Fakta Sebenar Tentang Insurans Perubatan Anda Perlu Tahu

Kali terakhir diperbaharui Sep 6, 2023 oleh Shafiq Wahab
Fakta Sebenar Tentang Insurans Perubatan Anda Perlu Tahu

Ramai dalam kalangan masyarakat di Malaysia tidak menjadikan insurans perubatan sebagai keutamaan. Malah, ada segelintir yang masih tidak menyedari kepentingan memiliki insurans kesihatan meskipun mereka sedar kos perubatan terutamanya di hospital swasta semakin meningkat saban hari. Ada yang berpendapat duit dalam tabung atau simpanan di bank sudah memadai untuk nikmati kehidupan yang baik di hari tua kelak. 

7 Sebab Insurans Perubatan atau Insurans Kesihatan Penting kepada Individu

Namun sebenarnya, memiliki simpanan sahaja tidak mencukupi lebih-lebih lagi jika ada kecemasan atau situasi luar jangka seperti masalah kesihatan yang memerlukan belanja rawatan yang tinggi. Anda perlu memiliki insurans perubatan bagi membantu menampung perbelanjaan atau kerugian sekiranya anda jatuh sakit.

Malah, banyak lagi sebab-sebab lain yang memerlukan anda untuk miliki insurans atau takaful perubatan dalam hidup anda hari ini. Bagi membantu anda memahami kelebihan insurans perubatan dengan lebih baik, berikut tujuh kepentingan insurans perubatan untuk rujukan dan panduan anda:

1. Kos Perubatan Semakin Meningkat

Malaysia dijangka akan mengalami inflasi dalam rawatan kesihatan. Ini bermakna, kos rawatan perubatan berkemungkinan akan mengalami kenaikan yang ketara (boleh mencecah dua angka) setiap tahun berbanding inflasi harga barangan pengguna (sekitar dua hingga empat peratus setahun).

Dalam erti kata lain, kos rawatan dan bil perubatan boleh menjadi lebih mahal berbanding kemampuan kewangan anda. Jika tiada simpanan kecemasan atau anda tidak merancang kewangan anda dengan baik, keadaan anda akan menjadi lebih sukar jika berlaku sebarang musibah.

Dengan memiliki insurans kesihatan, anda tidak perlu risau untuk membayar kos rawatan hospital yang mahal ini. Malah, anda juga tidak perlu menghabiskan wang simpanan yang disimpan bertahun-tahun semata-semata untuk membayar kos rawatan tinggi kerana pihak syarikat insurans akan membayar segala kos yang terlibat bagi pihak anda.

2. Manfaat Cukai Pendapatan: Layak Dapat Potongan Cukai

Secara asasnya, anda boleh menuntut pelepasan cukai untuk pelbagai kategori seperti rawatan perubatan, yuran pendidikan dan insurans. Bagi kategori potongan cukai insurans kesihatan, anda boleh menuntut pengecualian cukai ke atas premium yang dibayar untuk tahun taksiran.

Ini bermaksud, pembayaran yang dibuat ke atas premium insurans kesihatan melayakkan anda untuk mendapat pengecualian cukai yang secara tidak langsung dapat meringankan beban kewangan anda. Bagi individu penjawat awam berpencen, golongan ini berhak mendapat pelepasan cukai terhad sebanyak RM7,000 untuk premium insurans nyawa atau takaful.

Manakala, individu selain penjawat awam boleh menuntut sehingga RM3,000 untuk insurans nyawa atau takaful dan RM4,000 untuk KWSP atau skim yang diluluskan seperti Skim Persaraan Swasta.

3. Perubahan Gaya Hidup

Gaya hidup yang tidak sihat, stress dan diet tidak seimbang boleh mendedahkan anda kepada lebih banyak masalah kesihatan. Dalam erti kata lain, perubahan serta amalan gaya hidup yang tidak sihat secara tidak langsung boleh menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit kronik seperti kanser, buah pinggang, jantung dan penyakit-penyakit lain.

Faktor ini tidak termasuk faktor-faktor pendorong yang lain seperti pemakanan, pesekitaran, pencemaran dan lain-lain lagi. Sebagai contoh, tabiat lepak di kedai sehingga lewat malam sambil minum teh tarik boleh menyumbang kepada risiko penyakit kencing manis.

Di Malaysia, statistik menunjukkan seramai 3.9 juta individu berumur 18 tahun dan ke atas menghidap penyakit kencing manis. Oleh sebab itu, anda perlu utamakan perlindungan insurans kesihatan sekiranya anda mengamalkan gaya hidup yang membimbangkan.

Ini kerana kos rawatan untuk penyakit kronik ini sememangnya memerlukan belanja yang amat mahal.

kepentingan insurans perubatan kepada anda

4. Tempoh Menunggu di Hospital Kerajaan

Kos perubatan di Malaysia boleh dikatakan antara termurah kerana sebahagian besar kos telah disubsidi oleh kerajaan. Dengan hanya perlu membayar serendah RM1, anda boleh mendapatkan rawatan di hospital kerajaan untuk pelbagai jenis penyakit.

