7 Sebab Penting Kenapa Anda Perlu Miliki Insurans Nyawa

Kali terakhir diperbaharui Jan 3, 2024 oleh Shafiq Wahab
7 Sebab Penting Kenapa Anda Perlu Miliki Insurans Nyawa

Bagi mempersiapkan diri dengan risiko atau insiden luar jangka, anda perlu memiliki pelan insurans nyawa untuk melindungi diri anda dan juga keluarga yang tersayang sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Insurans nyawa atau turut dikenali sebagai insurans hayat merupakan skim caruman yang akan menyediakan bantuan kewangan kepada tanggungan atau ahli keluarga setelah anda meninggal dunia. Dalam erti kata lain, pelan ini bertujuan untuk membantu dan meringankan beban ahli keluarga terutamanya dari aspek kewangan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan setelah ketiadaan anda.

7 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Insurans Nyawa Terbaik di Malaysia

Berdasarkan laporan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), hanya 56 peratus rakyat Malaysia memiliki pelan perlindungan insurans nyawa. Ini kerana, kebanyakan orang berpendapat wang dilaburkan dalam pelaburan ASB atau simpanan Tabung Haji sudah memadai untuk digunakan bagi melindungi diri mereka dan keluarga sekiranya berlaku kecemasan atau kematian.

Secara asasnya, insurans nyawa memainkan peranan yang sangat penting dalam melindungi ahli keluarga dan tanggungan anda sekiranya anda (ketua keluarga) ditimpa musibah. Sekiranya anda masih belum memiliki pelan perlindungan ini, berikut tujuh kelebihan memiliki insurans nyawa bagi membantu anda membuat keputusan:

1. Membayar Hutang

Kebanyakan individu memiliki hutang pinjaman perumahan, bantuan perniagaan, pinjaman peribadi, pinjaman PTPTN dan sebagainya. Hutang-hutang ini berkemungkinan besar akan diwariskan kepada ahli keluarga untuk dijelaskan setelah kematian anda. Oleh sebab itu, perancangan teliti perlu dibuat bagi mengelakkan ahli keluarga yang ditinggalkan tidak terbeban dengan hutang yang banyak.

Di sinilah peranan insurans nyawa – pampasan insurans yang diterima boleh digunakan untuk membayar atau menyelesaikan hutang tinggalan anda dan lebihan yang ada boleh digunakan untuk menampung kehidupan ahli keluarga buat sementara.

2. Menanggung Kos Pengebumian

Selepas seseorang individu meninggal dunia, perkara pertama yang perlu disegerakan ialah urusan pengebumian jenazah. Proses pengebumian jenazah boleh menelan kos dan belanja yang tinggi dan kos-kos ini perlu ditanggung oleh pusaka si mati. Antara kos-kos yang perlu ditanggung ialah:

  • Pembelian kain kafan;
  • Kelengkapan mandian;
  • Kos gali kubur;
  • Pengangkutan jenazah;
  • Kos-kos lain berkaitan urusan pengebumian.

Jika anda mempunyai perlindungan insurans nyawa, sekurang-kurangnya ahli keluarga anda boleh menggunakan wang tersebut untuk menanggung kos pengebumian anda tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan yang ada ataupun membuat pinjaman peribadi untuk tujuan ini.

3. Insurans Nyawa: Kurangkan Kadar Cukai Pendapatan

Sekiranya anda memiliki insurans nyawa, ia melayakkan anda untuk mendapat pengecualian cukai pendapatan sehingga RM3,000 untuk tahun semasa. Ini bermaksud, anda boleh jimatkan perbelanjaan anda setiap tahun jika anda beli insurans nyawa termasuk insentif pengurangan cukai lain yang diberikan oleh kerajaan seperti skim persaraan, caruman KWSP dan sebagainya.

insurans nyawa, insurans hayat dan insurans kematian terbaik di Malaysia

4. Kehidupan Lebih Tenang

Anda tidak boleh menjangkakan perkara yang akan berlaku kepada anda. Dengan memiliki insurans hayat, anda tidak perlu risau tentang ahli keluarga di bawah jagaan anda lagi sekiranya berlaku apa-apa musibah kepada anda seperti kecacatan kekal akibat kemalangan jalan raya dan sebagainya.

Secara asasnya, insurans hayat boleh dikatakan bertindak sebagai pelampung sekiranya kapal yang dinaiki karam. Ini bermaksud, ahli keluarga anda masih ada tempat untuk bergantung harap sekiranya anda tidak boleh kembali bekerja seperti biasa akibat kemalangan.

