Teknik Elak Pembaziran di Bazar Ramadhan yang Berkesan

Kali terakhir diperbaharui Sep 22, 2023 oleh Shafiq Wahab
Teknik Elak Pembaziran di Bazar Ramadhan yang Berkesan

Setelah seharian seharian menahan lapar dan dahaga, sudah pastinya rambang mata ebaik tiba di bazar Ramadhan yang dimeriahi dengan pelbagai pilihan makanan dan juga minuman. Setiap satunya nampak sangat lazat dan keinginan untuk membeli banyak makanan membuak-buak. Kalau diikutkan nafsu, semuanya hendak dibeli. Jom ketahui beberapa teknik mudah untuk elak pembaziran di bazaar Ramadhan yang berkesan.

Tips Elak Pembaziran di Bazaar Ramadhan

Ramai yang terlupa dalam bulan yang penuh barakah ini bukan sahaja sekadar menahan lapar dan dahaga. Malah, anda juga mengawal diri daripada melakukan pembaziran. Menurut data yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa pepejal dan Pembersihan Awam, sebanyak 270,000 tan makanan telah dibazirkan sepanjang bulan Ramadhan pada setiap tahun.

Memang amat mudah untuk membeli makanan mengikut nafsu semata-mata. Namun, bukankah membazir itu amalan syaitan? Apabila berpuasa, semua makanan nampak sedap. Ikuti tips di bawah untuk elakkan pembaziran duit dan makanan:

Buat Senarai Makanan

Sebelum ke bazaar Ramadhan, senaraikan makanan dan minuman yang anda ingin beli di bazaar. Jika anda tidak membuat senarai, kebarangkalian untuk anda membazir duit adalah sangat tinggi. Ingat, pilih makanan dan minuman yang anda perlukan sahaja. Contohnya, tulis di atas sehelai kertas kecil atau lebih mudah di telefon bimbit dan pastikan anda kekal berdisiplin untuk mengikut senarai itu tanpa terbabas.

Hadkan Duit Belanja

Bila dah ada senarai makanan untuk dibeli di bazaar, langkah seterusnya adalah dengan membawa duit yang cukup-cukup sahaja mengikut anggaran harga yang telah anda kira mengikut senarai tadi. Elakkan bawa duit lebih. Ini kerana, jika anda bawa duit melebihi yang diperlukan daripada jumlah senarai makanan, kemungkinan besar anda akan membeli makanan yang lain semata-mata untuk menghabiskan duit yang ada pada tangan.

Selain itu juga, buat anda yang tidak menulis senarai makanan dan minuman, anda boleh hadkan duit untuk anda berbelanja di bazaar. Sebagai contoh, bawa duit RM10 sahaja ke bazaar untuk anda berbelanja. Jadi dengan duit yang sedikit di tangan, anda akan lebih cenderung untuk berjimat kerana hanya membawa jumlah duit yang sedikit.

Satu Jenis Kuih Sehari

Bazar Ramadhan boleh dikatakan pesta kuih muih. Sudah menjadi tradisi di sepanjang bulan Ramadhan untuk membeli kuih-muih sebagai manisan sewaktu berbuka puasa. Untuk anda yang ingin mengelakkan pembaziran daripada berlaku dan pada masa yang sama ingin merasa kesemua jenis kuih-muih tersebut, anda disarankan untuk membeli satu jenis kuih sehari. Dengan cara menukar jenis kuih ini, pembaziran dapat dielakkan dan anda juga boleh merasa pelbagai jenis kuih di sepanjang bulan Ramadhan ini.

Elakkan Beli Minuman

Jika berkunjung ke bazar Ramadhan, antara gerai yang sering menarik perhatian kita adalah gerai yang menjual pelbagai jenis air terutamanya air balang yang dimeriahkan dengan pelbagai warna dan perisa. Kita akan lebih mudah terpengaruh untuk membeli air kerana dahaga. Jika anda ingin berjimat, anda disarankan untuk bancuh sendiri air di rumah kerana dengan cara ini secara tidak langsung, dapat mengurangkan kos perbelanjaan.

Bawa Bekas Makanan Sendiri

Dengan membawa bekas makanan sendiri, anda secara tidak langsung sedang mengehadkan perbelanjaan anda mengikut bekas makanan yang anda bawa dari rumah. Kaedah ini bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran. Malah ia juga adalah satu inisiatif untuk mengurangkan penggunaan plastik pakai buang di bazaar Ramadhan.

