapat perlindungan terbaik jika kemalangan berlaku diluar waktu bekerja. Cara paling ideal adalah dengan mendapatkan insurans kesihatan terbaik yang akan melindungi anda saat kecemasan atau kesusahan.
Untuk info lanjut berkaitan insurans perubatan dan kesihatan di Malaysia, layari laman web Qoala. Qoala merupakan platform perbandingan dan pembaharuan insurans terbaik dengan jaminan harga insurans berpatutan.