4 Kepentingan Insurans Perjalanan ke Luar Negara

Kali terakhir diperbaharui Aug 1, 2023 oleh Shafiq Wahab
4 Kepentingan Insurans Perjalanan ke Luar Negara

Insurans perjalanan ke luar negara atau travel insurance penting untuk anda miliki bagi menjamin perlindungan dan keselamatan diri serta keluarga daripada musibah semasa anda berada di luar negara untuk bercuti atau urusan kerja. Ia secara tidak langsung menjadikan anda berasa lebih selamat dan terjamin meskipun beribu batu jauh dari rumah anda. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memiliki insurans perjalanan ke luar negara untuk melindungi diri anda (dan keluarga) daripada sebarang risiko yang tidak diingini semasa bercuti.

Ada Risiko yang Boleh Berlaku Ketika Bercuti, Ini Kepentingan Insurans Perjalanan ke Luar Negara yang Anda Perlu Tahu

Semua orang semestinya pernah memikirkan soal keselamatan dan kesihatan diri ketika memulakan perjalanan ke luar negara tidak kira sama ada untuk urusan kerja atau percutian. Tiada sesiapa pun yang inginkan percutian bertukar tragedi atau berlaku kemalangan semasa percutian.

Meskipun pada asasnya tiada sesiapa yang menginginkan perkara buruk berlaku terutamanya ketika melancong di luar negara, ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dikawal. Oleh sebab itu, anda perlu mempertimbangkan risiko-risiko yang boleh berlaku seperti berikut bagi membantu anda merancang percutian anda dengan lebih baik.

beli insurans perjalanan ke luar negara untuk ketenangan fikiran

1. Jatuh Sakit, Masalah Kesihatan

Perkara yang paling membimbangkan ketika bercuti di luar negara adalah apabila berlakunya kes kecemasan seperti jatuh sakit, kemalangan atau kematian. Lebih memburukkan keadaan, kes kecemasan ini melibatkan kos perubatan dan rawatan yang tinggi. Situasi ini sama seperti yang berlaku kepada warga Malaysia yang bercuti di Arizona sebelum ini.

Salah seorang ahli keluarga tersebut dimasukkan ke hospital secara tiba-tiba disebabkan oleh masalah kesihatan dan tidak mampu membayar bil perubatan yang dianggarkan mencecah sehingga RM800,000. Ini semestinya menjadi kesukaran kepada ahli keluarga untuk melunaskan bayaran tersebut dalam masa yang singkat.

Oleh sebab itu, persediaan awal perlu dilakukan sebelum anda mula bercuti untuk mengelakkan anda daripada berdepan situasi sebegini. Sekiranya anda mengambil travel insurans, ia sekurang-kurangnya dapat membantu anda bersedia dengan sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku terutamanya dari sudut kos.

Pengalaman-pengalaman sebegini mungkin boleh terjadi kepada anda. Sebagai contoh, anda keracunan makanan yang memerlukan anda mendapat rawatan beberapa hari di hospital. Sekiranya anda tidak dilindungi oleh mana-mana pelan perlindungan insurans perjalanan ke luar negara, sudah semestinya ia akan memeningkan anda apabila memikirkan kos rawatan yang mungkin menelan belanja ribuan ringgit.

2. Kemalangan

Walaupun secara hakikatnya perancangan telah dibuat dengan teliti sebelum bercuti atau melancong ke luar negara, risiko dan musibah seperti kemalangan semasa melancong semestinya sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Dengan perlindungan takaful atau insurans, ia dapat membantu anda sekiranya berlaku yang tidak diingini sepanjang tempoh percutian.

Selain dapat meminimumkan kadar risiko yang mungkin dihadapi, anda atau waris juga akan menerima pampasan sekiranya berlaku kematian atau kecederaan pada diri dan keluarga. Malah, kos rawatan perubatan juga akan dibayar oleh syarikat insurans bergantung pada terma dan syarat yang dinyatakan dalam polisi.

Berbeza dengan kos rawatan perubatan di Malaysia yang disubsidi oleh kerajaan, kos rawatan di luar negara semestinya menelan belanja dan kos yang lebih mahal. Oleh sebab itu, lebih baik beringat sebelum anda terkena.