Meskipun jumlah pampasan yang diterima tidaklah terlalu besar, sekurang-kurangnya amaun yang diterima boleh membantu ahli keluarga anda berdiri semula dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

5. Boleh Guna sebagai Pelan Simpanan

Ada pelan insurans nyawa yang turut menawarkan gabungan antara perlindungan dan simpanan jangka panjang. Biasanya, jumlah simpanan adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan premium yang perlu anda bayar.

Anda boleh rujuk syarikat insurans anda untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai ciri simpanan tersebut sama ada pulangan simpanan tersebut dijamin atau tidak. Pencarum boleh mengeluarkan simpanan tersebut sebaik sahaja polisi tersebut matang.

6. Tabung Pendidikan Anak-anak

Insurans nyawa juga boleh dijadikan salah satu alternatif tabung simpanan pendidikan anak-anak anda. Sesetengah pelan insurans hayat ada menawarkan ciri simpanan yang menguntungkan. Sama seperti simpanan-simpanan lain, dana yang disimpan akan berkembang atau bertambah banyak saban tahun.

Jika anda memiliki pelan ini sejak anak anda kecil, dana ini semestinya mencukupi untuk membiayai pendidikan pengajian anak-anak sebaik sahaja usia anak anda meningkat dewasa. Meskipun begitu, setiap produk insurans nyawa menawarkan syarat dan tempoh yang berbeza. Pastikan anda semak dengan ejen insurans anda untuk penjelasan lanjut.

Namun biasanya, pencarum perlu menunggu sehingga pulangan tersebut melebihi jumlah premium yang perlu dibayar (biasanya ambil masa lebih kurang 30 tahun). Jika anda ambil keputusan untuk keluarkan wang simpanan tersebut sebelum tempoh matang, anda tidak boleh memaksimumkan keuntungan daripada simpanan tersebut.

7. Melindungi Aset dan Simpanan

Insurans hayat merupakan langkah persediaan jangka panjang yang amat penting untuk mengelakkan ahli keluarga atau waris terkesan dengan pemergian anda. Sekiranya anda memiliki insurans hayat, keluarga atau waris anda tidak perlu jual rumah atau menggadaikan apa-apa aset atau simpanan anda semata-mata untuk menjelaskan hutang-hutang anda.

Malah, keluarga anda berkemungkinan akan menerima lebihan dana (setelah hutang-hutang dijelaskan) jika premium yang anda ambil menawarkan perlindungan yang tinggi. Oleh sebab itu, rancang pelan perlindungan dengan betul.

premium insurans nyawa di Malaysia

Faktor-faktor yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Pilih Insurans Nyawa atau Insurans Hayat

Insurans nyawa berperanan penting dalam melindungi anda dan keluarga sekiranya berlaku sesuatu musibah. Oleh sebab itu, penting untuk anda buat semakan secara teliti dan pertimbangkan setiap aspek terlebih dahulu sebelum pilih mana-mana insurans nyawa yang sesuai dan terbaik untuk anda.

Matlamat Kewangan

Kenal pasti matlamat kewangan terlebih dahulu sebelum pilih mana-mana pelan insurans. Anda mungkin pilih insurans hayat yang membolehkan anda menikmati manfaat kematangan untuk persaraan, pembiayaan pendidikan anak anda, atau sebagai salah satu langkah meringankan beban cukai.

Perlindungan & Pengecualian

Pastikan perlindungan yang anda pilih selari dengan apa yang anda perlukan. Bandingkan juga perkara-perkara yang dilindungi/tidak dilindungi oleh polisi insurans anda untuk mengelakkan kekeliruan

Bayaran Premium Insurans Nyawa

Sama seperti pembayaran lain, ia perlu selari dengan kemampuan kewangan anda. Jika kos premium anda terlalu mahal, ia mungkin boleh menyukarkan anda untuk membayar komitmen ini setiap bulan. Kos premium yang ideal biasanya sekitar enam peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan pendapatan. Sebagai contoh, sekiranya pendapatan bulanan anda RM5,000 sebulan, kos premium yang dicadangkan mestilah tidak melebihi RM300.

Semoga tips dan kepentingan insurans nyawa yang dinyatakan di atas ini dapat membantu anda membuat keputusan terbaik untuk diri anda dan juga keluarga yang tersayang. Sekiranya anda ingin mendapatkan insurans kemalangan diri terbaik, lawati laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala menyediakan rangkaian produk insurans perubatan daripada beberapa syarikat insurans terbaik dan popular di Malaysia dengan jaminan proses yang mudah, pantas dan selamat.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60