Oleh sebab kos rawatan yang murah dan bilangan pesakit yang ramai yang memerlukan rawatan setiap hari, kebanyakan hospital dan klinik kerajaan mengalami kesesakan akibat tempoh menunggu yang lama. Ia sekali gus menyebabkan giliran untuk menerima rawatan diutamakan kepada pesakit yang kritikal.

Di sinilah pentingnya insurans kesihatan kerana setidak-tidaknya anda masih mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta jika anda tidak mampu untuk menahan sakit atau menunggu giliran yang lama di hospital kerajaan.

Malah, ia juga dapat membantu anda mendapatkan rawatan dengan lebih cepat dan dalam masa sama memastikan keperluan rawatan dan penjagaan kesihatan tidak terabai.

5. Purata Jangka Hayat Penduduk Meningkat

Berdasarkan unjuran data daripada Jabatan Perangkaan, Malaysia dijangka akan mengalami pertambahan populasi warga emas dan akan mencapai status ‘negara tua’ atau aged nation menjelang 2030.

Berdasarkan jangkaan tersebut, sebanyak 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk adalah individu yang berusia 60 tahun dan ke atas, atau 5.8 juta orang daripada keseluruhan 38.1 juta jumlah keseluruhan penduduk negara.

Apa kesan perkara ini kepada anda? Secara asasnya, seseorang individu akan mula mengalami kemerosotan tahap kesihatan selari dengan usia. Apabila lanjut usia, anda memerlukan rawatan berkala sekurang-kurangnya sekali bulan untuk memastikan kesihatan anda berada dalam keadaan baik tidak kiralah daripada pusat kesihatan kerajaan ataupun swasta.

Oleh sebab itu, penting untuk anda memiliki simpanan yang mencukupi atau insurans perubatan yang boleh melindungi anda. Tanpa perlindungan insurans perubatan, anda mungkin perlu menampung kos rawatan dan perubatan sendiri untuk tempoh yang panjang dan berkemungkinan besar perlu mengeluarkan simpanan persaraan untuk membiayai kos rawatan.

6. Perlindungan Lebih Komprehensif

Jika anda mencarum insurans pada usia muda, banyak kelebihan yang boleh anda nikmati, salah satunya pelan perlindungan insurans perubatan yang lebih komprehensif. Secara asasnya, premium untuk pelan kesihatan ditentukan mengikut jenis insurans yang dipilih, umur, pekerjaan, status kesihatan semasa, status merokok dan sebagainya.

Ini bermaksud, jika premium insurans dibeli pada usia muda, anda boleh nikmati liputan perlindungan akan lebih komprehensif dan meluas serta jumlah premium yang ditawarkan adalah lebih rendah. Berbeza sekiranya anda beli insurans pada usia lebih lewat, anda perlu membayar harga yang lebih mahal dengan liputan perlindungan yang lebih minimum.

Hal ini kerana, pihak insurans beranggapan apabila usia anda meningkat anda lebih mudah menghidapi penyakit sekali gus mendedahkan anda kepada lebih banyak risiko penyakit. Selain itu, bagi kebanyakan syarikat insurans, penyakit sedia ada (jika ada) juga turut akan dikecualikan daripada perlindungan insurans.

7. Insurans Perubatan Beri Manfaat Tambahan

Sebagai pencarum insurans, anda semestinya ingin mendapatkan polisi insurans dengan pelan perlindungan yang lengkap termasuk manfaat tambahan lain. Sesetengah polisi insurans menawarkan manfaat tambahan seperti perkhidmatan ambulans, penjagaan pembedahan harian, pemeriksaan kesihatan dan perbelanjaan vaksinasi di bawah insurans kesihatan bergantung pada polisi yang anda pilih.

Malah, ada juga syarikat insurans yang turut menawarkan income replacement untuk situasi-situasi tertentu seperti kemalangan dan kematian. Ini bermaksud, syarikat insurans akan membayar pampasan mengikut terma dan syarat yang dipersetujui sekiranya anda hilang upaya kekal akibat kemalangan atau meninggal dunia.

perkara anda perlu tahu tentang insurans kesihatan

Insurans Kesihatan: Adakah Ia Suatu Keperluan atau Kehendak?

Sama seperti renew insurans kenderaan untuk melindungi kereta anda, insurans perubatan atau medical card memainkan peranan sama penting dalam melindungi diri anda. Oleh sebab itu, tiada alasan untuk anda mengabaikan kepentingan insurans atau takaful perubatan.

Meskipun ia bukanlah suatu keperluan yang wajib untuk dimiliki, namun ia penting untuk melindungi anda (dari segi kewangan, perbelanjaan perubatan dan sebagainya) sekiranya berlaku situasi luar jangka selain memastikan masa depan yang lebih selamat.

Selain itu, sekiranya anda ingin mendapatkan insurans kesihatan terbaik, lawati laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala menyediakan rangkaian produk insurans kesihatan dan perubatan daripada beberapa syarikat insurans terbaik dan popular di Malaysia dengan jaminan proses yang mudah, pantas dan selamat.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60