4 Langkah Perlu Buat Segera Jika Kad Bank Hilang

Kali terakhir diperbaharui Nov 2, 2023 oleh Shafiq Wahab
4 Langkah Perlu Buat Segera Jika Kad Bank Hilang

Situasi kad bank hilang merupakan satu mimpi ngeri yang boleh terjadi kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Perkara ini boleh berlaku mungkin disebabkan kecuaian anda sendiri atau kad bank anda telah dicuri oleh seseorang. Kehilangan kad bank boleh menjadi sesuatu yang sangat membahayakan kerana simpanan dalam bank anda boleh lesap dalam sekelip mata. Pencuri boleh melakukan transaksi dengan cepat tanpa perlu mengakses akaun anda dengan adanya kemudahan seperti PayWave. Artikel ini akan berkongsikan empat langkah penting yang anda perlu lakukan sekiranya anda kad bank atau kad ATM hilang. 

Kad Bank Hilang, 4 Langkah untuk Menyelamatkan Simpanan Bank Anda

Proses penggantian kad bank yang hilang boleh dikatakan agak rumit. Sebagai contoh, katakanlah anda kehilangan dompet anda yang mengandungi kad pengenalan, kad bank dan kad kredit, anda akan perlu menggantikan semua kad bank anda yang hilang dengan kad yang baharu.

Untuk kad pengenalan, anda boleh menggantikannya dengan mudah di JPN tanpa tanpa perlu melalui proses yang merumitkan. Namun berbeza dengan kad bank, anda perlu membuat laporan polis dan sebagainya terlebih dahulu bagi mengelakkan kad anda disalah guna.

Jika seseorang menggunakan kad bank anda yang hilang, wang akan keluar dari akaun bank anda dengan serta-merta. Dalam situasi begini, anda dinasihatkan untuk tidak panik tetapi anda perlu bertindak dengan pantas. Apabila kad bank hilang, apa perlu anda buat? Berikut adalah empat langkah yang anda ambil sekiranya anda tidak menemui kad bank anda:

1. Hubungi Bank dengan Kadar Segera

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menghubungi bank anda sebaik sahaja anda menyedari kad bank anda telah hilang. Walaupun anda mungkin tidak pasti sama ada kad bank anda hilang kerana dicuri atau tercicir di mana-mana, menghubungi pihak bank merupakan perkara yang paling mustahak yang perlu anda lakukan.

Zaman sekarang ini, pencuri tidak perlu tahu pun nombor pin kad bank anda, mereka boleh menggunakan duit anda melalui perkhidmatan PayWave dengan mudah sahaja. Oleh sebab itu, anda perlu melaporkan kehilangan kad bank anda kepada pihak bank untuk tindakan selanjutnya.

Anda perlu meminta pegawai bank yang bertugas untuk membatalkan atau membekukan penggunaan kad anda dengan segera. Pembekuan ini akan menghalang kad daripada berfungsi sepenuhnya dan dengan cara ini pencuri tidak dapat menggunakan kad anda.

Nombor Telefon Bank untuk Melaporkan Kad Bank/Kad ATM Hilang

Secara asasnya, jika kad bank BSN, kad CIMB atau kad Bank Islam hilang anda perlu menghubungi bank terbabit untuk membekukan fungsi kad anda buat sementara. Berikut merupakan nombor telefon pusat khidmat pelanggan untuk rujukan anda:

Bank Nombor Telefon
Maybank 1300-88-6688
CIMB Bank 03-6204 7788 
RHB Bank 03-92068118
BSN 1300-88-1900
Public Bank 03-2179 5000
Bank Rakyat 03-2692 4600
Bank Islam 03-26 900 900

Cara Block Kad Maybank Hilang, Ikuti 7 Langkah Ini

Bagi pengguna kad ATM Maybank, selain menghubungi pihak bank, anda juga boleh block kad Maybank hilang secara online melalui servis Maybank2U. Berikut merupakan langkah-langkah untuk anda ikuti:

      1. Log masuk Maybank2u
      2. Pilih Settings
      3. Pilih Cards Manage Debit Cards
      4. Debit Card – Replace & Block
      5. Pilih Menu 
      6. Klik Block Card
      7. Pilih Confirm

2. Periksa Akaun Bank Anda

Anda perlu log masuk ke dalam akaun bank online anda untuk membuat pemeriksaan selanjutnya. Kebanyakan bank di Malaysia kini menyediakan aplikasi yang membolehkan anda akses akaun anda secara online seperti Bank Islam Online, Bank Rakyat Online, RHB Bank Online dan banyak lagi. Jika terdapat sebarang transaksi baharu yang mencurigakan, rekodkan semua maklumat yang berkaitan seperti jumlah transaksi, masa dan tarikh.

