Perkara Asas Perlu Tahu Sebelum Guna Buy Now Pay Later

Kali terakhir diperbaharui Jul 21, 2023 oleh Syazwani Yahya
Perkara Asas Perlu Tahu Sebelum Guna Buy Now Pay Later

Kaedah pembayaran Buy Now Pay Later (BNPL) atau Beli Dahulu Bayar Kemudian ini kini mendapat tempat dalam kalangan pengguna setanding penggunaan e-Wallet, kad kredit atau kad debit. Jika anda perasan, sejak kebelakangan ini ramai penjual menawarkan pakej pembayaran secara ansuran ini terutamanya apabila anda membuat pembelian besar seperti barangan elektronik, pakej rawatan kecantikan dan sebagainya. Ini kerana, kaedah pembayaran ini dikatakan lebih selamat berbanding pembayaran tunai dan merupakan salah satu cara yang ditawarkan oleh penjual untuk menggalakkan pembelian segera tanpa perlu berfikir panjang.

Apa Itu Konsep Buy Now Pay Later?

Buy Now Pay Later atau BNPL ini boleh dikatakan sama seperti pinjaman peribadi kerana pembayaran akan dilakukan secara berperingkat atau dalam kata mudah bayaran keseluruhan dibahagikan secara ansuran kepada beberapa tempoh tertentu. Platform-platform BNPL ini biasanya akan membahagikan pembayaran ansuran anda kepada tiga atau enam bulan.

Pembayaran pertama dilakukan serta-merta (contohnya 27 April 2022) ketika anda membuat pembelian di mana-mana kedai yang mengambil bahagian. Manakala, bayaran kedua dan seterusnya akan dibuat masing-masing pada tarikh yang sama bulan berikutnya (27 Mei 2022 dan 27 Jun 2022).

Biasanya, BNPL menawarkan pakej pembiayaan tanpa faedah kepada pengguna. Namun begitu, ia bergantung pada penyedia platform. Di Malaysia, terdapat beberapa penyedia platform yang menawarkan konsep BNPL antaranya SPayLater (Shopee), Grab PayLater, Atome, Hoolah dan sebagainya.

Cara Guna Buy Now Pay Later

Selain pembayaran menggunakan kad kredit dan e-Wallet, trend pembayaran melalui platform BNPL ini kini semakin popular disebabkan fleksibiliti yang ditawarkan oleh platform ini. Cara ini membolehkan pelanggan membuat pembelian terutamanya pembelian besar dengan membahagikan kos keseluruhan pembelian kepada bayaran ansuran bulanan dengan tawaran faedah kosong peratus.

Setiap platform BNPL berfungsi dengan cara yang berbeza selain tertakluk pada terma dan syarat serta kadar faedah yang tersendiri. Meskipun begitu, platform BNPL kebiasaannya berfungsi dengan cara seperti berikut:

  1. Selepas anda membayar apa-apa barangan yang dibeli menggunakan platform BNPL, anda perlu memasukkan butiran peribadi anda seperti nama, nombor kad pengenalan, butiran bank dan sebagainya;
  2. Jika permohonan anda diluluskan oleh platform BNPL pilihan anda, platform tersebut akan ‘membayar’ pembelian anda secara penuh kepada penjual;
  3. Kemudian anda hanya perlu menjelaskan bayaran ansuran kepada platform BNPL tersebut melalui penolakan daripada kad debit, akaun bank atau kad kredit terbaik yang anda miliki sehingga selesai bayaran;
  4. Tempoh bayaran biasanya bergantung kepada platform – kebiasaannya antara tiga sehingga enam bulan.

Kelebihan dan Kekurangan Platform Buy Now Pay Later

Adakah penggunaan BNPL ini berbaloi? Atau, lebih baik memilih pembiayaan lain seperti pinjaman peribadi atau guna kad kredit? Secara asasnya, pilihan akhir sama ada ingin guna BNPL, kad kredit atau bayaran penuh sekaligus bergantung sepenuhnya pada keperluan atau kemampuan anda untuk membayar balik hutang tersebut. Jika gagal bayar balik, anda berkemungkinan besar akan disenarai hitam atau boleh diisytiharkan muflis. Berikut antara kelebihan dan kekurangan BNPL bagi membantu anda memahami platform ini dengan lebih baik.

Kelebihan Buy Now Pay Later

Berikut tiga kelebihan Buy Now Pay Later atau Beli Dahulu Bayar Kemudian untuk rujukan anda:

1. Kadar Faedah 0%

Kebanyakan platform BNPL menawarkan kadar faedah kosong peratus. Ini bermaksud, anda tidak akan dikenakan sebarang faedah atau caj tambahan sekiranya membuat pembayaran menggunakan kaedah ini. Meskipun begitu, anda tertakluk kepada caj tertentu sekiranya terlewat membuat pembayaran;

2. Boleh Guna Tanpa Mengira Skor Kredit

Sesetengah platform BNPL meluluskan permohonan anda meskipun anda tidak mempunyai skor kredit yang baik. Pendekatan ini sedikit berbeza dengan kad kredit yang memerlukan anda memiliki skor kredit yang baik jika anda ingin memohon kad kredit atau ingin menikmati kadar faedah ansuran yang rendah.