Pulang Dengan Kadar Segera

Manusia kadang-kadang tewas dengan nafsu. Pantang nampak makanan yang sedap dan disusun rapi, nafsu boleh tergoda. Oleh itu, sebaik sahaja dah dapatkan makanan dan minuman yang anda senaraikan, segera pulang ke rumah bagi mengelakkan diri daripada membeli makanan yang tidak disenaraikan.

Rancang Juadah Berbuka

Bukan sahaja kita perlu rancang kehidupan atau perjalanan kita tetapi perancangan dalam bab makanan juga perlu. Bila anda rancang dan senaraikan menu untuk berbuka setiap hari, ia akan menjimatkan masa untuk berfikir malah, wang juga lebih terpelihara. Lebih mudah bila anda tahu apa yang anda mahu dan terus ke destinasi. Tak adalah kita membazir dengan membeli makanan yang tidak perlu.

Anggarkan berapa bajet anda untuk sehari supaya anda tidak membeli dengan berlebihan. Bila anda ada bajet, anda akan lebih peka dan beringat. Jika anda pilih untuk masak sendiri di rumah, pastikan anda rancang menu yang ingin dimasak dan pastikan bahan-bahan di dapur lengkap. Lebih menjimatkan jika bahan tersebut boleh digunapakai untuk beberapa jenis menu lagi dan mampu bertahan untuk beberapa hari. Jadi anda tak perlulah ke kedai untuk membeli bahan-bahan masakan setiap hari.

Kirimkan Pesanan

Sebenarnya lebih elok jika anda kirimkan sahaja juadah berbuka puasa kepada rakan-rakan, jiran atau ahli keluarga yang ingin ke bazaar Ramadhan. Dengan cara ini, ia akan menahan diri daripada membeli dengan banyak. Namun, elakkan daripada mengirimkan pesanan yang banyak. Cukuplah jika anda kirimkan satu atauke dua menu sahaja. Itu pun sudah cukup sangat untuk berbuka puasa. Dengan cara ini juga, anda tidak akan tergoda dengan jenis juadah lain yang ada di baazar kerana tidak dapat lihat dan bau.

Pergi Bazaar Apabila Waktu Hampir Berbuka

Elakkan diri daripada pergi ke bazaar Ramadhan di awal waktu. Ia akan membuatkan anda untuk membuat pelbagai pilihan dengan masa yang banyak. Apabila anda pergi ke bazaar apabila waktu hampir berbuka, ia akan memaksa anda untuk membuat keputusan dan pilihan dengan cepat dan singkat.

Tanya Terlebih Dahulu

Jika anda tinggal bersama keluarga, pastikan anda tanya keluarga anda terlebih dahulu tentang juadah berbuka. Jika anda tidak bertanya terlebih dahulu, dikhuatiri anda membeli makanan yang sama dan berlakulah pembaziran. Sekiranya ahli keluarga anda menginginkan menu yang sama, tak perlu beli terlalu banyak. Untuk elakkan pembaziran, beli satu juadah sahaja dan berkongsi antara satu sama lain.

elakkan pembaziran makanan di bulan ramadan

Kesimpulan

Bazaar Ramadhan boleh dikatakan sebagai sebuah pesta makanan yang dimeriahi dengan pelbagai jenis makanan dan minuman yang enak. Tidak dinafikan, nafsu boleh menjadi membuak-buak setelah tiba di bazaar Ramadhan. Namun, bulan Ramadhan juga memerlukan kita mengawal nafsu daripada melakukan pembaziran yang tidak sepatutnya.

Firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Al-Isra: 27). Perkataan bazar sangat dekat dengan ‘Bazarra’, istilah Arab yang bermaksud membazir.

Ramadhan mengajar kita untuk mensyukuri nikmat yang diberikan tanpa melakukan sebarang pembaziran. Segalanya bermula dari diri sendiri untuk mengawal nafsu daripada membeli makanan yang terlalu banyak dan tidak perlu. Cuba lakukan perubahan dan latih diri untuk tidak membazir,  bukan sahaja pada bulan puasa ini, malah pada setiap masa. Jika tidak bermula dari rumah, siapa lagi yang ingin mulakan?

Sampai di sini sahaja lah perkongsian Qoala. Semoga bermanfaat!

Nak dapatkan insurans kereta terbaik? Dapatkan di Qoala, mudah dan cepat!

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60