Walaupun terdapat transaksi kecil serendah RM10 pun, anda perlu mencatatkannya juga. Hal ini kerana, scammer atau pencuri biasanya memindahkan amaun yang rendah dari akaun anda sebagai percubaan. Sekiranya transaksi kecil ini berjaya, mereka akan mencuba membuat transaksi yang lebih besar.

3. Membuat Laporan Polis 

Sekiranya anda diragut atau dirompak, anda perlu membuat laporan dengan serta-merta di balai polis yang berdekatan. Sesetengah bank memerlukan salinan laporan polis sebagai salah satu dokumen sokongan sekiranya anda melaporkan kad bank anda hilang kerana dicuri. Meskipun ada sesetengah bank tidak memerlukan laporan polis bagi proses penggantian kad baharu, anda tetap disarankan untuk melaporkan insiden ini bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan terhadap kejadian rompak atau ragut yang menimpa anda. 

Selain itu, anda disarankan untuk sediakan beberapa salinan laporan polis yang anda buat. Anda boleh menggunakan salinan laporan polis yang sama untuk membuat laporan kehilangan kad-kad lain yang anda ada.

4. Menggantikan Kad Bank

Sebaik sahaja anda telah menyahaktifkan kad bank anda yang hilang, anda perlu hadir ke cawangan bank terdekat dan isikan borang yang diperlukan. Selain itu, anda juga disarankan untuk menyediakan dokumen-dokumen yang mungkin diperlukan oleh bank untuk pembaharuan kad bank anda seperti laporan polis, salinan kad pengenalan atau sijil kelahiran.

Maklumkan kepada pegawai bank yang bertugas di kaunter bahawa kad bank hilang dan anda mahu menggantikannya dengan yang baharu. Anda mungkin perlu menyediakan tunai di tangan kerana ada sesetengah bank mengenakan caj untuk tujuan penggantian kad baharu. Kebiasaannya, proses menggantikan kad bank tidak akan mengambil masa yang lama tetapi ia bergantung kepada polisi bank anda. Setelah anda mendapat kad bank yang baharu, anda hanya perlu menetapkan kata laluan baharu di mesin ATM. 

kad bank hilang

Pastikan Butiran Kad Bank Anda Selamat

Sekiranya anda tidak mengambil tindakan segera apabila kehilangan kad bank anda, besar kemungkinan anda mungkin akan kehilangan wang simpanan anda. Dengan membuat laporan dengan cepat kepada pihak bank, kad anda akan dibekukan atau dibatalkan. Ini bermakna sekiranya kad anda dicuri, si pencuri tidak akan dapat mengeluarkan duit anda atau melakukan apa-apa transaksi menggunakan kad bank anda.

Sebagai langkah berjaga-jaga, anda boleh praktikkan langkah-langkah di bawah supaya anda dapat menangani situasi seperti ini dengan lebih baik:

      1. Anda dinasihatkan untuk tidak menyimpan nombor PIN kad bank anda di mana-mana lokasi seperti dalam telefon, dompet atau beg anda. Sebaiknya, anda harus ingat atau hafal nombor PIN anda. Jangan sesekali mendedahkan nombor PIN ini kepada sesiapa.
      2. Sentiasa menyemak aktiviti dalam akaun bank anda dan ingat jumlah simpanan terakhir dalam akaun anda. Jika jumlah ini berkurangan meskipun anda tidak menggunakannya, besar kemungkinan data anda dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
      3. Simpan rekod nombor akaun anda, nombor perkhidmatan pelanggan dan maklumat penting lain yang berkaitan dengan akaun anda supaya proses laporan anda dapat dilakukan dengan cepat dan lancar.
      4. Anda perlu memahami syarat bank anda mengenai kehilangan kad Debit atau kad ATM supaya anda tahu tindakan yang perlu dilakukan sekiranya perkara sebegini menimpa anda.

Kehilangan kad bank sememangnya merupakan salah satu perkara yang perlu dielakkan kerana risiko kehilangan wang simpanan dalam bank adalah agak tinggi. Seperti yang telah diingatkan beberapa kali dalam artikel ini, anda perlu mengambil tindakan yang segera apabila anda mendapati kad bank anda hilang. Ambil langkah berjaga-jaga kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

Selain itu, jika anda mempertimbangkan untuk mendapatkan insurans kereta terbaik di Malaysia, anda tidak perlu cari jauh-jauh, dapatkan insurans kereta anda dengan Qoala!  Selain insurans kereta, Qoala turut menyediakan insurans motor dan insurans rumah terbaik dengan harga insurans yang murah.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60