3. Bahagikan Bayaran kepada Beberapa Bulan

BNPL membolehkan anda membuat pembayaran secara ansuran. Ia sekali gus dapat mengelakkan anda daripada berbelanja melebihi bajet anda. Contohnya, komputer anda rosak tiba-tiba dan anda memerlukan RM3,000 untuk menggantikannya. Anda boleh bahagikan bayaran komputer tersebut kepada tiga bulan dan membayar hanya RM1,000 sebulan. Cara ini boleh membantu mengelakkan anda daripada menggunakan simpanan kecemasan dan membolehkan anda memperuntukkan simpanan ini untuk perkara penting lain selain pembelian barangan.

Kekurangan Buy Now Pay Later

Berikut kekurangan Buy Now Pay Later atau Beli Dahulu Bayar Kemudian untuk rujukan anda:

1. Kadar Caj yang Tinggi

Kebanyakan platform BNPL mengenakan kadar caj yang tinggi jika anda terlewat bayar ansuran bulanan anda. Malah, kadar caj atau faedah BNPL ini juga boleh dikatakan lebih tinggi berbanding kadar caj yang dikenakan kad kredit.

2. Meningkatkan Kecenderungan Berbelanja

Platform BNPL meningkatkan kecenderungan anda untuk membeli pelbagai barangan termasuk barangan yang anda mungkin tidak perlu. Ini kerana, proses yang ditawarkan mudah dan tidak memerlukan anda untuk membayar secara penuh. Dalam erti kata lain, meskipun tiada duit dalam tangan atau simpanan, ia boleh menyebabkan anda berbelanja tanpa berfikir panjang dan mempengaruhi anda untuk melakukan pembelanjaan tidak wajar.

3. Memberi Kesan pada Skor Kredit

Sesetengah platform BNPL mungkin akan melaporkan rekod pembayaran lewat kepada agensi yang menyelia skor kredit seperti CCRIS dan CTOS. Jika sejarah kewangan anda tidak baik, ia mungkin akan menyukarkan anda untuk mendapatkan pinjaman perumahan atau loan kereta.

Kelebihan Buy Now Pay Later

Tips Sebelum Menggunakan Buy Now Pay Later

Pilihan untuk membeli barangan tanpa perlu membayar lumpsum semestinya suatu pilihan yang baik. Namun begitu, sekiranya perbelanjaan tidak dirancang dengan baik ia boleh menyebabkan anda terjerat dengan beban hutang yang tinggi. Berikut antara tips yang boleh anda praktikkan sebelum anda mula menggunakan BNPL:

1. Teliti Terma dan Syarat

Sebelum membuat pembelian, baca dahulu terma dan syarat bagi mengelakkan berlakunya salah faham atau pertikaian di kemudia hari. Beri fokus terhadap perkara berkaitan pembayaran balik atau hak anda sebagai pembeli. Platform BNPL seperti Grab PayLater mengambil masa tiga hari untuk membuat pembayaran balik ke akaun e-Wallet anda.

2. Jangan Berbelanja Melebihi Kemampuan Anda

Pastikan anda mengetahui status kewangan semasa anda dan tidak overspend. Meskipun proses BNPL senang, ia tidak bermaksud anda boleh berbelanja sesuka hati dan terburu-buru tanpa memikirkan implikasi terhadap kewangan anda.

3. Fahami Skor Kredit

Setiap pembayaran hutang atau kredit sama ada mengikut jadual atau tidak akan direkodkan bagi memudahkan penyedia kewangan untuk merujuk kembali sekiranya anda membuat sebarang permohonan pinjaman baharu. Laporan sejarah kredit yang tidak baik disebabkan oleh kegagalan membayar balik BNPL mengikut jadual mungkin boleh menjadi punca loan ditolak.

4. Semak Kadar Caj Pembayaran Lewat

Setiap kali anda terlepas atau terlewat membuat pembayaran setiap bulan, anda akan dikenakan caj pembayaran lewat. Setiap platform BNPL menetapkan kadar caj pembayaran lewat yang berbeza. Anda boleh rujuk penyedia platform untuk maklumat lanjut.

5. Buat Pembayaran Awal

Jika boleh, buat pembayaran awal kerana platform ini akan mengenakan yuran lewat sekiranya bayaran tidak diterima mengikut jadual. Periksa dan pastikan akaun bank atau kad debit anda mempunyai baki yang mencukupi sekiranya anda menetapkan pembayaran secara penolakan automatik.

Buy Now Pay Later, Adakah Berbaloi untuk Digunakan?

Secara asasnya, BNPL boleh membantu anda membuat pembelian besar tanpa menjejaskan pengurusan kewangan sedia ada anda. Namun begitu, sekiranya tidak dikawal ia boleh memberi kesan pada kewangan dan komitmen bulanan anda. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk merancang kewangan anda dengan baik untuk mengelakkan situasi sebegini berlaku kepada anda. Selain itu, anda juga boleh layari laman web Qoala untuk info lanjut berkaitan insurans seperti insurans rumah, insurans nyawa, insurans kereta atau insurans motor. Qoala merupakan platform beli insurans yang mudah, telus dan pantas dengan tawaran harga yang kompetitif dan berpatutan.

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60