3. Bawa Pulang Jenazah

Ramai yang memilih untuk tidak mengambil perlindungan insurans kerana menganggap musibah tidak mungkin berlaku kepada diri atau keluarga semasa bercuti. Meskipun begitu, persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan sebegini ketika bercuti tidak boleh dipandang ringan.

Banyak kemungkinan risiko yang boleh berlaku seperti perkara-perkara berkaitan masalah kesihatan (serangan sakit jantung, cirit-birit, demam dan sebagainya) atau dalam kes terburuk mengakibatkan kematian akibat kemalangan jalan raya dan sebagainya. Kita sememangnya tidak mengetahui bila ajal akan menjemput – sekiranya anda meninggal dunia di luar negara, ia melibatkan prosedur bawa pulang jenazah yang rumit dan boleh menelan belanja sehingga puluhan ribu ringgit.

Oleh sebab itu, anda disarankan untuk mengambil perlindungan insurans perjalanan ke luar negara sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti kematian atau kemalangan ini memberi bebanan kepada waris dari sudut kos rawatan dan kos bawa pulang jenazah.

4. Bencana

Bencana alam seperti kejadian banjir, gempa bumi, tsunami, letusan gunung berapi, ribut taufan dan sebagainya merupakan insiden yang boleh disifatkan berlaku di luar jangkaan. Insiden-insiden sebegini berisiko menyebabkan anda terperangkap di negara luar selama berhari-hari atau dalam senario yang lebih buruk mungkin memakan masa berminggu-minggu bergantung pada situasi bencana.

Situasi-situasi sebegini secara tidak langsung akan meningkatkan kos dan perbelanjaan anda di luar negara seperti kos penginapan, makan minum dan pengangkutan. Sekiranya anda dilindungi oleh travel insurance, anda boleh membuat tuntutan daripada syarikat insurans. Sekurang-kurangnya anda tidak perlu mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji untuk menanggung kos tambahan luar jangka ini sementara anda pulang ke tanah air.

travel insurance: insurans perjalanan ke luar negara

Insurans Perjalanan vs Insurans Perubatan: Adakah Anda Perlu Miliki Kedua-duanya?

Ramai yang tertanya-tanya sama ada insurans perjalanan ke luar negara masih diperlukan jika sudah memiliki insurans perubatan. Secara asasnya, insuran perjalanan dan insurans perubatan (medical card) menawarkan kelebihan-kelebihan yang tersendiri. Meskipun insurans atau takaful perubatan turut menawarkan manfaat perlindungan luar negara, namun ia hanyalah perlindungan asas sahaja.

Insurans perjalanan ke luar negara menawarkan lebih banyak perlindungan daripada risiko-risiko yang mungkin berlaku ketika di luar negara. Dalam erti kata mudah, insurans perjalanan ke luar negara melindungi diri anda dan keluarga terhadap kemalangan, kerugian (kehilangan) dan gangguan yang berlaku semasa bercuti seperti:

  1. Kemalangan diri;
  2. Belanja perubatan di hospital;
  3. Kehilangan bagasi, barang-barang peribadi seperti wang atau kad bank hilang;
  4. Kehilangan pasport;
  5. Bagasi lewat tiba atau kelewatan penerbangan;
  6. Penghantaran pulang jenazah;
  7. Kelebihan-kelebihan lain tertakluk pada polisi insurans anda.

Namun begitu, ini tidak bermaksud anda boleh mengabaikan aspek penjagaan barangan dan keselamatan diri ketika bercuti. Ambil tindakan pencegahan yang sewajarnya untuk melindungi diri anda, keluarga dan barangan bagi mengelakkan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Secara asasnya, insurans perjalanan ke luar negara bukanlah satu bentuk pelaburan namun sebaliknya merupakan suatu pembiayaan risiko. Ini bermaksud, jika tiada insiden atau sebarang musibah berlaku ke atas diri anda semasa anda sedang bercuti, wang anda tidak akan dikembalikan.

Oleh sebab itu, anda disarankan untuk membaca dan memahami kandungan dalam polisi sebelum anda membeli perlindungan insurans untuk mengelakkan timbul salah faham atau apa-apa masalah lain sewaktu membuat tuntutan pampasan.

Selain itu, jika anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai travel insurance, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia yang menyediakan rangkaian insurance perjalanan terbaik daripada beberapa syarikat insurans di Malaysia dengan jaminan proses yang mudah, cepat dan selamat.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60